19 November 2013

Tips Pancing2u: Teknik Memancing Secara Asasnya Di Semua Perairan


CASTING (Mengilat)

Casting adalah satu kaedah memancing dengan membuat lontaran umpan atau gewang ke sasaran kemudian mengarau kembali tanpa perlu menunggu umpan jatuh ke dasar atau diragut ikan. Umpan yang digunakan untuk mengilat adalah seperti ikan, udang dan jenis serangga/haiwan. Umpan tiruan adalah replika gewang dan sesudu (spoon). Ikan biasanya menerkam umpan atau gewang yang dilontar ketika proses mengarau. Teknik ini sesuai untuk aktiviti siang hari atau di kawasan terang. Jika mengilat sebelah malam, gunakan replika lut sinar.

POPPING

Teknik ini lebih mirip seperti casting. Bezanya ialah penggunaan replika umpan tiruan yang berbeza. Teknik ini menggunakan ‘popper’ yang pelbagai bentuk dan jenis. Popper akan menghasilkan bunyi ‘poop’ ketika proses mengarau selepas lontaran. Karauan untuk aktiviti popping lebih pantas berbanding casting supaya popper yang dikarau akan melanggar ombak/ permukaan air lalu mengeluarkan bunyi. Bunyi yang dihasilkan ini pula akan menarik perhatian ikan yang berkeliaran di kawasan berhampiran. Teknik ini boleh dilakukan siang atau malam. Teknik ini banyak meniru pergerakan ikan terbang di permukaan air.



JIGGING

Teknik ini mengilat secara mengujun (henjut) menggunakan umpan tiruan yang di panggil ‘jig’. Jig biasanya diperbuat daripada kepingan timah/objek berat kemudian dibentuk seperti ikan dan dicat dengan warna garang dan terang yang luminous atau lutsinar. Teknik ini memerlukan ketekunan dan stamina tinggi kerana pemancing perlu beraksi sepanjang masa bagi mengunjun jig supaya ia menjadi efektif. Jig akan dihulurkan ke dasar kemudian dikarau kembali dengan kepantasan yang tinggi sambil mengujun joran berselang seli ketika proses karauan laju. Teknik yang menjadi kegilaan masa kini boleh dilakukan sama ada siang dan malam.



BOTTOM FISHING (Pancing Dasar) 

Teknik ini berkait rapat dengan teknik memancing menggunakan umpan dengan kaedah tradisional. Umpan perlu dilabuhkan ke dasar dengan sasaran tertumpu kepada spesies ikan dasar. Boleh dipraktikkan di kolam, sungai, tasik dan laut mengikut keadaan semasa. Sesuai dilakukan siang dan malam.



DRIFTING (Menghanyut) 

Umpan terutama umpan hidup. Ia perlu dilepaskan ke sasaran tanpa menggunakan ladung. Pelampung dan belon sering digunakan. Ia sesuai di perairan yang berarus sederhana dan berangin. Boleh dilakukan siang dan malam.

18 November 2013

'Raja Sungai Benus' Tewas Oleh P2U Angler - (16.11.2013)

Aktiviti didalam dunia memancing sememangnya indah dan mencabar, untuk menjadi seorang pemancing yang mempunyai kelas tersendiri dan turut sama bersaing di dunia pemancingan ini seseorang pemancing itu harus menimba ilmu dan memperluaskan skop aktiviti pemancingan mereka sebagai contoh mencari lubuk-lubuk baru, memelihara ekosistem, melindungi sumber hidupan liar dan sebagainya.

Menduga sungai di kawasan pergunungan semestinya memerlukan persediaan dari segi mental, fizikal dan masa. Ini kerana sesebuah trip memancing adakalanya memerlukan pemancing itu bergerak dengan berjalan kaki menuju lubuk yang jauh kedalam kawasan pendalaman serta perancangan jadual perjalanan yang betul memainkan peranan penting bagi menentukan ketepatan masa dan dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

(TCE Tackles Sdn. Bhd.)
Sehari sebelum ekpedisi dijalankan ahli kompot telah mengunjungi kedai TCE Tackles Sdn. Bhd. di Seksyen 13, Shah Alam bagi membeli sedikit barang-barang keperluan memancing seperti Batu Ladung saiz besar, Mata kail pelbagai jenis dan lain-lain yang difikirkan perlu sewaktu sesi memancing bermula. Masing-masing membawa 2-3 batang joran seorang sebagai alternatif jika berlaku perkara yang tidak diundang contohnya Patah, Hilang, dan lain-lain.

