16 June 2015

Mencari "Jongkong" Di Pusat Memancing Udang KT, Gelang Patah - (08/05/2015)

Selamat Datang Ke Pusat Memancing Udang KT, Gelang Patah
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Pancing2u. Kesibukkan bekerja agak membataskan waktu untuk menghayati aktiviti yang telah dilakukan sejak zaman kanak-kanak lagi. Beberapa jemputan untuk turun ke laut dalam juga terpaksa ditolak kerana kerana bekerja di hujung minggu. Jadi apabila ada sedikit masa terluang, kolam memancing sudah pasti menjadi tempat untuk beriadah dan melepak. Mudah dan selesa walaupun tanggapan umum menyatakan buruan kolam tidak kira ikan ataupun udang tidaklah seganas buruan liar.

Yuran Memancing Dan Harga Taukeh Kolam Beli Balik Udang
Kali ini saya ingin berkongsi tempat memancing yang terkenal di kalangan pemancing Sepit Biru di Johor Bahru. Ianya terletak berhampiran terminal pengangkutan Gelang Patah Central. Kolam ini banyak melepaskan udang bersaiz ‘kasar’ dan Jongkong (udang galah sepit biru). Lawatan kali ini dilakukan bersama ‘Partner’ memancing saya iaitu Najib. Setelah selesai Solat Jumaat di masjid berdekatan, kami terus menuju ke kolam. Tanpa membuang masa, joran mula dipasang dan kedalaman air kolam disukat untuk menentukan panjang perambut. Kebiasaannya kolam udang mempunyai kedalaman yang sedikit berbeza di setiap bahagian kolam. Setelah joran telah sedia, umpan diletakkan di hujung kail dan sesi mencari Sang Sepit Biru pun bermula. Umpan yang paling kerap digunakan di sini ialah Cengkerik, Ruat/Perumpun dan Jantung Ayam. Ada juga pemancing yang menggunakan anak ikan kecil yang memberikan hasil agak lumayan.

Stok Udang Baru Sampai
Koleksi Jongkong Yang Diburu
Saya Sedang Mengukur Kedalaman Perambut
Apa yang menarik memancing udang adalah pelampung akan kerap tenggelam menandakan umpan sedang disepit atau dijamah oleh Sang Sepit Biru. Dengan kesabaran, masa membuat sentapan dan teknik yang digunakan yang menentukan udang berjaya dinaikkan atau tidak. Trip memancing empat jam bersama Najib kali ini berjaya menaikkan sekitar 500 gram udang sahaja. Dengan dua orang memancing, ianya satu rekod yang kurang baik menurut saya.

Najib Mencari Sepit Biru Di "Lubuk"
Hasil Kali Ini
Beberapa trip solo saya sebelum berjaya menaikkan Si Jongkong. Rekod terbaik saya ialah mendapat lebih kurang satu kilogram udang dengan enam cabutan bertuah dalam satu sesi lima jam memancing (empat jam berbayar + satu jam percuma). Dibawah adalah sebahagian daripada gambar hasil tangkapan yang sempat dirakamkan.

Jongkong Yang Berjaya Di Perolehi
Antara Hasil Tangkapan Lain
Hasil Yang Lumayan Tetapi Tiada Si Jongkong
Saya menyediakan sebuah kolam kecil di rumah untuk meletakkan udang hidup yang dibawa balik. Udang akan disauk apabila hendak dimasak untuk mengekalkan kesegaran. Udang yang dipancing biasanya dapat bertahan sehingga tiga minggu bergantung kepada tahap kecederaan akibat terkena matakail.

