30 April 2014

Misi Menawan Kolam Pandamaran, Klang - (28.04.2014)

Hampir 1/2 jam jugalah Saya (Admin) dan Torres memujuk Si Ringgo untuk turut serta dalam 'Komplot' ke Kolam Pancing Pandamaran kali ini. Pelbagai alasan diberikan olehnya namun atas dasar semangat setiakawan dan cinta pada hobi memancing ini, Ringgo memutuskan untuk bersama kami kali ini. Bukan apa sudah banyak kali apabila berkomplot pasti tidak akan disertai oleh beliau dan saya teringin untuk menguji keberkesanan mesin CatKing Ace 30 milik beliau di Pandamaran nanti.

Ketibaan P2U Angler *Nasib Ada Bangla Tolong Tangkap Gambar...
Baiklah, Assalamualaikum diucapkan kepada semua pembaca blog Pancing2u, kali ini P2U Angler buat pertama kalinya ingin menguji penghuni SHG Kolam Pandamaran. Banyak sumber yang kami dapati di Internet dan Google mengatakan yang memancing di sana menyeronokkan dan ikan-ikan yang menghuni kolam di sana sihat-sihat serta besar. Oleh itu pada sesi kali ini kami sepakat untuk turun ke SHG Kolam Pandamaran.

Kaunter Bayaran Untuk Kolam 1 Dan Kolam 2
Berikut di sertakan sedikit maklumat pakej berkenaan SHG Kolam Pandamaran:

Pakej Kolam 1

Deposit Rm100
Minimum 3 Jam Rm75.00
1 Jam tambahan Rm20.00
Diskaun 4 Jam Rm85.00

Pakej Kolam 2

Deposit Rm70.00
Minimum 3 Jam Rm50
1 Jam tambahan Rm15.00
Diskaun 4 Jam Rm60.00

Pakej Kolam 3

Deposit Rm150.00
Minimum 3 Jam Rm120.00
1 Jam tambahan Rm30.00

Pakej 5 Jam Rm150.00
(12am-5am)
(1am-6am)
(2am-7am)

Pakej Kolam Naga

Deposit Rm400.00
Minimum 3 Jam Rm300.00
1 Jam tambahan Rm100.00
Pakej 8 Jam (Rm700.00)

Setelah diamati betul-betul kami sepakat untuk mencuba Kolam No. 2 yang mana merupakan kolam yang menawarkan pakej yang paling murah berbanding kolam-kolam lain. Untuk sesi kali pertama ini adalah lebih baik kami cuba yang murah dahulu dan tengok bagaimana tahap kerakusan ikan makan serta keselesaan kolam di situ nanti tidak pasal-pasal rugi sahaja.

Tempat Jual Umpan Hidup (Udang Dan Belanak)
Setelah yuran kolam di bayar dan tiba masa untuk mencari port yang sesuai, disebabkan ini merupakan kali pertama P2U Angler turun ke sini oleh itu port yang terbaik masih belum dapat dikesan lalu kami memutuskan untuk duduk berhampiran pintu masuk kolam no. 2 tersebut. Suasana pada malam tersebut agak lengang disebabkan ianya hari bekerja dan orang yang datang memancing juga tidak ramai. Lega rasa hati dapat pilih port yang selesa dan tidak terkejar-kejar.

Setting Perambut dan Mata Kail...
Pada kali ini saya mempertaruhkan set pancingan Ofmer yang baru saya beli tempoh hari, Rod Ofmer Evolution 6'0'', Kelili Ofmer Aldia 3000 serta Tali Tangsi Ofmer E-Gold 18lb. Ringgo pula menggunakan rod Xpert Graphite 5'6'', Kekili CatKing Ace 30 dan Tali Sulam Ichiban Pro Hunter 30lb. Torres pula menggunakan Rod Abu Garcia Vengeance 6'0'', Kekili Abu Garcia Omega 4000 serta Tali Sulam Berkley 30lb.

Dari Pintu Masuk Kolam
Dari Bahagian Kiri Kolam
Dari Bahagian Kanan Kolam
Kami pun memulakan sesi pancingan dengan melakukan pancingan dasar dan kadang-kadang "Casting" ikut mood. Nampak macam sepi di malam tersebut ekoran tiada pemancing lain yang menarik ikan disitu, adakah kami tersalah pilih kolam? atau pun kolam murah oleh itu ikan-ikan juga kurang.

