30 December 2015

Tips Pancing2u: FENOMENA KEPALA AIR

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada para pembaca blog Pancing2u, kali ini Admin terpanggil untuk berkongsi sedikit maklumat yang diambil dari laman-laman sosial dan laman sesawang di internet berkenaan "Fenomena Kepala Air"

Baru-baru ini negara di kejutkan dengan pelbagai berita sedih di kaca televisyen dimana berlaku beberapa kes kematian yang meragut nyawa ekoran ditimpa musibah bencana alam ini. Mengikut pandangan pakar, perihal kejadian alam ini berlaku sebenarnya tidak diketahui orang ramai. Sekiranya langkah-langkah awal diambil pasti musibah dapat dielakkan. Berikut Admin P2U akan kongsikan sedikit tip menghadapi "Kepala Air" ini.


Sedikit Definisi

Kepala air atau sumber sungai bermaksud gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti yang besar mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama, Lazimnya, ia berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai. Aliran air ini apabila hujan sangat besar dan deras dan boleh membawa segala macam kelodak, batu dan kayu balak. Selain itu, ia akan merempuh apa sahaja halangan di hadapannya. - Wikipedia.org

Tanda-Tanda Awal
  • Keadaan langit gelap di bahagian hulu sungai (kawasan puncak bukit) disertai dengan bunyi guruh yang kuat.
  • Bunyi dentuman gerakan batu-batan atau air dari hulu sungai.
  • Air sungai berbuih dan meningkat secara tiba-tiba (kelodak, daun reput atau ranting kayu muncul dengan banyak di permukaan air).
  • Siren amaran berbunyi (di sesetengah tempat sahaja, seperti di kawasan Air Terjun Sekayu).
Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Mangsa Yang Terperangkap...
Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Apa patut buat jika ia berlaku (menyelamatkan diri):
  • Jika sedang berenang atau berkhemah,carilah kawasan yang selamat terbaik dikawasan tinggi dan jauh dari sungai.
  • Jika sedang melintas sungai kerana 'trackking', secara berkumpulan bantulah rakan yang berada ditengah-tengah untuk melintas secepat mungkin, yang belum melitas berpatah balik dan carilah tempat selamat contoh berlari naik kekawasan tinggi atau memanjat pokok yang difikirkan selamat (besar).
  • Andai kata tidak bernasib baik, berpautlah pada pokok, ranting atau apa saja dan bertawakalah atau ikut sahaja arus itu dan cari peluang untuk berenang ke tepi.
  • Jika ada mangsa yang boleh diselamatkan, gunakanlah tali atau kayu untuk menolong meraka ketempat selamat. Jangan berenang untuk menolong kerana sangat merbahaya. Ini disebabkan jika kepala air berlaku, kebiasan ia kan membawa sekali kayu atau pokok yang tumbang batu dan pasir dan ini akan megakibatkan kecederaan yang teruk jika terkena.
  • Yang terakhir mintalah bantuan pasukan penyelamat contoh SMART atau tunggu sahaja keadaan pulih kepada asal dan carilah jalan keluar.

29 December 2015

Sesi Panas Badan @ Kolam Pelita Harmoni, Jugra Banting - (22.12.2015)

Semasa sedang melayani laman sesawang Google.com untuk mencari peralatan memancing terbaru keluaran 2016, tiba-tiba Admin di sapa dari belakang, "Hoi bila nak gie memancing, sangap dah nie...", rupanya Si Torres yang semangat membakar untuk memancing balik kerja nanti katanya untuk sesi penutup bagi tahun 2015.

Untuk sesi  malam ini, dengan persiapan yang ala kadar kerana tidak sempat ke kedai pancing maka kami terpaksa turun menjerat ke Kolam Pelita Harmoni, Jugra Banting ataupun lebih dikenali sebagai Kolam Ikan Timbang. Bolehlah untuk memanaskan badan serta mencari lauk untuk dibuat makan sebelum cuti panjang yang bakal menjelma nanti.

Yuran Masuk Seperti Diatas...
Senarai Harga Mengikut Jenis Spesis...
Kami ke lokasi dengan menaiki Suzuki Swift Si Torres sebab dia yang ajak jadi pepandailah "Sponsor" pengangkutan dan bayar tol. Tiba dilokasi pada jam 10.30 malam dan keadaan kolam yang tenang serta tidak ramai pemancing yang turun mungkin pada hari bekerja. Alhamdulilah boleh kami memancing dengan tenang.

