30 June 2014

Layan Tarik!!!...Ikan Gred "A" - (27.06.2014)

"SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK IKHLAS DARI P2U ANGLER"

Tiba Di Lokasi Tepat Pukul 2 Petang...
Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada para pembaca blog Pancing2u, seperti kita sedia maklum bulan Ramadhan bakal berkunjung tiba menandakan seluruh umat islam akan menunaikan ibadah berpuasa. Aktiviti memancing pastinya akan terhenti seketika sepanjang bulan ini, komplot-komplot bersama rakan-rakan ke lubuk-lubuk yang sering dikunjungi pasti akan tertunda sehingga selesai tempoh berpuasa. Namun kepada mereka yang bergelar pemancing "Hardcore" aktiviti memancing ini pasti akan terus berjalan biar pun cuaca panas dan kering janji dapat "Menarik!!!..."


Kami Memilih Pondok Paling Hujung
Misi Menduga Kolam No. 4 (Kerapu)
P2U Angler juga sempat bergasak dengan beberapa ekor spesies di Kolam Pelita Harmoni (PH) yang terletak di Banting sehari sebelum bermulanya puasa. Komplot kali ini hanya disertai oleh Admin dan Ringgo yang kebetulan memang sepakat untuk turun pada hari tersebut. Misi sebenarnya untuk menguji set PENN yang baru dibeli oleh Ringgo 1 bulan yang lalu namun beliau masih belum berkesempatan mengujinya ekoran kesibukan kerja.

Ringgo Mencuba Set Ringan PENN Beliau...
Kami tiba di lokasi pada pukul 2 petang, suasana kolam aman dan tenteram. Tidak ramai pemancing yang memancing kerana kami ke sana pada waktu bekerja, bukan apa potensi untuk menerima "Strike" lebih tinggi dikala tekanan pemancing berkurangan. Kami pun dapatlah kiranya bergerak bebas dan memilih spot yang baik untuk sesi pancingan nanti. Untuk makluman pembaca yang baru, yuran bagi sebatang pancing hanyalah sebanyak Rm3.00 sahaja dan ikan yang berjaya dipancing harus ditimbang mengikut jenis gred ikan ( Sila Rujuk Post *Kolam Pelita Harmoni (PH) ).

Admin Biarkan "Bottom" Sahaja
Kali ini Admin sengaja menggunakan set Heavy Action, Rod Abu Garcia Tournament Sx 7'0", kekili OKUMA Trio Baitfeeder 55 dan Braided Line Ichiban 60lb. Manakala Ringgo pula menggunakan set ringan beliau yakni Rod PENN Squadron 5'6", Kekili PENN Battle 2000 dan Braided Line Ichiban 20lb. Kami ingin menguji keberkesanan tahap kepuasan melayan spesies di kolam ini dengan penggunaan set berlainan. Setelah persiapan perambut di buat, Admin menggunakan umpan Udang hidup manakala Ringgo pula menggunakan isi Ikan Kembung yang dipotong kecil. Kemudian labuhan dibuat di kolam Kerapu bahagian berdekatan kincir air dimana kami tahu situ merupakan kawasan lepak "Sang Kerapu" cuma saiznya akan sudi menjamah umpan yang tidak kami ketahui, berkemungkinan 2kg, atau 4kg.

Ringgo Sedang Melayan Asakan!!!...
Kerapu Hybrid Seberat 2 Kilo...
Setelah hampir 15 minit labuhan dibuat tidak terdapat sebarang sambaran dari makhluk dasaran. Ringgo cuba untuk mengulung tali beliau kemudian tiba-tiba, "Eh..Eh..Ada..Ada.." kata Ringgo, rupanya umpan isi ikan beliau telah dimakan secara senyap. Apa lagi bermulalah sesi pertarungan dengan Sang Kerapu yang dicari-cari. Admin sempat merakam gambar aksi beliau dan detik-detik pertarungan beliau. Lebih kurang 3 minit melayan asakan, lalu tertewaslah seekor Kerapu anggaran skala 2kg. Memang mendebarkan jika kita menggunakan set ringan untuk melayan.

