21 July 2013

Siakap Gadang!!! Kolam Pancing (GP), Rawang - (04.07.2013)

(Kolam Green Paradise (GP), Rawang)
Bertemu lagi dalam aktiviti memancing Budak-budak P2U Angler. Pada sesi kali ini kami telah pergi menerjah kolam pancing yang tidak asing lagi bagi "Angler-Angler" yang tinggal di sekitar Lembah Klang mahupun di daerah Selangor. Kolam tersebut adalah Kolam Pancing Green Paradise (GP) yang terletak di Rawang bersebelahan dengan Taman Rimba Templer. Lokasi kolam ini sememangnya strategik dengan dikelilingi bukit-bukau yang hijau dan sejuk menunjukkan ekosistemnya yang masih belum dicemari. Jarak kolam tersebut dari Pusat Bandar Kuala Kumpur hanya memakan masa lebih kurang 30 minit sahaja, bergantung kepada kesesakan lalulintas.

(Pemandangan Kolam Pancing Yang Tenang)
Pemancing hanya perlu menggunakan lebuhraya di Jalan Kuching andai anda dari Pusat Bandar kemudian jalan terus hingga melepasi pasar borong Selayang di sebelah kiri dan kanan anda kemudian terus lagi sehingga bertemu Jabatan Ukur Tanah disebelah kanan anda dan teruskan perjalanan sehingga anda melihat Taman Rimba Templer di sebelah kanan dan perumahan disebelah kiri. Masuk ke taman perumahan tersebut dan anda perlu melepasi satu pondok pengawal (*Boleh Lepas) dan anda akan sampai ke kolam tersebut.

(Yuran Memancing)
Bayaran untuk sesi 3 jam pemancingan adalah sebanyak Rm60.00 dan setiap 1 jam berikutnya di kenakan cas Rm 20.00. Minimum adalah 3 jam memancing dan umpan hidup seperti udang ada dijual pada harga Rm1 seekor. Terdapat kemudahan untuk pemancing seperti tempat letak kereta, kedai makan dan minuman, tandas awam, surau dan tempat menyiang ikan juga ada disediakan. Apa yang menyeronokkan adalah ketika memancing pekerja gerai tersebut akan membuat "Tawaf" disekeliling kolam mengambil pesanan makanan dari pemancing-pemancing jadi kita tidak perlu berlapar ketika menjerat penghuni dasaran. Pemancing boleh "Mengeteh" sambil berborak-borak dengan kawan-kawan ketika memancing. Ini adalah satu inisiatif yang baik.

(Joran Dilabuhkan Dan Sesi Memburu Bermula)
Setelah mendapat info dari seorang kawan yang telah kesana dan mengatakan kolam tersebut bagus. Budak-budak P2U Angler pun telah membuat rujukan berkenaan kolam tersebut dari pelbagai aspek melalui laman web google dan forum-forum di internet lalu kami semua sepakat untuk menguji kolam tersebut.  Pada sesi kali ini hanya Saya (Admin) dan Ringgo yang turun untuk menguji hidupan dasar disini. Setelah membuat rujukan di internet, didapati terdapat specis hidupan seperti Siakap, Senangin Taiwan, dan Jenahak yang menghuni kolam GP, Rawang ini dan diet utama mereka adalah Udang.

(Ringgo Masih Tekun Memancing)
Saya mempertaruhkan Kelili keluaran Banas Xtream 3000 dan Rod Abu Tournament SX berkekuatan 10-30lb manakala tali pula saya hanya menggunakan Tali Flurocarbon 40lb keluaran Lemax. Ringgo pula mempertaruhkan Kelili baru dibelinya PENN Battle 4000 dan Rod PENN Marco berkekuatan 10-20lb manakala tali braided 30lb keluaran Power Pro. Senjata yang dipertaruhkan semuanya diperlukan untuk menawan makhluk dasaran disana GP, Rawang sebab dengar cerita makluk dasaran disana semuanya saiz gadang-gadang belaka.

