29 January 2014

Pecutan "Torpedo" Senangin Taiwan!!!... - (28.01.2014)

"Jom turun Jugra malam nie?" Kata Ringgo.

"Aku on jer!" Kata Jojo.

"Tengoklah dulu kalau larat aku join korang...Walau apa pun teruskan aktiviti tanpa ku" Kata Saya (Admin).


Best Ooo...Naik Ini Kereta!
Tepat jam 8:30 malam P2U Angler berkumpul di parkir bawah rumah Ringgo di Shah Alam. Saya sebenarnya berat hati nak tinggal anak dan isteri lagi pun minggu bekerja takot esok barai mata tapi mana boleh tahan Ooo...'Komplot' kali ini tertumpu ke Kolam Pelita Harmoni (PH) yang terletak di Jugra, Banting. Kami ke lokasi dengan menaiki  Mitsubishi Lancer Jojo, berdesup perginya sekejap sahaja dah masuk kawasan kampung takkala laluan lebuhraya Kesas menjadi "Asapan" Si Jojo. 

 Ringgo & Jojo "Setting" Senjata Perang
Tiba di kolam sekitar pukul 9.15 malam dan kelihatan hanya beberapa kelibat pemancing yang merupakan penduduk sekitar memancing untuk mencari lauk. Kami terus ke pondok kaunter untuk memasang set perang dan membeli umpan Udang. Alamak!, malam tersebut hanya umpan Udang bersaiz kecil yang tinggal kerana stok udang besar ibu jari telah kehabisan dan belum tiba dari peraih. Dalam pemikiran kami, risau akan potensi rabut dan Udang dibawa lari dengan mudah oleh makhluk dasaran disitu kerana saiznya yang mudah lucut dari mata kail. Tidak mengapa itu semua tidak mengganggu fokus kami dan sesi pancingan harus di teruskan.

Layan "Casting" Tetapi Malam Itu Serba Tidak Menjadi
Bila Tidak Jalan Kita Main "Bottom" Sahaja
Selesai mengikat perambut dan membeli umpan, tiba masa untuk memilih kolam mana yang ingin diduga antara kolam no. 1 hingga 4. Kolam no. 1 telah pun kami cuba dan hasilnya memberangsangkan lalu kami sepakat untuk mencuba kolam no. 2 pada kali ini. Bayaran RM5.00 dikenakan bagi sebatang joran, eh apahal pulak naik RM2.00 pula selalu RM3.00 sahaja. Jawapan Indon bertugas senang dan bersahaja, "Mungkin taukeh nak bayar karen", macam ini punya hal pun ada adoi!. Mahu tidak mahu bayar sahajalah, baiklah kami pun mula bergerak ke spot yang dirasakan berpotensi iaitu ke pondok no. 2. Umpan mula dipasang dan di campakkan sehingg hujung tebing kolam dan membiarkan sahaja ia tertanam. Malam ini nak "Bottom" pula malas rasanya nak "Casting".

Seekor Senangin Taiwan Anggaran Saiz 3kg
Ringgo Dengan Senangin Taiwan 1st Dinaikkan...Beso?
Lebih kurang 30 minit kami masih tidak mendapatkan sebarang getuan dari makhluk dasaran dikolam no. 2 tersebut malah Ringgo dan Jojo sudah panas bontot duduk di spot yang sama dan ingin berubah ke pondok bersebelahan maka tinggallah saya keseorangan. Saya masih setia menunggu umpan di getu dengan sabar. Tiba-tiba Ringgo menyebat jorannya Zaappp!!!... rupanya tali dia sudah menegang dari tadi menandakan ada mangsa yang telah masuk perangkap beliau. Kreeeekk...Kreeekkk berdesing kekili Vintage milik Hj. Roseli yang baru lepas diservis oleh Kok Ming tempoh hari. Kawalan diberikan dengan baik lalu tertewaslah seekor Senangin Taiwan berskala Mama. Saya ada juga menerima 2 sambaran namun kesemuanya rabut.