(Trekking Di Laluan Balak)
(Meniti Titian Usang - Bahaya Ooo...)
(Meredah Hutan Belukar)
Ekpedisi mencari 'Raja Sungai' di kawasan sungai pergunungan kali ini telah dijalankan oleh wakil tunggal P2U Angler iaitu Shawn dan  2 Saudara beliau. Trip kali ini merupakan trip berkhemah sambil memancing di Sungai Benus, Janda Baik Pahang. Seawal jam 9 pagi Shawn, Yus dan Zul sudah memulakan perjalanan dari UIA dan memakan masa 30 minit untuk sampai ke tapak perkhemahan (Camp Point) Lubuk Luas, Janda Baik. Setelah berhenti seketika untuk berehat, mereka tetap mencuba untuk melabuhkan joran buat seketika mencuba nasib mana tahu jika tersangkut penghuni dikawasan itu namun tiada sebarang sambaran yang diterima lalu mereka meneruskan kembali perjalanan dan mengambil masa lebih kurang 30 minit lagi dan tiba di lokasi pada pukul 2 petang.

(Tiba di Sungai Benus, Lubuk Yang Akan diduga Penghuninya)
Misi asal mereka sebenarnya adalah untuk melakukan sesi pancingan di Kepala Gua, Janda Baik namun keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan banyak pokok tumbang serta laluan 'Trekking' tersebut telah terpadam maka hasrat untuk ke sana telah dibatalkan demi menjaga keselamatan diri. Kebetulan terdapat lubuk lain yang boleh diduga maka mereka mencuba untuk berkhemah di situ.

(Cari Tapak Perkhemahan)
(Khemah Sudah Pasang - Apa Lagi Pancinglah!)
(Masak Air Sungai  Sebab Bekalan Air Sudah Habis)
Apabila memancing di dalam hutan pendalaman begini, bekalan stok makanan dan minuman haruslah mencukupi bagi mengelakkan kelaparan dan hidrasi. Bekalan makanan segera seperti Roti, Nasi Goreng, Meggi dan Air Mineral amatlah membantu dikala kita penat memancing dan memerlukan tenaga. Menurut kata Shawn, mereka bertiga terpaksa minum air sungai yang telah dimasak ekoran kehabisan air putih dan memasak menggunakan batang buluh yang di potong sekitar kawasan sungai.

(Gambar Kenangan Di Sungai Benus, Janda Baik)
Setelah semua persiapan khemah dipasang kini saat yang ditunggu-tunggu tiba iaitu sesi memancing di Sungai Pendalaman. Masing-masing fokus menduga makhluk dasaran disitu. Teknik yang digunakan adalah "Bottom" dan "Drifting". Ini kerana arus sungai yang tidak telalu deras dan dalam oleh itu aplikasi dua teknik ini lebih mudah di lakukan. Umpan Cengkerik dan Cacing digunakan pada kali ini, disebabkan gewang-gewang dan set "Casting" tidak dibawa.

(Ikan Kelah)
(Ikan Tengas Hijau)
(Ikan Sebarau)
(Ikan Baung Liar)
(Antara Hasil Tangkapan Sungai Benus, Janda Baik)
Hujan lebat berlaku pada malam sesi perkhemahan menyebabkan sesi pancingan pada malam hari tergendala dan sukar dijalankan. Kami tetap berusaha memancing namun gagal mendapatkan sebarang sambaran. Kedudukan khemah kami yang tidak berapa stabil disebabkan berada di atas akar kayu menyebabkan kami bertiga tidak begitu selesa dan hanya tidur-tidur ayam sahaja sehingga keesokan paginya. Tepat jam 9 pagi kami bersiap-siap untuk mengemas barang-barang perkhemahan dan keluar dari Sungai Benus pada pukul 11 pagi. Sekian sahaja aktiviti kami pada kali ini. Sekian terima kasih diucapkan kepada pembaca Pancing2u dan jangan lupa untuk turun ke lubuk ini kerana ikan-ikannya masih terpelihara dan spesies tarikan seperti Kelah, Tengas dan Sebarau masih banyak.

(Goreng Pun Sedap!)

17 November 2013

Tips Pancing2u: 10 Petua Elak Pemancing Berputih Mata

Berikut adalah 10 perkara yang sentiasa dilupakan oleh pemancing yang akhirnya berkesudahan dengan berputih mata.