Udang Kekal Segar Di Kolam Mini
Koleksi Jongkong Saya
Pada pandangan saya, kelebihan kolam ini seperti yang telah dinyatakan banyak udang bersaiz besar dilepaskan. Terdapat juga ‘jackpot suka-suka’ yang disediakan oleh pihak pengurusan. Pemancing boleh membuat cabutan sekiranya berjaya menaikkan udang yang mempunyai potongan straw di ekor. Sepanjang saya memancing di sini, hadiah cabutan yang paling kerap diperolehi adalah air mineral, air tin dan wang tunai RM2.00. Pernah juga saya mendapat wang tunai RM5.00 dan hadiah termahal untuk saya iaitu masa memancing percuma selama satu jam. Hadiah utama cabutan bertuah ialah wang tunai RM555.00 yang tidak pernah lagi saya lihat pemancing dapat sepanjang berkunjung ke sini. Walau bagaimanapun, perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kolam ialah terdapat anjing-anjing belaan yang tidak terurus berkeliaran. Ini menjadikan kolam ini kurang sesuai untuk dijadikan tempat beriadah bersama keluarga.

Jongkong Bertuah - Mempunyai "Tag" Dibahagian Ekornya...
Dengan kedatangan bulan Ramadhan tidak lama lagi, memancing secara santai yang cuma memerlukan set joran ringkas ini boleh dicuba oleh pembaca semua. Pemancing pasti mahu datang lagi setelah merasai getaran ‘karen’ Si Sepit Biru ketika pertarungan. Setakat ini dahulu perkongsian pengalaman dari Selatan tanah air. Nantikan laporan seterusnya dan diharap semua pembaca terus setia bersama Pancing2u.

03 June 2015

Sirkit Pancing Putrajaya 2/2015 - (31.05.2015)

Sirkit Pancing Putrajaya merupakan acara kejohanan pertandingan memancing yang diadakan 4 kali dalam setahun. Acara ini merupakan acara wajib yang mesti disertai oleh P2U Angler dan telah dimasukkan dalam kalendar pancing kami. Pada sirkit kali ini ianya diadakan bersemperna sambutan Hari Belia pada tarikh 31 Mei 2015.

Admin Tiba Di Sirkit Pancing Putrajaya 2/2015
Pada siri kali ini, wakil P2U Angler yang turun memancing adalah seramai 4 orang iaitu Admin, Torres, Hairul dan Jojo. Seperti biasa kami akan berkumpul di khemah pendaftaran bagi sesi mendaftar dan mengambil T-Shirt kejohanan. Admin tiba awal di lokasi seawal jam 7.30am kemudian disusuli oleh Torres dan Jojo manakala Hairul pula sedikit lewat.

P2U Angler: Hairul Dan Torres Akhirnya Tiba...
Sirkit kali ini telah di adakan di Tasik Persint 4 bertentangan dengan bangunan PICC, Putrajaya dan dibawah Jambatan Emas sepanjang sisir tasik tersebut. Oleh yang demikian sekiranya anda berada di bawah jambatan jarak dari arah kiri dan kanan boleh sampai sehingga 3 kilometer. Bagi memudahkan peserta untuk bergerak ke mana-mana adalah disarankan untuk membawa motorsikal kerana jarak untuk ke khemah urusetia, khemah menjual makanan, tandas dan lain-lain dikuatiri jauh dari port pilihan pemancing.

Khemah Pendaftaran...
Urusetia Pihak Penganjur...
Kaunter Sebelah Untuk Mengambil T-Shirt Dan Cabutan No. Bertuah...
Seperti biasa jumlah peserta yang menyertai sirkit ini sememangnya ramai sehingga mencecah ribuan orang oleh yang demikian setiap ceruk pasti dihurung oleh pemancing yang telah tiba lebih awal dari kami. Pemilihan port sangatlah subjektif ekoran tekanan yang diberikan oleh pemancing lain. Akhirnya kami berjaya mencari tempat yang boleh dikira agak baik kerana dilindungi oleh pokok dari terik matahari dan kawasan yang sedikit rata. Kami pun mula membentangkan tikar untuk berehat bersarapan dan "Set Up" peralatan yang dibawa.
Port Menghadap PICC, Putrajaya...
Umpan yang kami gunakan kali ini agak "Universal" iaitu Cengkerik dan Cacing tanah yang dibawa oleh Admin dan Hairul. Kami tidak berharapan tinggi untuk memperoleh tangkapan yang mewah dan lebih cenderung untuk bersantai dan menikmati suasana sirkit.