2 Jam Pancingan Ringgo Berjaya Menaikkan 2 Ekor Senangin Taiwan
Apa lagi tunggu saya pun beredar ke spot yang Ringgo duduk tadi, mana boleh tahan tengok member "Fight" tanpa "Tag" kawan-kawan lain. Umpan pun dilabuhkan ke kawasan sekitar dan saya meneruskan sesi membangau saya. Jojo pula sudah hilang ke kolam  no. 1 mencuba nasib di kolam Siakap sebelah sana. Sedang saya dan Ringgo berborak-borak joran Ringgo seperti bergerak dan ditarik, Wah!, boleh tahan joran Dam Quick ini betul-betul "Quick" ikan makan, ada saka ker bang?. Ringgo berjaya mendaratkan seekor lagi Senangin Taiwan menjadikan beliau adalah pengumpul hasil tangkapan ikan setakat ini.

"Sabar...Sabar.. nanti adalah rezeki aku sekejap lagi" Saya cuba menguatkan semangat.

Itu Dia Ikan Gred "A" Sudah Mari!!!
Seekor Jenahak Kolam No. 3 Berjaya Saya Tewaskan
Jam telah menunjukkan tepat pukul 12:00 malam, dan saya dan Jojo masih belum menerima sebarang sambaran lalu saya mengambil keputusan untuk berpindah ke kolam no. 3 untuk mencuba Jenahak mana tahu ada rezeki bolehlah dari 'Kumpau'. Saya pun membuat balingan ke tengah kolam dan membiarkan sahaja umpan ditanam cuma saya menegangkan tali agar mata kail mudah tertancap di bibir ikan ketika ia sedang kemam dan membawa lari umpan Udang tersebut. Tunggu punya tunggu tiba-tiba joran saya ditarik rakus sehingga hampir tercabut masuk kedalam kolam, apa lagi rezeki sudah mari! Pertarungan pun bermula dan saya mengawal larian ikan meminimumkan tekanan agar tidak rabut lagi. Akhirnya saya berjaya menewaskan Jenahak tersebut, alhamdulillah.

Misi Tercapai - Lesen 1st Saya Mendapatkan Senangin Taiwan
Muuuaahh!!!...Sayang Dada
Kini sudah hampir 1.30 pagi, mata masing-masing sudah 'Barai' esok memang semua layu di pejabat, apa boleh buat dasar pemancing tegar. Sebenarnya Saya dan Ringgo sudah boleh pulang tetapi Jojo masih belum berjaya mendaratkan sebarang spesies oleh itu kami tunggulah dia. Sedang saya menghabiskan sisa-sisa udang tiba-tiba jorang saya melentur dan tali berpusu-pusu keluar dari spool, satu larian padu dibuat oleh makhluk dasaran yang tidak diketahui spesiesnya, namun firasat kami ianya Senangin Taiwan berdasarkan corak sambaran dan juga larian padunya ibarat "Torpedo". Kali ini memang saya terasa sengit apabila bertarung kerana habis tali saya dilarikan hingga hujung kolam. Puas saya mengepam joran dan mengetatkan drag dan berhati-hati mengawal pertarungan takot juga kalau rabut. Alhamdulilah akhirnya saya berjaya memperoleh seekor Senangin Taiwan dan ia juga merupakan lesen pertama saya.

Hasil Keseluruhan - 3 Senangin Taiwan / 1 Jenahak
Akhirnya 'Komplot' ini harus ditamatkan, Jojo akhirnya redha dengan keputusan malam ini tanpa sebarang tangkapan. Saya dan Ringgo sedang pening kepala hentak membayar di 'tol' kaunter nanti, tapi duit bukan ukuran bila pengalaman, kepuasan, dan keindahan sesi pancingan berjaya kami dapatkan pada malam itu. Baiklah sekian sahaja cerita mengenai aktiviti kami sehingga bertemu lagi dan ribuan terima kasih diucapkan kepada pembaca Pancing2u. Jangan lupa untuk berkunjung di kolam Pelita Harmoni ini, Memang Syok!.

27 January 2014

Tips Pancing2u: Cara Penjagaan Kekili

Baitcaster
Spinning


  • Jangan sesekali meletakkan kekili anda di atas tanah berpasir kerana bearing boleh rosak jika dimasuki pasir halus.

