24 March 2014

Tips Pancing2u: Mengekalkan Kesegaran Ikan Yang Dipancing

KEKALKAN IKAN SEGAR

Bagi kaki pancing, memancing bukan sahaja bererti proses bertarung dengan ikan dan mendaratkan ikan sahaja, mengekalkan kesegaran ikan juga harus dititik beratkan kerana proses ini adalah amat penting bertujuan memelihara rezeki yang dikurniakan itu. Kali ini P2U Angler akan berkongsikan beberapa tip untuk mengekalkan kesegaran ikan yang berjaya dipancing oleh anda. Tidak kira anda memancing di Kolam, Lombong, Tasik, Sungai, Laut atau dimana sekali pun asasnya adalah untuk menjayakan keseluruhan aktiviti memancing anda. Ingat dizaman moden ini pelbagai bakteria dan kuman yang berkeliaran di ruang udara oleh itu kita seharusnya bijak menanganinya dengan menjaga dan mengekalkan kesegaran ikan yang dipancing. Berikut disertakan beberapa tips:

Menggunakan Uncang Jaring jika memancing dikawasan berhampiran rumah. Ikan yang dikail dimasukkan ke dalam Uncang jaring dan direndamkan semua ke dalam air bagi membiarkan ikan itu terus hidup. Bagaimanapun saiz ikan terhad kepada yang kecil (kurang dari 5 kg). Ikan bersaiz besar tidak sesuai dimasukkan ke dalam uncang jaring kerana jika ikan tersebut meronta pasti akan menyebabkan jaring tersebut koyak dan ikan akan terlepas. Jaring tersebut boleh di dapati di kedai-kedai memancing dan terdapat dalam pelbagai saiz.

Menggunakan Kotak Air Batu seperti Coleman, Bakau Dan Cooler box. Ia paling banyak digunakan jika memancing di laut bagi tempoh yang lama dua atau tiga hari. Ikan yang dikail terus dimasukkan ke dalam kotak air batu supaya sentiasa sefar walaupun sudah mati. Ada pelbagai saiz dan kualiti kotak menyimpan ikan yang diperbuat dari material seperti kaca dan plastik. Jadi terpulang diatas selera masing-masing. "Biar Alah Membeli, Menang Memakai".


Menyiang dan Membalut ikan menggunakan Surat Khabar. Kaedah ini banyak di amalkan oleh pemancing yang pergi ke hutan melebihi tiga hingga empat hari. Membawa tong ikan adalah sangat tidak praktikal kerana pemancing perlu mengangkutnya dan menyukarkan perjalanan. Oleh itu ikan yang dipancing perlu disiang terus termasuk membuang perut dan insang sekali. Sebaik-baiknya ikan yang disiang perlu di elakkan dari terkena air. Ikan yang siap disiang tadi ditabur sedikit garam sebelum dibalut pada surat khabar dan disimpan dalam tin biskut.

Membunuh segera ikan yang diperolehi. Cara ini banyak diamalkan terutamanya negara seperti Amerika Syarikat, Kana dan sebahagian negara Eropah. Caranya ialah membunuh ikan secara mengejut menggunakan besi tajam. Ikan itu dibunuh dengan menghentak besi tajam di bahagian kepala iaitu anta mata ikan berkenaan (dimana terletaknya otak). Dengan sekali hentakkan, besi tajam tadi akan menembusi tengkorak dan mencederakan ikan. Rasionalnya cara ini ialah ikan yang mati secara perlahan akan mengeluarkan sejenis hormon dari otak. Hormon ini bertindak sebagai perangsang untuk mempercepatkan proses pereputan protein. Jadi, jika ikan mati secara mendadak, otak ikan sempat merangsang pengeluaran hormon berkenaan. Kaedah ini sesuai dilakukan bagi ikan bersaiz besar. Bagaimanapun, cara ini dianggap kejam oleh sesetengah badan perlindungan haiwan sedunia.