"Setting Up" Sebelum Beraksi...
Kepada mereka yang belum pernah sampai ke kolam ini, boleh rujuk dibahagian "LOKASI/PORT (BAYAR)" di bahagian tepi blog ini dan cari "KOLAM PELITA HARMONI" untuk mengetahui alamat dan cara untuk ke sini. Kolam ini sebenarnya memang merupakan port P2U Angler bersantai dan memancing dan telah beberapa kali kami ke sini untuk memancing. Oleh yang demikian penerangan berkenaan kolam ini tidak akan dibuat dalam siri kali ini.

Admin Tak Sah Kalau Tak Beli Makanan...
Setelah kami selesai membuat persiapan seperti memasang perambut dan membeli umpan Udang hidup, kami terus ke Kolam Ikan Merah kerana Si Ringgo teringin nak makan sup bersama Ikan Merah. Cuaca pada malam hari di kawasan kolam memang menenangkan. Suhu juga tidak terlalu panas cuma Nyamuk agak banyak menyebabkan kaki kami gatal-gatal. Selesai sahaja joran dilabuhkan Admin terus menyantap Meggi Cup yang dibeli di kaunter tadi, almaklumlah baru balik kerja dan kami tidak sempat nak makan.

Ringgo Dan Torres Menanti Dengan Penuh Kesabaran...
Sunyi Sepi Jer...
Admin Punya Jenahak Saiz Hidangan...
Walaupun tidak ramai pemancing, ikan-ikan di dalam kolam tidak begitu galak untuk menjamah umpan Udang yang kami beri. Terpaksalah kami bersabar agak lama sedikit sebelum beberapa sambaran diterima. Penggunaan set ringan sudah memadai kerana ikan-ikan di dalam kolam tidaklah terlalu gadang saiznya hanya sekadar saiz hidangan. Alhamdulilah lebih kurang 30 minit menunggu seekor ikan Jenahak saiz hidangan berjaya di tumpaskan.

Ringgo Sedang Menanti Getuan
Ringgo dan juga Torres juga saling tidak mengalah kerana gigih mendaratkan ikan dari beberapa ekor spesis berbeza iaitu Siakap, Jenahak dan Ikan Merah. Apa yang peliknya kesemuanya didapati di dalam kolam yang sama. Inilah masalah yang dihadapi oleh Pihak Kolam kerana sikap sesetengah para pemancing yang membuang atau melepaskan ikan kembali setelah di tangkap.

Abam Lejen Kita Dapat 5 Ekor...
Sesi memancing kami berakhir pada pukul 2.30 pagi, keesokkan harinya kami akan bekerja seperti biasa jawabnya masing-masing akan mengantuk. Jumlah ikan keseluruhan yang ditangkap seperti gambar dibawah. Seterusnya kami ke kaunter kolam untuk membayar dan menyiang ikan sebelum dibawa pulang.

Hasil Malam Ini - 1 Siakap, 4 Jenahak, 2 Ikan Merah
Nasib baik ada perkhidmatan menyiang ikan oleh Pihak Kolam, ini memudahkan kami kerana boleh terus membersihkan ikan dan terus masak. Walaubagaimana pun bayaran sebanyak RM2.00 dikenakan untuk setiap sesi siangan. Akhir kata dari kami P2U Angler teruskan semangat untuk memancing dan nantikan cerita yang lebih menarik di sesi akan datang. Assalamualaikum.

Nasib Baik Ada "Abam-Abam" Tolong Tukang Siang Ikan...

03 December 2015

Sirkit Pancing Putrajaya 4/2015

Ya...Mari! Mari! Mari! Ianya kembali lagi....

Sirkit Pancing Putrajaya 4/2015 bakal berlangsung di sisiran Tasik Presint 2, 3 dan 4 Putrajaya. Sirkit kali ini merupakan Sirkit terakhir bagi tahun 2015 iaitu "Piala Presiden Perbadanan Putrajaya" manakala tarikh pertandingan pula pada 19 Disember 2015 dari jam 7:30am hingga 12:30pm. Hadiah-hadiah yang di tawarkan juga agak menarik disamping itu terdapat juga cabutan bertuah untuk peserta. Untuk sebarang maklumat pertandingan boleh menghubungi nombor telefon yang tertera didalam iklan tersebut atau lawati laman sesawang tertera. 