Giliran Admin Pula Bertarung!!!...
Terbaik!!!...
Kerapu Hybrid Yang Tertewas Seberat 2.5 Kilo...
Sedang kami sibuk mengambil gambar dan bergembira meraikan hasil tangkapan Ringgo, mesin baitfeeder Admin memuntahkan tali keluar, nampaknya pengera teknologi Baitfeeder Admin berfungai dengan baik. Joran diangkat dengan cermat dan Admin melakukan satu sembatan, "Yes..Aku Punya Dah Kena...Yahuu.." kata Admin kepada Ringgo yang ketika itu sedang sibuk memasang ring pada mulut tangkapannya. Walaupun set berat yang digunakan namun kudrat tarikan Kerapu kali ini amat kuat sekali. "Berat Nie...Penat Nak Layan..." kata Admin. Kepuasan masih dapat dirasakan sewaktu pertarungan dan setelah dilayan dengan baik akhirnya tertewaslah seekor Kerapu anggaran skala 2.5kg.

Berkocak Air - Lihat Betapa Ganasnya Si Merah Ini...
Sememangnya satu kepuasan dikecapi apabila joran masing-masing mengena dan beroleh tangkapan. Setelah selesai menambat hasil tangkapan di tepi kolam, tanpa membuang masa kami beralih kepada Kolam No. 3 yakni kolam Jenahak, namun menurut taukeh kali ini ada dilepaskan Ikan Merah. Bolehlah kami cuba menangkap untung-untung boleh buat Sup Ikan Merah untuk berbuka puasa nanti. Kali ini Ringgo masih menggunakan isi Ikan Kembung dan Admin pun turut sama menggunakan umpan yang sama memandangkan potensi umpan tersebut cepat disambar.

Tertewas Seekor Merah
Ikan Merah - Sedap Jika Dibuat Sup!
Tidak sampai 10 minit sekali lagi kekili Baitfeeder Admin memuntahkan tali. "Alhamdulilah Bob...Nampaknya Menjadi Juga Umpan Ikan Kembung Nie..." kata Admin kepada Ringgo. Setelah di layan dengan cermat kelihatan warna kemerah-merahan timbul di permukaan air, "Yes..Ikan Merah...Ikan Merah...Bawa Tangguk Cepat..." kata Admin. Akhirnya Admin berjaya mendaratkan seekor Ikan Merah. Pada mulanya risau kalau Jenahak yang sudi, alhamdulilah berjaya dapatkan spesies yang dicari.

Ringgo Dan Si Merah...
Ringgo juga berjaya menjerat seekor ikan Merah, nasib kami memang begitu baik sekali kerana setiap umpan yang dilabuh akan digetu tidak kurang dari 10 minit. Mungkin waktu makan bagi ikan-ikan dikolam tersebut atau mungkin juga tekanan pemancing tidak begitu ramai. Setelah Ringgo berjaya mendaratkan hasil tangkapan beliau, kami sepakat untuk berpindah dan menduga kolam No. 1 (Siakap), entah apa yang sudah merasuk kepala kami, rasa ketagih pulak hendak menarik ikan.

Jom Kita Pindah Kolam...
Selesai Menangkap Spesies Yang Diidamkan Kami Berhijrah ke Kolam No. 1 (Siakap)
Memandangkan umpan Udang dan isi ikan Kembung kami masih ada, jadi tidak perlulah kami membeli lagi dan boleh diguna pakai untuk sesi pemancingan di Kolam No. 1 (Siakap) nanti. Bilangan pemancing di sini agak ramai berbanding kolam lain almaklumlah kolam Siakap ini merupakan spot kegemaran orang ramai untuk memancing memandangkan harga timbangan yang jauh lebih murah berbanding kolam lain.Menurut taukeh, beliau ada melepaskan banyak Siakap saiz hidangan pada hari tersebut, memang tidak dapat dinafikan Admin dan Ringgo masing-masing berjaya mendaratkan hasil di kolam tersebut.

