30 September 2013

Udoh Gaji Le Yeop, Moh Sealion!!! - (26.09.2013)

Trip memancing ke Kolam No. 2, Sealion ini sememangnya dinantikan oleh P2U Angler dan menghitung hari untuk trip ke kolam tersebut. Tiba saat dimana gaji September, Nah!, pulang dari kerja kami "Shoot" ke lokasi. Perjalanan bermula dengan komplot sepakat untuk berkumpul di Seksyen 7, Shah Alam rumah Torres pada pukul 8.30pm dan bertolak ke kolam dengan menaiki Vios beliau.

(Suasana Kolam No. 2)
Pada sesi kali ini hanya Saya (Admin) dan Torres yang turun ke lokasi memandangkan  ahli lain semua mempunyai hal masing-masing. Waktu yang dirancang amatlah terbaik sekali memandangkan waktu tersebut kolam masih belum dipenuhi oleh "Otai-Otai Kolam" oleh itu kami berjaya mendapatkan spot baik pada malam itu iaitu dihadapan kaunter Kolam No. 2 tersebut.

(Uniform Ofmer Baru)
Setelah saya membeli umpan Udang sebanyak 5 ekor, kami  mula mempersiap joran untuk bertarung. Saya mempertaruhkan Joran Ofmer Infinity 5.6' yang baru dibeli dan menggunakan kekili Daiwa Crest 1500 dipadankan dengan tali sulam 20lb. Torres pula mempertaruhkan joran 5' yang baru dibelinya juga iaitu dari keluaran Ryobi Reventon dan menggunakan kekili Abu Garcia Omega 4000 dan tali tangsi berkekuatan 40lb. Setelah senjata disiapkan kami mula mengilat.

(Torres Sedang BerBBM)
Torres telah mendapat getuan pertama pada malam itu namun berlaku kesilapan dimana drag tidak dilonggarkan membuatkan ikan yang sedang mengemam umpannya mengeluarkan kembali oleh itu kumpau. Kami masih meneruskan sesi mengilat tanpa henti, kami sering merubah kedudukan ekoran pemancing yang kian ramai berkunjung ke kolam. Masa kian berlalu, sedar tidak sedar sudah 3 jam kami memancing namun masih belum ada tanda ikan mengena joran. Jiran sebelah sudah 3-4 ekor yang naik, dan kata mereka taukeh kolam banyak melepaskan species Kerapu yang bersaiz bagak-bagak. Ini terbukti apabila sepanjang kami memancing sebanyak 2 ekor Kerapu jenis Harimau berjaya dinaikkan. Aduhai bilalah kami boleh merasa ikan sebegitu.

(Torres Dengan Hasil Tangkapan Jenahak 1.5 KG)
Masa ditambah sebanyak 1 jam menjadikan sesi pancingan kami pada malam itu mencecah 4 jam, tiba-tiba Torres menerima satu getuan dari makhluk dasaran namun berdasarkan pada tarikan dan lenturan joran beliau menampakkan yang saiz ikan tersebut tidak sebesarmana. Setelah melayan tarikan ikan tersebut terpancar kilauan sisik keemasan yang menunjukkan ianya seekor Jenahak saiz Juvenil dan beliau berjaya mendaratkannya.

Alamak saya masih kumpau lagi ini, masih belum mendaratkan ikan, saya ada menerima getuan ikan tapi rabut. Sesi pancingan berakhir pada pukul 1.30am dam setelah masa yang diperuntukkan tamat maka trip berkesudahan dengan kami berjaya pulang membawa trofi Janahak seberat 1.5kg. Sekian sahaja perkembangan dari kami P2U Angler untuk tatapan pembaca Pancing2u. Terima kasih diucapkan.

24 September 2013

P2U Angler Terjah Sea Tackles - (24.09.2013)

(Dari Kiri - Ringgo, Shawn, Jojo, Torres dan Azim)
Sememangnya berkunjung ke kedai pancing untuk sesi membeli belah barangan pancing menjadi aktiviti wajib semua pemancing ketika tidak turun memancing. P2U Angler juga tidak ketinggalan untuk ke kedai pancing berdekatan lokasi kami iaitu Sea Tackles Sdn. Bhd. pada waktu "Lunch". Tujuan kami kesana yang pertama adalah kerana Saya (Admin) dan Torres ingin membeli sebatang joran dan yang kedua untuk memberi pendedahan kepada ahli baru kami iaitu Azim tentang suasana dikedai pancing.

