03 June 2013

Kolam Pancing Seksyen 24, Shah Alam - (05.04.2013)

Assalamualaikum WBT, diucapkan kepada semua pembaca Pancing2u.Blogspot. Bagi memulakan cerita di blogspot ini, Admin akan memaparkan serba sedikit kisah dan cerita mengenai aktiviti memancing oleh "Pancing2u" atau dikenali sebagai "P2U". Setiap aktiviti yang dijalankan adalah berasaskan peristiwa sebenar dan dilalui sendiri oleh ahli kumpulan P2U Angler. Kami adalah kumpulan yang suka memancing dan menjalankan aktiviti luar yang dapat merapatkan silaturahim dan  menguatkan semangat setia kawan.

Sebagai pemancing yang tinggal di kawasan bandar yang sibuk dengan tugas dan kerja harian tetapi masih minat untuk turun memancing cukuplah sekadar melepaskan gian untuk memancing di kolam-kolam sekitar kawasan. Walaupun hajat untuk turun ke port-port luar kawasan bandar yang menarik masih belum sempat kami terjah. 


Pada kali ini budak-budak P2U telah turun ke Kolam Pancing Seksyen 24, Shah Alam untuk menguji kepakaran masing-masing mempersembahkan taktik dan strategi mereka. Boleh dikatakan rata-rata antara kami adalah pemancing Amatur dan masih dalam proses pembelajaran. Sesi kali ini boleh dianggap sebagai latihan ujian padang yang pertama buat kumpulan kami. Pada malam ini seramai 5 orang ahli P2U yang turun ke port antaranya Saya (Admin), Ringgo, Jojo, Shawn dan Torres.


Memandangkan semua ahli kelihatan penat bekerja di waktu siang, persediaan pada malam ini agak kurang sedikit. Dimana saya dan Jojo hanya mempertaruhkan "Prawn Stick" untuk digunakan pada malam ini, manakala Ringgo pula hanya membawa "Ugly Stick" 4.5 beliau. Shawn pula dilihat seperti bersedia dengan set pemancingan keluaran TCE Tackle beliau. Torres pula tiba lewat di port dan masih belum mempunyai set pancing. Terdapat beberapa spesis ikan air tawar yang ada di kolam ini antaranya Baung ekor merah, Patin, Mekong, Alligator Gar, Amazon Cat Fish, dan lain-lain.


Kami tiba dilokasi pada pukul 9:30pm dan pulang pada pukul 3:00am. Namun langit tidak selalunya cerah, tiada hasil yang diperoleh pada sesi kali ini dan kami semua pulang dalam keadaan hampa. Nampaknya makhluk dasar di kolam ini masih menyombong dan tidak mahu menyambar umpan-umpan yang kami hulurkan. Yuran bagi sebatang joran di kolam pancing ini adalah sebanyak Rm30.00 dan boleh dikatakan terbakar begitu sahaja. Namun ini tidak mematahkan usaha kami untuk terus aktif memancing dan menjadi seorang pemancing pro suatu hari nanti. Sekian sahaja kisah pada kali ini yang dapat dikongsikan buat para pembaca Pancing2u. Ikuti kisah kami dalam sesi yang akan datang. Assalamualaikum WBT.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...