Showing posts with label Kolam Jugra Sport Fishing. Show all posts
Showing posts with label Kolam Jugra Sport Fishing. Show all posts

30 April 2015

Pertandingan Memancing Kolam Air Masin Anjuran MDKL - (25.04.2015)

Assalamualaikum kepada para pembaca pancing2u.com, baiklah kali ini Admin tidak memaparkan aktiviti memancing P2U Angler cuma sekadar memapar dan kongsikan program memancing anjuran MDKL yang bertempat di Kolam Ikan Air Masin Jalan Bandar @ Jugra Sport Fishing, Banting. Pertandingan Memancing Kolam Air Masin anjuran  Kelab Sukan & Kebajikan MDKL yang telah diadakan pada 25 April 2015 yang lalu. 

Tempoh hari Admin ada menerima kiriman foto dari taukeh kolam tersebut Haji Sani melalui aplikasi Whatsapp. Pertandingan tersebut merupakan acara tertutup yang mana hanya disertai oleh pekerja dan ahli keluarga MDKL sahaja. Oleh yang demikian kolam tersebut telah ditutup dari jam 8:00 pagi hingga 2:00 petang. Kolam tersebut hanya dibuka selepas jam 2:00 petang kepada pemancing-pemancing luar.

Pihak kolam telah melepaskan banyak ikan-ikan bersaiz gadang untuk dijadikan sebagai ikan pertandingan anggaran 2-3 kilogram. Kebanyakkan spesies yang berjaya dinaikkan adalah spesies Siakap, Kerapu dan Senangin Taiwan. Peserta juga kelihatan gembira dan ceria kerana dapat beriadah bersama keluarga dan menjalinkan ukhwah sesama sendiri.

Akhir kata bagi mereka yang masih belum pernah mencuba memancing di Kolam Jugra Sport Fishing, Banting, Ayuh! rancang untuk turun ber 'komplot' bersama rakan-rakan disini kerana pakej dan bayaran masuk ke kolam tersebut tidaklah terlalu mahal dan hasilnya juga agak memberansangkan. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan kolam boleh rujuk maklumat kolam di bahagian kanan blog (*Jugra Sport Fishing). Sekian sahaja dari P2U Angler untuk semua, Assalamualaikum wbt.








14 October 2013

"Kumpau" Di Kolam Jugra, Banting - (13.10.2013)

"Langit Tidak Selalunya Cerah"

Itulah pepatah yang dapat di takrifkan oleh P2U Angler ekoran trip ke Kolam Jugra, Banting mengalami pada ke "Kumpau" an pada 13.10.2013 yang lalu. Sesi pada kali ini disertai oleh 4 orang ahli iaitu Saya (Admin), Ringgo, Torres dan Jojo yang seawal jam 9.30am telah berada disana dan mula memancing ikan. 

(P2U Angler Bersemangat Di Awal Pagi)
Sesi kali ini kami menggunakan umpan isi ikan Tongkol yang dibeli di pasar Keling yang terletak di kawasan kolam tersebut. Selain itu umpan Udang digunakan sebagai altenatif untuk "Casting". Apa yang menyedihkan adalah Udang yang dijual semuanya bersaiz kecil-kecil belaka. Taukeh kolam telah menipu pemancing dengan menjual umpan udang bersaiz kecil yang sememangnya tidak boleh untuk dibuat "Casting" dan hidup lebih lama. Pesanan saya kepada beliau, andai hendak menjimatkan kos pun janganlah sampai menukar umpan Udang sedia ada dengan jenis yang lain, ini akan memudaratkan pemancing bagi yang tidak membawa umpan dari luar.

(Katanya 75 Ekor Siakap Dilepaskan Namun Seekor Pun Tidak Naik!!!)
Kami memilih port yang paling hadapan berdekatan pintu masuk kolam dan terus melabuhkan joran. Seperti yang dijangka umpan kami kerap tercabut dari mata kail saiz 11, ekoran Udang berkenaan bersaiz kecil dan tidak tahan. Perkara ini betul-betul mengganggu prestasi kami untuk memancing memandangkan kami tiada alternatif lain untuk digunakan.

