27 October 2013

Jenahak Seri Tanjung Patahkan Rod!!! - (26.10.2013)

Lokasi: Kolam Seri Tanjung, Port Klang
Tarikh: 25.10.2013
Masa: 11:00pm - 05:00am
Ahli Komplot: Admin, Ringgo dan Torres

Setelah hampir 2 minggu P2U Angler mengalami trauma "Kekumpauan" di Kolam Jugra Sport Fishing satu komplot telah diaturkan untuk mengubati luka dihati. Komplot kali ini bertempat di Kolam Seri Tanjung, Perlabuhan Klang yang sememangnya kaya dengan spesies ikan laut seperti Jenahak, Kerapu, Bawal, Senangin, Merah, Kaci, dll. Ini merupakan kunjungan pertama kami ke kolam ini oleh itu teknik serta permainan kolam berkenaan masih belum kami ketahui, Ayuh kita layan!...

(Kolam Seri Tanjung,Port Klang)
(Ketibaan Yang Amat Berhormat) 
Tepat jam 9.30mlm bersamaan 25.10.2013, Saya (Admin) dan Ringgo telah berkumpul di Seksyen 7, Shah Alam di rumah Torres dan menaiki R3 Ringgo untuk ke kolam tersebut. Alhamdulillah jam 10.30mlm kami tiba di Kolam Seri Tanjung, sewaktu ketibaan kami di kolam pada hari itu tidak ramai kelibat otai-otai kolam disitu dan ini merupakan satu kelebihan buat kami kerana dapat memilih port untuk melabuhkan joran.

(Pekene Teh Dulu Sambil "Setting Joran")
Setelah meninjau-ninjau sekitar kolam, kami terus ke kaunter untuk bertanyakan bayaran serta pakej yang ditawarkan. Menurut penjaga kaunter tersebut terdapat banyak pakej yang ditawarkan khas untuk pancingan malam dan siang, kami telah memikih pakej memancing dari pukul 11 malam sehingga 5 pagi dengan bayaran sebanyak Rm66.00. Umpan Udang dan Ikan Belanak ada dijual di situ dengan harga Rm1.00 seekor. Disebabkan belum pukul 11.00 malam maka kami sempat minum Teh Tarik dahulu sambil "Setting" senjata di gerai di kolam tersebut.

(Torres Sedang Sibuk "Casting")
(Ringgo Dan Set Ryobi Miliknya)
Pada sesi kali ini saya menggunakan set Ofmer yang baru diterima dari King Fisher Sdn. Bhd. iaitu rod Ofmer Infinity 5.6 kaki, kekili Ofmer Aegis 3000 dan tali tangsi Ofmer E-Gold berkekuatan 23lb. Torres pula mempertaruhkan set Abu Garcia beliau iaitu rod Abu Vengeance 5.6 kaki, kekili Abu Omega 4000 dan tali sulam Berkley 20lb manakala Ringgo menggunakan set Ryobi beliau yang terdiri dari rod Ryobi Reventon 5 kaki, kekili Ryobi Krieger dan tali sulam 30lb. Kami membahagikan kepada 3 division pada malam tersebut dimana masing-masing membawa tanggungjawab menggalas jenama terkenal seperti Ofmer, Ryobi dan Abu Garcia.

(Manalah Makhluk Dasaran Ini)
Nasib kami pada malam itu 50-50 kerana angin bertiup kencang menandakan hujan lebat akan turun sekejap lagi. Bila hujan turun bermakna ikan akan culas dan tidak mahu membaham umpan kerana air kolam menjadi sejuk. Kami tawakal sahaja kepada allah swt dan teruskan juga sesi memancing. Joran telah dilabuhkan dan masing-masing mencuba teknik pelampung dan casting. Setelah hampir 1 jam membangau dan tiada tarikan dilakukan kami berpindah port ke bahagian belakang sedikit. Dari jauh nampaklah ada seorang otai kolam berjaya mendaratkan Kerapu Harimau.

(Itu Dia JENAHAK Sudah Naik)
Hujan masih turun renyai-renyai dan kami masih belum berjaya memperoleh sebarang hasil tangkapan. Adalah beberapa pemancing ini asyik-asyik bawa naik ikan Bawal. Apa yang dapat kami pelajari di kolam ini adalah anda haruslah mensasarkan spesies apa yang ingin dijerat dan mengaplikasikan teknik yang bersesuaian sebagai contoh jika ingin menjerat Kerapu maka gunakan teknik pelampung dan hanyutkan sahaja umpan yang dipasang pada perambut sedepa. Kedalam kolam ini kata otai-otai kolam disitu 8-9 kaki, itu dalam dan macam tidak percaya pula. Oleh yang demikian kita tidak boleh semberono Casting memang kumpaulah jawabnya sebab ikan berenang didasaran padanlah orang tengok sahaja saya Casting, buang tebiat agaknya. Almaklumlah kami budak baru belajar dan pertama kali turun kolam ini, nasib cepat sedar dan rajin bertanya otai kolam.