  • Jangan biarkan kekili anda berjemur terlalu lama dibawah terik matahari kerana ia boleh menyebabkan keretakan pada bahagian kekili yang dilerbuat dari plastik.
  • Sebaiknya gunalah kekili yang sepadan dengan padang pancing. Sebagai contoh jika memancing di laut, gunalah kekili khusus untuk kegunaan air masin.
  • Selepas memancing di air masin, bilas segera kekili anda dengan air tawar bagi mengelakkan pembentukan garam pada spool. Jika rajin, keluarkan tali dari spool agar dapat mencuci diseluruh bahagian.
  • Sebaiknya juga gunalah siri kekili dengan saiz ikan yang dipancing. Semakin besar ikan yang dipancing, semakin besarlah siri kekili yang digunakan.
Gunakan Set Pembersihan Kekili Yang Boleh Didapati Di Kedai Pancing
  • Sentiasa lancarkan pusingan gear dengan menggunakan minyak gelincir. Begitu juga pada bearing dan pengayuh.
  • Gunakan peralatan membersihkan kekili yang terdapat di kedai menjual peralatan pancing agar memudahkan kerja pembersihan kekili anda.
  • Jika kurang mahir, sebaiknya menghantar kekili ke kedai pancing untuk diservis agar kekili tidak bertambah rosak.
Simpan Didalam Sarung

  • Sebaiknya simpan kekili didalam kain sarung atau beg bila tidak digunakan atau setiap kali nak dibawa memancing agar tidak calar atau patah.
  • Mengendalikan kekili dengan baik ketika bertarung dengan ikan. Belajarlah teknik dan cara bagi memanjangkan jangka hayatnya.

24 January 2014

Servis Kekili Oleh Mr. Kok Ming - (23.01.2014)

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera warga Pancing2u sekalian, bertemu lagi dalam cerita terbaru dari kami P2U Anglers, Aduh!, penangan menarik Siakap "Penghulu" awal minggu lalu masih terasa getarnya dan tidak puas rasanya berentap. Manis, manis, sememangnya manis...

Ringgo Menghantar Set Pancingan 'Vintage' Beliau
Baiklah, ekoran impak dari sesi ujian kolam tempoh hari menyebabkan Ringgo terpaksa menyelenggara kekili 'Vintage' arwah ayahnya. Mesin lama harus dijaga dengan rapi, kami ingin menghantar ke kedai-kedai pancingan sekitar kawasan seperti Fisher Tackles (Ah Seng, Shah Alam), Juara Tackles (Alam Megah) dan SS2 Fishing Fever Angler (Aunty Anne) masing-masing terlalu sibuk dengan urusan perniagaan dan mengikut kata mereka mungkin barang akan dapat lewat dan mereka juga akan menghantar ke juruservis pancing di kedai lain oleh itu cara terbaik kami adalah dengan berhubung terus dengan juruservis pancing tersebut. Terima kasih di ucapkan kepada Aunty Anne SS2 Fishing Fever Angler kerana sudi membantu memberikan no telefon bimbit "Otai" membetulkan pancing tersebut.

Banyak Lures Dan Batang Joran Untuk Diservis / Jual
Ini Kalau Dapat Memang Best!!!
Berbalik kepada cerita kedatangan kami kesini, untuk mendapatkan perkhidmatan beliau satu temujanji terpaksa kami aturkan disebelah malam selepas waktu bekerja untuk bertemu beliau kerana jadual kerja beliau yang padat dan selalu 'Outstation' menjadi 'guide' pancing. Alhamdulilah semalam berkesempatan juga kami lepak dengan beliau

Peralatan Servis Yang Lengkap
Pelbagai Kekili Dari Pelbagai Jenama Yang Beliau Servis
P2U Angler berjaya mendapatkan servis seorang Pro Angler, Otai Pancing, Abu Garcia "Product Tester" dan juga juruservis membetulkan pancing, banyak betul jawatan dan pangkat beliau. Beliau digelar Mr. Kok Ming yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia pemancingan. Rasanya ramai pemancing diluar sana yang pernah mendapatkan servis beliau. Seorang yang tidak lokek untuk berkongsi pendapat dan pengalaman beliau, beliau juga mesra pelanggan. Banyak tips-tips dan petua memancing yang dapat kami pelajari semasa datang bertemu beliau untuk servis kekili 'Vintage' si Ringgo.