(Otai Kolam Aka Pakcik Zainal) 
Sesi pancingan kami bermula pada pukul 12 tengah hari di kolam tersebut memandangkan masa yang diperuntukkan 3 jam sedang eloklah rasanya kerana pada waktu begini ikan-ikan sedang liar memburu makanan. Masa berlalu dengan pantas sekali sedar tidak sedar sudah 2 jam berlalu namun masih tiada sebarang tangkapan. Puas sudah mengilat dan menanam umpan malah berbagai-bagai teknik dijalankan namun masih "Kumpau". Nasiblah ada pekerja kedai makan yang lalu untuk mengambil pesanan, bolehlah kiranya membasahkan tekak dan hilangkan stress apabila berborak dengan rakan.

(Bertarung Dengan Siakap Gadang!)
Setelah agak lama menunggu, Ringgo menyatakan hasrat untuk bertukar port ke kawasan yang lebih strategik untuk menjerat ikan mungkin nasib akan lebih baik. Saya pun bersetuju dengan cadangan tersebut dan kami pun berpindah ke kawasan kincir air sebelah hujung kolam. Disana kami bertemu dengan seorang pakcik yang hanya ingin dikenali dengan nama Pakcik Zainal, menurut beliau teknik kami salah untuk menjerat makhluk dasaran dikolam tersebut. Memandangkan beliau selalu turun ke kolam tersebut dan melihat hasil tangkapannya juga agak membanggakan 3 ekor lalu kami bertanyakan perihal teknik dan cara dari beliau. Pakcik Zainal tidak kedekut ilmu dan sudi menolong kami malah beliau sanggup mengikat tali perambut joran kami.

(Siakap Berjaya Ditewaskan)
Tiba-tiba joran Abu Tournament SX saya terasa satu sambaran yang agak kuat, kemudian saya melepaskan tali untuk membiarkan mangsa membawa lagi umpan Udang tersebut. Apabila ia leka saya menutup dan mengetatkan Drag sedikit demi sedikit dan mula melayan penangan makhluk dasaran tersebut. Pada pandangan saya ianya adalah seekor Siakap dan terbukti ianya benar. Hampir 10 minit bertarung dan akhirnya Siakap tersebut tertewas. Alangkah gembiranya hati ini setelah seharian menunggu dan akhirnya berjaya mendapatkan seekor Siakap anggaran saiz 2++ KG. Memang nasib orang cakap!.

(Wajah Kegembiraan Terpancar Setelah Mendapatkan Ikan)
Ringgo masih belum berjaya menaikkan ikan mungkin belum sampai rezekinya lagi. Sekali-sekala terasa getuan pada joran beliau tetapi apakan daya belum tiba masa mengena. Saya sudah berpuas hati dengan hasil tangkapan ini, Memandangkan masa memancing kami hanya tinggal lagi beberapa minit lalu kami pun sepakat untuk bersiap mengemas barang-barang pancing untuk pulang. Cukuplah untuk hari ini hasil tangkapan yang boleh di banggakan, nasib kami tidak pulang "Kumpau". Walaupun hasil tangkapan tidak banyak tapi kami sepakat untuk turun lagi ke Kolam GP, Rawang ini lain kali.

(Siakap Gadang Ada Bran!!!...)
Kepada rakan-rakan pembaca blog Pancing2u yang berminat untuk mencuba nasib di kolam ini sememangnya dialu-alukan. Ikut sahaja direktori jalan yang telah saya berikan pada awal cerita ini dan dinasihatkan agar rajin-rajin bertanya kepada mereka yang selalu turun memancing di kolam ini sebelum anda turun beraksi kerana takot ada yang "Kumpau" kerana ikan-ikan disini ada teknik dan cara untuk menggodanya. Sekian sahaja cerita kali ini dan nantikan episod seterusnya aktiviti P2U Angler dalam Pancing2u. Sekian Assalamualaikum WBT.

6 comments:

  1. Assalam Ada no tel lokasi kolam memancing x

    ReplyDelete
  2. Assalam Ada no tel lokasi kolam memancing x

    ReplyDelete
  3. kolam ni dah tak jadik mcm dulu. ikan susah nak makan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. ye ker, mungkin jugak dengar cerita tokey kolam dah nak jual tanah tersebut untuk projek pembangunan...

      mungkin dia nak habiskan sisa stok ikan..

      Delete
    2. byk sgt lampam jawa dlm kolam. umpan casting pon di sambarnya.

      Delete
  4. Btol2...last pergi pkai udang hbis gitu je...tkr pkai ikan sarsin pting bru boleh

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...