-(Sumber rujukan: P2U Angler)

17 March 2014

Kerapu Hybrid Kolam No. 5 Sealion - (15.03.2014)

Rasanya sekarang ini musim Kerapu Hybrid agaknya sebab semua orang asyik 'Menarik' Sang Kerapu Hybrid sahaja, kalau kita perhatikan di laman sosial seperti Facebook dan Instagram semua orang sibuk menayangkan gambar bersama Kerapu Hybrid. Pada pandangan kecil P2U Angler semua kolam-kolam sekitar area Kuala Lumpur, Lembah Klang, Selangor dan kawasan seanteronya banyak melepaskan ikan-ikan dari spesies Kerapu Hybrid, Almaklumlah mereka ini dapat stok dari tempat yang sama.

Main "Bottom" Di Port Tengah...
Baiklah pada sesi kali ini tidak banyak yang dapat Saya (Admin) tulis kerana saya tidak berada bersama berkomplot tapi melalui maklumat dan sumber yang diberikan, sesi kali ini hanya Torres seorang sahaja yang pergi menduga kolam No. 5, Sealion yang terletak di Port Klang, Selangor Darul Ehsan. Biasalah tengah-tengah bulan ini mana ada Sen nak buat bayar yuran masuk kolam. Torres lainlah dia Masyuk!!!.

Kerapu Hybrid Tertancap Kemas Di Ring...
Rasanya banyak "Otai-Otai" di luar sana yang tahu pasal Kolam No. 5, Sealion ini oleh sebab itu tidak perlulah rasa nya saya terangkan dengan lebih lanjut berkenaan kolam tersebut. Andai kata ianya adalah kolam baru kami P2U Angler tidak akan lokek untuk berkongsi bersama para pembaca blog tercinta ini. Baiklah tanpa membuang masa, dari maklumat yang saya dapat Torres telah tiba ke kolam tersebut pada pukul 7:30 p.m. dan telah mengambil pakej RM 75.00 yang mana sesi pancingan adalah selama 3 jam.

Itu Dia KERAPU HYBRID 2.5KG...
Umpan yang digunakan adalah Udang hidup kerana di kolam tersebut tidak dijual isi Ikan Kembung dan teknik yang digunakan hanyalah "Bottom" dan duduk di bahagian tengah-tengah kolam. Kelihatan hanya sedikit pemancing yang menduga kolam tersebut pada hari itu walaupun ianya hari cuti namun jumlah pemancing tidak begitu memberansangkan macam saya cakap tadi "Tengah-Tengah Bulan", hanya yang masyuk mampu memancing di kolam Hehehe...

Torres Dan Trofinya Pada Malam Itu...
Menurut Torres lagi dalam masa kurang dari 1 jam beliau memancing seekor Kerapu Hybrid telah berjaya ditewaskannya. Ada juga pemancing Cina yang lain berjaya mendaratkan ikan kolam tersebut mungkin tekanan pemancing tidak ramai maka peratusan untuk mendapatkan sambaran ikan awal adalah tinggi.

Tak Muat Fridge Ooii...
Akhir kata terima kasih diucapkan kepada pembaca yang sudi meluangkan masa mengikuti perkembangan P2U Angler dan jangan risau kami akan sentiasa membawa perkembangan, cerita, maklumat dan info terkini dari kolam-kolam pancing berdekatan untuk tatapan pembaca. Kalau ada yang ingin menjemput ber'Komplot' sekali pun apa salahnya, hanya tinggal komen di box bawah pos ok!....

-Assalamualaikum

10 March 2014

Misi Menawan Kerapu Hybrid Tercapai - (09.03.2014)

Kolam No. 4 (Kolam Kerapu)
Satu komplot telah diadakan pada hari ahad yang lalu oleh Saya (Admin), Torres dan Jojo untuk bersama-sama memancing ke kolam pancing air masin yang sedang hangat diperkatakan oleh golongan pemancing diluar sana yakni Kolam Pelita Harmoni (PH) yang terletak di Jugra, Banting. Misi kali ini adalah lebih kepada menjerat spesies Kerapu Hybrid saiz bagak yang mendiami Kolam No. 4

Seperti yang kita ketahui terdapat 4 kolam yang ada di Pelita Harmoni (PH).