Servis Memang Terbaik!!!...
Merujuk kata beliau perniagaan servis pancing dan kekili yang dijalankannya merupakan kerja sampingan beliau yang mana rumah flat miliknya ini yang dijadikan bengkel beliau mencari rezeki. Kami merasa kagum melihat hasil kerjanya dan susun atur yang terdapat di bengkelnya. Pelbagai kelengkapan dan juga barang terdapat disini. Ramai juga pelanggan beliau dari dalam dan luar negara. Dari perkhidmatan servis kekili, joran dan lures juga di buatnya kerana minat yang mendalam terhadap dunia pemancingan ini.

Mr. Kok Ming Tidak Lokek Berkongsi Pendapat Dan Pengalaman Beliau
Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan Mr. Kok Ming, boleh bertemu beliau di bengkelnya di No 203, Tingkat 2, Blok D, Flat PJS 5/1 bersebelahan lebuhraya NPE selepas tol kedua Rm1.00 menghala ke Sunway Piramid. Pastikan anda membuat temujanji dengan beliau dengan menelefon dahulu kerana jadual beliau yang padat dan anda tidak mendapat servis yang terbaik darinya. - Kok Ming 019-312 2697

Antara Kenangan Sewaktu Muda Dahulu... Fuh GT Bagak!!!
Baiklah sekian sahaja cerita dari kami untuk semua pembaca Pancing2u sekalian. Semoga bertemu kembali di waktu akan datang dan jangan lupa untuk mengikuti perkembangan aktiviti pancingan kami. Kami P2U Anglers mengalu-alukan sebarang komen dan penambahbaikan dari 'Otai-Otai' diluar sana bagi meningkatkan diri dan skill kami. Assalamualaikum wbt.

22 January 2014

Siakap "Penghulu" Kolam Pelita Harmoni (PH) - (21.01.2014)

Assalamualaikum wbt diucapkan kepada semua pembaca Pancing2u yang dihormati, baiklah sebagai mukadimah sesi kali ini merupakan sesi yang lebih kepada menguji prestasi kolam yang bakal dilakukan oleh ahli P2U Angler memandangkan 'komplot' kali ini akan dijalankan di kolam pancing baru dan tidak pernah di duga oleh kami. Kolam tersebut digelar, Kolam Pelita Harmoni (PH) yang terletak di Jugra, Banting (*Rujukan Ajib - Anak Tokey Kolam). Kalau otai-otai pancing diluar sana pernah memancing di Kolam RM3, Jugra Banting,  Kolam PH ini terletak di simpang kanan dan dalam anggaran 1 km dari Kolam RM3 tersebut.


Kolam No. 1 - Siakap
Untuk makluman pembaca Pancing2u sekalian, paparan kali ini tiada sebarang unsur bermotifkan keuntungan berbentuk kewangan dan lain-lain kepada Ahli P2U Angler dan hanya sekadar mempromosikan kolam tersebut atas dasar minat dan pembangunan sukan memancing di negara ini. Kami tidak meminta sebarang bayaran dan habuan diatas promosi ini hanya berkongsikan serba sedikit aktiviti pemancingan dan ujian kolam kami.

Info Kolam:
  1. Nama: Kolam Pelita Harmoni (PH) / Kolam Harmoni
  2. Pemilik bangsa melayu
  3. Pekerja: Ajib (*Anak Tokey), AL, Abon, Pakcik Tua
  4. Terdapat 4 kolam air masin yang dibuka kepada pemancing untuk memancing
  5. Dibuka 8am - 3am (Setiap hari)
  6. Yuran bagi sebatang joran = RM3.00
  7. Ikan yang berjaya di pancing harus di timbang sebelum dibawa keluar
  8. Ikan tidak boleh di lepaskan kembali * kecuali Pakej CNR.
  9. Umpan Udang disediakan mengikut saiz (Harga 50sen, 40sen, 20sen)
  10. Umpan Ikan Kembung, Selar dan Tongkol juga disediakan
  11. Gewang dibenarkan tetapi harus menukar kepada mata 1

Pakej 1 - Tangkap & Bawa Balik Ikan

Bayaran sebanyak Rm3.00 bagi sebatang joran dan pemancing boleh mencuba semua kolam dengan sekali bayaran masuk. Ikan yang berjaya dipancing akan ditimbang mengikut berat. 

