05 September 2013

Jenahak!!! Kolam 2 Sealion Mengganas... - (29.08.2013)

Trip ke Kolam Sealion No. 2 ini sememangnya tidak dirancang dalam kalender pemancingan P2U Angler, dimana ia jatuh pada hari bekerja, malah misi ke kolam diatur 1-2 jam sebelum sesi pemancingan dibuat dek kerana di "racun" Ringgo sewaktu bekerja. Memandangkan saya tidak membuat sebarang aktiviti pada sebelah malamnya oleh itu saya menyetujui trip tersebut.

(Saya Menggunakan Set Ringan Daiwa)
(Ringgo Dan Set PENN) 
Tepat pukul 9.30 malam saya telah ke rumah Ringgo di Shah Alam untuk mengambilnya dan kami ke kolam tersebut melalui lebuhraya baru ke Perlabuhan Klang dan dikenakan bayaran Tol sebanyak Rm2.60. Kami tiba dikolam pada pukul 9.54 malam dan mengambil pakej selama 3 jam. Sesi kali ini hanya saya dan Ringgo sahaja memandangkan ianya trip sangap dan tergempar.

(Antara Pemancing Yang Membangau)
Saya telah membeli umpan Udang sebanyak 5 ekor manakala Ringo pula hanya menggunakan isi ikan Kembung pada malam tersebut. Pada sesi kali ini saya hanya menggunakan set ringan agar tangan tidak lenguh ketika "Casting". Saya mempertaruhkan Joran Seahawk Carbon Max 5.5' dan menggunakan kekili Daiwa Crest 1500. Tali pula saya menggunakan tali sulam 20lb dan perambut tangsi 40lb. Ringgo pula mempertaruhkan Joran PENN Marco 6' dan kekili PENN Battle 4000 manakala tali pula dia menggunakan tali sulam 40lb keluaran Power Pro.

(Suasana Kolam Yang Tenang)
Setelah semua peralatan siap di pasang maka umpan mula dilabuhkan. Saya terus "Casting" menggunakan Udang hidup manakala Ringgo pula menggunakan pelampung dan isi ikan. Apa yang menarik pada sesi kali ini kami duduk di port yang dikatakan "Port Jenahak" dimana ia menjadi sarang atau laluan spesis tersebut memandangkan ramai pemancing yang berjaya menarik Jenahak disitu. Port tersebut terletak di pintu masuk kolam dan dihadapan kolong kolam.

(Jenahak 1st Berjaya Saya Jinakkan 2.2KG)
Jiran disebelah kami kerap menerima tarikan Jenahak, nasib beliau memang baik pada malam itu sehingga 5 ekor dalam masa 3 jam. Walaubagaimana pun kami tetap sabar menunggu, saya masih meneruskan sesi mengilat saya dengan menghalakan ke bahagian kolong tersebut. Jam telah menunjukkan pukul 12 malam dan sedang saya berborak-borak dengan Ringgo, tiba-tiba joran saya digetu dan terasa seperti satu sedutan yang kuat. Saya melepaskan tali selama lebih kurang 5 saat agar ikan tersebut berenang-renang bebas tanpa rasa diancam ketika mengumam umpan Udang saya kemudian saya mengunci kekili dan mula mengetatkan "Drag" agar tali dapat ditegangkan. Terasa satu tarikan yang agak ganas dan liar juga, joran ringan Seahawk saya terus melentur membentuk huruf "U". Hampir 10 minit saya cuba melayan tarikan ikan yang cuba meloloskan diri kedalam Kolong, habis semua tali pancing orang lain di langgarnya, nasib baik kesemua pemancing disitu memang sudah tahu dan berpengalaman menguruskan joran ketika ada pemancing yang terkena ikan.

(Timbangan Seberat 2.2KG)
Setelah ikan berjaya dinaik ternyata ianya seekor Jenahak seberat 2.2 KG. Hati saya puas seketika dan terasa berbaloi kerana dikurniakan hasil tangkapan sulung seekor Jenahak yang merupakan lesen pertama saya dalam menjerat spesis tersebut. Selang 15 minit saya mendapat ikan, tiba giliran Ringgo pula mengene getuan ikan, akan tetapi tali perambutnya rabut ketika bertarung dengan ikan. Nasib tidak menyebelahinya apakan daya. Kami meneruskan sesi memancing kami memandangkan masih terdapat baki 2 jam lagi untuk memancing dikolam tersebut.

(Dua Ekor Jenahak Yang Tertewas)
Setelah Ringgo mengikat perambut baru dan terus menyambung untuk mengilat, sekali lagi jorannya menerima tarikan dari sang makluk dasaran, kali ini Ringgo fokus untuk mendaratkannya dan berhati-hati melayan tarikan ikan tersebut, agak ganas juga tarikan kali ini habis semua tali pancing orang lain dilanggarnya termasuk tali pancing saya. Saya terpaksa memutuskan tali pancing saya agar terlucut dari belitan tali Ringgo, akhirnya seekor Jenahak berjaya didaratkan oleh Ringgo yang mana merupakan lesen Jenahak pertama untuk Ringgo. Berat ikan Jenahak yang didaratkan adalah seberat 1.8 KG.

(Saya Dengan Trofi Jenahak 2.2KG)

(Ringgo Dengan Trofi Jenahak 1.8KG)
Kami beranggapan mungkin pada waktu tersebut merupakan waktu makan ikan-ikan dikolam tersebut kerana ikannya sangat "Frenzy" selepas pukul 12 malam. Rezeki menyebelahi kami dan kami berjaya membawa pulang seorang seekor, walaupun tidak banyak hasil yang diperoleh namun kami sudah rasa sangat gembira kerana tidak pulang "Kumpau". Memandangkan waktu memancing telah hampir tamat maka kami bersiap sedia untuk pulang dengan hasil tangkapan kami. Terima kasih diucapkan kepada pembaca Pancing2u yang sudi meluangkan masa membaca cerita kami dan nantikan sesi pancingan kami dimasa akan datang. Assalamualaikum wbt.

2 comments:

  1. Bagus ceritanya. Cuba beralih kpd baitcaster lg feel

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih tuan, In Sha Allah dalam proses untuk beralih kepada penggunaan Baitcaster dan pemancingan liar....

      Apa-apa pun teruskan sokongan anda terhadap blog kami dan memberikan komen serta panduan yang bernas :)

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...