"Selfie" Sekejap...Hehehe
"Bangau Oh Bangau"...Dekat 2 Jam Ooo...
Ringgo sampai tertidur-tidurlah di sebabkan penat menunggu ikan, aduh nampaknya kami sudah salah pilih kolamlah. Hati masing-masing gusar dan mengantuk, tiba-tiba joran Ringgo seperti bergerak-gerak menandakan ada mangsa yang sedang leka menjamah umpan. Apa lagi sepantas kilat Ringgo menyebat joran beliau dan pertarungan bermula. Habis melengkung joran dibuatnya dan akhirnya seekor jenahak seberat 1.3Kg berjaya ditumpaskan Si Ringgo, malam yang sunyi tadi telah dipecahkan kebuntuannya setelah seekor penghuni berjaya dinaikkan.

Ringgo Dan Jenahak 1.3Kg
Ikan Macam Sakit Sedikit...
P2U Angler semua terus  kembali bersemangat, Alhamdulillah nampaknya kami tidak pulang kosong pada sesi kali ini cuma saya dan Torres masih 'Kumpau' setakat ini. Takpa masih ada baki 1 jam lagi untuk kami meneruskan pancingan di sini. Tapi hati saya berat menyatakan yang kolam no. 2 ini tidak berpotensi disebabkan peratusan sambaran adalah kurang serta ikan-ikan di dalamnya sakit-sakit belaka. Oleh itu pembaca diluar sana dinasihatkan untuk mengkaji kolam-kolam di SHG Pandamaran ini sebelum masuk.

Specis 2nd Yang Berjaya Dinaikkan; MJ @ Siakap Merah anggaran 800g
Sedang-sedang berborak, Kekili Si Ringgo disambar sekali lagi oleh penghuni kolam tersebut, 

"Wah Ini Tidak Boleh Jadi Ini, Asyik Dia Jer Kene...." Kata saya kepada Torres. 

Mungkin rezeki Si Ringgo pada malam itu, ikan nak makan umpan yang disuakan. Pertarungan yang berlaku tidak begitu terasa disebabkan saiz ikannya hanya sekadar 800g sahaja namun tangkapan specis kali ini cukup menggembirakan beliau kerana merupakan lesen MJ pertama beliau. Tahniah Ringgo!!!...

Hasil Keseluruhan Sesi Kali Ini...
Akhir kata, terima kasih diucapkan kepada pembaca blog Pancing2u dan dan diharapkan anda terus menyokong kami dan memberikan komen-komen serta tip-tip yang menarik agar idea dan seni dalam dunia pemancingan dapat dikembangkan lagi. Sekian terima kasih.

15 April 2014

A'FAMOSA Pancing Competition 2014

Salam Sejahtera diucapkan kepada semua pembaca Pancing2u yang dihormati, kali ini di ruangan buletin P2U Angler saya ingin mempromosikan iklan berkenaan pertandingan memancing yang sering kali diadakan setiap tahun di salah satu resort yang terkenal di Malaysia yang terletak di A'Famosa Resort Ayer Keroh, Melaka. Hadiah-hadiah yang di tawarkan juga agak menarik berbanding tahun lepas. Untuk sebarang maklumat pertandingan boleh menghubungi nombor telefon yang tertera didalam iklan tersebut.


-Copyright @ Pancing2uTM-

P/S: P2U Angler seperti ingin mencuba pada kali ini "In Sha Allah" andai berkesempatan. 

13 April 2014

Mencari Kekili Baru Si Ringgo - (11.04.2014)

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera diucapkan kepada pembaca Pancing2u yang dihormati, seperti biasa 'Post' kali ini adalah berkenaan aktiviti P2U Angler turun ke kedai peralatan memancing yang rasanya tidak asing bagi mereka yang tinggal sekitar kawasan Petaling Jaya iaitu SS2 Fishing Fever Angler. Untuk makluman pembaca, kedai ini merupakan kedai pilihan P2U Angler kerana ianya berdekatan dan menawarkan harga yang berpatutan.
 
SS2 Fishing Fever Menawarkan Pelbagai Peralatan
 
Rasanya telah banyak juga cerita berkenaan kedai ini dimuat turun oleh Admin untuk makluman dan sedikit info bagi kaki pancing diluar sana. Namun kali ini saya tetap akan menerangkan serba sedikit mengenai kedai ini kepada anda. Baiklah, kedai ini kecil sahaja dan tidak besar seperti kedai peralatan memancing lain seperti TCE Tackle, Sea Tackle, Kepong Tackle dan pelbagai lagi. Pemilik kedai ini bernama Aunty Ann dan anaknya (*Tak pasti nama cuma kami panggil Ah Boy). Kedai ini terletak di sebelah SS2 Mall, Petaling Jaya dan di tingkat 1 flat sebelahnya. Banyak pemancing turun kesini apabila hendak membuat persediaan turun ke laut mungkin disebabkan harga barangannya agak murah.
 