  1. Kolam 1 (Siakap) - Rm17.00 bagi 1kg
  2. Kolam 2 (Senangin Taiwan, Kaci, GT) - Rm30.00 bagi 1kg
  3. Kolam 3 (Jenahak) - Rm35.00 bagi 1kg
  4. Kolam 4 (Kerapu Hybrid) - Rm38.00 bagi 1kg
Pakej 2 - Catch & Release (CNR)

Bayaran sebanyak Rm50.00 bagi sebatang joran bagi tempoh 2 jam pemancingan. Ikan yang di tangkap harus di lepaskan kembali secepat mungkin bagi mengelakkan ikan mati. Pemancing dibenarkan mencuba di semua kolam.


Pondok Hujung Kolam Merupakan Spot Terbaik!
Ringgo Sibuk 'Casting'
Baiklah berbalik kepada cerita sesi ujian kolam yang akan dilakukan oleh P2U Angler, kami tiba di lokasi sekitar jam 3.30pm dan ketika itu matahari tidak terlalu terik dan angin ada bertiup menyejukan badan. Sesi kali ini hanya Saya (Admin) dan Ringgo yang turun. Setibanya di kolam tersebut, saya memulakan sesi temubual bersama pekerja kolam tersebut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan perihal kolam tersebut. Alhamdulilah, saudara Al yang merupakan pekerja kolam tersebut tidak lokek untuk memberikan kami penerangan serba sedikit tentang kolam, pakej dan teknik untuk memancing disitu.

8 Ekor Udang - *Jangan Beli Banyak Kalau Tidak Mahu Tangkap Lebih
Tanpa melengahkan masa umpan Udang sebanyak 8 ekor telah kami beli dan kami sepakat untuk mencuba di kolam no.1 iaitu kolam Siakap. Merujuk kata saudara Al, Siakap saiz anggaran 1kg hingga 2kg yang mendiami kolam tersebut dan andai pemancing berjaya menjerat Siakap Saiz 1.5kg > sudah dianggap berjaya. Satu lagi sebab mengapa kami ingin menguji kolam no.1 adalah kerana bayarannya lebih murah berbanding kolam lain. Bayangkan kalau anda menduga kolam no. 4 yang dikatakan dipenuhi Sang Kerapu bersaiz 4kg, mahu nazak hendak membayar 'tol' ketika mahu pulang. Fuhh!...


Set Vintage Yang saya Gunakan...Ada Ong!!!
Saya mempertaruhkan set pancingan vintage peninggalan arwah Hj. Roseli (*Ayah Ringgo) iaitu Rod  Dam Quick - Royal Foray panjang 5'6'' dan kekili Dam Quick TS 45. Ringgo pula menggunakan set pancingan barunya iaitu Rod Expert Graphite 5'6'' 8lb - 17lb dan kekili PENN Battle 1000. Baiklah setelah semua senjata siap sedia mata kami memulakan labuhan pertama di bahagian tengah kolam. Tidak ramai pemancing yang datang untuk memancing dan ini memudahkan sesi ujian kolam kami kerana kami bebas bergerak sekitar kolam dan mencuba setiap pelusuk kolam.

"Penghulu" Siakap Berjaya Saya Daratkan
Lebih kurang 10 minit 'Casting' joran Ringgo telah mengena tarikan namun setelah satu lompatan 'Acrobatic' yang dilakukan Siakap disitu maka lenyaplah harapan Ringgo. Namun semangat untuk menjerat tidak luntur dengan mudah lalu umpan Udang dipasang kembali. Saya hanya menggunakan teknik 'Bottom' yang mana umpan Udang dicampakkan berhampiran kincir air kerana pada firasat saya diwaktu petang sebegini kadar oksigen didalam kolam adalah rendah dan ikan pasti berkumpul di sekitar kawasan kincir air tersebut. Sedang saya mengunyah keropok dan menikmati pemandangan kolam, tiba-tiba joran vintage saya bergerak dan tali menegang menandakan ada makhluk dasaran yang telah terjerat. Rezeki sudah sampai!, jerit saya. Kawalan joran dilakukan dengan baik sekali agar tidak rabut dan dari jauh kelihatan ikan yang agak besar berbanding saiz yang terkena joran Ringgo sebentar tadi.