1) Setting Pada Drag

Pastikan drag anda disetkan pada kadar tali utama boleh keluar dengan licin (smooth) tanpa tersentak-sentak (jerking) selepas umpan dilabuhkan. Prosedur ini perlu bagi menjamin tali anda tidak putus jika dilarikan oleh ikan besar. Malahan jika silap haribulan joran dan peralatan anda juga boleh terbang kedalam laut.

2) Posisi Joran

Pacakkan joran anda pada tempat yg sesuai dan kuat bagi menahan joran anda dari terjatuh atau dilarikan jika umpan anda dimakan ikan besar. Jika joran anda terjatuh semasa ikan memakan umpan, perkara saperti tali terbelit pada joran, pada batu atau halangan yg lain akan menyebabkan tali mudah putus akibat asakan ikan. Jika anda menyandarkan joran anda pada dinding atau batang kayu semasa memancing pastikan tali anda tidak bergeser dengan dinding atau batang kayu tersebut, gunakan kain atau sesuatu yg lembut sebagai alas tali.

3) Kendurkan Tali

Sentiasa kendurkan tali sedikit ketika joran anda didalam keadaan menanti  umpan anda disambar ikan terutamanya jika menggunakan umpan hidup. Prosedur ini dapat mengurangkan kecurigaan ikan ketika melarikan umpan terutamanya ikan pemangsa saperti Siakap, Jenahak dan Senangin. Juga dapat menjadi 'Shock Absorber' kepada tekanan keatas tali utama jika sentakan yg kuat berlaku secara tiba-tiba dari ikan besar.

4) Cara Ikatan

Pastikan ikatan tali utama pada swivel anda kuat dan baik.  Ikatan ini amat kritikal bagi memastikan keseimbangan tali utama dan perambut anda didalam keadaan yang selamat ketika bertarung.  Begitu juga swivel anda boleh berpusing dgn baik dan ‘Snap Lock’ nya juga bertahan dengan baik.

5) Periksa Tali

Ketika memasang tali pada joran periksa setiap inci tali utama yg hendak disambungkan pada swivel. Jika ada tali yg terluka atau patah, potong dan buangkan.

6) Periksa Cincin Joran

Periksa setiap cincin joran terutamanya cincin dihujung joran yang amat kritikal penggunaannya. Buang dan gantikan jika terdapat calar ataupun sudah longgar.

7) Ancaman Binatang Luar

Jika memancing dikawasan yg dikenalpasti mempunyai binatang buas saperti Monyet, Kera dan Burung Gagak pastikan umpan, makanan , minuman dan beg persendirian anda di ikat dan ditutup dengan kemas kerana anda boleh berputih mata dengan karenah mereka. Pastikan air umpan hidup anda sentiasa diperbaharui.

8) Periksa Mata Kail

Pastikan mata kail anda sentiasa tajam, buang dan gantikan yg sudah tumpul atau berkarat. Jika mata kail anda dari jenis stainless steel ianya boleh diasah supaya tajam.

9) Ikut Haluan Arus

Jika memancing diatas bot, setelah sauh bot dijatuhkan, tunggu sehingga bot tetap mengikut haluan arus sebelum melabuhkan umpan. Cara yang terbaik untuk menurunkan umpan ialah dengan melemparnya jauh dari bot dahulu, kemudian baru ditarik ketepi bot. Ini dapat mencegah tali perambut dari berbelit-belit dengan tali utama.

10) Jika Tali Sangkut

Jika tali anda tersangkut, jangan gunakan kekuatan joran atau kekili anda untuk memutuskannya, ianya akan merosakkan peralatan anda. Sebaliknya gunakan kain, tuala atau baju anda yg dibelitkan pada tangan anda untuk menarik dan memutuskan tali.

11 November 2013

Tips Pancing2u: Cara Menyangkuk Umpan

Biasalah kalau hujung bulan memang tiada aktiviti memancing atau komplot yang dijalankan oleh J.C.T Angler maka pos-pos ilmiah seperti tips dan petua akan di muat turun bagi tatapan pembaca blog sebagai pancing2u semua jadi tidaklah pembaca merasa bosan jika melayari blog ini.