(Tali Tambat Tepi Kolam Namun Ikan Masih Cuba Melarikan Diri)
Nasib baiklah pakej 6 jam, legalah juga ada masa lebih untuk pancing. Ini sudah 2 jam setengah kami pancing, saya dan Torres ada juga menerima getuan di joran tetapi rabut ekoran lambat menyebat joran. Tiba-tiba saya menerima satu sambaran dari makhluk dasaran, saya biarkan tali dilepaskan seketika dan kemudian menyentap joran, alhamdulillah tertancap kemas akhirnya. Ganas juga ikan ini tetapi ikan apakah?, saya karau sehingga ketepi dan kelihatan sisik keemasan naik timbul rupanya seekor Jenahak. Setelah saya heret ketepi kolam untuk di bawa naik keatas tiba-tiba Jenahak tersebut membuat satu pecutan kedasar, Praappp!!!...habis patah hujung joran Ofmer saya, aduhai nasib-nasib. Alhamdulilah saya berjaya mendaratkan seekor Jenahak buat masa ini. Setelah ditimbang ianya seberat 1.8kg.

(Sang Jenahak Yang Tertewas Pada Sesi Kali Ini)
Setelah ditambat ditepi kolam saya ke kereta untuk menukar joran simpanan nasib baik bawa lebih kalau tidak tengok sahajalah kawan-kawan pancing. Kalau diikutkan ini kali kedua saya daratkan Jenahak, dua-dua patah joran apa punya badilah. Ringgo dan Torres masih kumpau dan tidak menerima sebarang getuan. Sudah pukul 4 pagi dan kami masih meneruskan pemancingan. Dari jauh kelihatan pelampung Torres tenggelam, dan orang sekitar kolam menjerit-jerit ada "Ada Ikan Tue!", "Ada Ikan Sebat-Sebat!" akan tetapi Torres mengalami masalah teknikal sewaktu lepaskan tali, talinya telah tersimpul maka masa yang diambil untuk membetulkan tali menyebabkan ikan culas dan melepaskan umpan.

(Penimbang Analog Keluaran Bakau)
(1.8KG - Saiz Sedap Makan)
Akhirnya masa pancingan selama 6 jam telah tamat, banyak teknik dan corak persembahan kolam yang dapat kami pelajari disini. Terima kasih diucapkan kepada otai kolam dari Keramat AU4, diatas tip-tip yang diberikan dan pelampung yang diberi pinjam kalau abang sempat membaca blog tulisan kami ini ribuan terima kasih diucapkan, insyallah kalau panjang umur kita jumpa lagi. Tidak lupa juga kepada para pembaca Pancing2u, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi membaca tulisan dan cerita kami. Akhir kata, cubalah memancing di Kolam Seri Tanjung, Port Klang kerana ianya memang mencabar dan menduga skill anda. Sebelum anda turun memancing disini rujuk di forum-forum pancing berkenaan teknik pemancingan disini. Jangan lupa untuk bertanya otai-otai kolam disini insyallah mereka pasti membantu. Lagi satu ini kolam orang melayu kita jadi "Support" lah.

25 October 2013

Ofmer Aegis 3000, Tali Ofmer E-Gold Dan Gewang Yo-Zuri Arms

Akhirnya hadiah yang ditunggu-tunggu oleh Saya (Admin) telah tiba, untuk makluman pembaca Pancing2u saya telah menghantar gambar pancingan ke majalah SIRIP (*rujuk pos yang lepas) dan telah berjaya mendapat pertama dalam pertandingan tersebut. Hadiah berupa kekili Ofmer AEGIS 3000, Gewang Yo-Zuri Arm Crank MD dan Tali Mono Ofmer E-Gold 23lb bernilai hampir RM200.00. Beribu-ribu tahniah diucapkan kepada ahli P2U Angler dan terima kasih juga diucapkan kepada King Fisher Adventures Sdn. Bhd. diatas sumbangan dari mereka. Admin tidak sabar untuk turun ke padang pancing bagi sesi percubaan terhadap produk yang diberi. Segala aktiviti akan di kemaskini dalam ruangan Pancing2u. Alhamdulilah bertambah koleksi pancing Admin, kini ada 3 set untuk pancingan Air Masin, Air Tawar dan Laut.

(Bungkusan Yang Dihantar Ke Rumah)
(Set Barangan Pancing - Ofmer Aegis 3000, Tali Ofmer E-Gold dan Gewang Yo-Zuri Arms)
(Terbaik Dari Ladang!)

18 October 2013

Baung Sungai Galas, Gua Musang - (23.03.2013)

Assalamualaikum WBT, di ucapkan kepada semua pembaca yang dihormati. Mungkin trip yang akan bakal saya diceritakan ini agak usang dek kerana ianya berlaku lebih kurang dalam bulan Mac 2013 yang lalu. Namun trip pancingan ini merupakan titik tolak dalam diri saya dan P2U Angler kerana selepas trip ini kami mula bergiat aktif dalam dunia hanyir ini. Oleh itu mari kita layan.

(Memilih Set Memancing Ekonomi Ekoran Set Tinggal Dirumah)
Trip ini berlangsung sewaktu Saya (Admin) "Outstation" ke Gua Musang bagi tujuan melawat Stesen Hibrid Solar TNB. Semasa saya menjalankan kerja saya terlihat sebatang Sungai yang bernama Sungai Galas dimana airnya jernih tetapi berarus deras, ia terletak bersebelahan stesen kereta api lama di Gua Musang dan terdapat jambatan gantung usang di situ. Didalam kepala saya terbayang spesies ikan-ikan air tawar seperti Kelah, Sebarau, Patin, Baung, Kaloi, Lampam dan dll. tetapi bila waktunya saya hendak turun menjerat?, persoalan yang bermain di fikiran saya. Namun setelah tamat waktu kerja saya dan beberapa kawan telah merancang "Komplot" untuk menerjah sungai tersebut.

