18 February 2014

Mencari Lauk Hujung Minggu - (14.02.2014)

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua pembaca blog Pancing2u, pertama sekali kami P2U Angler ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda yang sudi menyokong perkembangan blog pancing kami yang kini mencecah 20,000 orang pengunjung dalam masa 9 bulan sejak penubuhannya. Apa yang penting adalah penyampaian lokasi dan tempat memancing yang kami kunjungi serta beberapa tips dan petua dalam pengurusan joran akan terus dimartabatkan agar tahap pemancingan kita akan berkembang sehingga tahap antarabangsa, itulah harapan kami di Pancing2u.

Teknik "Bottom" Lebih Efektif Di Kolam No. 1
Baiklah tanpa membuang masa, sesi kali ini telah dilakukan oleh Ringgo dan Jojo yang mana lebih kepada pancingan santai bagi mencari lauk untuk di masak ketika hujung minggu nanti bersama keluarga. Sasaran mereka adalah di Kolam No. 1, Kolam Pancing Pelita Harmoni (PH) yang terletak di Jugra, Banting atau lebih dikenali kolam Siakap. Saya selaku Admin rasa ramai yang telah berkunjung kesana untuk merasa sendiri tarikan makhluk dasaran disana kerana pada pemerhatian kami P2U Angler, jumlah pengunjung kolam semakin hari semakin bertambah. Ehem...Taukeh kolam jangan lupa jasa kami, belanja 1-3 jam percuma pun boleh.

Jojo Sibuk Mencari Spot Labuhan Terbaik
Bertolak dari Seksyen 7. Shah Alam sekitar pukul 10 malam dan tiba dilokasi pada pukul 11 malam dengan menaiki R3 Ringgo. Setibanya di kolam mereka membeli umpan Udang dibeli sebanyak RM6.00 dan sedia untuk memancing. Mengikut kata mereka, ramai pemancing yang turun pada malam tersebut ekoran esok harinya adalah cuti hujung minggu. Boleh dikatakan hampir setiap pondok di sekitar kolam penuh dengan pemancing, macam mana hendak mendapatkan pot untuk meletakkan barang. Alhamdulilah, nasib menyebelahi mereka kerana kebetulan ada kumpulan pemancing yang sudah selesai memancing dan membawa hasil yang agak lumayan ingin bergerak keluar maka pondok tersebut terus dimasuki Ringgo dan Jojo.

Jojo Lega Setelah Mendapat Siakap 1st Yang Merupakan Lesen Pertama Kolam No. 1
Pada malam ini Jojo menggunakan set Vintage Dam Quick milik Ringgo yang mana Rod Dam Quick - Royal Foray panjang 5'6'' dan kekili Dam Quick TS 45 dipadankan dengan tali sulam Sufix berkekuatan 30lb. Ringgo pula menggunakan Rod Expert Graphite 5'6'' 8lb - 17lb dan kekili PENN Battle 1000. Teknik yang digunakan pula adalah "Bottom" yang mana mengikut sesi ujian kolam yang lepas ikan yang menghuni kolam tersebut mudah culas dengan umpan yang di "Casting".

Mengikut kata mereka, ikan pada malam itu tidak begitu galak memakan umpan mungkin kerana faktor tekanan pemancing yang agak ramai pada malam itu atau mungkin stok ikan di kolam tersebut kurang dan tidak dimasukkan lagi oleh taukeh kolam tersebut. Hampir 2 jam memancing masih tidak mendapat sebarang sambaran dari penghuni kolam. Pelbagai cara dan gaya telah dicuba tetapi masih tidak berjaya. Pemancing lain juga mengalami nasib yang sama.

Ringgo Akhirnya Berjaya Mendaratkan Siakap
Hendak dijadikan cerita sudahlah 'Stress' ekoran masih gagal mendapatkan sambaran ada pula sekumpulan pemancing yang P2U Angler rasakan kurang beretika dan tidak menghormati pemancing lain yang datang dari Klang (*Orang Klang Jangan Marah, Bukan semua) sudahlah membuat bising sesama sendiri, tiba-tiba datang ke pondok yang sedang di duduki oleh Si Ringgo dan Jojo dengan selamba "Mendominasi" atau dalam bahasa pasarnya buat macam tempat sendiri.