Baiklah pada pos kali ini admin akan memberikan sedikit tips bagaimana hendak menyangkuk dan memasang umpan seperti Ikan Belanak, Udang, Cengkerik dan Sotong bagi mereka yang masih baru dalam dunia memancing ini. Sebagaimana kita sedia maklum dalam perihal memancing ini boleh kita anggap sebagai "Continues Learning" dimana seringkali teknik dan cara memancing disetiap lokasi atau tempat adalah berbeza mengikut selera ikan-ikan disitu oleh itu rajin-rajinlah bertanya "Otai-otai" yang selalu memancing disana.

Admin mengaku yang kami juga tidaklah sehebat mana dan ilmu didada masih perlu ditambah, cuma diharap kita tidak jemu dan putus asa berkongsi maklumat dan minat terhadap dunia memancing ini. Gambarajah dibawah boleh ambil sebagai panduan pemancing diluar sana. Selamat Memancing!.

Umpan Cacing

Umpan paling tradisional atau umpan paling laris di setiap sesi pancingan. Kira kalau orang tanya pergi memancing mesti pesan jangan lupa korek cacing di tepi-tepi sungai atau lombong. Gambarajah di atas menunjukkan cara menyangkuk cacing pada mata kail secara berlonggok-longgok baru ikan dapat kesan. Sesuai untuk pancingan di air tawar.
Umpan Cengkerik

Umpan Cengkerik seringkali dikaitkan dengan pancingan di kawasan lubuk, kolam liar dan Parit. Umpan yang sangat efisyen kerana ikan gemarkan rasa ranggupnya. Cuma kadang kala ada orang yang masih geli untuk memegang binatang ini. Cara menyangkuknya dari hujung kepala terus menembusi badannya.

(Kepala)
(Ekor)
Umpan Ikan Belanak

Bagi pemancing yang selalu turun ke kolam Air Masin untuk menjerat ikan Siakap, Jenahak, Kerapu, Kaci, Dan dll, pilihan umpan Ikan Belanak memang merupakan alternatif yang sangat baik memandangkan ianya bersaiz kecil dan mudah menarik perhatian pemangsa-pemangsa di dalam kolam tersebut. Gambarajah diatas menunjukkan cara menyangkuk mata kail pada tubuh ikan tersebut. Terdapat 2 cara untuk memasang mata kail satu di bahagian kepalanya dan ekornya dan dengan ini ikan tersebut masih boleh bergerak dan tidak mudah mati.

(Kepala)
(Ekor)
Umpan Udang

Umpan ini boleh diketegorikan "Umpan Sepanjang Zaman" atau "Favourite" digunakan oleh setiap pemancing untuk menjerat ikan-ikan di kolam air masin. Setiap kolam memancing memang menyediakan udang sebagai umpan bagi kolam pancing mereka dengan bayaran Rm0.50 - Rm1.00 bagi setiap ekor. Rata-rata kolam yang Admin pergi semuanya menggunakan umpan Udang sebagai sumber menjerat makhluk dasaran. Oleh itu keberkesanan penggunaan Udang memang tidak boleh dinafikan.

Gambarajah diatas menunjukkan teknik menyangkuk Udang pada mata kail anda dengan betul, satu kaedah adalah menyangkuk di bahagian ekor Udang manakala satu lagi kaedah adalah di bahagian atas kulit kepala Udang, tujuannya adalah untuk mengelakkan Udang tersebut cepat mati dan tahan lebih lama walaupun dilempar berkali-kali. Sesetengah pemancing lebih gemar menggunakan Udang kopek untuk mengilat ikan yakni Udang yang telah dikopek kulitnya dan diluruskan menggunakan surat khabar sebelum di sejuk bekukan semalaman di dalam peti ais.


Umpan Sotong

Bagi mereka yang selalu turun ke Muara, Tebing, Laut dan lain-lain tempat, penggunaan umpan Sotong menjadi pilihan pemancing memandangkan ikan-ikan di laut dalam lebih gemar memakan umpan tersebut. Gambarajah diatas menunjukkan teknik menyangkuk mata kail pada sotong. Ada banyak teknik dan kaedah yang diaplikasikan dalam menyangkuk Sotong namun ini hanya gambarajah yang meliputi keseluruhan tubuh Sotong yakni dengan menyangkuk pada hujung ekor terus menembusi badannya.

07 November 2013

Tips Pancing2u: Jenis Perambut Kolam Air Masin / Air Tawar

Pada kali ini, P2U Angler ingin berkongsi tips bagi pemancing-pemancing yang baru mula berjinak-jinak dalam dunia pancing di kolam samada Air Tawar atau Air Masin. Berikut disertakan gambarajah perambut yang seringkali digunakan di kolam-kolam pancing untuk menjerat ikan-ikan disana. Berpandukan gambarajah di bawah ini diharap sedikit sebanyak kami dapat membantu mereka yang masih baru dalam dunia memancing ini agar berjaya menjerat ikan.