Siakap "Hook Up" Di Badan...
Admin 3 Ekor Dan Ringgo 1 Ekor...
Akhir kata, sekian sahaja cerita kali ini dari kami P2U Angler untuk tatapan semua. Selamat berpuasa diucapkan kepada semua dan jangan lupa untuk teruskan mengikuti perkembangan kami bagi sesi yang akan datang.

-Assalamualaikum wbt.

23 June 2014

Cuci Mata Di Angling & Outdoor Recreational 2014 - (20.06.2014)

Pameran Memancing dan Aktiviti Luar 2014
"Pameran Memancing dan Aktiviti Luar 2014" kembali lagi, sememangnya pameran ini ditunggu-tunggu oleh mereka yang digelar pemancing. Bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam berlangsung selama 3 hari bermula dari 20hb hingga 22hb Jun 2014. Pameran tahun ini lebih menarik berbanding tahun lepas ekoran hadiah-hadiah untuk dimenangi dan produk-produk pancing yang lebih canggih untuk dibeli.


P2U Angler tidak ketinggalan untuk turut sama berkunjung ke sana, Admin dan Ringgo sempat meluangkan masa mencuci mata melihat produk-produk baru dipasaran. Namun kali ini kami tidak berkesempatan membeli barang pancing kerana set kelengkapan pancing kami sudah cukup. Kali ini kami ke sana untuk menebus segala kupon cabutan bertuah serta mengambil "Goodie Beg" yang ditawarkan.

Gerai SHIMANO
SHIMANO STELLA Terbaru...
Banyak pengedar produk pancing yang terkenal yang menyertai pameran kali ini antaranya TCE Tackle Sdn. Bhd., Shimano, Megabass, Sang Lin Tackles Sdn. Bhd., Senses Fishing, Bossana, Core Zone, Kairos, Land Rover (M) Sdn. Bhd. dan tidak ketinggalan badan persatuan seperti K.A.G.U.M yang mempergiat usaha memelihara sungai serta Team Alucast mempromosi tempat memancing. Boleh rambang mata kalau datang pameran sebegini. Mujurlah duit tidak banyak dalam kocek kalau tidak pasti kami borong semuanya.

Gerai TCE TACKLE SDN. BHD.
Pada tahun ini terdapat 3 hadiah utama yang ditaja oleh Nanyang Press yang dibahagikan mengikut hari selama 3 hari berturut-turut. Hadiah hari pertama menawarkan 2 batang rod (Spinning & Casting), hadiah hari kedua pula sebuah Kayak manakala hadiah hari ketiga pula sebuah kanu berharga Rm4000++. Memang menarik berbanding tahun lepas yang mana hanya meneka gewang. Ringgo dan Admin mencuba nasib untuk memenangi hadiah-hadiah tersebut.

Tunjuk Ajar Ku Sifu...
Selain itu pihak penganjur turut mengadakan sesi pembelajaran casting dan pengendalian gewang dengan menjemput pemancing-pemancing handalan dari dalam dan luar negara untuk memberikan sedikit tips serta pandangan kepada pengunjung yang hadir. Terdapat juga permainan "Cast & Win" dimana pengunjung dapat menunjukkan bakat melontar gewang dengan tepat ke sasaran.

             
So Think You Can "Cast"?...
Atok Toman...

Admin pula bernasib baik kerana berjaya mendapatkan 2 buah kotak mata kail jenama Tomman dan bantal khemah jenama Felton dalam acara "Spin & Win". In shaa allah, kalau ada rezeki menang kanu tajaan Kairos pula, amin. Apa yang menariknya kami berpeluang bertemu "Otai-otai" pancing secara langsung yang selalu hanya dapat dilihat dalam majalah.