"Rilek..Rileklah Bang, kita pun bayar yuran kolam juga tetapi jangan sampai nak ambil port orang dah duduk lama, tahulah awak ramai. Kepada budak-budak Klang yang rasa diri mereka memancing pada malam Jumaat di Kolam Jugra yang dipetik dalam artikel ini, fikir-fikirkanlah ok Thambi..."

Pemancing seperti ini memang kurang ajar dan tidak memikirkan orang lain. Kepada pembaca diluar sana jagalah etika ketika memancing. Andai kita datang lewat ke lokasi dan mendapati pondok telah penuh janganlah sesuka hati "Ousted" orang lain.

Hasil Hari Ini 3 Ekor Siakap Berjaya Didaratkan
Berbalik kepada sesi pancingan tadi lebih kurang jam 1.30 pagi, barulah ikan mula aktiviti memakan umpan. Kelihatan Siakap kolam berjaya didaratkan oleh pemancing-pemancing disekitar kolam. Meriah juga suasana ketika itu dan Ringgo dan Jojo berjaya menerima "Double Hook Up" ekoran kedua-dua joran mereka menerima tarikan serentak.

Ringgo Dan Hasilnya
Akhirnya sebanyak 4 ekor Siakap berjaya didaratkan oleh P2U Angler pada sesi kali ini bolehlah dibuat lauk untuk hujung minggu ini. Sekian sahaja cerita sesi pancingan pada kali ini untuk tatapan pembaca Pancing2u semoga bertemu disesi 'Komplot' akan datang di Kolam Sementa, Klang.

06 February 2014

Tips Pancing2u: Pacak Dan Gasak!!!...

Memang sakit kalau tengok orang sebelah sahaja yang pacak, orang sebelah sahaja yang gasak tetapi kita hanya membangau macam bangau Tasik Titiwangsa. Kalau ikan ada pun pelbagai masalah yang timbul serta ikan gagal didaratkan. Bagi mengatasi masalah ini ada beberapa tips yang ingin saya kongsikan serta mari kita buat sedikit persediaan sebelum membuat lontaran pertama.

Tali
  1. Buat pemeriksaan pada tali utama sama ada ia masih utuh atau sudah reput. Jika perlu ditukar, buang beberapa kaki tali di hadapan sebagai langkah keselamatan.
  2. Jika menggunakan Tali Sulam dan perlu disambung dengan "Shock Leader", pastikan ikatan sambungan itu kukuh dan kuat.
Mata Kail
  1. Jika menggunakan mata kail yang pernah digunakan, uji tahap ketajaman dahulu. Kalau sudah kurang tajam lebih elok sekiranya anda menukar kepada yang baru. Ini dapat mengelakkan mata kail terlucut dari mulut ikan. 
  2. Saiz dan jenis mata kail juga perlu diperhatikan. Sebaiknya gunakan saiz mata kail yang sepadan dan elakkan guna mata kail yang kurang berkualiti.
Set Pancing
  1. Set pancing yang digunakan juga perlu sepadan dengan ikan sasaran. Banyak kejadian ikan gagal didaratkan kerana joran atau kekili gagal menakluk ikan.
Umpan
  1. Umpan yang digunakan perlu dipastikan keberkesanannya terlebih dahulu yakni sama sebagaimana pemancing lain gunakan sebagai contoh: jika semua pemancing lain yang berjaya mendaratkan ikan menggunakan umpan Udang dan Isi ikan maka kita seharusnya menukar kepada umpan yang sama.
  2. Pastikan tahap kesegaran umpan atau proses bancuhan umpan sekiranya anda bukan menggunakan umpan tiruan. Tidak semua spesies mempunyai tabiat dan corak pemakanan yang sama.
Teknik
  1. Teknik "Strike" atau menyentap ikan juga penting dan boleh memberikan impak, begitu juga dengan cara melayan ikan harus betul agar ikan berjaya didaratkan.
  2. Jika umpan sudah bagus, pastikan anda mengaplikasikan teknik yang digunakan juga adalah sesuai. Sama ada teknik "Bottom", "Drifting" dan "Casting". Contoh: jika ada pemancing lain disitu lebih banyak yang mengaplikasikan teknik "Bottom" maka kita juga harus mengikuti mereka kerana mungkin teknik menjerat ikan disitu lebih cenderung kepada teknik tersebut.