 Selamat mencuba!!!...
(Perambut Casting Kolam Air Masin)
(Perambut Berpelampung Untuk Umpan Belanak)
(Perambut Berpelampung Untuk Umpan Udang)

Kumpau Di Kolam Seri Tanjung, Port Klang - (05.11.2013)

Itulah orang dah pesan kalau hendak turun menduga makhluk dasaran di kolam pastikan bukan pada hari cuti dan selepas hari cuti ini kerana peratusan untuk "Kumpau" adalah sangat tinggi ekoran ikan-ikan di kolam yang akan dipancing telah disambar terlebih dahulu oleh Otai-otai kolam. Tapi awak degil!!!.

(Beratur Pemancing)
Hati terasa berat untuk ke turun menjerat ikan pada sesi kali ini ekoran ingin berehat dirumah bersama keluarga tetapi bak kata pepatah "Dimana Ada Kemahuan, Disitu Ada Jalan" semangat P2U Angler tetap diteruskan untuk memancing. Oleh sebab itu hanya Saya (Admin) dan Torres yang turun pada sesi kali ini untuk menjerat spesies di Kolam Seri Tanjung, Port Klang.

(Torres Masih Semangat Walaupun Dah Nampak Tanda Kekumpauan)
Kali ini kami berdua sepakat untuk mangambil pakej memancing dari pukul 12mlm - 7pagi dengan bayaran sebanyak RM77.00. Berumpankan ikan Belanak dan Udang hidup maka sesi pancingan pun bermula. Masyallah, ramainya pemancing-pemancing yang datang ke kolam tersebut sehingga hendak mencari port yang baik pun susah semuanya telah dipenuhi orang maka terpaksalah kami dengan selambanya menyelit diantara pemancing-pemancing yang telah tiba awal tadi. Ada yang buat muka cenggih dan tarik muka, takutlah ikan tidak sangkut pada mata kail mereka tapi rileklah brader "Rezeki telah tertulis maa"...

(Saya Pun Kumpau Daa...)
Setelah hampir 2 jam memancing masih tiada sebarang sambaran yang diterima kami mahupun orang di sekeliling kolam ini macam petanda yang kurang baik sahaja. Pukul 3pagi, hujan mula turun renyai-renyai dan masing-masing dikolam mengeluh "Aduhai, ini kompom ikan tak naik!". Kami berdua masih teruskan sesi memancing macam biasa, Torres sudah mula tidak senang duduk dan berkeliaran di sekitar kawasan kolam membuat lontaran demi lontaran namun tetap tiada sambaran. Saya hanya duduk dan tanam umpan di spot yang dikatakan menjadi sarang ikan Kerapu juga tiada sambaran.

Sepanjang pemerhatian kami berada di kolam tersebut, rata-rata pemancing yang dapat menarik ikan hanya sebanyak 5 orang sahaja dan tiada tangkapan yang "Frenzy" dan ini menyimpulkan satu andaian yang mengatakan adakah taukeh kolam kurang melepaskan ikan atau mungkin ikan telah dilepaskan awal pada Jumaat dan telah habis dirembat oleh mereka yang datang pada hari Sabtu dan Ahad lepas. Akhirnya masa pancingan selama 7 jam berakhir dengan tiada sebarang tangkapan dari kami. Nampaknya sesi kali ini berakhir dengan "Kekumpauan" buat P2U Angler. Terima kasih diucapkan kepada para pembaca Pancing2u yang sudi mengikuti perkembangan kami, usah kuatir mungkin tiada rezeki kami pada kali ini dan insyallah kami akan turun untuk menjerat lagi di aktiviti akan datang.

05 November 2013

Berakhirnya Kemelut "Kekumpauan" - (01.11.2013)

P2U Angler telah menganjurkan satu komplot pada Jumaat lepas ke Kolam Seri Tanjung, Port Klang tanpa pengetahuan dari Admin. Memandangkan Torres, Ringgo dan Jojo telah bercuti separuh hari pada hari tersebut maka hanya 3 orang sahaja yang turun memancing.

Mereka telah ke kolam tersebut dan mengambil pakej 3 jam dengan bayaran Rm50 untuk satu joran. Maklumat yang diperoleh Admin adalah semua menggunakan teknik pancingan berpelampung untuk menjerat spesies disana.

