16 March 2015

Pusat Memancing Udang UG515, Johor Bahru - (06.03.2015)

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Pancing2u. Bertemu kembali dan kali ini saya ingin berkongsi pengalaman pertama memancing udang galah di kolam. Jika memancing ikan, segala kudrat perlu dikerahkan untuk menewaskan buruan di hujung kail. Sebaliknya, ketelitian dan kelembutan amat diperlukan untuk mendaratkan Sang Sepit Biru ini.

Selamat Datang Ke Pusat Memancing Udang UG515, Johor Bahru
Kolam yang menjadi pilihan saya ialah Pusat Memancing Udang UG515 yang terletak di Taman Perling, Johor Bahru. Kolam ini mudah ditemui kerana terletak bersebelahan jalan utama Danga Bay ke Nusajaya. Terdapat Danga Futsal Centre di belakang kolam ini. Memandangkan saya tiada pengalaman memancing udang, beberapa lawatan risikan dilakukan terlebih dahulu untuk memerhatikan spot terbaik serta kaedah dan ikatan yang digunakan oleh pemancing disini. Menurut otai yang ditemui, masa terbaik untuk memancing ialah di awal pagi dan selepas Maghrib. Umpan yang terbaik pula ialah Perumpun/Ruat, Hati/Jantung Ayam dan Cengkerik.

Maklumat Waktu Operasi Dan Bayaran
Peraturan Kolam
Bagi memudahkan pemancing, pihak kolam ini meminjamkan set joran lengkap serta umpan yang diberikan secara percuma kepada pemancing. Tetapi saya memilih untuk membeli sendiri set joran udang dengan modal kurang dari RM40.

Set Udang Amatur Saya
Seperti yang disarankan oleh pemancing disini, trip buruan Sepit Biru pertama saya dilakukan pada waktu pagi. Saya sampai di kolam pada jam 9.30 pagi.  Terdapat beberapa pemancing lain juga sedang menunggu kerana kolam beroperasi bermula jam 10 pagi. Sementara menunggu kolam dibuka, saya mula mengikat perambut dan mengambil peluang ini untuk melihat sekeliling kolam. Terdapat tiga kolam kecil di dalam kaunter yang digunakan untuk menyimpan stok udang yang akan dilepaskan pada setiap jam. Daripada pemerhatian saya, terdapat dua jenis udang dengan pelbagai saiz di sini iaitu Udang Galah dan spesis "Freshwater Crayfish".

Stok Udang Yang Akan Dilepaskan Setiap Jam
Kolam Memancing
Semua pemancing menyerbu kaunter bayaran sebaik sahaja kolam dibuka. Saya memilih untuk menduga kolam ini selama 4 jam. Memandangkan ini kali pertama saya memancing udang, saya tidak meletakkan sasaran hasil yang tinggi. Cukuplah sekadar saya belajar bagaimana untuk mengawal dan menarik udang naik. Perlu diingatkan kedalaman kolam perlu disukat terlebih dahulu bagi menentukan panjang perambut yang perlu disediakan. Tidak lama selepas umpan pertama disajikan, pelampung saya mula bergerak dan tenggelam secara perlahan. Ini menandakan sang sepit biru sedang menarik umpan. Joran 9 kaki saya mula diangkat secara perlahan. Tali yang diikat di hujung joran mula menegang dan satu sentapan dilakukan sejurus itu. Terasa berat di hujung joran menandakan buruan telah mengena. Saya mula mengangkat joran dengan perlahan dan sewaktu ini dapat dirasakan getuan udang yang menarik-narik untuk melepaskan diri. Dengan penuh ketelitian dan kesabaran, akhirnya udang galah pertama saya berjaya didaratkan.

Saya meneruskan buruan dengan lokasi balingan yang sentiasa diubah. Setelah empat jam memancing, masa yang diperuntukkan telah tamat. Permulaan yang baik untuk saya kerana berjaya mendaratkan sebanyak 13 ekor Udang kali ini. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa pemancing otai berjaya menaikkan hasil melebihi sekilo hanya dalam masa dua jam memancing. 

Buruan Yang Hinggap Di Jaring Mengumpul Hasil
Hasil Pancing Pertama
Belajar daripada pengalaman pertama, lawatan susulan secara solo telah dilakukan baru-baru ini. Disebabkan hari Jumaat, saya mengambil pakej tiga jam kali ini untuk berhenti sebelum waktu solat Jumaat bermula. Walaupun lebih singkat dari lawatan pertama, hasil yang diperolehi kali ini lebih baik. Cabaran utama memancing udang ialah untuk menentukan bila masa terbaik untuk membuat sentapan. Kerap kali apabila pelampung bergerak atau tenggelam, tidak semestinya umpan sedang dijamah udang. Kadangkala udang hanya menyepit umpan dan apabila disentap ia akan melepaskan kembali umpan. 

Hasil Trip Kedua Yang Lebih Baik
Setakat ini dahulu perkongsian saya kali ini. Terima kasih kerana terus setia bersama Pancing2u dan nantikan laporan seterusnya dari Selatan tanah air. Diharapkan semua pembaca dapat menghebahkan mengenai Pancing2u kepada rakan-rakan dan saudara agar kita sama-sama dapat berkongsi ilmu hobi memancing ini.

2 comments:

  1. Tak penah try lg kat sini.. biasa mancing udang kat belakang todays seri alam

    ReplyDelete
  2. Di JB ni memang banyak kolam pancing ikan dan udang. InsyaAllah, bila berkesempatan nanti saya akan cuba kolam-kolam lain pula.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...