Sesi pancingan kami berakhir pada pukul 12.30pm dan semua berasa kecewa kerana gagal mendaratkan seekor ikan pada sesi tersebut. Mengikut kata Taukeh kolam tersebut melalui pesanan ringkas (SMS) sebanyak 75 ekor Siakap dilepaskan dikolamnya untuk pancingan semperna hari raya qorban namun nampaknya ianya satu penipuan. Sekian sahaja perkembangan kami untuk kali ini semoga bertemu lagi di sesi pancingan akan datang.

29 August 2013

Misi Menjerat Kerapu Di Kolam Jugra - (25.08.2013)

Pada sesi kali ini P2U Angler telah turun ke Jugra Sport Fishing yang terletak di Banting untuk menjerat spesis Kerapu yang dikhabarkan terdapat disana. Saya (Admin), Ringgo, Jojo dan Torres telah gerak seawal jam 9 pagi ke kolam tersebut menaiki kereta masing-masing. Sebelum itu kami telah bersarapan pagi di kedai kampung Telok Panglima Garang.

(Pasar Keling)
Setelah perut penuh diisi, kami telah singgah di pasar Keling mengikut kata penduduk kampung tersebut untuk membeli 1kg Ikan Kembung bagi dijadikan umpan Kerapu nanti. Disebabkan ianya diambil segar oleh peraih ikan dari laut harganya juga jauh murah berbanding pasaraya. Isi Ikan Kembung digunakan untuk menjerat Kerapu ini digunakan kerana saya telah melihat sendiri ada pemancing berjaya menaikkan Kerapu di kolam Jugra menggunakan umpan tersebut. Oleh itu kami ingin mencubanya pada sesi kali ini.

(Nasi Lemak Kerang Dan Teh Tarik Memang Sodap)
Setelah deposit Rm50.00 dibayar untuk sesi pancingan 3 jam dan umpan Udang dibeli sebanyak 10 ekor kami pun terus mencari port di kawasan tengah kolam tersebut berhampiran sangkar ikan kerana kami ingin melabuhkan umpan betul-betul tepi sangkar. Saya dan Ringgo menggunakan 2 batang jorang yang mana satu digunakan untuk teknik "Bottom" dan satu lagi untuk "Casting". Jojo dan Torres pula hanya menggunakan sebatang joran untuk "Casting".

(Joran Dilabuhkan Dan Membangau) 
Angin bertiup menghadap arah kami oleh itu balingan yang dibuat semuanya tidak dapat pergi jauh hingga ke tengah. Ini boleh menyebabkan gangguan terhadap permainan kami. Balingan sering tersasar nasib baik tiada pemancing lain yang berkongsi tempat sesama kami jika tidak pasti akan sangkut tali mereka.

Setelah hampir 2 jam memancing, kami masih tidak menerima sebarang getuan dari makhluk dasaran. Tiba-tiba sedang saya sibuk "Casting" disekitar kolam dan jauh berada dari pancing yang "Bottom" joran saya telah bergetar menandakan ada ikan yang telah terjerat. Jojo menjerit memanggil saya disamping itu dia membantu  mengawal pergerakan ikan dengan mengarau sedikit demi sedikit. Saya bergegas ke tempatnya untuk menyambung kerauannya. Setelah ikan semakin hampir ke tepi kilauan sisik keputihan kelihatan dan pastinya seekor Siakap saiz 2kg. Arghh...kami menyangkakan ianya seekor Kerapu rupanya seekor Siakap. Tidak mengapalah janji dapat ikan. Ketika tiba saat ingin mengangguk ikan tersebut ianya terlucut dari mata kail saiz 11 saya, Aduhai tiada rezeki saya.

(Jojo Dan Joran Ofmer Infinity)
Selaku seorang professional kita harus tenang dan bersabar walaupun ikan terlepas sama ada secara sengaja atau tidak. Kita tidak boleh menyalahkan rakan kita walau apa pun yang berlaku. Semangat setia kawan dan hormat menghormati antara rakan pancing harus dititik beratkan. Kita harus sentiasa menganggap rezeki itu pemberian dari Allah S.W.T andai kata ianya tertulis untuk kita maka dapatlah, andai ianya bukan untuk kita maka tidak dapatlah.