Barangannya Agak Murah
Sesi kali ini hanya Saya (Admin), Ringgo dan Torres yang turun bertujuan mencari Kekili baru untuk diuji dan memandangkan si Ringgo telah menjual Kekili PENN Battle miliknya dan ingin mencuba kekili yang baru. Aunty Ann mengesyorkan kepada beliau untuk mencuba kekili baru keluaran 2014 iaitu jenama Cat King Ace 30 yang mana saya ada terbaca di majalah pancing dan ianya merupakan kekili yang pertama di dunia tidak menggunakan sebarang skrew atau "Screwless". Wah menarik!!!...
 
Ringgo Menguji Kelancaran Kekili Ace30
Catking Ace30 - "1st Screwless Reel In The World"...GEMPAK Siot!!!
 
Disebabkan beliau ingin mencari kekili yang ringan dan mempunyai spesifikasi yang agak menarik serta reka bentuk yang moden maka Ace30 adalah pilihan beliau, saya pasti 'Otai-otai' diluar sana ada mengetahui berkenaan kekili tersebut oleh itu tidak perlulah saya terangkan dengan lebih lanjut. Sementara itu saya dan Torres mencari batu ladung, mata kail dan swivel yang semakin berkurangan di dalam kotak pancing ekoran rabut ketika memancing.

Sempat Posing Si Torres ini

Kenapa tidak memilih jenama kekili yang sudah 'Gah' di pasaran?, Tidak cukup modal ke?, Saya takot untuk mencuba agak-agak tahan ke?. Persoalan yang acap kali kedengaran takkala memilih kekili baru. Bagi mereka yang baru berjinak dalam dunia memancing ini apa yang boleh P2U Angler kongsikan disini adalah, bukan jenama memainkan peranan dalam pemilihan kekili cuma kami ingin mencuba dan menguji jenama-jenama baru "New Comer" orang cakap sebab apabila kita turun memancing, harus diingatkan bahawa rezeki ditentukan oleh Allah s.w.t.

Bro Ringgo Dengan Kekili Barunya...Nanti Boleh Try 1-2 Round :)


Akhirnya setelah puas membelek, Ringgo pun membeli kekili tersebut, lepas ini bolehlah kita uji "Performance" kekili beliau. Sekian sahaja cerita mengenai aktiviti P2U Angler untuk kali ini. Semoga bertemu lagi di cerita akan datang, terima kasih diucapkan kepada para pembaca Pancing2u dan jangan lupa untuk turun singgah ke kedai SS2 Fishing Fever Angler ini ok...

-Assalamualaikum

11 April 2014

Layan 15lb... - (10.04.2014)


  • LOKASI - Kolam Pelita Harmoni (PH), Jugra Banting
  • TARIKH - 10.04.2014
  • MASA - 2:30pm - 4:30pm
  • ANGLER - Admin
  • TANGKAPAN - Siakap (Juvenil)
  • JUMLAH - 5
  • UMPAN - Udang Hidup
  • TEKNIK - Bottom / Casting
  • ROD - X-Puyu Samurai 4'6" (6lb-15lb)
  • REEL - Tomman Samurai Tiny II
  • LINE - Ajiking Proline Max 15lb









-Copyright @ Pancing2uTM-

01 April 2014

Program Realiti Astro "Juara Joran"


INFO JUARA JORAN

Program ini adalah sebuah rancangan realiti yang melibatkan seorang pemancing dan seorang artis di dalam satu pasukan. Mereka akan bersaing dengan 16 pasukan diantara mereka yang mana masing-masing akan melalui cabaran yang akan menguji ketahanan mental, fizikal, dan bakat memancing. Pada pengakhirannya mereka akan bertanding dalam kemahiran memasak secara langsung dan pasukan yang berjaya secara keseluruhannya akan meneruskan perjuangan mereka ke tahap seterusnya dan yang kalah akan disingkirkan.

KRITERIA-KRITERIA UJIBAKAT
  • Warganegara Malaysia
  • Berusia 18-45 tahun pada 30 Mac 2014
  • Mesti berkebolehan memancing ikan
  • Mesti berkebolehan untuk memasak
  • Mesti berada dalam kesihatan yang sempurna dan bersedia untuk aktiviti luar
  • Tempoh Ujibakat 30.04.2014 - 07.04.2014
Peserta yang ingin mencuba atau mendaftarkan diri, boleh mendapatkan borang penyertaan serta terma dan syarat di laman sesawang seperti dibawah:

Klik Disini Untuk Muat Turun Borang / Terma & Syarat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...