(Azim Dan Ringgo Sedang Melihat Joran Ryobi)
Saya telah membeli sebatang joran keluaran Ofmer Infinity 5.6' kaki (Medium Heavy) sesuai untuk aktiviti pancingan di kolam kendian hari. Sebenarnya ianya untuk dipadankan dengan Kekili Ofmer Aegis 1000 yang saya bakal terima dari Majalah SIRIP ekoran menang peraduan menghantar gambar memancing (*Rujuk Post sebelum ini). Manakala Torres pula membeli sebatang joran keluaran Ryobi Reventon 5 kaki yang merupakan gantian kepada joran utama dan dipadankan bersama kekili Abu Garcia beliau.

(Jojo Dan Shawn)
Jojo pula hanya membeli "Patches" Ofmer dan saya juga turut membelinya juga untuk ditampal pada baju kemeja khas semasa memancing. Lebih kurang 45 minit kami berada dikedai tersebut kami pun pulang kembali ke pejabat untuk menyambung tugas. Sekian terima kasih diucapkan kepada pembaca Pancing2u kerana sudi meluangkan masa untuk mengikuti perkembangan P2U Angler.

(Antara Barangan Pancing Yang Dibeli)

17 September 2013

P2U Angler Masuk Majalah SIRIP Keluaran Ogos 2013

Assalamualaikum wbt, sebelum memulakan artikel ini saya (Admin) wakil kumpulan memancing Pancing2u (P2U) Angler ingin mengucapkan syukur alhamdulilah kepada Allah swt dan jutaan terima kasih kepada pembaca blog Pancing2u yang sudi mengikuti perkembangan kami sepanjang 6 bulan tertubuhnya "Komplot" kecil ini.

Tidak lupa juga ucapan jutaan terima kasih kepada ahli-ahli kami yang terdiri dari Saya, Ringgo, Jojo, Torres, Shawn, Azhar Calong dan Hairul "Raja Rimba" diatas semangat dan minat yang ditonjolkan sepanjang aktiviti memancing berkumpulan kami. Tanpa ahli-ahli yang komited maka P2U Angler tidak akan berada diarena ini. Apa yang diharapkan agar usaha murni untuk terus menjiwai aktiviti memancing ini berkekalan.

Sedikit penerangan mengenai cerita kali ini adalah berkenaan sebuah majalah yang dikenali ramai dan telah wujud dipasaran sejak tahun 2001, dan telah menjangkau edisi ke 144 iaitu majalah SIRIP. Tuah telah menyebelahi kami pada keluaran bulan Ogos edisi ke 143 dimana P2U Angler telah berjaya menjuarai  ketegori "Gelanggang Air Tawar" di tempat yang pertama.

Gambar yang kami hantar adalah seekor ikan Baung Ekor Merah ataupun Red Tail Amazon Catfish yang merupakan spesies yang boleh kitakan agak "Rare" di negara ini, dari segi kesukaran untuk menjerat memang diakui memandangkan masa berjam-jam diperlukan malah joran pun terbang kedalam kolam demi menaikkan ikan tersebut. Akhirnya usaha itu berbaloi apabila pihak hakim menobatkan gambar kami sebagai juara.

Apa yang menariknya, kesemua peserta yang menghantar gambar merupakan gambar solo dengan hasil tangkapan masing-masing akan tetapi bagi gambar kami terdapat 4 orang ahli P2U Angler bersama tangkapan masih tetap dipilih menjadi juara. Berkemungkinan gambar tersebut mempunyai nilai-nilai persahabatan dan semangat yang dapat ditakrifkan oleh pihak hakim.

Kami telah berjaya memenangi hadiah bernilai RM200.00 sumbangan TCE Tackle Sdn. Bhd. berupa barangan pancing:
  • Satu Kekili Ofmer Aegis
  • Segulung Tali E-Gold
  • Satu Gewang Yozzuri Arms
Terima kasih diucapkan kepada Majalah SIRIP dan TCE Tackles Sdn. Bhd. diatas sumbangan yang diberikan. Insyallah kami akan menggunakan set tersebut di sesi pancingan dimasa hadapan.