Kolam No. 1 = Kolam Siakap 
Kolam No. 2 = Kolam Senangin Taiwan
Kolam No. 3 = Kolam Jenahak
Kolam No. 4 = Kolam Kerapu Hybrid

Pada sesi kali ini kami memfokuskan tangkapan Kerapu Hybrid yang dikatakan agak sukar untuk di jerat. Menurut kata saudara Al (*Penjaga Kolam), umpan yang boleh diguna pakai adalah Ikan Kembung yang dipotong 2 dan andai ingin menggunakan Udang harus mencangkuk 2-3 ekor sekali agar mudah dikesan oleh Sang Kerapu tersebut. Oleh itu kami sepakat untuk menggunakan Ikan Kembung sebagai umpan.

Masing-Masing Bersemangat!
Kami memilih spot dibahagian belakang kolam berdekatan dengan kincir air dan paip air kerana pada jangkaan kami Kerapu Hybrid gemar berehat dikawasan yang berstruktur dan tenang. Balingan pertama dibuat oleh Jojo sementara saya dan Torres masih lagi sedang mengikat perambut dan mata kail. Tidak sampai 10 minit labuhan yang dibuat Jojo telah menerima satu sambaran dan tarikan yang kuat oleh makhluk dasaran  tersebut. 

"Kawal...Kawal... Jo...Main Dia Perlahan-lahan" Kata Saya.

Jojo menahan asakan dan cuba untuk menewaskan mangsanya dan akhirnya "Tuus..." sekali putus. Sayang seribu kali sayang, sudah hampir berjaya didaratkan namun gagal, apabila kami periksa apakah puncanya sehingga berlaku demikian rupanya Si Jojo terlupa untuk melonggarkan 'Drag' Kekili Banax Limited Edition (LS) 700 miliknya dan cuba untuk mengangkat mangsanya yang berat keatas tanpa menggunakan tangguk. Sayang sekali, akan tetapi semangat untuk menjerat harus di teruskan.

Umpan Ikan Kembung Di Biar Tanam Di Kincir Air
Saya Dan Torres pun apa lagi, klang kabut mengikat perambut apabila melihat potensi 'Strike' yang tinggi dari Kerapu dikolam tersebut, mana boleh tahan tengok member tarik!. Saya melabuhkan umpan tadi di sekitar kawasan kincir air dan membiarkan sahaja ia "Parking" manakala Torres pula sibuk mengilat sekitar kawasan kolam yang dirasakan berpotensi.

Lesen 1st - KERAPU HYBRID Bagak!!!
Sedang kami memancing dari jauh kedengaran suara hura-hara dan semakin lama gerombolan pemancing tersebut semakin hampir dengan pondok kami lepak. Sekumpulan pemancing cina datang rupanya, kecoh jugalah sekejap apabila mereka port di pondok kami, pada awalnya kami sepeti rasa tidak selesa namun biarlah mereka lepak disini sebab rezeki masing-masing. Kami pun berkenalan dengan mereka, salah seorang dari mereka agak peramah dan kelakar bernama Ah Lim berasal dari Banting. Menurut Ah Lim mereka selalu juga berkunjung ke situ untuk memancing Kerapu.

Itu Dia Kerapu Hybrid 3Kg...
Tengok gaya memang pemancing tegar dan otai, kami pun layan borak dan berkongsi ilmu dengan "Geng Kapak" tersebut. Layan gelak juga mereka ini, sambil memancing sambil buat lawak. Tiba-tiba sedang saya bergelak ketawa, Joran PENN Squadron 5'6'' dan Kekili Daiwa Crest 1500 saya bergerak dan tali menegang, menandakan umpan telah dibawa lari. Saya pun menahan asakan tali pula berpusu-pusu keluar lalu saya mengetatkan drag kekili sedikit untuk mengawal larian ikan. Melentur juga joran PENN Squadron 5'6'' yang baru dibeli minggu lalu. Sorakan dari kawan-kawan dan mata yang tertumpu sekitar kawasan kolam menambahkan lagi rasa semangat untuk menewaskannya. Akhirnya tertewas juga Sang Kerapu Hybrid, Ah Lim membantu menangguk dan mencapai timbang miliknya,

"Wahh...Ngam-Ngam 3 Kilo Oooo...Makan Busat Ooo..." Kata Ah Lim.