(Jambatan Gantung Sungai Galas)
Sebelum itu kami telah pergi ke kedai akuarium yang terletak di kawasan bandar Gua Musang untuk membeli umpan seperti cacing, roti dan cengkerik. Ada juga diantara kami yang membeli set lengkap seperti joran dan kekili ekonomi kerana biasalah set memancing tinggal dirumah dan ini merupakan sesi pancingan tergempar.


(Arus Sungai Yang Agak Deras Dan Cetek)
Lebih kurang pukul 3:00pm kami seramai 6 orang mula turun ke lokasi dan berpecah kepada beberapa kumpulan kecil untuk menjerat makhluk dasaran disitu. Saya dan Abg Wan mencuba nasib di tepi sungai berkenaan, Encik Mustafa dan Roslan telah memilih untuk memancing di atas jambatan manakala Azhar Calong cuba "Casting" di kawasan hilir sungai. Masing-masing sabar menanti ikan-ikan disana menjamah umpan. Kelibat penduduk kampung turut sama turun memancing di kawasan kami memancing ini menambahkan lagi semangat kami.

(Itu Dia...Ikan Baung Liar 2 Ekor!!!)
(Encik Mustafa Dan Hasilnya)
Masa berlalu dengan pantas sekali namun masing-masing masih gagal mendaratkan ikan, hari semakin gelap dan kami terpaksa pulang awal untuk berehat di hotel sebelum keluar makan malam. Akhirnya saya, Abg Wan, Azhar Calong dan Jaffri sepakat untuk pulang ke hotel dan meninggalkan rakan-rakan lagi 2 orang itu memancing. Lebih kurang pukul 8.30pm kami telah ke kedai "Makan Mana Lagi" untuk makan malam, dan dikejutkan dengan panggilan telefon dari 2 orang rakan kami sedang giat memancing dari petang sehingga malam telah berjaya mendaratkan 2 ekor ikan baung liar bersaiz "Juvenil" menggunakan umpan "Tapah" berbau yang telah diberikan oleh penduduk kampung tadi.

(Ikan Baung 3 Rasa...Isinya Lembut Dan Segar)
Kami semua bersorak gembira dan akan menggoreng ikan tersebut untuk dibuat lauk makan malam. Mengikut kata Mustafa dan Roslan, mereka berdua telah membuat pancingan dasar dan ikan Baung tersebut hanya meragut umpan mereka ketika waktu hampir senja dikala matahari ingin melabuhkan tirainya. Memang dapat dijangkakan yang spesies ikan Baung ini merupakan spesies pemangsa dasaran dan memakan umpan dapat menarik perhatiannya seperti bau-bau yang busuk dan hanyir. Ikan tersebut telah kami masak 3 rasa dan isinya juga enak dan lembut. Akhir kata buat pembaca Pancing2u cubalah menjerat baung liar di Sungai Galas, walaupun arusnya deras namun masih ada makhluk dasaran yang tinggal disana.

15 October 2013

Kenali Anatomi Bahagian Ikan

(Anatomi Bahagian Ikan)
Sebagai individu yang gemar dengan dunia "Hanyir" ini kita seharusnya lebih peka terhadap isu semasa serta perkembangan barang-barang pancing dipasaran. Dalam usaha menjadi seorang pemancing yang menjadikan sukan ini sebagai hobi mahu pun sekadar aktiviti santai, kita seharusnya menambah ilmu dan pengetahuan tentang perihal dunia memancing ini. Sebagai contoh seseorang pemancing itu haruslah mempunyai etika dan menghormati pemancing lain ketika memancing di luar sana. Perasaan cinta dan prihatin terhadap alam sekitar serta keadaan sekeliling harus dititik beratkan. Ini bertujuan memberi peluang kepada generasi akan datang menikmati apa yang dikecapi oleh kita sekarang.

Acap kali kedengaran ada pemancing yang masih tidak mengikut peraturan dan melanggar arahan dari pihak-pihak berkuasa dengan menggunakan peralatan yang dilarang serta mencemarkan alam sekitar dengan membuang sampah. Sikap pemancing yang rakus dengan menangkap ikan dengan melebihi had yang ditetapkan dan tidak menerapkan konsep "Beg Limit". Namun semua perkara ini dapat dielakkan jika pemancing itu sendiri beretika dan berilmu. Ilmu dalam dunia memancing ini terlalu luas dan mudah diperolehi dari segi pengalaman serta pembacaan. Apa yang penting adalah kesedaran dalam diri pemancing itu sendiri untuk bersama-sama melindungi sukan ini.

Pada cerita kali ini saya akan berkongsikan sedikit ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh pembaca Pancing2u di luar sana. Kita mungkin sudah mengenali jenis-jenis ikan dan habitat yang didiaminya namun pernahkah kita terfikir nama anggota bagi bahagian ikan yang dipancing itu?. Sesetengah ikan mempunyai duri dan sengat yang berbisa dibahagian-bahagian badannya oleh itu gambarajah berikut mungkin membantu anda dalam mengenali bahagian anggota ikan serta dapat mengesan andai ikan yang dipancing itu mempunyai duri dan sengat yang boleh membahayakan diri.