(Keratan Majalah SIRIP Keluaran Ogos 2013)
(Kita Menjuarai "Gelanggang Air Tawar)
(Gambar Yang Telah Berjaya Mencuit Hati Pengadil SIRIP )

09 September 2013

Penangan Siakap Banting!!! - (08.09.2013)

Trip kali ini Saya (Admin) dan Ringgo hanya menyasarkan Siakap "Frenzy" dari kolam Rm3 yang terletak di Jugra, Banting. Misi kali ini sebenarnya lebih kepada menguji joran Ikano "My Lucky Rod" 5' kaki yang baru dibeli oleh Ringgo. Untuk tidak membangau dan penat menunggu ikan maka P2U Angler telah memilih untuk memancing di kolam Rm3 yang "Frenzy".

(Kolam RM 3, Banting)
Keluar dari rumah seawal jam 10.00 pagi dan bergerak dari Shah Alam menaiki R3 Ringgo, kami bersarapan di mamak pekan Telok Panglima Garang. Selepas itu kami sempat meninjau kolam LS untuk misi pancingan seterusnya diepisod akan datang. Masa yang diperuntukkan bagi sesi pancingan kali ini adalah selama 1 jam sahaja kerana terdapat urusan lain diwaktu petang.

(Ringgo Dengan Joran IKANO 5' "My Lucky Rod")
Sebenarnya sudah lama kami tidak berkunjung ke kolam Rm3, Banting ini dan terdapat banyak perubahan antaranya Udang-Udang yang dijual sebagai umpan pemancing semakin kecil saiz anak-anak Udang dan saiz ikan-ikan Siakapnya pula dibawah 500gram seekor. Memandangkan kolam ini merupakan asas kami mula belajar memancing dan mendalami ilmu menangkap ikan oleh itu sokongan terhadap kolam ini tetap tidak dilupakan. Ramai pemancing lain membawa anak-anak mereka untuk memancing. Ini penting bagi melatih generasi cilik mengenal hobi memancing dan menambah minat mereka dimasa hadapan.

(Ringgo Dengan Hasilnya)
Tiba dikolam tersebut pada pukul 12.30 tengah hari dimana panas terik mentari sedang hangat membakar kulit. Setelah membeli umpan anak Udang Rm4.00 sebanyak 8 ekor kami mula melabuhkan joran dan mengilat. Sesi kali ini saya dan Ringgo mempertaruhkan set ringgan kami untuk beraksi menarik Siakap yang tidaklah bersaiz gadang. Apa yang menariknya pada labuhan pertama kami sudah mendapat getuan dari sang makhluk dasaran dikolam tersebut. Disebabkan umpan Udang yang kecil maka ianya mudah disambar dan hilang dibaham Siakap yang sedang "Frenzy" didalam kolam tersebut.

(Saya Dengan "Baby Siakap")
Leceh kerana kami terpaksa memasang umpan baru, kami menerima ragutan dari Siakap setiap kali kami lelabuhkan umpan. Setengah jam masa telah berlalu dan kami telah dapat menewaskan 4 ekor Siakap dengan mudah. Pemancing lain hanya melihat kami menaikkan ikan, ada diantara mereka yang sedang sibuk mencuba gewang dan memahirkan diri dengan skill menggunakan "Baitcaster" memandangkan kolam tersebut membenarkan penggunaan gewang dan ada juga yang sibuk melayan anak-anak memancing.

(Hasil Tangkapan Saya - 8 Ekor Siakap)
(Jumlah Tanggapan Kami Sebanyak 16 Ekor Siakap)
Akhirnya setelah 1 jam masa kami memancing, sebanyak 16 ekor Siakap berjaya kami naikkan. Bersyukur terhadap Allah swt kerana telah memberikan rezeki kepada kami berdua pada hari ini. Betullah orang cakap kalau terasa nak mencari lauk untuk dibuat hidangan silalah ke kolam Rm 3.00 di Banting ini kerana ianya menjanjikan pulangan hasil tangkapan yang "Frenzy". Sekian sahaja laporan kami pada kali ini, semoga berjumpa lagi di laporan aktiviti memancing P2U Angler yang seterusnya. Assalamualaikum wbt.

