30 June 2014

Layan Tarik!!!...Ikan Gred "A" - (27.06.2014)

"SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK IKHLAS DARI P2U ANGLER"

Tiba Di Lokasi Tepat Pukul 2 Petang...
Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada para pembaca blog Pancing2u, seperti kita sedia maklum bulan Ramadhan bakal berkunjung tiba menandakan seluruh umat islam akan menunaikan ibadah berpuasa. Aktiviti memancing pastinya akan terhenti seketika sepanjang bulan ini, komplot-komplot bersama rakan-rakan ke lubuk-lubuk yang sering dikunjungi pasti akan tertunda sehingga selesai tempoh berpuasa. Namun kepada mereka yang bergelar pemancing "Hardcore" aktiviti memancing ini pasti akan terus berjalan biar pun cuaca panas dan kering janji dapat "Menarik!!!..."


Kami Memilih Pondok Paling Hujung
Misi Menduga Kolam No. 4 (Kerapu)
P2U Angler juga sempat bergasak dengan beberapa ekor spesies di Kolam Pelita Harmoni (PH) yang terletak di Banting sehari sebelum bermulanya puasa. Komplot kali ini hanya disertai oleh Admin dan Ringgo yang kebetulan memang sepakat untuk turun pada hari tersebut. Misi sebenarnya untuk menguji set PENN yang baru dibeli oleh Ringgo 1 bulan yang lalu namun beliau masih belum berkesempatan mengujinya ekoran kesibukan kerja.

Ringgo Mencuba Set Ringan PENN Beliau...
Kami tiba di lokasi pada pukul 2 petang, suasana kolam aman dan tenteram. Tidak ramai pemancing yang memancing kerana kami ke sana pada waktu bekerja, bukan apa potensi untuk menerima "Strike" lebih tinggi dikala tekanan pemancing berkurangan. Kami pun dapatlah kiranya bergerak bebas dan memilih spot yang baik untuk sesi pancingan nanti. Untuk makluman pembaca yang baru, yuran bagi sebatang pancing hanyalah sebanyak Rm3.00 sahaja dan ikan yang berjaya dipancing harus ditimbang mengikut jenis gred ikan ( Sila Rujuk Post *Kolam Pelita Harmoni (PH) ).

Admin Biarkan "Bottom" Sahaja
Kali ini Admin sengaja menggunakan set Heavy Action, Rod Abu Garcia Tournament Sx 7'0", kekili OKUMA Trio Baitfeeder 55 dan Braided Line Ichiban 60lb. Manakala Ringgo pula menggunakan set ringan beliau yakni Rod PENN Squadron 5'6", Kekili PENN Battle 2000 dan Braided Line Ichiban 20lb. Kami ingin menguji keberkesanan tahap kepuasan melayan spesies di kolam ini dengan penggunaan set berlainan. Setelah persiapan perambut di buat, Admin menggunakan umpan Udang hidup manakala Ringgo pula menggunakan isi Ikan Kembung yang dipotong kecil. Kemudian labuhan dibuat di kolam Kerapu bahagian berdekatan kincir air dimana kami tahu situ merupakan kawasan lepak "Sang Kerapu" cuma saiznya akan sudi menjamah umpan yang tidak kami ketahui, berkemungkinan 2kg, atau 4kg.

Ringgo Sedang Melayan Asakan!!!...
Kerapu Hybrid Seberat 2 Kilo...
Setelah hampir 15 minit labuhan dibuat tidak terdapat sebarang sambaran dari makhluk dasaran. Ringgo cuba untuk mengulung tali beliau kemudian tiba-tiba, "Eh..Eh..Ada..Ada.." kata Ringgo, rupanya umpan isi ikan beliau telah dimakan secara senyap. Apa lagi bermulalah sesi pertarungan dengan Sang Kerapu yang dicari-cari. Admin sempat merakam gambar aksi beliau dan detik-detik pertarungan beliau. Lebih kurang 3 minit melayan asakan, lalu tertewaslah seekor Kerapu anggaran skala 2kg. Memang mendebarkan jika kita menggunakan set ringan untuk melayan.

Giliran Admin Pula Bertarung!!!...
Terbaik!!!...
Kerapu Hybrid Yang Tertewas Seberat 2.5 Kilo...
Sedang kami sibuk mengambil gambar dan bergembira meraikan hasil tangkapan Ringgo, mesin baitfeeder Admin memuntahkan tali keluar, nampaknya pengera teknologi Baitfeeder Admin berfungai dengan baik. Joran diangkat dengan cermat dan Admin melakukan satu sembatan, "Yes..Aku Punya Dah Kena...Yahuu.." kata Admin kepada Ringgo yang ketika itu sedang sibuk memasang ring pada mulut tangkapannya. Walaupun set berat yang digunakan namun kudrat tarikan Kerapu kali ini amat kuat sekali. "Berat Nie...Penat Nak Layan..." kata Admin. Kepuasan masih dapat dirasakan sewaktu pertarungan dan setelah dilayan dengan baik akhirnya tertewaslah seekor Kerapu anggaran skala 2.5kg.

Berkocak Air - Lihat Betapa Ganasnya Si Merah Ini...
Sememangnya satu kepuasan dikecapi apabila joran masing-masing mengena dan beroleh tangkapan. Setelah selesai menambat hasil tangkapan di tepi kolam, tanpa membuang masa kami beralih kepada Kolam No. 3 yakni kolam Jenahak, namun menurut taukeh kali ini ada dilepaskan Ikan Merah. Bolehlah kami cuba menangkap untung-untung boleh buat Sup Ikan Merah untuk berbuka puasa nanti. Kali ini Ringgo masih menggunakan isi Ikan Kembung dan Admin pun turut sama menggunakan umpan yang sama memandangkan potensi umpan tersebut cepat disambar.