03 February 2014

Jenggo Sungai Brian, Perak - (03.02.2014)

Lubuk Sungai Brian - Pecahan Sungai Kerian, Selama Perak
Musim perayaan Tahun Baru Cina kembali lagi dan pastinya ramai warga kota yang akan pulang ke kampung halaman untuk bertemu keluarga tercinta, sanak-saudara dan kawan-kawan sekampung yang setelah sekian lama tidak bertemu. Sehubungan dengan itu seorang wakil dari P2U Angler atau lebih dikenali sebagai 'Lebai' telah mengaturkan satu 'Kompot' bersama kawan sekampung untuk melakukan satu sesi pancingan di sekitar Sungai Brian, pecahan Sungai Kerian yang terletak di Jalan Selama, Perak.

Set Pancing Yang Akan Digunakan
"Steady"lah Lebai...Wakil Tunggal P2U Angler
Sesi pancingan kali ini adalah lebih kepada suasana santai sambil memancing bersama-sama teman lama dan mengimbau kembali memori sewaktu kecil dahulu sewaktu menjadi 'Hero Kampung' disitu. Komplot di sertai seramai 4 orang itu lebih mensasarkan ikan-ikan sungai seperti Baung, Keli, Sebarau, Tengas dan jika bernasib baik bertemu si raja sungai yakni Kelah.

Geng 'Komplot'
Motosikal Dipakir Di Tepi Lubuk
Seawal terbit sang mentari lagi kesemua ahli komplot telah bersiap sedia dengan joran dan umpan masing-masing. Umpan seperti Cacing, Tapa, Roti dan Cengkerik menjadi pilihan ekoran habitat di lubuk tersebut lebih gemar akan umpan semulajadi. Memakai baju yang berlengan panjang serta berseluar panjang memberikan kelebihan ketika memancing disini ekoran nyamuk dan agas yang banyak dikuatiri mengganggu sewaktu memancing kelak.

Sesi Perasmian Lubuk
Perjalanan untuk lubuk tersebut memakan masa hampir 1 jam dari jalan utama dengan penggunaan motorsikal sebagai alternatif. Menurut kata Lebai, terasa lebih "Feel" menaiki motorsikal bersama-sama rakan kerana dapat melihat suasana kampung yang dirindui dan menyedut udara yang sukar didapati di Kuala Lumpur.

Itu Dia Hasil 1st - Baung!
Tiba di lokasi, umpan terus dilabuhkan, hampir setiap set pancing dipasang umpan dan dibiarkan tanam didasar sungai. Tidak sampai 10 minit joran Lebai dan rakannya telah menerima getuan dari penghuni dasaran, tarikan yang dirasai tidaklah sekuat mana dan apabila mangsa berjaya didaratkan ternyata ianya adalah seekor ikan Baung bersaiz anak-anak. Tidak mengapa sekejap lagi pasti akan ada yang bersaiz gadang dan spesies lain yang lebih mencabar. Kita Tunggu!...

Baung Ke-2
Rupa-rupanya Sungai Brian ini menyimpan satu khazanah yang berharga yakni Jenggo @ Sepit Biru yang mendiami kawasan sungai tersebut. Ketika air sungai mula surut dan arus menjadi tenang, joran lebai telah menerima satu sentapan dan apabila diangkat ke atas rupanya seekor Jenggo. Wah!, apa lagi semua rakan komplot terus labuhkan joran ke kawasan tersebut. Ini kerana Jenggo akan hidup secara berkumpulan mencari makanan, pasti sudah terkena kawanan mereka.

Sodap Buat "Pekasam"
Seekor demi seekor Jenggo berjaya di daratkan dalam masa kurang dari 1 jam, hasil yang diterima sudah lumayan. Hari pun sudah hampir lewat petang dan masing-masing ingin pulang kerumah ekoran terdapat hal masing-masing malam nanti oleh itu sesi pancingan akan ditamatkan petang ini.

Jenggo @ Sepit Biru
Hasil Tangkapan Lebai
Sekian sahaja cerita bagi sesi pancingan kali ini, yang pasti hasil lumayan seperti ini memang seringkali didambakan oleh setiap pemancing apabila pulang ke kampung halaman dan memancing bersama rakan-rakan. Terima kasih juga diucapkan kepada pembaca Pancing2u yang sudi meluangkan masa untuk melayari blog kami ini, In Sha Allah kita akan bertemu lagi di sesi akan datang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...