"Berikan seseorang ikan, dia hanya kenyang untuk sehari. Ajarkan seseorang menangkap ikan, dia akan kenyang untuk selama-lama."

- Admin

14 October 2013

Kolam Persendirian Di Janda Baik - (13.10.2013)


Semperna pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha, seorang dari ahli P2U Angler yang lebih dikenali dengan panggilan Shawn telah melakukan pancingan air tawar di kolam milik Bapa Mertua beliau di daerah Janda Baik, Pahang. Menurut beliau sesinya lebih kepada untuk menguji joran yang baru dibeli oleh Birasnya. Pancingan beliau bermula diawal pagi sehingga lewat tengah hari. Berumpankan roti dan cacing tanah beliau mampu menjerat beberapa spesies makhluk dasaran yang berada di kolam tersebut. Walaupun kolam tersebut merupakan kawasan larangan memancing namun diatas kebenaran Bapa Mertua beliau, sesi mereka boleh dijalankan dengan syarat harus "Catch And Release" demi menjaga ekosistem kolam tersebut.

(Beginilah Kolam Milik Bapa Mertua Shawn)
"Tertera "Dilarang Memancing")
(Ikan Tongsan)
(Ikan Keli)
(Ikan Talapia)

"Kumpau" Di Kolam Jugra, Banting - (13.10.2013)

"Langit Tidak Selalunya Cerah"

Itulah pepatah yang dapat di takrifkan oleh P2U Angler ekoran trip ke Kolam Jugra, Banting mengalami pada ke "Kumpau" an pada 13.10.2013 yang lalu. Sesi pada kali ini disertai oleh 4 orang ahli iaitu Saya (Admin), Ringgo, Torres dan Jojo yang seawal jam 9.30am telah berada disana dan mula memancing ikan. 

(P2U Angler Bersemangat Di Awal Pagi)
Sesi kali ini kami menggunakan umpan isi ikan Tongkol yang dibeli di pasar Keling yang terletak di kawasan kolam tersebut. Selain itu umpan Udang digunakan sebagai altenatif untuk "Casting". Apa yang menyedihkan adalah Udang yang dijual semuanya bersaiz kecil-kecil belaka. Taukeh kolam telah menipu pemancing dengan menjual umpan udang bersaiz kecil yang sememangnya tidak boleh untuk dibuat "Casting" dan hidup lebih lama. Pesanan saya kepada beliau, andai hendak menjimatkan kos pun janganlah sampai menukar umpan Udang sedia ada dengan jenis yang lain, ini akan memudaratkan pemancing bagi yang tidak membawa umpan dari luar.

(Katanya 75 Ekor Siakap Dilepaskan Namun Seekor Pun Tidak Naik!!!)
Kami memilih port yang paling hadapan berdekatan pintu masuk kolam dan terus melabuhkan joran. Seperti yang dijangka umpan kami kerap tercabut dari mata kail saiz 11, ekoran Udang berkenaan bersaiz kecil dan tidak tahan. Perkara ini betul-betul mengganggu prestasi kami untuk memancing memandangkan kami tiada alternatif lain untuk digunakan.

Sesi pancingan kami berakhir pada pukul 12.30pm dan semua berasa kecewa kerana gagal mendaratkan seekor ikan pada sesi tersebut. Mengikut kata Taukeh kolam tersebut melalui pesanan ringkas (SMS) sebanyak 75 ekor Siakap dilepaskan dikolamnya untuk pancingan semperna hari raya qorban namun nampaknya ianya satu penipuan. Sekian sahaja perkembangan kami untuk kali ini semoga bertemu lagi di sesi pancingan akan datang.