Tertewas Seekor Merah
Ikan Merah - Sedap Jika Dibuat Sup!
Tidak sampai 10 minit sekali lagi kekili Baitfeeder Admin memuntahkan tali. "Alhamdulilah Bob...Nampaknya Menjadi Juga Umpan Ikan Kembung Nie..." kata Admin kepada Ringgo. Setelah di layan dengan cermat kelihatan warna kemerah-merahan timbul di permukaan air, "Yes..Ikan Merah...Ikan Merah...Bawa Tangguk Cepat..." kata Admin. Akhirnya Admin berjaya mendaratkan seekor Ikan Merah. Pada mulanya risau kalau Jenahak yang sudi, alhamdulilah berjaya dapatkan spesies yang dicari.

Ringgo Dan Si Merah...
Ringgo juga berjaya menjerat seekor ikan Merah, nasib kami memang begitu baik sekali kerana setiap umpan yang dilabuh akan digetu tidak kurang dari 10 minit. Mungkin waktu makan bagi ikan-ikan dikolam tersebut atau mungkin juga tekanan pemancing tidak begitu ramai. Setelah Ringgo berjaya mendaratkan hasil tangkapan beliau, kami sepakat untuk berpindah dan menduga kolam No. 1 (Siakap), entah apa yang sudah merasuk kepala kami, rasa ketagih pulak hendak menarik ikan.

Jom Kita Pindah Kolam...
Selesai Menangkap Spesies Yang Diidamkan Kami Berhijrah ke Kolam No. 1 (Siakap)
Memandangkan umpan Udang dan isi ikan Kembung kami masih ada, jadi tidak perlulah kami membeli lagi dan boleh diguna pakai untuk sesi pemancingan di Kolam No. 1 (Siakap) nanti. Bilangan pemancing di sini agak ramai berbanding kolam lain almaklumlah kolam Siakap ini merupakan spot kegemaran orang ramai untuk memancing memandangkan harga timbangan yang jauh lebih murah berbanding kolam lain.Menurut taukeh, beliau ada melepaskan banyak Siakap saiz hidangan pada hari tersebut, memang tidak dapat dinafikan Admin dan Ringgo masing-masing berjaya mendaratkan hasil di kolam tersebut.

Siakap "Hook Up" Di Badan...
Admin 3 Ekor Dan Ringgo 1 Ekor...
Akhir kata, sekian sahaja cerita kali ini dari kami P2U Angler untuk tatapan semua. Selamat berpuasa diucapkan kepada semua dan jangan lupa untuk teruskan mengikuti perkembangan kami bagi sesi yang akan datang.

-Assalamualaikum wbt.

10 comments:

  1. joran berapa lb tuan? nampak cam kasar jugak tu walaupun dikata set ringan

    ReplyDelete
  2. Salam En. Kari,

    Joran yang di gunakan Admin, Abu Garcia Tournament SX 10lb-30lb (Heavy Action)...Memang sengaja pakai set kasar nak try bergasak.

    Joran yang digunakan Ringgo, PENN Squadron (Fast Action) 10lb-20lb....


    Memang betul ia bukanlah set yang terlalu ringan <PE 1.0, maksud "Ringan" yang diceritakan adalah perbezaan 2 set yang digunapakai ketika sesi tersebut. :)

    ReplyDelete
  3. Saya berminat dengan set tuan2.. macam menarik!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anonymous,

      Kalau berminat boleh lawati kedai pancing2u online shop, hanya klik dan masuk untuk melihat produk-produk yang dijual

      http://www.instagram.com/pancing2u_tackle_shop

      Delete
  4. Salam, gua baru berjinak dalam aktiviti memancing ni. Kira kira 3 bulan baru menceburkan diri dan blog lu nilah tempat gua rujuk macam macam port memancing. Banyak kumpulan memancing tapi rasanya group lu ni lain agak sempoi hehehe. Apa pun salam perkenalan, kalau ada aktiviti boleh le gua join sekali.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Sir Azri,

      Selamat menceburi dunia Hanyir ini, tidak kisah 3 bulan ker 3 tahun ker janji kita seronok dengan hobi memancing ini betul...

      Blog kami memang menjanji material rujukan dan info yang tepat dan terkini buat pemancing diluar sana. Bagi kami tiada istilah "Pro" dan "Pakar" dalam mendalami ilmu memancing ini, cuma kita belajar dari pengalaman dan hormat mereka yang lebih lama dalam arena ini.

      Bro Azri, teruskan menyokong kami dan dapatkan info terkini dari blog Pancing2u ini ok. Jangan lupa untuk memberi komen dan pendapat anda.

      In Shaa Allah Kita akan berkomplot bersama nanti.

      Delete
  5. As salam Tuan,

    Nak tanya, meah ngan kerapu tu main CnR ke??? kalau bayar, merah tu sama harga ngan jenahak juga ke???

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Kadir Kasmon,

      Kerapu dan Merah itu bukan CNR, kedua-duanya timbang dan bayar. Harga Kerapu ialah Rm38 @ 1 Kilo manakala Merah pula Rm35 @ 1 Kilo.

      Yer betul, harga Ikan Merah sama dengan Jenahak. Kebetulan pada hari tersebut taukeh melepaskan banyak Ikan Merah.

      Delete
  6. Kolam yang menarik untuk melabuhkan joran tuan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya Betul Bro Hantu, kolam ini merupakan spot kami berlatih menarik ikan sejak dari awal pembukaannya lagi...

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...