Sedikit tips yang boleh dikongsikan oleh Admin kepada mereka yang baru dan ingin menyertai Sirkit ini adalah pastikan anda tiba awal dilokasi, mematuhi segala syarat-syarat pertandingan dan menyediakan umpan yang paling mantap sebagai bekalan ketika pertandingan. Setakat hari ini P2U Angler masih belum beroleh sebarang hadiah namun in sha allah kami akan terus berusaha menyertai dan menyokong pertandingan berprestij ini. Akhir kata, kepada pemancing yang menyertai pertandingan tersebut jangan lupa untuk bertemu kami di sana, bolehlah kita bertukar-tukar pandangan serta tips. Selamat memancing.

POSTER SIRKIT PANCING PUTRAJAYA 4/2015
LOKASI SIRKIT
-Copyright @ Pancing2uTM-

P/S: Kalau terserempat dengan P2U Angler jangan lupa untuk bertegur sapa..

13 October 2015

Tips Pancing2u: Pemilihan Rod Mengikut Kesesuaian..



Assalamualaikum diucapkan kepada para pembaca blog Pancing2u. Admin ada membaca sebuah artikel berkenaan penggunaan joran (Rod) mengikut kesuaiannya. Info yang dirasakan sangat bagus untuk dikongsikan bersama pembaca diluar sana yang masih tercari-cari jenis joran yang ingin dibeli. Di bawah Admin ingin kongsikan maklumat artikel tersebut. Kita gunakan teori yang mudah sahaja, seperti gambar rajah di atas.

Aksi Perlahan(Slow)

Biasanya digunakan untuk memancing ikan yang bersaiz kecil. Tetapi, boleh juga digunakan untuk memancing ikan yang bersaiz besar, cuma kesan ketika beraksi untuk ikan bersaiz besar adalah lambat untuk menaikkan ikan. Terpulang kepada para pemancing, ada yang gemar melayan ikan secara perlahan dan ada yang suka melayan ikan secara cepat. Bagi yang suka melayan ikan secara perlahan rod yang jenis perlahan seperti gambar rajah adalah lebih sesuai. Antara kelebihan rod perlahan (slow) ini ia membantu mengurangkan tekanan pada perambut, tali ibu, mata kail dan lain-lain. Akan tetapi ia lebih sesuai di gunakan untuk memancing ikan bersaiz kecil.

Aksi Sederhana (Moderate)

Berbeza sedikit dengan rod pancing perlahan (slow) iaitu ia adalah sedikit lebih keras. Perbezaannya mengikut peringkat, ianya sedikit lebih keras daripada rod pancing perlahan (slow). Ia juga memberi kesan sedikit lebih cepat daripada rod pancing perlahan (slow) apabila anda beraksi melayan ikan. Biasanya rod yang mempunyai kekuatan sederhana (moderate) seperti ini banyak kaki pancing gemar untuk menggunakannya. Maklumlah, ianya mempunyai dwi-fungsi samada menaikkan ikan bersaiz kecil dan juga ikan bersaiz besar.

Aksi Cepat (Fast)

Rod seperti ini adalah lebih sesuai digunakan untuk memancing ikan yang bersaiz besar, ia juga sesuai digunakan ketika anda pergi memancing menaiki bot, kerana biasanya ikan yang di pancing ketika menaiki bot adalah ikan yang bersaiz besar, atau pun ketika memancing di atas jeti pantai bagi anda yang gemar memancing spesies Ikan Pari yang sememangnya terbukti ganas. Jadi gunakanlah rod yang berkekuatan cepat (fast) seperti ini adalah lebih sesuai digunakan di lokasi tersebut.