11 October 2013

Barangan Keperluan Asas Ketika Memancing

Kolam - Air Tawar / Air Masin
  1. Kekili dan joran yang sesuai dengan ikan sasaran. (biasanya 1 atau 2 set sahaja)
  2. Long nose plier
  3. Tangguk
  4. Jaring ikan / klip ikan
  5. Pancang Y.
  6. Peralatan terminal yang mencukupi spt Perambut, mata kail, cili, dll.
  7. Pisau (buat potong umpan, dll.)
  8. Cangkul kecil (dari umpan cacing, ulat lundi, dll.)
  9. Baju sejuk (kalau memancing waktu malam/hujan)
  10. Lampu suluh (kalau memancing waktu malam)
  11. Selebihnya terpulang kepada pemancing utk membawanya seperti rokok, air masak dll.
Semulajadi - Air Masin (Laut / Muara / Pantai)
  1. Kekili dan joran yang sesuai dengan ikan sasaran. (terpulang kuantiti set dibawa)
  2. Rod Tube / Reel Socks.
  3. Long nose plier
  4. Tangguk / gancu
  5. Jaring ikan
  6. Klip ikan / Boga / Lip grip, dll.
  7. Tali
  8. Peralatan terminal yang mencukupi spt Perambut
  9. Tali utama extra
  10. Mata kail
  11. Cili
  12. Fighting belt
  13. Fighting glove
  14. Gps / Echo sounder
  15. Gewang
  16. Pisau (buat potong umpan, kecemasan dll.)
  17. PFD  personal floatation device) / Baju Apung Keselamatan. (pastikan ada wisel)
  18. Binocular / Teropong (jika perlu sahaja)
  19. Kompas (untuk solat, dll.)
  20. Sejadah
  21. Baju sejuk (kalau memancing waktu malam/hujan)
  22. Lampu suluh (kalau memancing waktu malam)
  23. Pakaian extra seperti t-shirt, seluar dan tuala. (seluar panjang / baju lengan panjang wajib dibawa)
  24. Peralatan untuk mandi spt. sabun, berus gigi dll jika bermalam.
  25. Losyen Sun Block
  26. Ubat tahan mabuk
  27. Cermin mata polarized
  28. Kotak perubatan kecemasan (first aid kit) serta perubatan peribadi spt athma inhaler, dll.
  29. Topi / Balaclava dll.
  30. Kotak Sejuk (Coleman / Igloo dll.) serta ais yang mencukupi
  31. Jala (untuk menjala udang / anak ikan - jika perlu)
  32. Ground sheet / Fly sheet - Untuk memancing di tepi batu, pantai dll.
  33. Tangki / takungan untuk umpan hidup
  34. Mesin Pengudaraan Akuarium (Portable air pump)
  35. Plastik sampah yang cukup
  36. Baju Hujan
  37. Bekalan air dan makanan yang cukup
Semulajadi - Air Tawar (Sungai, lombong, tasik, empangan dll.)
  1. Kekili dan joran yang sesuai dengan ikan sasaran. (terpulang kuantiti set dibawa)
  2. Rod Tube / Reel Socks
  3. Peralatan lain seperti long nose plier
  4. Tangguk / gancu
  5. Jaring ikan / Klip ikan / Boga / Lip grip, dll.
  6. Tali
  7. Peralatan terminal yang mencukupi spt Perambut
  8. Tali utama extra
  9. Mata kail
  10. Cili
  11. Gewang
  12. Pisau / Parang (buat potong umpan, kecemasan dll.)
  13. PFD (personal floatation device) / Baju Apung Keselamatan. (pastikan ada wisel) - Jika menggunakan bot / sampan.
  14. Binocular / Teropong (jika perlu sahaja)
  15. Kompas (untuk solat, dll.)
  16. Sejadah
  17. Baju sejuk (kalau memancing waktu malam / hujan)
  18. Lampu suluh (kalau memancing waktu malam)
  19. Pakaian extra seperti t-shirt, seluar dan tuala. (seluar panjang / baju lengan panjang wajib dibawa)
  20. Peralatan untuk mandi spt. sabun, berus gigi dll jika bermalam.
  21. Krim menggelak gigitan serangga
  22. Peralatan perkhemahan (Khemah, Fly sheet, Ground Sheet. Camp Bed, Lampu gas dll.)
  23. Cermin mata polarized (jika perlu sahaja)
  24. Kotak perubatan kecemasan (first aid kit) serta perubatan peribadi spt athma inhaler, dll.
  25. Topi / Balaclava dll.
  26. Kotak Sejuk (Coleman/Igloo dll.) serta ais yang mencukupi (jika perlu)
  27. Jala (untuk menjala udang/anak ikan - jika perlu)
  28. Sedikit Sulfur atau belerang utk ditabur dikawasan perkhemahan (binatang/serangga berbisa)
  29. MutliTools seperti Gerber Knife / Leatherman dll.
  30. Peralatan untuk trekking (Haversack / Knapsack / Leeches Socks / Walking Stick dll.)
  31. Peralatan memasak yang lengkap (dapur gas kecil / dapur / peralatan makan - plastik)
  32. Solid Fuel (Lilin memasak askar - jika perlu sahaja) + Lighter / mancis extra
  33. Kasut trekking yang sesuai dengan keadaan trek. (HiTec / Colombia / Nike dll.)
  34. Throw Line / Throw bag / Carabiner / Figure of 8 - peralatan utk kecemasan, dll.
  35. Plastik sampah yang cukup
  36. Baju hujan (jika perlu sahaja)
  37. Bekalan air dan makanan yang cukup
Sebenarnya tidak perlu membawa kesemua barangan diatas ketika memancing. Pilihlah barangan utk dibawa:
  • Mengikut kesesuaian lokasi
  • Tempoh hari memancing
  • Beberapa faktor lain

02 October 2013

Teknik Mengilat Menggunakan Gewang

Tidak dinafikan, pancingan gewang merupakan sektor yang paling cepat berkembang dalam dunia memancing hari ini. Semuanya kerana menangkap ikan dengan gewang dinobatkan satu keseronokan yang muktamad. 


Arena ini juga merupakan satu aktiviti pemburuan yang mencabar, aktif, tidak kotor, tidak berbau dan tidak perlu kerja keras (tak perlu susah payah cari umpan). Bahkan, ikan yang ditangkap selalunya tercangkuk di mulut atau bibirnya. Oleh itu, 'tangkap dan lepas' tidak memudaratkan. 


