27 October 2013

Jenahak Seri Tanjung Patahkan Rod!!! - (26.10.2013)

Lokasi: Kolam Seri Tanjung, Port Klang
Tarikh: 25.10.2013
Masa: 11:00pm - 05:00am
Ahli Komplot: Admin, Ringgo dan Torres

Setelah hampir 2 minggu P2U Angler mengalami trauma "Kekumpauan" di Kolam Jugra Sport Fishing satu komplot telah diaturkan untuk mengubati luka dihati. Komplot kali ini bertempat di Kolam Seri Tanjung, Perlabuhan Klang yang sememangnya kaya dengan spesies ikan laut seperti Jenahak, Kerapu, Bawal, Senangin, Merah, Kaci, dll. Ini merupakan kunjungan pertama kami ke kolam ini oleh itu teknik serta permainan kolam berkenaan masih belum kami ketahui, Ayuh kita layan!...

(Kolam Seri Tanjung,Port Klang)
(Ketibaan Yang Amat Berhormat) 
Tepat jam 9.30mlm bersamaan 25.10.2013, Saya (Admin) dan Ringgo telah berkumpul di Seksyen 7, Shah Alam di rumah Torres dan menaiki R3 Ringgo untuk ke kolam tersebut. Alhamdulillah jam 10.30mlm kami tiba di Kolam Seri Tanjung, sewaktu ketibaan kami di kolam pada hari itu tidak ramai kelibat otai-otai kolam disitu dan ini merupakan satu kelebihan buat kami kerana dapat memilih port untuk melabuhkan joran.

(Pekene Teh Dulu Sambil "Setting Joran")
Setelah meninjau-ninjau sekitar kolam, kami terus ke kaunter untuk bertanyakan bayaran serta pakej yang ditawarkan. Menurut penjaga kaunter tersebut terdapat banyak pakej yang ditawarkan khas untuk pancingan malam dan siang, kami telah memikih pakej memancing dari pukul 11 malam sehingga 5 pagi dengan bayaran sebanyak Rm66.00. Umpan Udang dan Ikan Belanak ada dijual di situ dengan harga Rm1.00 seekor. Disebabkan belum pukul 11.00 malam maka kami sempat minum Teh Tarik dahulu sambil "Setting" senjata di gerai di kolam tersebut.

(Torres Sedang Sibuk "Casting")
(Ringgo Dan Set Ryobi Miliknya)
Pada sesi kali ini saya menggunakan set Ofmer yang baru diterima dari King Fisher Sdn. Bhd. iaitu rod Ofmer Infinity 5.6 kaki, kekili Ofmer Aegis 3000 dan tali tangsi Ofmer E-Gold berkekuatan 23lb. Torres pula mempertaruhkan set Abu Garcia beliau iaitu rod Abu Vengeance 5.6 kaki, kekili Abu Omega 4000 dan tali sulam Berkley 20lb manakala Ringgo menggunakan set Ryobi beliau yang terdiri dari rod Ryobi Reventon 5 kaki, kekili Ryobi Krieger dan tali sulam 30lb. Kami membahagikan kepada 3 division pada malam tersebut dimana masing-masing membawa tanggungjawab menggalas jenama terkenal seperti Ofmer, Ryobi dan Abu Garcia.

(Manalah Makhluk Dasaran Ini)
Nasib kami pada malam itu 50-50 kerana angin bertiup kencang menandakan hujan lebat akan turun sekejap lagi. Bila hujan turun bermakna ikan akan culas dan tidak mahu membaham umpan kerana air kolam menjadi sejuk. Kami tawakal sahaja kepada allah swt dan teruskan juga sesi memancing. Joran telah dilabuhkan dan masing-masing mencuba teknik pelampung dan casting. Setelah hampir 1 jam membangau dan tiada tarikan dilakukan kami berpindah port ke bahagian belakang sedikit. Dari jauh nampaklah ada seorang otai kolam berjaya mendaratkan Kerapu Harimau.