Aksi Lebih cepat (Extra Fast)

Rod seperti ini pula mempunyai kekuatan yang amat tinggi ia juga sesuai digunakan untuk pemancing laut dalam. Kepada anda yang gemar memancing di laut dalam rod seperti ini adalah sesuai ketika anda berada di lokasi seperti tukun ataupun kapal karam, kerana ketika memancing ikan di kawasan seperti tukun ataupun kapal karam ada sesetengah ikan gemar membawa tali pancing anda ke kawasan yang akan menyebabkan tali pancing anda tersangkut pada tukun ataupun kapal karam. Dengan menggunakan rod yang berkekuatan lebih cepat (extra fast) anda boleh menarik ikan dengan secara paksa untuk mengelakkan daripada ikan tersebut membawa tali pancing anda ke kawasan yang akan menyebabkan tali pancing anda tersangkut. Jadi ketika memancing di kawasan tukun ataupun kapal karam gunakanlah rod yang berkekuatan lebih cepat extra fast dan pastikan kekili, tali pancing, perambut dan mata kail anda mempunyai daya ketahanan yang amat tinggi untuk menaikkan ikan secara paksa.

Jadi kepada anda yang masih dalam dilema bagaimana hendak memilih rod pancing. Boleh cuba merujuk artikel dan gambarajah tersebut. Dengan sedikit ilmu yang dikongsikan bersama dapat mengelakkan pembaca diluar sana dari pembaziran. Sekian terima kasih.

-Sumber Zon Pancing

28 September 2015

Trip Memancing Ke Kuala Selangor - (19.09.2015)

Pemandangan 1...
Pemandangan 2...
Pemandangan Jeti Sungai Buloh @ Jeram...
Lebih kurang 2 bulan yang lalu, Admin ada mengenali beberapa rakan memancing baru sewaktu mengunjungi rumah terbuka salah seorang kenalan pada musim Raya Aidilfitri yang lalu. Tidak sangka mereka mempunyai hobi dan minat yang sama terhadap dunia pemancingan ini. Bagi Admin yang masih mentah dalam arena ini rasa sangat berbangga kerana diberi peluang berkenalan dengan mereka yang lebih arif dan "Otai" kerana dapatlah menimba pengalaman dan belajar selok belok dunia memancing.

Admin Tiba Di Lokasi...
Kelengkapan Perang...
Alhamdulilah mukadimah yang tidak terlalu panjang untuk para pembaca blog Pancing2u yang mana menjadi blog rujukan dan sumber info maklumat berkenaan lokasi dan port memancing. Baiklah kembali kepada cerita tadi, rakan-rakan baru Admin ini boleh di kategorikan sebagai pemancing yang gemar memancing di laut-laut sekitar perairan Selat Melaka maka satu trip memancing atau 'Komplot' telah diatur dan kali ini Admin mewakili P2U Angler turut menyertai mereka.

Masa Untuk Menaiki Bot...
Pemandangan Jeti Dari Atas Bot...
Tekong Mula Bergerak Menyusur Keluar Kawasan Muara...
Disebabkan musim Monsun sudah bermula maka trip pendek merupakan alternatif terbaik bagi melepaskan rindu memancing dilaut. Biasalah akhir-akhir tahun ini kebanyakkan tekong sudah mula berehat untuk menyelenggara bot-bot mereka bagi tujuan keselamatan bersama, maka trip-trip panjang yang memakan masa tidak akan dilakukan.

"SELFIE" Paling Berisiko...Hahaha
Melepasi "Check Point" Pertama...
"Daily Fishing Trip" kali ini bertempat disekitar perairan Kuala Selangor yang mana kami akan menaiki bot di Jeti Sungai Buloh/Jeram. Jika kita dari Kuala Lumpur boleh mengikuti Lebuhraya Utara/Selatan dari Tol Jalan Duta terus sehingga Simpang keluar Kuala Selangor. Selepas simpang keluar lebuhraya tersebut, kita harus belok masuk pula ke Lebuhraya LATAR dan terus sehingga sampai di simpang tiga (3) dan ambil haluan kiri untuk ke Pekan Jeram dari situ cari 7eleven, Jeram dan jeti tersebut berada dibelakang kawasan tersebut.

Jo Dan Azim Sedang "Setting" Kelengkapan...
 "Let's Gear Up"...
Trip kali ini disertai enam (6) orang pemancing dan satu (1) tekong bot, dengan bayaran dikenakan bagi keseluruhan pakej termasuk bayaran bot, umpan Udang Lipan dan Sotong sebanyak Rm650.00. Pengangkutan dan makanan sendiri-sendiri. Admin, Abg Bany dan anak beliau, Jo, Arif Dan Azim yang akan memancing bersama pada kali ini. Kami tiba di jeti lebih kurang jam 8 pagi dan berkumpul di kawasan pasar tempat dimana nelayan mengumpulkan hasil tangkapan mereka. Banyak juga hasil-hasil tangkapan ikan yang menarik seperti Siakap, Merah, Kerapu, Gelama dan Udang dan lain-lain yang boleh dilihat di dalam pusat pengumpulan hasil tersebut. Hasil tangkapan ini akan di hantar ke pasar-pasar sekitar kawasan Kuala Selangor mengikut kata pekerja disitu.

