07 October 2014

Menyiakap Sebentar Mencari Lauk - (05.10.2014)

Pemandangan Kolam Pelita Harmoni (PH), Banting
Assalamualaikum Dan Salam Aidil Adha dari P2U Angler kepada semua pembaca Pancing2u. Semperna cuti perayaan ini ramai yang akan pulang beraya di kampung halaman, sudah pasti ramai yang akan turun memancing di lokasi-lokasi dikampung bersama rakan-rakan dan sanak saudara. Apa kata anda kongsikan bersama Admin dan kirimkan cerita serta gambar pancing anda ke emel/Wechat dibawah. Pancing2u akan pamerkan cerita anda di blog ini agar dapat dikongsikan satu Malaysia.

Brader Depan Itu Berlatih "Baitcaster"
Baiklah pada cuti yang lalu Admin pulang ke kampung di Shah Alam (*Macam Jauh Bunyi) dan banyak menghabiskan masa dikampung melayan sanak saudara. Apabila berkumpul bersama pasti ada mulut yang "Request" untuk menu makan malam yang istimewa. Apa barang bergelar pemancing kalau menu makan tidak mewah. Kesempatan ini dimanfaatkan oleh Admin untuk memancing dan lari sebentar dari kaum keluarga.

Satu Keluarga Memancing...
Alhamdulilah setelah menghubungi beberapa taukeh kolam-kolam pancing bertanyakan kolam mereka dibuka atau tidak pada hari raya ini, ternyata hanya 1 kolam yang buka iaitu Kolam Pelita Harmoni (PH), Banting. Bolehlah, janji bawa balik seekor dua untuk dibuat lauk malamnya.

Teringat Anak Dirumah...
Setibanya di lokasi, boleh dikatakan segenap kawasan kolam dipenuhi pemancing dari muda hingga tua sedang gigih mencari ikan. Alamak, macam mana nak hadap orang yang ramai dan pasti peluang untuk mendaratkan ikan kurang dek kerana tekanan pemancing yang tinggi pada waktu itu. Redah sahaja alang-alang sudah sampai. Untuk makluman pembaca Pancing2u, Kolam PH ini sememangnya "Training Ground" bagi kami P2U Angler dalam erti kata lain kolam yang sering diterjah kami. Oleh itu rujuk pos yang lepas untuk mengetahui maklumat kolam, kadar bayaran dan info spesies.

Set Biasa Sahaja - "Standard" Kolam :)
Semasa memancing, Admin terhibur bila melihat telatah si cilik yang sibuk "Menarik" ikan sambil ditemani ibu bapa. Teringat pula pada anak Admin, cepatlah membesar agar boleh teman memancing bersama. Kembali kepada cerita tadi, pot yang dipilih hanya bahagian depan Kolam Siakap dan menggunakan umpan Udang hidup kemudian dilabuhkan ke kawasan tengah kolam. Lebih kurang 10 minit menunggu joran X-Puyu Zonoa 5'0" disentap oleh Siakap bersaiz juvenil.

Berkilat-Kilat Sisik...
Admin sengaja melonggarkan "Drag" kekili Tomman Spin Pro 2000 yang dipadankan dengan tali tangsi Tomman Performance 15lb agar ketika ikan menarik kedengaran bunyi nyaring. Jangan dipandang enteng Sang Siakap di sini, kecil-kecil cili padi. Pada sesi kali ini sahaja Admin 4 kali rabut akibat lompatan "Akrobatik" mereka dan sehingga ke akhir sesi pancingan Admin hanya berjaya mendaratkan 2 ekor Siakap bersaiz hidangan sahaja.

Hasil Sesi Ini - 2 Ekor Siakap Saiz Hidangan
Alhamdulilah bersyukur dengan rezeki yang diberikan, Admin bersiap-siap untuk pulang kerana hari sudah hampir gelap. Kepada pembaca Pancing2u yang masih belum berkesempatan mencuba memancing disini adalah digalakkan untuk mencuba. Akhir kata selamat maju jaya dan teruskan memartabat dunia sukan memancing.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...