16 June 2015

Mencari "Jongkong" Di Pusat Memancing Udang KT, Gelang Patah - (08/05/2015)

Selamat Datang Ke Pusat Memancing Udang KT, Gelang Patah
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Pancing2u. Kesibukkan bekerja agak membataskan waktu untuk menghayati aktiviti yang telah dilakukan sejak zaman kanak-kanak lagi. Beberapa jemputan untuk turun ke laut dalam juga terpaksa ditolak kerana kerana bekerja di hujung minggu. Jadi apabila ada sedikit masa terluang, kolam memancing sudah pasti menjadi tempat untuk beriadah dan melepak. Mudah dan selesa walaupun tanggapan umum menyatakan buruan kolam tidak kira ikan ataupun udang tidaklah seganas buruan liar.

Yuran Memancing Dan Harga Taukeh Kolam Beli Balik Udang
Kali ini saya ingin berkongsi tempat memancing yang terkenal di kalangan pemancing Sepit Biru di Johor Bahru. Ianya terletak berhampiran terminal pengangkutan Gelang Patah Central. Kolam ini banyak melepaskan udang bersaiz ‘kasar’ dan Jongkong (udang galah sepit biru). Lawatan kali ini dilakukan bersama ‘Partner’ memancing saya iaitu Najib. Setelah selesai Solat Jumaat di masjid berdekatan, kami terus menuju ke kolam. Tanpa membuang masa, joran mula dipasang dan kedalaman air kolam disukat untuk menentukan panjang perambut. Kebiasaannya kolam udang mempunyai kedalaman yang sedikit berbeza di setiap bahagian kolam. Setelah joran telah sedia, umpan diletakkan di hujung kail dan sesi mencari Sang Sepit Biru pun bermula. Umpan yang paling kerap digunakan di sini ialah Cengkerik, Ruat/Perumpun dan Jantung Ayam. Ada juga pemancing yang menggunakan anak ikan kecil yang memberikan hasil agak lumayan.

Stok Udang Baru Sampai
Koleksi Jongkong Yang Diburu
Saya Sedang Mengukur Kedalaman Perambut
Apa yang menarik memancing udang adalah pelampung akan kerap tenggelam menandakan umpan sedang disepit atau dijamah oleh Sang Sepit Biru. Dengan kesabaran, masa membuat sentapan dan teknik yang digunakan yang menentukan udang berjaya dinaikkan atau tidak. Trip memancing empat jam bersama Najib kali ini berjaya menaikkan sekitar 500 gram udang sahaja. Dengan dua orang memancing, ianya satu rekod yang kurang baik menurut saya.

Najib Mencari Sepit Biru Di "Lubuk"
Hasil Kali Ini
Beberapa trip solo saya sebelum berjaya menaikkan Si Jongkong. Rekod terbaik saya ialah mendapat lebih kurang satu kilogram udang dengan enam cabutan bertuah dalam satu sesi lima jam memancing (empat jam berbayar + satu jam percuma). Dibawah adalah sebahagian daripada gambar hasil tangkapan yang sempat dirakamkan.

Jongkong Yang Berjaya Di Perolehi
Antara Hasil Tangkapan Lain
Hasil Yang Lumayan Tetapi Tiada Si Jongkong
Saya menyediakan sebuah kolam kecil di rumah untuk meletakkan udang hidup yang dibawa balik. Udang akan disauk apabila hendak dimasak untuk mengekalkan kesegaran. Udang yang dipancing biasanya dapat bertahan sehingga tiga minggu bergantung kepada tahap kecederaan akibat terkena matakail.

Udang Kekal Segar Di Kolam Mini
Koleksi Jongkong Saya
Pada pandangan saya, kelebihan kolam ini seperti yang telah dinyatakan banyak udang bersaiz besar dilepaskan. Terdapat juga ‘jackpot suka-suka’ yang disediakan oleh pihak pengurusan. Pemancing boleh membuat cabutan sekiranya berjaya menaikkan udang yang mempunyai potongan straw di ekor. Sepanjang saya memancing di sini, hadiah cabutan yang paling kerap diperolehi adalah air mineral, air tin dan wang tunai RM2.00. Pernah juga saya mendapat wang tunai RM5.00 dan hadiah termahal untuk saya iaitu masa memancing percuma selama satu jam. Hadiah utama cabutan bertuah ialah wang tunai RM555.00 yang tidak pernah lagi saya lihat pemancing dapat sepanjang berkunjung ke sini. Walau bagaimanapun, perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kolam ialah terdapat anjing-anjing belaan yang tidak terurus berkeliaran. Ini menjadikan kolam ini kurang sesuai untuk dijadikan tempat beriadah bersama keluarga.

Jongkong Bertuah - Mempunyai "Tag" Dibahagian Ekornya...
Dengan kedatangan bulan Ramadhan tidak lama lagi, memancing secara santai yang cuma memerlukan set joran ringkas ini boleh dicuba oleh pembaca semua. Pemancing pasti mahu datang lagi setelah merasai getaran ‘karen’ Si Sepit Biru ketika pertarungan. Setakat ini dahulu perkongsian pengalaman dari Selatan tanah air. Nantikan laporan seterusnya dan diharap semua pembaca terus setia bersama Pancing2u.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...