Tangguk!...Tangguk!..Cepat!...jerit saya

Ringgo pun bergegas mencapai tangguk yang disediakan di sebelah kerusi menunggu kami, Ringgo dengan hati-hati mengendalikan tangguk dan akhirnya saya telah berjaya mendaratkan seekor "Penghulu" Siakap dengan berat anggaran 1.8kg. 

Wah besar Bob!...kata Ringgo

Tanpa membuang masa ikan di cangkuk pada ring dan dibiarkan didalam kolam agar kesegarannya terjamin sehingga waktu hendak pulang nanti. Saya meneruskan pancingan dengan mencanggukkan umpan Udang lagi. Pada pandangan kami, kolam ini berpotensi dan dihuni puluhan ekor Siakap didalamnya ini berkemungkinan taukeh melepaskan ikan dengan banyak.

"Koboi" Kolam...
2 Ekor Siakap Dalam Masa 1Jam
Kami kerap kali menerima getuan dan larian dari Sang Siakap, ada yang rabut selepas lompatan 'Acrobatic' dilakukan dan ada yang berjaya dinaikkan. Lebih kurang 2 jam memancing di situ rasanya sudah hampir 7 ekor Siakap berjaya dinaikkan oleh kami dari saiz 700gram hingga 1.8kg. Sebenarnya boleh andai kata kami ingin menangkap lebih banyak namun disebabkan peraturan kolam yang mana semakin banyak dan berat ikan dinaikkan maka bayaran akan menjadi lebih tinggi  maka kami menamatkan sesi ujian kolam kami.

Ringgo Juga Berjaya Mendaratkan Siakap
Alhamdulilah, cukuplah sekadar rezeki 7 ekor pada kali ini. Kami bergerak ke kaunter timbangan untuk menimbang hasil tangkapan kami, saya telah dikenakan bayaran RM48.00 bagi 5 ekor ikan seberat 2.8kg. Manakala Ringgo pula dikenakan bayaran Rm18.00 bagi 2 ekor ikan seberat 1.1kg.

Keputusan Ujian Kolam

Hasil Tangkapan Saya (Admin) - 5 Ekor
Hasil Tangkapan Ringgo - 2 Ekor
Satu lagi yang menarik di sini adalah perkhidmatan menyiang ikan yang dipancing disediakan oleh pekerja-pekerja kolam seperti Pakcik Tua dan Abon dengan bayaran sebanyak RM1.00 bagi seekor ikan. Terbaiklah, boleh terus masak dikedai malam ini.

Perkhidmatan Siang Ikan  Hanya RM1.00
Akhir kata dari kami P2U Angler, marilah bertandang dan mencuba di Kolam PH ini, kerana ia menawarkan tangkapan yang 'Frenzy' dan terdapat kepelbagaian spesies serta berat. Sesuai untuk mereka yang baru ingin belajar memancing dan bagi mereka yang ingin bersantai bersama keluarga. Tandas dan bilik mandi disediakan. Sekian terima kasih diucapkan kepada para pembaca Pancing2u.blogspot.com yang sudi meluangkan masa menbaca blog kami ini. 

Assalamualaikum wbt~

Yang Ini Kasi Korang Terliuh Sikit!!!...Hehehe
Siakap Masak Stim
Siakap Masak 3 Rasa

20 January 2014

Layan Puyu, Tasik Subang Jaya - (19.01.2014)


Info Spesies: Puyu
Nama Saintifik: Anabas Testudineus @ Climbing Perch
Negara Asal: Afrika, Mozambique, Lesotho, Swaziland

Ikan Puyu (Anabas testudineus) merupakan spesies ikan air tawar yang paling lasak, sawah atau tali air serta sungai kecil menjadi habitat utama spesies ini, bersisik dan bersirip keras memudahkan spesies ini bergerak di atas tanah yang berair, kerana pada ketika tertentu pada musim hujan kebanyakkanya berhijrah dan akan memanjat tebing sungai mencari lopak air yang lain. Ia paling layak digelar spesies yang suka berhijrah. Spesies ini juga mampu bertahan tanpa air hingga beberapa jam. Ikan puyu dewasa mampu menjangkau panjang kira-kira 25 cm atau 9.8 inci).