Torres telah menerima 3 sentapan dari ikan disana namun gagal mendaratkan ikan. Ringgo pula tidak menerima sebarang sentapan dari makhlik dasaran disana, manakala Jojo telah berjaya mendaratkan seekor Jenahak saiz Juvenil, dengan tertewasnya Jenahak tersebut maka berakhirnya "Kekumpauan" yang melanda diri Jojo setelah sekian lama.

Jenahak tersebut telah dimasak stim sejurus pulang dari sesi pancingan. Sekian sahaja laporan dari Pancing2u dan diharapkan para pembaca terhibur teruskan memberi sokongan terhadap industri pemancingan.

04 November 2013

Tips Pancing2u: Kenali 20 Spesies Ikan Bersengat

Terdapat beberapa sistem pertahanan diri bagi ikan. Antaranya ialah duri atau sengat yang berbisa. Kaki pancing seharusnya lebih berhati-hati dan bersedia apabila mengendalikan spesies yang mampu menyengat. Buruk padahnya jika memandang enteng bahaya sengatan ikan kerana bisa daripada sengatan ikan kadangkala mampu membawa kecelakaan jika tidak dirawat segera.

Bagi seorang kaki pancing, sepanjang karier memancing pasti pernah berdepan dengan keadaan dimana kecederaan berlaku akibat disengat sang ikan. Terdapat beberapa spesies yang mempunyai duri atau sengat yang kadangkala mampu mencederakan pemancing, sentiasa awas dan pastikan bekalan ubatan sepatutnya sering dibawa.

Antara 20 Spesies Ikan Bersengat dan Berduri (Tawar/Masin):

1. SEMBILANG
2. SEMBILANG KARANG
3. KELI
4. BAUNG
5. PATIN
6. PARI
7. DEPU SINGA (LION FISH)
8. DENGKIS
9. HARUAN TASIK
10. DURI
11. BELUKANG / PEDUKANG
12. KITANG
13. PUYU
14. KETUKA
15. MAYONG
16. IKAN DEBAM / DEBAM JALUR
17. TALANG
18. LOLONG BARA / SEBEKAH KARANG
19. PARI KARANG
20. IKAN KARANG

01 November 2013

Tips Pancing2u: Elak Pacat

(Sang Pacat Sedang Stim Menghisap Darah)
Tidak dinafikan, pacat antara 'makhluk' paling tidak digemari apabila melakukan aktiviti Jungle Trekking dan memancing dikawasan pendalaman seperti paya, sungai, lombong, dll. Keupayaan menyelinap untuk menghisap darah ke segenap tubuh badan terutama bahagian kaki amat tidak disenangi.

Penggunaan stokin 'kalis pacat' kadangkala kurang berkesan. Manakala penggunaan racun serangga yang popular seperti Baygon pula amat tidak digalakkan, terutama pada mereka yang ada alahan kulit kerana terdapat bahan' perawis aktif' yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada si  pengguna.

Umum mengetahui tembakau adalah salah satu sumber semulajadi yang boleh menghindari pacat, tetapi bagaimana cara untuk mengaplikasikannya yang ingin saya kongsikan. Caranya, sejumlah kecil tembakau perlu direndam dalam air (sebaiknya air panas) untuk mendapatkan airnya (pati tembakau). Tuangkan air tembakau ini ke dalam bekas semburan kecil yang boleh didapati daripada kedai farmasi supaya mudah untuk dibawa.

Perlu diingatkan semasa proses menuang ini, anda perlu menapis air tembakau tersebut kerana terdapat partikel-partikel halus yang larut di dalamnya boleh menyebabkan saluran alat semburan anda tersumbat yang akan mengganggu proses semburan nanti. Seterusnya anda hanya perlu semburkan air tembakau ini pada stokin atau mana-mana bahagian yang dirasakan perlu sebelum melakukan aktiviti anda.

Petua saya untuk lebih mujarab lakukan semburan ini di rumah iaitu beberapa hari sebelum trip berlangsung. Semburkan pada stokin anda beberapa kali di mana setiap semburan perlu diselang-seli selepas semburan yang pertama kering, sebelum semburan kedua. Semakin banyak lapisan semburan, semakin tinggi potensi untuk menghindari pacat.

Selamat Mencuba!

(Bekas Semburan Kecil - Boleh Didapati Di Farmasi)
(Daun Tembakau Kering)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...