Gerai LURES FACTORY
Jump Frog Pelbagai Corak - Menarik!!!
Rata-rata pengunjung yang datang terdiri dari kaki pancing tegar. Ada yang turut sama membawa keluarga dan rakan-rakan. Pelbagai ragam dapat kami saksikan ada yang sibuk bergambar bersama pemancing idola, ada yang sibuk membeli barang pancing, ada yang kusyuk mendengar penerangan dari pengedar barang pancing serta ada yang membawa hasil membeli belah berbondong-bondong. Semua kelihatan ceria dan gembira semasa berada di pameran tersebut.

Ringgo Sedang Membelek Reel OKUMA HELIOS
Hadiah Cabutan Bertuah Tajaan Life Magazine...
Baiklah sekian sahaja cerita kali ini, para pembaca diluar sana jangan lupa untuk datang ke pameran memancing kerana ianya pasti membuatkan anda rasa teruja. Terima kasih juga diucapkan kerana sudi meluangkan masa membaca blog Pancing2u.

-Assalamualaikum wbt

17 June 2014

Gambar "Koboi Kolam" Berjaya Mencuit Hati Juri!!!... - (17.06.2014)

"Tuah Ayam Nampak Dikaki, Tuah Kita Siapa Yang Tahu"...

Peribahasa diatas sesuai diungkapkan pada artikel kali ini, alhamdulillah gambar Admin dengan hasil tangkapan Siakap "Penghulu" (*Rujuk posting yang lalu) yang dihantar kepada majalah UMPAN telah berjaya mendapatkan tempat saguhati untuk ketegori Air Masin.

Admin tidak sangka gambar terpilih kerana sesi pancingan hanya dijalankan di kawasan Kolam RM3, Banting dan tangkapan ikan Siakap bersaiz biasa sahaja namun tetap terpilih, mungkin tuah Admin memakai "Topi Koboi" ketika memancing tersebut yang berjaya mencuit hati juri.

Walau apa pun terima kasih diucapkan kepada Majalah UMPAN dan TCE Tackles Sdn. Bhd. diatas sumbangan yang diberikan. Insyallah kami akan menggunakan set tersebut di sesi pancingan dimasa hadapan.

Majalah UMPAN; Volume 19
Gambar "Koboi Kolam" Yang Berjaya Mencuit Hati Juri Majalah UMPAN

16 June 2014

Misi Mencari "Si Raja" dan Pengikutnya - (15.06.2014)

Assalamualaikum dan Salam sejahtera, alhamdulillah bertemu lagi kita dalam sesi pancingan liar. 'Komplot' kali ini bertempat di Tasik Subang Jaya. Untuk makluman, kali ini Admin cuba memancing di tasik bahagian belakang Holiday Villa dan tepat jam 3:00 petang, Admin sampai ke lokasi. Nampaknya sudah ramai pemancing yang telah berkampung disana. Oleh itu Admin terpaksa jalan ke bahagian belakang sedikit untuk membentang tikar sebelum memulakan "Setting" senjata.

Port Baik - Dibawah Pokok Kelapa
Misi kali ini sebenarnya Admin lebih mensasarkan untuk menangkap spesies pendatang iaitu Peacock Bass atau Ikan Raja bertujuan menambah rekod tangkapan sendiri namun disebabkan tekanan pemancing yang datang saban hari ke Tasik Subang menyebabkan spesies tersebut semakin sukar untuk dijerat. Walau apa pun Admin akan tetap berusaha dan mencuba nasib.

Try Umpan Dedak Pandan...
Labuhan pertama di buat dengan berumpankan Dedak pandan. Balingan hampir ke tengah bahagian tasik dan joran dibiarkan "Bottom". Sementara menunggu, Admin menggunakan sebatang joran lagi untuk dibuat "Casting" mana tahu untung badan berjaya sangkut Snake Head. Penggunaan "Spinner Bait" di kawasan yang terbuka dan kurang rumpai air mungkin boleh mencakup.