(Itu Dia JENAHAK Sudah Naik)
Hujan masih turun renyai-renyai dan kami masih belum berjaya memperoleh sebarang hasil tangkapan. Adalah beberapa pemancing ini asyik-asyik bawa naik ikan Bawal. Apa yang dapat kami pelajari di kolam ini adalah anda haruslah mensasarkan spesies apa yang ingin dijerat dan mengaplikasikan teknik yang bersesuaian sebagai contoh jika ingin menjerat Kerapu maka gunakan teknik pelampung dan hanyutkan sahaja umpan yang dipasang pada perambut sedepa. Kedalam kolam ini kata otai-otai kolam disitu 8-9 kaki, itu dalam dan macam tidak percaya pula. Oleh yang demikian kita tidak boleh semberono Casting memang kumpaulah jawabnya sebab ikan berenang didasaran padanlah orang tengok sahaja saya Casting, buang tebiat agaknya. Almaklumlah kami budak baru belajar dan pertama kali turun kolam ini, nasib cepat sedar dan rajin bertanya otai kolam.

(Tali Tambat Tepi Kolam Namun Ikan Masih Cuba Melarikan Diri)
Nasib baiklah pakej 6 jam, legalah juga ada masa lebih untuk pancing. Ini sudah 2 jam setengah kami pancing, saya dan Torres ada juga menerima getuan di joran tetapi rabut ekoran lambat menyebat joran. Tiba-tiba saya menerima satu sambaran dari makhluk dasaran, saya biarkan tali dilepaskan seketika dan kemudian menyentap joran, alhamdulillah tertancap kemas akhirnya. Ganas juga ikan ini tetapi ikan apakah?, saya karau sehingga ketepi dan kelihatan sisik keemasan naik timbul rupanya seekor Jenahak. Setelah saya heret ketepi kolam untuk di bawa naik keatas tiba-tiba Jenahak tersebut membuat satu pecutan kedasar, Praappp!!!...habis patah hujung joran Ofmer saya, aduhai nasib-nasib. Alhamdulilah saya berjaya mendaratkan seekor Jenahak buat masa ini. Setelah ditimbang ianya seberat 1.8kg.

(Sang Jenahak Yang Tertewas Pada Sesi Kali Ini)
Setelah ditambat ditepi kolam saya ke kereta untuk menukar joran simpanan nasib baik bawa lebih kalau tidak tengok sahajalah kawan-kawan pancing. Kalau diikutkan ini kali kedua saya daratkan Jenahak, dua-dua patah joran apa punya badilah. Ringgo dan Torres masih kumpau dan tidak menerima sebarang getuan. Sudah pukul 4 pagi dan kami masih meneruskan pemancingan. Dari jauh kelihatan pelampung Torres tenggelam, dan orang sekitar kolam menjerit-jerit ada "Ada Ikan Tue!", "Ada Ikan Sebat-Sebat!" akan tetapi Torres mengalami masalah teknikal sewaktu lepaskan tali, talinya telah tersimpul maka masa yang diambil untuk membetulkan tali menyebabkan ikan culas dan melepaskan umpan.

(Penimbang Analog Keluaran Bakau)
(1.8KG - Saiz Sedap Makan)
Akhirnya masa pancingan selama 6 jam telah tamat, banyak teknik dan corak persembahan kolam yang dapat kami pelajari disini. Terima kasih diucapkan kepada otai kolam dari Keramat AU4, diatas tip-tip yang diberikan dan pelampung yang diberi pinjam kalau abang sempat membaca blog tulisan kami ini ribuan terima kasih diucapkan, insyallah kalau panjang umur kita jumpa lagi. Tidak lupa juga kepada para pembaca Pancing2u, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi membaca tulisan dan cerita kami. Akhir kata, cubalah memancing di Kolam Seri Tanjung, Port Klang kerana ianya memang mencabar dan menduga skill anda. Sebelum anda turun memancing disini rujuk di forum-forum pancing berkenaan teknik pemancingan disini. Jangan lupa untuk bertanya otai-otai kolam disini insyallah mereka pasti membantu. Lagi satu ini kolam orang melayu kita jadi "Support" lah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...