Kasi Tambat Dulu...
Kemudian kami meneruskan pancingan kembali, Torres dan Jojo sudah "Berapi" kerana tidak tahan tengok member tarik Kerapu Hybrid. Cuaca panas yang terik dan persekitaran berjerebu membuatkan kami dahaga dan meminum air dengan banyak sekali. Sudah hampir jam 6 petang dan Torres dan Jojo masih belum menerima sebarang sambaran. Pemancing yang memancing disekitar kolam juga masih gagal menaikkan Kerapu Hybrid namun demikian kami masih belum mahu pulang. 

Jojo Membantu Menangguk Kerapu Torres
Torres yang dari tadi bergerak sekitar kolam akhirnya telah menerima sambaran setelah umpan dilabuhkan di kawasan paip hujung kolam dari Kerapu Hybrid di minit-minit akhir sesi pancingan, alhamdulilah ada juga hasil dari "Kumpau". Beliau mengawal dengan berhati-hati dan akhirnya tertewas seekor Kerapu Hybrid anggaran 3kg. Barulah terpancar wajah keceriaan darinya setelah berjam-jam beradu nasib.

Ceria Dengan Hasil Tangkapan...
Hasil Keseluruhan - 2 Ekor Kerapu Hybrid
Dengan tangkapan  terakhir dari Torres tadi maka tamatlah sesi pancingan pada hari ini, dengan kejayaan mendaratkan 2 ekor Kerapu Hybrid di kolam No. 4. Alhamdulilah ada juga bawa balik hasil hari ini, antara P2U Angler yang paling gembira adalah saya kerana telah berjaya melengkapkan sesi pancingan di 4 Kolam Pelita Harmoni (PH).

Saya (Admin):
Kolam No. 1 = Kolam Siakap 
Kolam No. 2 = Kolam Senangin Taiwan
Kolam No. 3 = Kolam Jenahak
Kolam No. 4 = Kolam Kerapu Hybrid

04 March 2014

Kolam New Vision Sementa - (01.03.2014)

Jerebu...Jerebu...Jerebu...

Itulah fenomena yang melanda negara kita saat ini, dengan iklim cuaca yang tidak menentu tahap udara yang boleh merbahayakan kesihatan manusia. Kita selaku pemancing juga tidak terlepas dari impak keadaan cuaca yang teruk kini, apa yang boleh kita lakukan adalah dengan mematuhi peraturan dan mengikut nasihat dari pakar seperti doktor dengan meminum air dengan banyak, elakkan aktiviti luar dan kurangkan menghisap rokok (*bagi perokok).

Pintu Masuk Kolam
Walau keadaan cuaca yang tidak mengizinkan sekarang, P2U Angler tetap tidak patah semangat untuk turun beraksi. Mana boleh tahan tengok set pancing terbiar berkarat!. Lokasi kali ini yang diterjah adalah ke Kolam New Vision Sementa yang terletak di Kapar. Hanya Saya (Admin) dan Torres yang turun menguji kolam tersebut memandangkan ahli komplot yang lain sibuk dengan urusan masing-masing.

Kaunter Kolam
Senarai Pakej / Yuran
Siap Ada Promosi Dan Servis Melepaskan Perambut Lagi...Terbaik!!!
Ini merupakan kali pertama kami turun ke kolam tersebut dan sebarang pot dan teknik untuk menjerat ikan dikolam tersebut masih belum diketahui lagi. Berbekalkan sumber yang diperoleh dari internet dan google.com, apa yang kami ketahui adalah kolam tersebut terkenal dengan spesies "Kerapu Hybrid" nya serta ikan yang agak "Frenzy". Oleh itu P2U Angler akan mencuba dan membuat perbandingan kelebihan dan kekurangan kolam tersebut agar dapat menjadi rujukan kepada pemancing-pemancing lain bila mengunjungi Kolam New Vision Sementa kelak.