Namun begitu, ramai orang masih memandangnya sebagai satu bentuk seni yang gelap dan misteri. Mereka kata, sukar beroleh kejayaan dengan menggunakan umpan tiruan ini. Saya sendiri bertemu ramai pemancing yang bertanya, "Mengapa saya tak pernah dapat ikan dengan gewang?" Justeru, artikel ini adalah untuk golongan berkenaan, dan juga sebahagian dari kita yang mahu memperbaiki hasilnya dalam arena menggewang. 

Bercakap Bohong 

Gewang dianggap satu bentuk penipuan oleh pemancing terhadap ikan. Semakin kuat pembohongnya, semakin tinggilah mangsa terpedaya. Tujuan saya menulis ciri-ciri ini adalah untuk merubah anda menjadi raja penipu ikan yang lebih handal. Untuk menjadi penggewang yang handal, gewang anda hendaklah kelihatan dan beraksi lebih menggoda apabila berada di dalam air. Perasaan taqk kenapa saya katakan 'menggoda', bukan tampak hidup atau realistik? Kadangkala ilmu menipu ikan supaya menggigit gewang tidak berkaitan dengan meniru keadaan sebenar. Saya akan terangkan hal ini. 


Saya Kudung Bang! 

Suatu penipuan akan dipercayai jika mengandungi beberapa elemen kebenaran dan beberapa darjah kelogikan. Pada asasnya, gewang cuma sekadar umpan tiruan atau palsu. Kebanyakan gewang dicipta untuk meniru samar-samar akan ikan kecil, udang, ketam, sotong, serangga dan makanan lain yang berpotensi apabila ia ditarik di dalam air. Namun banyak juga gewang yang langsung tidak menyerupai apa-apa makhluk yang melayap, berenang atau terbang, tetapi kenapa ia masih mampu memerangkap ikan? Janggut (spinnerbait) merupakan satu contoh terbaik. Kenapa ia begitu berkesan?

Takkan anda tak perasan, ikan mana ada tangan.. 

Tim Simpson, seorang pengusaha kedai pancing, penulis dan pemancing terkenal di Australia suatu masa dahulu, merupakan orang pertama mengutarakan hal ini kepada saya dan menerangkan kaitannya terhadap proses pancingan. Lebih suku abad telah berlalu, tetapi saya tidak lupa perbualan saya dengannya dan betapa bermaknanya kata-kata beliau terhadap kerier memancing saya. Cuba fikirkan. Selalunya kita mengambil sesuatu benda atau menyentuhnya dengan tangan kita bagi mengetahuinya dengan lebih lanjut. Saya memanggil perbuatan ini dengan terma 'sindrom cat basah'. Cuba anda gantung penanda 'cat basah' pada sebarang objek dan perhati berapa ramaikah orang yang berjalan melepasinya akan cuba menyentuh permukaan objek tersebut. Kemudian mereka akan membelek jarinya sekadar untuk mengesahkan betulkah cat itu basah! Rasanya kita pun macam itu juga, kan?. 


Sebagai perbandingan, jika ikan ingin mengambil tahu tentang sesuatu objek yang menarik, ia akan mengambilnya dengan mulut dan merasanya (ingat, ikan tiada tangan). Mungkin 9 dari 10 kali, ikan itu akan meluahkannya semula setelah mengetahui ianya bukan makanan, sebaliknya puntung rokok, batu kerikil, kertas aluminium atau daun gugur. Jika objek tersebut bermata kail dan terikat pada tali pancing kita, sudah tentu kita akan dapat menangkap ikan tersebut. Ini merupakan satu pengajaran yang penting. Kita perlu maklum dan sentiasa ingat : Ikan meneroka dunianya dengan mulut, dan tidak semua yang dicekup oleh mulutnya akan ditelan. Sebagai pemancing, kita boleh mencuri banyak kesempatan dari tabiatnya itu. 



Buat Padanan 


Sememangnya ikan bersindrom cat basah iaitu kadangkala merasa sesuatu benda asing dengan mulutnya. Namun, kita boleh meningkatkan peluang mengumpannya dengan sekurang-kurangnya meniru makanan asli dari segi aspek am seperti bentuk, saiz, warna dan aksi bahan makanan ini. Pemancing layang mempunyai terminologi tersendiri bagi menyatakan proses meniru makanan semulajadi ini apabila memilih bulu layang. Mereka memanggilnya 'matching the hatch'. Ini merujuk kepada serangga yang mengerumun atau menetas, yang mana cukup penting kepada pemancing trout. Tetapi konsep ini juga sesuai untuk penggewang siakap mahupun pemancing laut dalam yang ingin menunda ikan mersuji. Apabila trout galak memakan hanya satu jenis serangga (katakan mayfly), pemikiran mereka seakan sempit dan selalunya enggan melahap benda lain. Banyak lagi ikan yang mempamerkan kelakuan yang sama. Mungkin kerana otak ikan terlalu ringkas, jadi mereka sebenarnya tidak boleh melihat atau memahami benda-benda lain di sebalik bahan yang mereka makan. Manalah tahu?. 