Spinner Bait Keluaran BAKAU...
Setelah berkali-kali balingan dibuat sehingga hampir lenguh tangan dan lengan namun masih belum menerima sebarang sambaran. Agaknya spesies ikan di Tasik Subang Jaya ini memang sudah kurang pada fikiran Admin. Hanya kawanan Talapia Merah bersaiz kecil yang sudi menjamah umpan dedak yang disediakan. Bolehlah dari 'Kumpau', yang penting kesabaran dan usaha dalam menjerat spesies idaman harus di teruskan.

Talapia Merah Yang Sudi...
Saiz Kecil - Sekejap Lagi Admin C N R...
Semasa Admin sedang memancing, datang seorang "Otai" yang berbangsa Cina yang mengenali Admin, Nama Beliau Mr. Chew, lalu kami pun duduk dan memancing bersama. Banyak pengalaman dan teknik yang dikongsi oleh beliau. Kata beliau untuk menangkap spesies Peacock Bass di situ, kita harus menggunakan anak-anak ikan Kap atau Gapi kerana spesies tersebut suka memburu mangsa yang lebih kecil. Minggu lalu beliau telah berjaya menaikkan spesies berskala 1kg.+++

Mr. Chew @ Taukeh Kapal KMV Shipping
Baik Orangnya Tidak Kedekut Umpan...
Selepas itu, Admin pun mencuba bertukar kepada penggunaan anak ikan Kap yang dibawa oleh Mr. Chew. Nasib orang tua ini tidak kedekut umpan. Tiba-tiba baru balingan pertama seekor Peacock Bass bersaiz kecil berjaya di naikkan. Alhamdulilah, ada juga yang sudi nak menyambar, rupanya penggunaan anak ikan Kap ini lebih efektif dan ucapan terima kasih kepada Mr. Chew kerana memberikan tips yang baik.

PEACOCK BASS - Bersaiz Kecil
Akhir kata, sekiranya anda ingin mencuba memancing di sini, pastikan penggunaan anak-anak ikan tersenarai dalam umpan anda kerana masih terdapat spesies pemburu di tasik ini. Sekian sahaja misi pancingan liar P2U Angler kali ini, semoga berjumpa lagi dicerita yang akan datang. Jangan lupa untuk menghantarkan komen serta pandangan anda kepada kami menerusi e-mel yang tertera dan jangan lupa untuk bersama-sama menyokong konsep "Catch And Release"!!!...

-Assalamualaikum wbt

09 June 2014

P2U Angler Sokong Angler UNITEN... - (07.06.2014)

Lokasi Pertandingan - Tasik UNITEN, Bangi
Merujuk kepada paparan yang lalu iaitu iklan Pertandingan Memancing anjuran, UNITEN. Untuk makluman pembaca blog pancing2u, pertandingan tersebut merupakan acara yang dianjurkan hasil kerjasama dikalangan pelajar-pelajar UNITEN yang diberi nama "Kelompok Cendikiawan". Apa yang menariknya dari Hakim, Marshal, Urusetia dan Pegawai pengawasan semuanya terdiri dari kalangan pelajar. Kami merasa kagum dengan mereka manakan tidaknya, rata-rata diantara mereka bukannya pemancing tegar namun berjaya menganjur dan menguruskan pertandingan memancing dengan baik.

Khemah Urusetia
P2U Angler tidak melepaskan peluang untuk menyertainya. Dalam erti kata lain, memancing semestinya untuk mendapatkan ikan serta pengalaman namun selain itu tanggungjawab kita dalam menyokong mereka yang menganjurkan pertandingan dan lain-lain acara juga harus dititik beratkan. Barulah dunia sukan memancing ini dapat berkembang dengan baik.

Pemancing Mula Memenuhi Sekitar Tasik UNITEN
Aktiviti Riadah Bersama Keluarga
Baiklah pertandingan tersebut berlangsung di Tasik UNITEN bersebelahan Masjid dan Hotel Residence, UNITEN. Keluasan tasik tersebut anggaran satu padang bola dan bayaran Rm30.00 dikenakan bagi sebatang joran. Tasik tersebut merupakan kawasan "Larangan memancing" namun istimewa kali ini ianya dibuka khusus untuk pertandingan, Admin jangkakan yang pasti spesies-spesies yang tinggal didalamnya terjaga dengan baik dan masih belum menerima tekanan dari pemancing.