06 September 2013

10 Spesis Laut Yang Berbisa Dan Beracun

Berikut saya senaraikan ikan yang lumrah dipancing dan mempunyai sengat dan bisa lagi merbahaya. Species ini boleh ditambah membabitkan hidupan laut mahupun sungai yang ditemui kelak:
  1. Ular Laut - Gigi taring kecil 2mm tapi amat-amat berbisa (mampu memutuskan tali / mata kail).
  2. Sembilang Karang / Usat-usat - Ada 3 sengat berbisa.
  3. Sembilang Sungai / Laut - Ada 3 sengat berbisa.
  4. Ikan Singa - (Species depu) mempunyai sengat pada hujung sirip dorsal.
  5. Ketuka - 2 sengat di bahagian ekor.
  6. Pari - Seperti tetuka tapi kedudukan sengat bergantung kepada jenis pari tersebut.
  7. Depu - Setiap sirip terdapat duri kecil tajam yang tersembunyi berbisa.
  8. Kitang - Duri pada setiap hujung sirip terutama bahagian atas.
  9. Dengkis - Seperti Kitang bisanya dan kedudukan sengatnya pada hujung setiap sirip.
  10. Duri / Belukang - Seperti sembilang tapi bisanya kurang sedikit.
Kita perlu ketahui ada juga ikan yang mempunyai duri tetapi kurang bisa. Ada yang beracun. Namun begitu, adalah dinasihatkan supaya usah memegang mahupun memakan sebarang hasil tangkapan jika kita tidak mengenali spesies tersebut.

Selain disyaki berbisa, ada juga ikan bergigi tajam yang tentunya boleh mencederakan pemancing. Ikan bergigi tajam yang lazim ialah semua spesies Jerung, Alu-Alu, Malong, Todak dan Siakap Merah.

05 September 2013

Jenahak!!! Kolam 2 Sealion Mengganas... - (29.08.2013)

Trip ke Kolam Sealion No. 2 ini sememangnya tidak dirancang dalam kalender pemancingan P2U Angler, dimana ia jatuh pada hari bekerja, malah misi ke kolam diatur 1-2 jam sebelum sesi pemancingan dibuat dek kerana di "racun" Ringgo sewaktu bekerja. Memandangkan saya tidak membuat sebarang aktiviti pada sebelah malamnya oleh itu saya menyetujui trip tersebut.

(Saya Menggunakan Set Ringan Daiwa)
(Ringgo Dan Set PENN) 
Tepat pukul 9.30 malam saya telah ke rumah Ringgo di Shah Alam untuk mengambilnya dan kami ke kolam tersebut melalui lebuhraya baru ke Perlabuhan Klang dan dikenakan bayaran Tol sebanyak Rm2.60. Kami tiba dikolam pada pukul 9.54 malam dan mengambil pakej selama 3 jam. Sesi kali ini hanya saya dan Ringgo sahaja memandangkan ianya trip sangap dan tergempar.

(Antara Pemancing Yang Membangau)
Saya telah membeli umpan Udang sebanyak 5 ekor manakala Ringo pula hanya menggunakan isi ikan Kembung pada malam tersebut. Pada sesi kali ini saya hanya menggunakan set ringan agar tangan tidak lenguh ketika "Casting". Saya mempertaruhkan Joran Seahawk Carbon Max 5.5' dan menggunakan kekili Daiwa Crest 1500. Tali pula saya menggunakan tali sulam 20lb dan perambut tangsi 40lb. Ringgo pula mempertaruhkan Joran PENN Marco 6' dan kekili PENN Battle 4000 manakala tali pula dia menggunakan tali sulam 40lb keluaran Power Pro.

(Suasana Kolam Yang Tenang)
Setelah semua peralatan siap di pasang maka umpan mula dilabuhkan. Saya terus "Casting" menggunakan Udang hidup manakala Ringgo pula menggunakan pelampung dan isi ikan. Apa yang menarik pada sesi kali ini kami duduk di port yang dikatakan "Port Jenahak" dimana ia menjadi sarang atau laluan spesis tersebut memandangkan ramai pemancing yang berjaya menarik Jenahak disitu. Port tersebut terletak di pintu masuk kolam dan dihadapan kolong kolam.