Walau apa proses pun yang sebenarnya terbabit, jika anda mengesyaki ikan buruan anda hanya tertumpu kepada sesuatu sumber makanan tertentu, anda tentu gila jika tidak dapat memadankannya!. Justeru, perlu ditekankan betapa baiknya jika kita mematuhi falsafah ini. Cuba fikirkan perkara ini. Jika anda berjaya memadankan bentuk dan pergerakan gewang sama seperti ikan seluang, kemudian letakkan gewang anda dalam 10,000 kawanan ikan seluang itu, maka hanya terdapat 1 dari 10,000 peluang untuk gewang anda menjadi makanan pemangsa seterusnya!. Tetapi jika anda meniru pergerakan seluang cedera atau sakit dan letakkannya diluar kawanan itu seperti individu sesat, saya pasti anda akan dapat habuannya! 



Cetus Tindak Balas Serangan 

Majoriti kejayaan dalam pancingan gewang berkait dengan pencedokan beberapa aspek penting pada ikan mangsaan yang ditiru, menokok-nambah dan meletakkannya di luar kawanan ikan. Dapatkan formula ini dengan betul dan anda gerenti akan dikejutkan dengan sambaran!. Perbuatan menokok-nambah ciri-ciri ini dikenali sebagai 'pencetus tindak balas serangan'. Ia menguja atau memberangkan pemangsa atau ikan yang bersifat kewilayahan dan memcabarnya untuk menggigit, bedal, bunuh, hentam atau menghalau benda yang mengusiknya. 'Pencetus tindak balas serangan' mungkin wujud pada bintik merah di badan gewang untuk memikat truot, bunyi 'kepoh' popper untuk disentap GT ataupun bulu layang yang gemerlapan dan bermata buntang untuk ikan aya. Ia mungkin sesuatu benda yang tidak dapat kita lihat, fahami atau bayangkan, seperti penanda ultra ungu pada warna tertentu dalam jarak gelombang cahaya yang tertentu, atau denyutan sub-sonik pada goyangan gewang yang sampai pada garis deria pemangsa. 


Apapun kesnya, pencetus tindak balas serangan adalah kandungan istimewa yang boleh melonjak gewang sebagai juara pada hari tertentu. Pemancing yang sentiasa peka, cukup cekap mengenal pasti kriteria ini, mereka seringkali memanipulasi dan menambah godaannya. Pada asasnya, cetusan tersebut terdiri dari satu atau lebih dari kategori berikut iaitu saiz, aksi, kelajuan, warna, corak, bunyi (getaran), bau (rasa) dan kedalaman renangan atau persembahan. Dapatkan lebih dari beberapa cetusan ini dengan betul untuk ikan yang anda buru, kemudian suakan supaya ikan boleh melihat atau mengesannya. Secara praktikalnya, anda dijamin sukses. 



Laju, Kilau & Percik 

Sesetengah gewang amat bergantung kepada kelajuannya, kilauannya serta ekor buih untuk membentuk satu ilusi hidupan serta memikat perhatian ikan pemangsa. Mungkin gewang yang paling ketara mewakili illusi ini ialah skirt tundaan. Jika dilihat dari bawah, skirt tundaan menghasilkan ekor buih yang panjang. Mersuji dan ikan pemangsa lain suka menyerang objek yang menerajui ekor buih ini. Mungkin mereka salah anggap ia sebagai makhluk ketakutan atau cedera yang bercempera di permukaan. Gewang logam berkelajuan tinggi juga bergantung kepada kombinasi laju, kilau dan percikan (apabila ia timbul ke permukaan) yang sama. Ia menarik perhatian dan menguja pemangsa melalui peniruan ikan mangsaan yang lari bertempiaran. Ini juga berlaku pada popper pensil. Pada amnya, gewang berkelajuan tinggi ini kurang mempunyai aksi dalaman (bergoyang dengan sedikit). Gewang logam atau bukan logam yang ingin dipersembahkan secara perlahan (seperti kilat sesudu atau gewang replika ikan) mempunyai aksi goyangan dan gelekan yang lebih tinggi. 


Perlahan & Realistik 



Gewang yang ingin dipersembahkan secara perlahan biasanya kurang bergantung kepada kelajuan, kilauan dan percikan. Sebaliknya lebih kepada bentuk, saiz, warna dan aksi untuk memikat pemangsa berpotensi. Syaratnya, semakin perlahan gewang dikarau, lebih banyak masa diberi untuk ikan berpeluang melihatnya, dan semakin tinggilah peluang untuk 'menghidupkannya' (atau sekurang-kurangnya menggoda). Contoh terbaik dari prinsip ini ialah melalui persembahan soft plastic (SP) berbentuk cacing, ulat atau udang kara yang diseret, dirangkak dan dihenjut di dasar atau kolum air. Setiap ikan yang terpikat dengan kehadiran atau pergerakan gewang lembut ini akan ada banyak masa untuk memeriksanya dengan teliti, sebelum membuat keputusan untuk menyentuh 'cat basah'... jadi penipuan perlulah meyakinkan! Syukurlah kerana kebanyakan SP sekarang memang sangat meyakinkan, sekurang-kurangnya untuk memperdaya minda ikan yang ringkas. Menyapu perisa pada badan gewang juga boleh menambah godaan ini. 



Kita gunakan skirt tundaan dan SP untk menipu ikan, tetapi famili gewang yang paling besar dan beraneka adalah gewang replika ikan yang berlidah / berbibir (bibbed / lipped plugs). Gewang berlidah bergantung kepada kombinasi bantuk badan dan lidah selamannya itu untuk membentuk aksi apabila ditarik dalam air. Biasanya kelajuan ia ditarik dalam air adalah sekitar 1 hingga setinggi 10 knot. Tetapi selalunya dalam julat 2-6 knot. Bagaimanapun saya ingatkan sekali lagi bahawa semakin perlahan mereka bergerak, semakin tinggilah tahap keyakinan yang diperlukan. 