Saya Dan Torres Lepak Di Port Depan Kolong
Kami tiba di lokasi dan "Check In" tepat jam 4 Petang, dan sepakat membeli 6 ekor Udang hidup dan 4 ekor Ikan Belanak untuk di buat umpan. Setiap seekor berharga Rm1.00 dan disediakan di kaunter kolam. Bayaran masuk bagi sebatang joran pula adalah sebanyak Rm55.00 bagi tempoh 4jam dan tambahan Rm15.00 bagi jam berikutnya. Apa yang menariknya pemancing boleh berhenti berehat untuk solat dan makan apabila sudah memancing unutk 2 jam pertama dan menyambung jam berikutnya selepas berehat. 

Saya Bergerak Sekitar Kolam Untuk Mengilat
Tidak terlalu ramai pemancing yang ada di kolam pada waktu itu dan ini memberikan kelebihan buat kami memilih spot yang selesa yakni di bahagian hadapan kolam berdekatan pintu masuk kolam kerana banyak otai-otai selalu lepak disitu menandakan spot tersebut menarik.

Pemandangan Bahagian Tepi Kolam
Kami pun membuat balingan labuhan pertama, saya mencuba menggunakan umpan Udang yang dicangkuk pada bahagian ekor manakala Torres pula menggunakan Ikan Belanak sebagai umpan. Saya pula cuba ke bahagian hujung kolam untuk membuat balingan yang agak jauh ke tengah dan mengilat perlahan-lahan. Tiba-tiba joran Seahawk saya melentur disentap kuat oleh penghuni kolam manakala kekili Daiwa Crest 1500 berdesing "Kringg..Kring.." sudah mengena ini pada firasat saya. Drag diketatkan sedikit bagi mengawal larian ikan yang agak ganas dan meliar.

Alhamdulilah...Baru 10 Minit Sudah Menerima Sambaran
Seluruh mata dikolam tertumpu melihat aksi saya bertarung dengan ikan masakan tidak, baru 10 minit masuk kolam sudah "Kena", rezeki...rezeki...Akhirnya seekor Siakap Merah atau MJ berjaya saya tewaskan dalam anggaran 1.2kg sahaja. Alhamdulilah. Torres masih lagi tidak mendapat sebarang tangkapan dan masih setia membangau di port hadapan kolong. Ikan tadi ditambat dan dibiarkan didalam kolam untuk dibiarkan segar ketika bawa pulang nanti.

MJ @ Siakap Merah Yang Tertewas Dengan Daiwa Crest 1500
Kemudian saya meneruskan sesi pancingan dengan bergerak kesekitar kawasan kolam untuk menguji dan mencari spot-spot terbaik untuk menjerat "Sang Kerapu Hybrid". Air kolam tidaklah terlalu kotor dan berbau. Manakala kolamnya pula tidaklah terlalu dalam hanya sedepa lengan sahaja menurut otai kolam tersebut. Menurut kata otai disitu, terdapat spesies Siakap, Jenahak, MJ dan Kerapu Hybrid yang mendiami sekitar kawasan kolam.

Pada hari tersebut macam kurang orang mendapat sambaran walaupun taukeh kolam ada melepaskan beberapa ekor ikan, mungkin ikan tidak mahu membuka mulut atau mungkin juga faktor cuaca yang kering dan panas membuatkan ikan tidak aktif. Akhirnya setelah tamat tempoh memancing selama 4 jam kami pun pulang dengan keputusan 1 ekor MJ @ Siakap Merah yang berjaya kami bawa pulang. Mungkin kami akan turun sekali lagi ke kolam tersebut dan membuat persediaan yang lebih rapi.

Sekian sahaja cerita kami pada kali ini, terima kasih diucapkan kepada semua pembaca pancing2u yang sudi meluangkan masa mengunjungi blog kami. Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Kolam New Vision Sementa di talian - 017-661 5726 (Firdaus)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...