Kapal Frigate Tentera Laut China Kelas Jiangkai II
Sekali "Beliau" Lalu Habis Bergoyang Satu Bot...
"After Shock"...!!!
Lebih kurang pukul 9 pagi, tekong yang akan membawa kami ke lubuk-lubuk sekitar perairan Kuala Selangor tiba dengan membawa umpan Udang Lipan yang telah dipesan  sebanyak 30 ekor. Selain itu umpan sotong juga digunakan kali ini untuk dipasang pada Apollo nanti. Setelah barang-barang kelengkapan di muat naik kedalam bot tekong mula bergerak menyusur keluar dari Kg. Nelayan. Pemandangan hutan paya bakau nan hijau sungguh indah dan Admin rasa sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk menikmati keindahan dibumi Allah Swt ini.

Teknik Memasang Umpan Udang Lipan

Udang Lipan @ Umpan "Killer" Jenahak Dan Kerapu...
Teknik Memasang Umpan Udang Lipan - (Double Hook)
Admin, Jo dan Azim akan berada di bahagian hadapan bot manakala Abg Bany dan Arif bersama tekong berada di bahagian belakang bot. Walaupun bot tersebut tidak terlalu besar namun ianya sangat selesa bagi kami seramai 6 orang untuk memancing. "Rod Holder" juga turut disediakan dan dilengkapi disetiap bahagian tepi bot oleh yang demikian setiap pemancing boleh memasang 2 hingga 3 batang joran.

Cara-cara Memotong Sotong Untuk "Apollo"

Potong Bahagian Tengah - Keluarkan Isi Perut / Dakwat Hitam...
Hiris Menjadi Kepingan...
Potong Petak Dan Sangkut Pada Mata "Apollo" Anda...
Menurut kata tekong tersebut, air kali ini tidak begitu cantik kerana arusnya agak laju dan sedikit bergelora namun masih belum di tahap yang membimbangkan. Sesi memancing masih boleh di terus kan cuma pemilihan batu ladung bersaiz 14' ke atas adalah perlu sekiranya arus agak laju. Cuaca juga tidak begitu panas ekoran masalah jerebu yang melanda dan apa yang penting deruman angin masih terasa di muka kami.

Hasilnya...
Lebih kurang 30 minit perjalanan sehingga ke bahagian tengah perairan Kuala Selangor bot mula bergerak perlahan menandakan kami hampir tiba ke "Check Point" yang pertama, terdapat beberapa bot pemancing lain yang telah berada disana awal pagi dan sedang memancing.  Masa untuk melabuhkan joran yang telah siap di "Setting" semasa dalam perjalanan tadi.

Ikan Gelama...
Ikan Bolos...
Ikan Duri...
Pada kali ini Admin akan mempertaruhkan 2 set pancing yang mana satu darinya merupakan set "Heavy" dan satu lagi merupakan set "Medium Heavy"Bagi set pertama, rod jenama Okuma Andros PE 3-4 panjang 6'0'' dipadankan dengan reel Okuma Trio Baitfeeder Red Core 5000 dan Tali Sulam Ichiban Pro Hunter 60lb. Manakala set kedua pula, rod jenama Abu Garcia Tournament 7'0'' dipadankan dengan reel Tomman Silver Lion 6000 dan Tali Tangsi Tomman Performance 40lb.


Azim Dan Jo Cuba "Jigging"...
Arus agak laju dan ombak pula sedikit bergelora menyebabkan pergerakan kami agak sukar, ini kalau sesiapa yang mabuk laut pasti tumbang diawal-awal peperangan. Nasib baik pagi tadi lepas sarapan Jo dengan baik hatinya telah memberi Admin makan 2 biji pil mabuk laut. Orang cakap lebih baik kita bersedia terhadapa sebarang kemungkinan. Setelah joran dilabuhkan kini tiba masa untuk menunggu mangsa yang sudi menjamah umpan yang diberikan. Sementara itu bekalan makanan yang Admin bawa tadi dari rumah tadi dikongsi bersama untuk mengalas perut dan memberi tenaga.