Aksi & Apungan 


Perkara yang jarang disebut apabila membincangkan tentang aksi gewang berlidah ialah kepentingan sifat apungannya. Pada umumnya, gewang replika ikan jenis terapung / selaman mempunyai aksi yang lebih kuat dan jelas berbanding gewang tenggelam. Ini disebabkan oleh daya tentangan antara apungan positif gewang jenis terapung dan dorongan selam pada lidahnya yang membentuk ketidak-stabilan terkawal. Oleh sebab itulah gewang bergelek dengan kencang. Aspek lain ialah gewang berbibir jenis terapung / selaman biasanya mengekalkan aksinya pada kelajuan yang lebih rendah, berbanding gewang berbibir jenis tenggelam. Perkara ini perlu diingati, terutama apabila kita pergi ke tajuk penting yang seterusnya... 


Duduk Diam 


Pergerakan dan aksi merupakan kriteria yang penting dan kritikal untuk keberkesanan setiap gewang. Tetapi perasankah anda bagaimana penggewang yang mahir kerap mempelbagai kelajuan gewangnya dan kadangkala membuat beberapa kali aksi henti dan pegun. Untuk skirt tundaan di laut, aksi ini berlaku semasa bot berpusing atau menukar arah. Bagi penunda siakap, tangan yang memegang joran kadangkala membuat gerak sentap supaya gewang meluru ke depan dan terhenti seketika. Bagi penggewang ikan bream (kuku), mereka juga kerap menghenjut gewang kerdil dan berhenti supaya gewang mengampai, tenggelam atau timbul perlahan-lahan. Kepada kaki SP mereka akan mengangkat dan menjatuhkan gewang plastik itu bagi meniru gaya ikan mangsaan yang kesakitan. Bagi setiap contoh tersebut, halaju gewang yang tetap tiba-tiba berubah dari cepat kepada perlahan atau berhenti mendadak, dan ada ketikanya tidak bergerak langsung. Tetapi seringkali pada ketika inilah sambaran berlaku. Perubahan tersebut sebenarnya boleh mencetuskan naluri pemangsa untuk menangkapnya. 


Cuba anda perhatikan perilaku ikan kecil di dalam akuarium. Apabila mereka berhenti berenang, mereka jarang timbul ke permukaan seperti gabus atau tenggelam seperti batu ladung. Kerapkali mereka seakan tergantung atau meluncur perlahan ke arah yang ingin dituju. Sebab itulah kenapa gewang jenis terampai (suspending) atau berkeapungan neutral berupaya menjadi gewang yang sangat membunuh jika kita pandai memainkannya (teknik stop & go). Namun maksud saya tadi bukanlah bererti gewang jenis tenggelam atau timbul tidak bagus langsung. Ikan mangsaan yang sakit, cedera atau baru sahaja dilanyak ikan bergigi tajam seperti tenggiri selalunya berputaran jatuh ke dasar (seperti kilat sesudu yang tenggelam) atau mengapung perlahan ke permukaan (seperti gewang replika ikan jenis terapung). Aksi ini juga mampu mencetuskan tindak balas serangan pemangsa. 


Merangsang Cetusan 


Sesungguhnya tidak mustahil untuk kita 'menghidupkan' setiap pencetus tindak balas yang telah kita bincangkan dengan mengubah suai gewang, supaya sesuai dengan keadaan terdesak. Anda boleh gunakan kekili putaran laju atau menekan minyak untuk menambah kelajuan gewang, menampal pelekat berkilat untuk menokok kilauannya, menggunakan pen marker atau cat untuk mengubah suai warnanya, meletak pemberat untuk melaras keapungannya, menggunakan tali atau perambut halus atau tebal untk melaras kedalamanan renangannya mahupun kadar tenggelam atau timbulnya, menyapu perisa untuk menghilangkan bau anda dan menggoda deria pemangsa, atau memainkan joran dan keklili untuk membuat aksi henti atau merubah haluan gewang. 


Penggewang harus pintar memanipulasi semua teknik untuk memperbaiki hasil gewangnya. Tetapi pemancing yang gagal sekadar mengambil gewang keluar dari peketnya, ikat, baling dan karau balik atau heret di belakang bot bagi mengharapkan si ikan bodoh akan datang membedalnya. Malangnya kebanyakannya ikan bodoh ini sudah lama ditangkap terlebih dahulu! Saya boleh menulis sebuah buku berkaitan teknik-teknik merangsang gewang ini. Tetapi saya harap apa yang disampaikan secara ringkas ini sekurang-kurangnya dapat membuatkan anda terfikir bagaimana hendak memperbaiki pancingan gewang anda. Ini kerana perkakas yang paling penting dalam semua kejayaan menggewang bukanlah gewang paling unggul, kekili paling canggih atau joran grafit yang paling sensetif... tetapi organ pemikir dalam kepala anda!. Gunalah akal sebaik-baiknya. 


Sumber : Steve Starling (MODERN FISHING)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...