Ribuan Peserta Kejohanan...
Kali Ini Kami Ditemani Ramai Kawan-Kawan...
Menunggu Dengan Kesabaran...
Set peralatan yang digunakan pula merupakan set Medium Weight yang boleh dikatakan mampu menerima impak sekiranya ikan yang terjerat bersaiz 10KG. Apa yang kami perhatikan adalah pertambahan jumlah Marshal yang berkawal sekitar bahagian belakang. Bagus juga terdapat banyak Marshal berkawal, ini dapat membantu urusan kawalan pemancing dan kaedah penghantaran ikan yang berjaya dibawa naik ke khemah juri lebih pantas.

Terdapat Booth Menjual Peralatan Memancing...
Orang Ramai Sedang Melihat Peralatan Memancing...
Dari pagi hingga tengah hari kami masih tidak berjaya mendaratkan sebarang hasil tangkapan, mungkin masih belum tertulis rezeki kami disini. Pemancing di bahagian lain banyak sambaran diterima sepeti Ikan Belida bersaiz 3 KG, Toman anggaran saiz 1 KG dan Ikan Baung bersauz 2 KG. Kami hanya mampu melihat hasil-hasil mereka ketika Marshal membawa ikan tersebut ke khemah juri untuk di timbang.

Hadiah-Hadiah Menunggu Pemenang...
Akhirnya masa pertandingan telah tamat dan kami gagal untuk membawa naik sebarang tangkapan, kini tiba masa yang ditunggu oleh kami iaitu sesi cabutan bertuah yang mana jika berjaya boleh membawa pulang model Kriss MR1 dan TV 50inci. Kami pun mengemas kembali peralatan dan sampah sarap harus dikumpulkan untuk dibuang kedalam tong sampah yang disediakan disekitar kawasan memancing. Sebelum bergerak ke khemah utama bagi pengumuman juara sirkit, peserta boleh ke kaunter pengambilan hadiah di bahagian belakang pentas utama untuk menyemak nombor angka giliran yang terdapat di resit untuk meraih hadiah secara percuma.

Temoleh Kejuaraan...
Saiz Temoleh Yang Sihat-Sihat - 4KG / 6KG / 8KG
Pada sirikit kali ini sebanyak 4 ekor ikan Temoleh berjaya didaratkan yang mana beranggaran 4KG hingga 8 KG. Juara sirkit pula merupakan orang Putrajaya sendiri yang sememangnya otai. Akhir kata dari kami P2U Angler, syabas buat Perbadanan Putrajaya kerana telah berjaya menganjrkan satu aktiviti sukan memancing khas buat pemancing-pemancing yang dahagakan pengalaman dan cabaran. Umat islam di Malaysia bakal menyambut kedatangan bulan Ramadhan oleh yang demikian sebarang aktiviti memancing P2U Angler akan ditunda sehingga lepas Hari Raya Aidilfitri. Sekian sahaja Assalamualaikum.

02 June 2015

Pameran Memancing Dan Aktiviti Luar 2015 - (29.05.2015)

Setia City Convention Centre
Pintu Gerbang Masuk
Acara yang ditunggu-tunggu oleh pemancing dari segenap lapisan masyarakat iaitu "Pameran Memancing Dan Aktiviti Luar 2015" yang telah dianjurkan pada 29 - 31 Mei 2015 bertempat di Setia City Convention Centre, Setia Alam, Selangor. Pemilihan lokasi kali ini sememangnya tepat ekoran pertambahan bilangan pembekal peralatan memancing serta kepelbagaian aktiviti yang dihidangkan buat pemancing yang mana memerlukan ruang serta tempat yang lebih besar dan selesa.

