10 March 2014

Misi Menawan Kerapu Hybrid Tercapai - (09.03.2014)

Kolam No. 4 (Kolam Kerapu)
Satu komplot telah diadakan pada hari ahad yang lalu oleh Saya (Admin), Torres dan Jojo untuk bersama-sama memancing ke kolam pancing air masin yang sedang hangat diperkatakan oleh golongan pemancing diluar sana yakni Kolam Pelita Harmoni (PH) yang terletak di Jugra, Banting. Misi kali ini adalah lebih kepada menjerat spesies Kerapu Hybrid saiz bagak yang mendiami Kolam No. 4

Seperti yang kita ketahui terdapat 4 kolam yang ada di Pelita Harmoni (PH).

Kolam No. 1 = Kolam Siakap 
Kolam No. 2 = Kolam Senangin Taiwan
Kolam No. 3 = Kolam Jenahak
Kolam No. 4 = Kolam Kerapu Hybrid

Pada sesi kali ini kami memfokuskan tangkapan Kerapu Hybrid yang dikatakan agak sukar untuk di jerat. Menurut kata saudara Al (*Penjaga Kolam), umpan yang boleh diguna pakai adalah Ikan Kembung yang dipotong 2 dan andai ingin menggunakan Udang harus mencangkuk 2-3 ekor sekali agar mudah dikesan oleh Sang Kerapu tersebut. Oleh itu kami sepakat untuk menggunakan Ikan Kembung sebagai umpan.

Masing-Masing Bersemangat!
Kami memilih spot dibahagian belakang kolam berdekatan dengan kincir air dan paip air kerana pada jangkaan kami Kerapu Hybrid gemar berehat dikawasan yang berstruktur dan tenang. Balingan pertama dibuat oleh Jojo sementara saya dan Torres masih lagi sedang mengikat perambut dan mata kail. Tidak sampai 10 minit labuhan yang dibuat Jojo telah menerima satu sambaran dan tarikan yang kuat oleh makhluk dasaran  tersebut. 

"Kawal...Kawal... Jo...Main Dia Perlahan-lahan" Kata Saya.

Jojo menahan asakan dan cuba untuk menewaskan mangsanya dan akhirnya "Tuus..." sekali putus. Sayang seribu kali sayang, sudah hampir berjaya didaratkan namun gagal, apabila kami periksa apakah puncanya sehingga berlaku demikian rupanya Si Jojo terlupa untuk melonggarkan 'Drag' Kekili Banax Limited Edition (LS) 700 miliknya dan cuba untuk mengangkat mangsanya yang berat keatas tanpa menggunakan tangguk. Sayang sekali, akan tetapi semangat untuk menjerat harus di teruskan.

Umpan Ikan Kembung Di Biar Tanam Di Kincir Air
Saya Dan Torres pun apa lagi, klang kabut mengikat perambut apabila melihat potensi 'Strike' yang tinggi dari Kerapu dikolam tersebut, mana boleh tahan tengok member tarik!. Saya melabuhkan umpan tadi di sekitar kawasan kincir air dan membiarkan sahaja ia "Parking" manakala Torres pula sibuk mengilat sekitar kawasan kolam yang dirasakan berpotensi.

Lesen 1st - KERAPU HYBRID Bagak!!!
Sedang kami memancing dari jauh kedengaran suara hura-hara dan semakin lama gerombolan pemancing tersebut semakin hampir dengan pondok kami lepak. Sekumpulan pemancing cina datang rupanya, kecoh jugalah sekejap apabila mereka port di pondok kami, pada awalnya kami sepeti rasa tidak selesa namun biarlah mereka lepak disini sebab rezeki masing-masing. Kami pun berkenalan dengan mereka, salah seorang dari mereka agak peramah dan kelakar bernama Ah Lim berasal dari Banting. Menurut Ah Lim mereka selalu juga berkunjung ke situ untuk memancing Kerapu.

Itu Dia Kerapu Hybrid 3Kg...
Tengok gaya memang pemancing tegar dan otai, kami pun layan borak dan berkongsi ilmu dengan "Geng Kapak" tersebut. Layan gelak juga mereka ini, sambil memancing sambil buat lawak. Tiba-tiba sedang saya bergelak ketawa, Joran PENN Squadron 5'6'' dan Kekili Daiwa Crest 1500 saya bergerak dan tali menegang, menandakan umpan telah dibawa lari. Saya pun menahan asakan tali pula berpusu-pusu keluar lalu saya mengetatkan drag kekili sedikit untuk mengawal larian ikan. Melentur juga joran PENN Squadron 5'6'' yang baru dibeli minggu lalu. Sorakan dari kawan-kawan dan mata yang tertumpu sekitar kawasan kolam menambahkan lagi rasa semangat untuk menewaskannya. Akhirnya tertewas juga Sang Kerapu Hybrid, Ah Lim membantu menangguk dan mencapai timbang miliknya,

"Wahh...Ngam-Ngam 3 Kilo Oooo...Makan Busat Ooo..." Kata Ah Lim.

Kasi Tambat Dulu...
Kemudian kami meneruskan pancingan kembali, Torres dan Jojo sudah "Berapi" kerana tidak tahan tengok member tarik Kerapu Hybrid. Cuaca panas yang terik dan persekitaran berjerebu membuatkan kami dahaga dan meminum air dengan banyak sekali. Sudah hampir jam 6 petang dan Torres dan Jojo masih belum menerima sebarang sambaran. Pemancing yang memancing disekitar kolam juga masih gagal menaikkan Kerapu Hybrid namun demikian kami masih belum mahu pulang. 

Jojo Membantu Menangguk Kerapu Torres
Torres yang dari tadi bergerak sekitar kolam akhirnya telah menerima sambaran setelah umpan dilabuhkan di kawasan paip hujung kolam dari Kerapu Hybrid di minit-minit akhir sesi pancingan, alhamdulilah ada juga hasil dari "Kumpau". Beliau mengawal dengan berhati-hati dan akhirnya tertewas seekor Kerapu Hybrid anggaran 3kg. Barulah terpancar wajah keceriaan darinya setelah berjam-jam beradu nasib.

Ceria Dengan Hasil Tangkapan...
Hasil Keseluruhan - 2 Ekor Kerapu Hybrid
Dengan tangkapan  terakhir dari Torres tadi maka tamatlah sesi pancingan pada hari ini, dengan kejayaan mendaratkan 2 ekor Kerapu Hybrid di kolam No. 4. Alhamdulilah ada juga bawa balik hasil hari ini, antara P2U Angler yang paling gembira adalah saya kerana telah berjaya melengkapkan sesi pancingan di 4 Kolam Pelita Harmoni (PH).

Saya (Admin):
Kolam No. 1 = Kolam Siakap 
Kolam No. 2 = Kolam Senangin Taiwan
Kolam No. 3 = Kolam Jenahak
Kolam No. 4 = Kolam Kerapu Hybrid

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...