18 October 2013

Baung Sungai Galas, Gua Musang - (23.03.2013)

Assalamualaikum WBT, di ucapkan kepada semua pembaca yang dihormati. Mungkin trip yang akan bakal saya diceritakan ini agak usang dek kerana ianya berlaku lebih kurang dalam bulan Mac 2013 yang lalu. Namun trip pancingan ini merupakan titik tolak dalam diri saya dan P2U Angler kerana selepas trip ini kami mula bergiat aktif dalam dunia hanyir ini. Oleh itu mari kita layan.

(Memilih Set Memancing Ekonomi Ekoran Set Tinggal Dirumah)
Trip ini berlangsung sewaktu Saya (Admin) "Outstation" ke Gua Musang bagi tujuan melawat Stesen Hibrid Solar TNB. Semasa saya menjalankan kerja saya terlihat sebatang Sungai yang bernama Sungai Galas dimana airnya jernih tetapi berarus deras, ia terletak bersebelahan stesen kereta api lama di Gua Musang dan terdapat jambatan gantung usang di situ. Didalam kepala saya terbayang spesies ikan-ikan air tawar seperti Kelah, Sebarau, Patin, Baung, Kaloi, Lampam dan dll. tetapi bila waktunya saya hendak turun menjerat?, persoalan yang bermain di fikiran saya. Namun setelah tamat waktu kerja saya dan beberapa kawan telah merancang "Komplot" untuk menerjah sungai tersebut.

(Jambatan Gantung Sungai Galas)
Sebelum itu kami telah pergi ke kedai akuarium yang terletak di kawasan bandar Gua Musang untuk membeli umpan seperti cacing, roti dan cengkerik. Ada juga diantara kami yang membeli set lengkap seperti joran dan kekili ekonomi kerana biasalah set memancing tinggal dirumah dan ini merupakan sesi pancingan tergempar.


(Arus Sungai Yang Agak Deras Dan Cetek)
Lebih kurang pukul 3:00pm kami seramai 6 orang mula turun ke lokasi dan berpecah kepada beberapa kumpulan kecil untuk menjerat makhluk dasaran disitu. Saya dan Abg Wan mencuba nasib di tepi sungai berkenaan, Encik Mustafa dan Roslan telah memilih untuk memancing di atas jambatan manakala Azhar Calong cuba "Casting" di kawasan hilir sungai. Masing-masing sabar menanti ikan-ikan disana menjamah umpan. Kelibat penduduk kampung turut sama turun memancing di kawasan kami memancing ini menambahkan lagi semangat kami.

(Itu Dia...Ikan Baung Liar 2 Ekor!!!)
(Encik Mustafa Dan Hasilnya)
Masa berlalu dengan pantas sekali namun masing-masing masih gagal mendaratkan ikan, hari semakin gelap dan kami terpaksa pulang awal untuk berehat di hotel sebelum keluar makan malam. Akhirnya saya, Abg Wan, Azhar Calong dan Jaffri sepakat untuk pulang ke hotel dan meninggalkan rakan-rakan lagi 2 orang itu memancing. Lebih kurang pukul 8.30pm kami telah ke kedai "Makan Mana Lagi" untuk makan malam, dan dikejutkan dengan panggilan telefon dari 2 orang rakan kami sedang giat memancing dari petang sehingga malam telah berjaya mendaratkan 2 ekor ikan baung liar bersaiz "Juvenil" menggunakan umpan "Tapah" berbau yang telah diberikan oleh penduduk kampung tadi.

(Ikan Baung 3 Rasa...Isinya Lembut Dan Segar)
Kami semua bersorak gembira dan akan menggoreng ikan tersebut untuk dibuat lauk makan malam. Mengikut kata Mustafa dan Roslan, mereka berdua telah membuat pancingan dasar dan ikan Baung tersebut hanya meragut umpan mereka ketika waktu hampir senja dikala matahari ingin melabuhkan tirainya. Memang dapat dijangkakan yang spesies ikan Baung ini merupakan spesies pemangsa dasaran dan memakan umpan dapat menarik perhatiannya seperti bau-bau yang busuk dan hanyir. Ikan tersebut telah kami masak 3 rasa dan isinya juga enak dan lembut. Akhir kata buat pembaca Pancing2u cubalah menjerat baung liar di Sungai Galas, walaupun arusnya deras namun masih ada makhluk dasaran yang tinggal disana.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...