Tahun Ini Ada 2 Tingkat...
Antara Pihak Penganjur Pameran
Admin dan P2U Angler sendiri telah turun ber"kampung" disana selama 3 hari bagi menyertai permainan serta melihat sendiri perubahan suasana dan stok-stok peralatan pancing terbaru bagi tahun 2015. Karnival yang dianjurkan kali ini seperti biasa merupakan anjuran Life Magazine (Pancing, Rod & Line dan Rod & Line bahasa Cina). Antara penyumbang-penyumbang peralatan memancing terdiri dari syarikat-syarikat gergasi tanah air seperti TCE Tackles Sdn. Bhd., Sangling Tackle Sdn. Bhd. Jeep (M) Sdn. Bhd. dan banyak lagi.

Pembekal Membawa Masuk "Gadis-Gadis Cantik" Khas Dari Thailand
Kepelbagaian Booth Menjual Barangan Pancing
Pemilihan tempat kali ini dikata lebih strategik dan memudahkan akses pengunjung dari pelbagai kawasan kerana Setia Alam merupakan antara "Hub" perhubungan jalan terbaik selepas Shah Alam yang kian sesak kini. Kemudahan parkir kenderaan seperti Motorsikal dan Kereta juga memudahkan pengunjung untuk meletakkan kenderaan mereka. Pengunjung juga boleh bersantai di Setia Alam Mall selepas mengunjungi pameran tersebut malah ada diantara mereka yang datang bersama keluarga membiarkan orang rumah dan anak-anak turun membeli-belah di Setia Alam Mall manakala suami pula membeli-belah di pameran tersebut.

Banyak Koleksi Gewang-Gewang Terbaru
Ribuan Pengunjung Membanjiri Pameran
Pada kali ini pihak penganjur pameran juga menjemput banyak pemancing professional dari luar negara antaranya Seina Hikida (Caster Wanita Megabass) untuk sesi berkongsi pengalaman serta tandatangan bersama peminat. Bagi peminat-peminat pemancing professional tersebut pasti tidak akan melepaskan peluang unuk bertemu icon pemancing dambaan mereka.

Pengunjung Mencuba Permainan "Cast & Win"
Jangan Lupa Untuk Mencuba Permainan "Simfish"
Mari Mencuba Permainan "Spin & Win"
Terdapat berpuluh-puluh booth-booth barangan seperti peralatan memancing, aksesori memancing, aluminium bot, enjin bot, barangan kecantikan dan perlindungan badan, serta booth kempen melindungi sungai dan ikan-ikan tempat. Persatuan Pemancing Malaysia (PEMM) dan Kelah Association Of Malaysia (KAGUM) juga ada membuka booth bagi menyampaikan inisiatif penerangan bagi melindungi alam sekitar.

Boleh Daftar Menjadi Ahli...
Tempat "Otai-Otai" Santai...
Admin sendiri selama 3 hari berada disana telah mencuba sendiri banyak permainan seperti "Cast & Win" , "Spin & Win", serta menguji permainan "Simfish" keluaran Scatri, France yang dibawa masuk oleh TCE Tackle Sdn. Bhd. Banyak juga hadiah-hadiah serta "Goodie Beg" yang diterima dari pihak penganjur, alhamdulilah bolehlah menambah koleksi Gewang dan Spinner bait Admin. Satu yang Admin rasakan terbaik adalah penjualan majalah keluaran Pancing edisi lama dan koleksi VCD pancing yang dijual murah-murah sahaja. Bagi mereka yang telah terlepas untuk mengumpul majalah serta VCD keluaran Pancing tersebut boleh mendapatkannya disana.

Booth Menjual Majalah Edisi Lama Dan VCD Pancing...
Akhir kata, terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menganjurkan pameran yang sangat bermanfaat kepada pemancing serta melakukan pemanbahbaikkan terhadap pameran tersebut. Tahniah diatas anjuran tersebut. Kami pemancing sememangnya mendambakan pameran-pameran seperti ini setiap tahun. Kepada para pembaca Pancing2u pula jangan lupa untuk mengikuti aktiviti P2U Angler seterusnya ke misi menawan Putrajaya.

-Assalamualaikum
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...