Arif - Mamat Paling Sempoi!...
Abg Bany - Orang Bertanggungjawab Menjayakan Trip Ini..
Lebih kurang 1/2 jam memancing hanya berjaya mendaratkan ikan-ikan kecil seperti Gelama, Duri dan Bolos. Tiada kelibat ikan sasaran seperti Jenahak dan Kerapu, mungkin belum masa makan agaknya. Keadaan agak sepi dan tekong mula berubah tempat ke lubuk yang lain. Sauh bot digulung kembali dan enjin mula dihidupkan. Bot mula bergerak ke lokasi seterusnya.

Beri Laluan - Kapal Kontena Lalu!!!...
Sesekali apabila kapal kontena dan kapal armada perang diraja membelah lautan maka pukulan arus ombak yang  dihasilkan datang menghala ke bot kami akan mengoyangkan seluruh bot-bot pemancing menyebabkan keadaan kami diatas bot terumbang-ambing. Percikan air naik ke atas bot dan membasahkan pakaian kami, apa boleh buat pasrah sahaja.

Santai Bersama Uncle @ Tekong Kita...
Sementara menunggu joran disentap, Admin sempat "Interview" tekong bot kami. Tekong yang mesra dan mahu dikenali sebagai Uncle rupanya seorang yang peramah dan baik, seorang bangsa Cina dan merupakan penduduk asal Jeram. Menurut beliau keadaannya yang sudah berusia menyebabkan beliau tidak lagi turun ke laut dalam untuk menangkap ikan dan hanya berani membawa pemancing untuk trip memancing sahaja itupun di siang hari sahaja. kerana keadaan mata beliau sudah tidak berapa nampak. Sejak beliau berusia 20an beliau telah mula menjadi "Orang Laut" dan sudah mahir mencari lubuk ikan dan mengemudi bot miliknya. Tentang perihal keluarga pula, anak lelaki beliau merupakan seorang pemandu lori dan memiliki kedai "Halfcut" kereta. Admin merasa kagum dengan semangat beliau yang sudah di lewat usia emas ini masih turun ke laut mencari rezeki.

Pertarungan Yang Paling "Epik"...
Kawasan Pulau Berbatu...
Rumah Sang Kerapu...
Kembali kepada sesi memancing kita, beberapa ekor ikan telah berjaya dinaikkan oleh kami yang pasti Ikan Gelama merupakan ranking tertinggi setakat ini. Apabila suasana menjadi kian hambar, Uncle akan mula beralih arah mencari lubuk-lubuk yang berpotensi. Kami sempat memancing dikawasan sekitar Pulau Angsa dan pulau-pulau kecil disitu, hajat dihati ingin "Casting" menggunakan umpan tiruan namun joran tidak sesuai kerana bersaiz kasar dan berat. "Bottom" sahajalah yang termampu dilakukan.

Bot Mula Memasuki Kawasan Muara...
Subhanallah Indahnya Pemandangan...
Masyallah Indahnya Ciptaan Mu...
Kami memancing dari pagi hingga ke petang sehingga badan Admin pun sudah rasa letih, bekalan air juga telah berkurangan oleh yang demikian tepat jam 5:30 petang, Uncle mula memanaskan enjin untuk kembali ke jeti Kg. Nelayan. Kami agak berpuas hati apabila hampir satu tong Coleman yang dibawa penuh berisi hasil tangkapan. Setelah tiba di jeti, kami membahagikan hasil-hasil tangkapan sama rata.

Alhamdulilah Akhirnya Selamat Sampai Ke Jeti...
Hati-Hati Bawa Naik Hasil Pancingan Kita...
Bye-Bye Uncle - Jumpa Lagi Lain Kali...
Akhir kata, trip pendek ini memang memuaskan hati bagi kami yang sememangnya dahagakan aksi memancing. Kepada para pembaca Pancing2u jangan lupa untuk mengikuti perkembangan kami  dalam cerita yang seterusnya, terima kasih diucapkan kepada anda yang masih setia menyokong blog suka ramai ini.

-Assalamualaikum

Hasil Trip Kali Ini...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...