-Sumber Wikipedia

Assalamualaikum wbt dan selamat tahun baru 2014 diucapkan kepada semua warga pembaca Pancing2u, diharapkan Ahli P2U Angler masih belum terlewat mengucapkannya kepada semua pembaca Pancing2u. Baiklah untuk cerita kali ini sebenarnya ia merupakan sesi yang dirancang secara mengejut oleh ahli P2U Angler pada cuti hari Ahad yang lepas untuk turun memancing di Tasik Subang Jaya yang terletak dibahagian belakang Hospital Subang Jaya dan berhampiran Hotel Grand Dorsett.

P2U Angler Bersiap Sedia Untuk Memancing!
Sesi kali ini disertai oleh Saya (Admin), Ringgo, Torres dan Jojo yang berkumpul di lokasi pada pukul 3.30pm dan misi kali ini sebenarnya lebih kepada mensasarkan spesies seperti Peacock Bass, Haruan dan Toman yang dikatakan banyak bersembunyi di Tasik Tersebut. Setelah kami merujuk sumber seperti Google, Blog-blog pancing, dan lain-lain banyak menyatakan spesies tersebut masih terdapat di Tasik Subang Jaya.

Ramai Juga Orang Memancing Petang Ini
Namun kami akui yang kami masih baru dalam dunia pemancingan air tawar dan masih kurang dalam kepelbagaian teknik dan ilmu untuk menawan spesies air tawar tersebut akan tetapi dengan berbekalkan semangat memancing yang tinggi lalu kami teruskan usaha murni tersebut. Apa umpan yang terdetik di kepala kami adalah roti Gardenia dan menggunakan gewang-gewang milik kami yang tak seberapa, almaklumlah kami selalu layan ikan air masin tiba-tiba bertukar ke air tawar pula...Pening-pening!.

Set Pancingan Saya (Admin)
Muka Orang Baru Baik Demam...
Berbalik kepada cerita memancing tadi, kami memulakan aktiviti menjerat dengan mengilat di sekitar kawasan tasik tersebut. Kelihatan ramai juga pemancing dari pelbagai peringkat usia yang turun pada petang tersebut. Semakin lama, semakin ramai pula yang memancing disitu macam pertandingan rasanya. Pada pemikiran kami mungkin rasanya hobi memancing di Malaysia semakin diminati dan mendapat tempat dihati masyarakat.

Ringgo Dan Torres Sabar Menanti
Lebih kurang 2 jam menunggu namun tiada sebarang sambaran diterima dari makhluk dasaran disana begitu juga mereka yang memancing di situ. Setelah agak bosan lantas saya menukar mata kail kepada saiz yang lebih kecil sedikit dan hanya menggunakan cebisan roti dan melabuhkan di kawasan berhampiran lumut-lumut ditepian tasik. Tidak sampai beberapa minit, terasa ada sambaran kecil apabila ditarik rupanya ikan Puyu.

Ikan Puyu 1st...
Comel Tak?...
Layan juga bila dah bosan, ada penghibur hati yakni ikan-ikan Puyu yang comel-comel sudi menjamah roti yang dihidangkan. Bolehlah orang cakap, merasalah juga tarik ikan dari 'Kumpau' langsung. Kesemua ikan-ikan Puyu yang terkumpul pada sesi tersebut adalah sebanyak 6 ekor dan kami telah melepaskannya semua kedalam tasik kembali ekoran tiada seorang pun dari kami yang biasa makan ikan air tawar tersebut. Lebih kurang jam 7pm kami telah berkemas-kemas untuk pulang dan akan kembali lagi untuk memancing disini setelah kajian dan rujukan yang lebih mendalam dilakukan bagi menjerat spesies-spesies lain disitu.

Hasil Sebanyak 6 Ekor *Kesemuanya Kami CNR
Terima kasih juga diucapkan kepada pembaca Pancing2u yang sudi meluangkan masa membaca blog ini. Akhir kata kami P2U Angler ingin berpesan kepada diri kami dan anda semua agar jangan lupa untuk memartabatkan sukan memancing ini hingga ke peringkat antarabangsa, segalanya bermula dengan peranan dan motivasi diri kita sendiri. Sekian sahaja cerita kami pada kali ini semoga berjumpa lagi di sesi akan datang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...