Tegar!!!...Admin Dengan Penampilan Solo...
Sesi kali ini hanya Admin yang turun beraksi memandangkan rakan-rakan yang lain mempunyai urusan serta kerja yang harus diselesaikan. Nampaknya tugasan ini tidak boleh dianggap mudah memandangkan penampilan solo mempunyai banyak risiko dan kurang menarik, namun Admin teruskan juga berjuang untuk mewakili P2U Angler. Tiba di lokasi seawal jam 7:00 pagi dan mendaftarkan diri di khemah urusetia. Kelihatan ramai yang beratur untuk mendaftar dan sejurus selepas mendaftarkan joran Admin pun terus meronda kawasan sekitar tasik bagi mencari tapak yang dirasakan sesuai.

Khemah P2U Angler...Hehehe
Alhamdulilah, tapak di bahagian tengah tasik menjadi pilihan Admin memandangkan ianya redup dan tenang. Kelihatan peserta-peserta mula memenuhi segenap kawasan tasik, mereka terdiri dari pelajar dan pekerja UNITEN serta Orang awam. Untuk permulaan umpan yang digunakan hanya cacing tanah yang dipasang pada mata kail saiz kecil. Labuhan pertama dilakukan dengan jayanya terus ke tengah tasik dengan bantuan ladung saiz 2.

Pakai Umpan Cacing Dulu...
Apa yang dapat Admin perhatikan banyak pemancing menerima sambaran dari Talapia serta Lampam bersaiz kecil namun ianya tetap perlu di bawa ke meja hakim dan ditimbang memandangkan pertandingan kali ini kiraannya berdasarkan berat ikan yang berjaya di pancing. 1 jam sudah berlalu dan seekor Pacu seberat 3.85kg telah berjaya dinaikkan.

Power Umpan "Otai" Ini Asyik Menarik Jer...
Ganas Gaya "Otai" Ini...
Pelbagai ragam dan gaya dapat dilihat, masing-masing mempersembahkan teknik balingan serta umpan dedak yang "Power" memaksa Admin menukar strategi dari berumpankan cacing kepada penggunaan dedak dan mata rambai. Mana boleh tahan tengok orang sebelah asyik "PACAAAAK!!!".

Bertukar Kepada Penggunaan Dedak Pandan
Matahari semakin meninggi dan suhu pula semakin meningkat panas. Ramai pemancing berteduh dibawah pohon-pohon rendang ditepi tasik. Rekod  tempat 1st masih disandang oleh Pacu berat 3.85kg, 2nd Patin berat 2.2kg dan 3rd Rohu berat 1.8kg. Terdetik juga di hati "Kemanakah Pergi Spesies Gadang di Dalam Tasik Ini?....".

P2U Angler 06 - Hairul Datang Bersama Keluarga Memberi Sokongan
Jam sudah menunjukan pukul 12:00 tengah hari menandakan pertandingan sudah hampir ke penghujungnya namun Admin masih belum menerima sebarang tangkapan. Mungkin rezeki tidak berpihak kepada Admin kali ini atau mungkin umpan yang dipersembahkan kurang efektif untuk memikat spesies di tasik ini. Akhirnya siren penamat dibunyikan menandakan tamat sudah pertandingan. Walau apa pun Admin tetap berpuas hati dan tahniah diucapkan kepada warga UNITEN kerana berjaya menganjurkan pertandingan dengan baik. Sekian sahaja cerita pada kali ini diharap pembaca blog Pancing2u terhibur dan teruskan sokongan anda. Aktiviti 'Komplot' seterusnya dikemaskini in sha allah.

-Assalamualaikum wbt
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...