Assalamualaikum WBT, ekoran dari kegagalan P2U Angler tempoh hari untuk menjerat sang penghuni dasaran, kami kembali lagi ke Kolam Pancing Seksyen 24, Shah Alam untuk mencuba nasib. Pada sesi ujian padang kali ini hanya 4 orang dari kumpulan kami yang turun antaranya Saya (Admin), Ringgo, Jojo dan Torres. Seperti biasa kami berkumpul di port pada pukul 8:30pm selepas pulang dari kerja.
Kami seperti tidak percaya yang kolam di Seksyen 24 ini memiliki hidupan dasar yang boleh dikira agak ezotik dan bersaiz gadang. Antara spesis yang dikenal pasti adalah Patin Chao Phraya, Amazon Cat Fish, Baung Ekor Merah, Alligator Gar dan lain-lain. Ikan nampak macam gempak tapi setakat hari ini rata-rata pemancing yang datang hanya berjaya menaikkan Patin, itu pun hanya untuk acara "Jackpot". Pada pendapat sayalah taukeh kolam ini hanya mempamerkan senarai ikan ezotik untuk menarik pemancing sahaja, busines sebegini memang tidak patut!.
(Senarai Penghuni Dasar Yang Terdapat Di Kolam Pancing Seksyen 24, Shah Alam) |
Berbalik kepada cerita tadi, nampaknya pada sesi memancing kali ini Jojo dan Torres lebih bersedia berbanding saya dan Ringgo. Ini kerana mereka berdua telah memiliki joran berskala 7'kaki keluaran Ofmer Infinity dan kekili Ofmer 3000 & 4000. Tali tangsi skala 10-20lbs menjadi taruhan mereka berdua pada malam ini. Manakala saya dan Ringgo masih menggunakan joran yang sama ketika sesi memancing terdahulu.
(Mempersiapkan Senjata) |
Umpan yang digunakan adalah cacing tanah dan cengkerik. Sebenarnya umpan sebegini lebih kepada menjerat Baung. Sang Patin pula dikatakan lebih menggemari umpan roti berperisa Strawberry atau Pandan. Disebabkan kami tidak sempat ke kedai pancing untuk membeli roti memadailah dengan hanya menggunakan cacing dan cengkerik. Jojo pula membawa perut ayam mentah untu dijadikan sebagai "Umpan Tapa" satu teknik untuk memikat kawanan Baung.
Joran Ofmer Infinity milik Jojo dirasakan bergetar dan bergoyang menandakan ada mangsa yang telah terjerat. Bunyi kekili berdering kuat menandakan mangsa sedang meronta-ronta didasar sana. Setelah pertarungan hampir 5 minit berlansung seekor Baung Ekor Merah bersaiz "Juvenil" berjaya didaratkan. Kami semua rasa sangat gembira kerana ini merupakan hasil tangkapan yang pertama sejak penubuhan kumpulan ini. Spesis yang berjaya ditawan itu juga merupakan antara spesis ikan ezotik.
(Jojo Dengan Hasil Tangkapan 1st) |
Selang beberapa minit selepas joran Jojo mengena kini tiba pula giliran joran Torres bergetar. Namun saingan kali ini tidak boleh dipandang remeh ekoran joran Ofmer Infinity beliau dikatakan menjadi "Pancing Terbang" pada malam itu. Setelah hampir 5 minit bertarung seekor Baung Ekor Merah bersaiz "Juvenil" berjaya didaratkan tetapi saiz pada kali ini agak lebih besar sedikit dari tangkapan Jojo.
(Spesis Ezotik - Baung Ekor Merah) |
Mengikut percaturan saya, mungkin bau perut ayam yang dijadikan "Umpan Tapa" tadi telah merangsang kumpulan Baung untuk datang menyambar cengkerik yang dipasang pada mata kail Jojo dan Torres sebab jarang sekali situasi "Double Strike" berlaku jadi memang tidak dapat disyaki lagi. Kami semua kegembiraan kerana akhirnya ada juga penghuni dasaran yang sudi meragut umpan kami.
Hajat dihati sebenarnya ingin menjerat Patin 9kg namun spesis lain pula yang mengena, nasib badan laa Labu!. Joran saya dan Ringgo masih belum mendapat sebarang ragutan buat masa ini mungkin kawanan Baung tadi sudah culas di kawasan pancingan kami dan menyedari risiko bermain disitu. Selaras dengan etika pemancingan dan menyokong kempen "Catch And Release" bagi mengimbangi eco-sistem kolam, ikan-ikan tersebut telah dilepaskan kembali kedalam kolam. Kami hanya bergambar bersama hasil tangkapan ezotik tersebut untuk dijadikan kenangan.
(Budak-Budak J.C.T Bergambar Kenangan) |
Sekian sahaja cerita budak-budak P2U pada kali ini, diharap para pembaca menunggu sesi pemancingan kami dimasa akan datang. Diharap semangat setia kawan dan minat memancing tidak akan pudar dan kembali menyengat. Nantikan aktiviti seterusnya - "Casting Siakap Banting".
No comments:
Post a Comment