(Jenahak 1st Berjaya Saya Jinakkan 2.2KG)
Jiran disebelah kami kerap menerima tarikan Jenahak, nasib beliau memang baik pada malam itu sehingga 5 ekor dalam masa 3 jam. Walaubagaimana pun kami tetap sabar menunggu, saya masih meneruskan sesi mengilat saya dengan menghalakan ke bahagian kolong tersebut. Jam telah menunjukkan pukul 12 malam dan sedang saya berborak-borak dengan Ringgo, tiba-tiba joran saya digetu dan terasa seperti satu sedutan yang kuat. Saya melepaskan tali selama lebih kurang 5 saat agar ikan tersebut berenang-renang bebas tanpa rasa diancam ketika mengumam umpan Udang saya kemudian saya mengunci kekili dan mula mengetatkan "Drag" agar tali dapat ditegangkan. Terasa satu tarikan yang agak ganas dan liar juga, joran ringan Seahawk saya terus melentur membentuk huruf "U". Hampir 10 minit saya cuba melayan tarikan ikan yang cuba meloloskan diri kedalam Kolong, habis semua tali pancing orang lain di langgarnya, nasib baik kesemua pemancing disitu memang sudah tahu dan berpengalaman menguruskan joran ketika ada pemancing yang terkena ikan.

(Timbangan Seberat 2.2KG)
Setelah ikan berjaya dinaik ternyata ianya seekor Jenahak seberat 2.2 KG. Hati saya puas seketika dan terasa berbaloi kerana dikurniakan hasil tangkapan sulung seekor Jenahak yang merupakan lesen pertama saya dalam menjerat spesis tersebut. Selang 15 minit saya mendapat ikan, tiba giliran Ringgo pula mengene getuan ikan, akan tetapi tali perambutnya rabut ketika bertarung dengan ikan. Nasib tidak menyebelahinya apakan daya. Kami meneruskan sesi memancing kami memandangkan masih terdapat baki 2 jam lagi untuk memancing dikolam tersebut.

(Dua Ekor Jenahak Yang Tertewas)
Setelah Ringgo mengikat perambut baru dan terus menyambung untuk mengilat, sekali lagi jorannya menerima tarikan dari sang makluk dasaran, kali ini Ringgo fokus untuk mendaratkannya dan berhati-hati melayan tarikan ikan tersebut, agak ganas juga tarikan kali ini habis semua tali pancing orang lain dilanggarnya termasuk tali pancing saya. Saya terpaksa memutuskan tali pancing saya agar terlucut dari belitan tali Ringgo, akhirnya seekor Jenahak berjaya didaratkan oleh Ringgo yang mana merupakan lesen Jenahak pertama untuk Ringgo. Berat ikan Jenahak yang didaratkan adalah seberat 1.8 KG.

(Saya Dengan Trofi Jenahak 2.2KG)

(Ringgo Dengan Trofi Jenahak 1.8KG)
Kami beranggapan mungkin pada waktu tersebut merupakan waktu makan ikan-ikan dikolam tersebut kerana ikannya sangat "Frenzy" selepas pukul 12 malam. Rezeki menyebelahi kami dan kami berjaya membawa pulang seorang seekor, walaupun tidak banyak hasil yang diperoleh namun kami sudah rasa sangat gembira kerana tidak pulang "Kumpau". Memandangkan waktu memancing telah hampir tamat maka kami bersiap sedia untuk pulang dengan hasil tangkapan kami. Terima kasih diucapkan kepada pembaca Pancing2u yang sudi meluangkan masa membaca cerita kami dan nantikan sesi pancingan kami dimasa akan datang. Assalamualaikum wbt.

02 September 2013

Etika Pemancing

1. Membawa balik ikan yang diperlukan sahaja.
2. Jangan membuang sampah merata-rata.
3. Tingkatkan ilmu memancing dan pengendalian bot.
4. Mematuhi peraturan memancing dan pengendalian bot.
5. Hormati hak pemancing lain.
6. Hormatilah peraturan padang pancing persendirian.
7. Sebarkan pengetahuan.
8. Menyokong pemeliharaan alam sekitar tempatan.
9. Jangan melepaskan ikan dan tumbuhan ke perairan awam.
10. Membangunkan sukan memancing.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...