11 September 2014

Kolam Brother Taman Perling, Johor Bahru – (08.09.2014)

Assalammualaikum dan salam perkenalan kepada semua pembaca Pancing2u. Saya merupakan ahli baru P2U Angler dan akan membuat liputan aktiviti memancing di Selatan Tanah Air terutamanya di kawasan Johor Bahru. Saya dimaklumkan bahawa salah satu kolam memancing di Johor Bahru iaitu Kolam Brother mengadakan pertandingan memancing. Selepas pulang dari tempat kerja, saya terus memecut ke kolam tersebut untuk melihat sendiri kemeriahan pertandingan kali ini dan agak ramai pemancing yang menyertainya.

Tujuan saya datang ke pertandingan ini biasanya ingin mengetahui berapa ekor ikan saiz besar yang dilepaskan dan berapa ekor ikan yang berjaya didaratkan. Hasil temubual dengan beberapa pengunjung setia di kolam ini, lebih kurang 160 ekor ikan dilepaskan manakala yang berjaya didaratkan sekitar 30% sahaja sepanjang 6 jam pertandingan. Dengan perkiraan kebarangkalian untuk mendaratkan ikan pertandingan yang tinggi, satu trip untuk bertarung dengan ikan-ikan ini dirancang.

Pemandangan Kolam Yang Luas
Keesokkan harinya, saya sampai di kolam ini sekitar jam 5 petang dan kelihatan agak kurang pemancing diwaktu itu. Saya sememangnya merupakan pengunjung setia kolam ini, Untuk makluman para pembaca Pancing2u terdapat pelbagai spesis di sini seperti Jenahak, Kaci, Kerapu, Merah, Bawal, Siakap, GT, Senangin dan lain-lain. Terdapat dua jenis kolam di sini, Kolam Utama masuk mengikut jam dan Kolam Pro bagi mereka yang menggemarkan konsep "Catch And Release".  Kolam Brother adalah salah satu dari tiga kolam terkenal di kawasan Taman Perling, Johor Bahru yang mana terletak berhampiran dengan Danga Bay. Dua lagi kolam berdekatan ialah Damai Fishing Village dan Kolam Zul. Selepas solat dan menyiapkan perambut, saya terus membuat bayaran untuk pakej 5 jam. 

Info Kolam dan Senarai "Jackpot Mingguan"
Pakej baru yang ditawarkan:

Deposit - RM8 Sahaja
2 Jam = RM32
3 Jam = RM40
4 jam = RM48
5 jam = RM52
10 jam = RM88

Midnight:

12.30am-6.30am = RM40
2.00am-6.30am = RM30
2.30am-6.30am = RM25

Saya menggunakan teknik "Bottom" dan menyajikan umpan hirisan ikan selayang kepada penghuni kolam tersebut. Setelah beberapa kali balingan dibuat, umpan saya disambar oleh Si Bawal yang kelaparan. Tidak lama kemudian, pemancing berhampiran saya pula mendapat strike dan berjaya menaikkan seekor Kerapu Harimau anggaran 3 kilo. Mengikut maklumat yang diberikan oleh seorang pemancing yang berada di kolam sejak pagi, banyak ikan yang berjaya didaratkan hari ini termasuklah sembilan ekor kerapu.

Aksi Rakan Pancing Bertarung Dengan Kerapu!!!...
Kemudian saya bertukar kepada teknik penggunaan pelampung pula dan menggunakan Udang hidup untuk menjerat penghuni seterusnya. Balingan dibuat di beberapa tempat yang dirasakan strategik sekitar sangkar dan di tengah kolam namun masih belum berhasil. Hari telah pun gelap dan kelihatan rakan pejabat saya, Zul a.k.a Ustaz tiba di kolam. Beliau boleh dikatakan "Otai" kolam ini dan memiliki kad ahli eksklusif kolam yang hanya diberikan kepada 100 pemancing setahun. 

Sambil bercerita mengenai "Strike" ketika kunjungan lepas, dengan mood yang baik malam ini Ustaz membantu saya menyambung tali utama dan perambut. Ustaz kemudian membantu menyiapkan set untuk mencari Kerapu dengan menggunakan umpan ikat Talapia hidup. Sudah tentu antara cabaran memancing pada waktu malam ialah gigitan nyamuk dan unggas. Selain dari membakar sarang telur (*kertas lapik telur biasa kelihatan di kedai), para pemancing juga boleh menggunakan produk penghalau nyamuk seperti di bawah yang disapukan di bahagian terbuka badan.

Ustaz Tekun Membantu Saya Menyambung Perambut
Berkesan Menghalau "Sang Nyamuk"
Masa memancing yang di peruntukkan semakin tamat dan alhamdulilah saya berjaya mendaratkan seekor Bawal saiz "Juvenil". Kemudian saya mengemas barang kelengkapan dan bersiap untuk pulang memandangkan pada keesokkan harinya berkerja namun Ustaz masih meneruskan sesi pancingan beliau dalam usaha memburu spesies plagik.

Hasil Kali Ini Seekor Bawal Saiz "Juvenil"
Sepanjang kunjungan saya ke sini, Kolam Brother sentiasa menjanjikan pelbagai debaran; pertarungan yang hebat, gangguan anak-anak ikan yang menguji kesabaran, tali putus ketika bertarung peratusan "Kumpau" yang tinggi. Itulah lumrah dan cabaran yang dialami oleh nelayan darat di kolam seluruh negara. Akhir kata saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca cerita di blog Pancing2u dan nantikan laporan seterusnya dari P2U Angler.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...