(Ringgo Dengan Hasil Tangkapannya)
Masa semakin suntuk, dan kelibat ikan masih tidak kelihatan. Getuan yang diterima oleh pemancing lain juga kurang mungkin bukan waktu ikan makan atau pun taukeh kolam perlu melepaskan ikan lagi. Kami masih lagi tidak jemu-jemu mencuba nasib disekitar kolam. Umpan Udang pula sudah dua kali ditambah yang baru ekoran perambut sangkut didasar kolam dan tercicir sewaktu membaling umpan.

(Siakap Saiz Juvenil 1.3KG)
Disebabkan masa telah hampir tamat maka Jojo dan Ringgo sepakat untuk pulang awal manakala saya dan Torrres ingin melanjutkan tambahan masa 2 jam. Ringgo yang membuat balingan terakhir telah menerima satu getuan dari makhluk dasaran. Ibarat "Bulan Jatuh Ke Riba" dia menarik ikan ketepi dan akhirnya kekumpauan P2U Angler telah dipecahkan oleh Ringgo setelah berjaya mendaratkan seekor Siakap saiz Juvenil beranggaran saiz 1.3kg. Selepas sesi bergambar mereka berdua pulang dan tinggallah saya dan Torres yang masih setia memancing.

Namun akhirnya kami berdua terpaksa menyerah kerana masa 2 jam yang diperuntukkan telah tamat. Walaupun tidak berjaya mendaratkan Kerapu pada sesi kali ini namun semangat yang ditonjolkan harus diteruskan. Mungkin tiada rezeki kami pada kali ini. Selepas ini kami akan pergi mencuba kolam No. 2 Sealion, Port Klang untuk mencuba nasib. Terima kasih diucapkan kepada pembaca Pancing2u dan nantikan cerita akan datang.

17 August 2013

Kolam Jugra Sport Fishing, Banting - (14.08.2013)

Aktiviti turun padang semperna Hari Raya Aidilfitri sesi ke 2 ini berlangsung di Jugra Sport Fishing, Banting. Saya tiba dikolam tersebut seawal jam 11am dan ditemani oleh adik dan anak buah saya. Menurut taukeh kolam tersebut, semperna pembukaan kolam tersebut yang telah bercuti sepanjang bulan Ramadhan lalu, dia ada membuat promosi harga iaitu Rm36.00 selama 4 jam dan ada memasukkan ikan-ikan jackpot seperti Kerapu Harimau dan Jenahak.

(Cuaca Panas Terpaksa Memakai Pelindung)
Cuaca pada hari itu sangatlah berbahang dan panas sehingga saya terpaksa memakai perlindung badan seperti sarung muka dan lengan. Orang tidaklah terlalu ramai dan sesak almaklumlah masih dalam mood raya. Umpan Udang dijual pada harga yang murah iaitu Rm0.50 seekor dan saya hanya membeli sebanyak 6 ekor untuk sesi kali ini. Saya telah memilih port di tengah-tengah bahagian kolam yang menjadi perantaraan laluan ikan-ikan didalam kolam tersebut. Kemudian saya melabuhkan umpan jauh ke dasar kolam.

(Peralatan Memancing)
Pada sesi kali ini saya telah menggunakan set "Baitcasting" dan set "Spinning" memandangkan kawasan kolam yang agak luas dan tiada bumbung maka bolehlah kiranya saya mempraktikkan penggunaan baitcaster yang baru dibeli oleh saya. Joran Shakespear dan kekili Abu Garcia Black Max dipadankan dengan tali sulam berkekuatan 20lb menjadi mukadimah apabila dikarau disekitar kolam tersebut. Manakala Joran Abu Tournament SX dan kekili Banax Xtream 3000  yang dipadankan dengan tali Lemax 40lb saya biarkan untuk teknik "bottom" bagi menjerat sang Kerapu.

Set "Casting" Abu Black Max)
Dalam pada itu juga saya sempat meluangkan masa untuk mengajar anak buah saya Riyaz Reqarl tentang apa itu "Sesi Memancing". Sememangnya adalah digalakkan kita mengajar anak-anak kecil kita memancing dan membiarkan mereka membiasakan diri dengan aktiviti hanyir ini agar dikala mereka membesar esok tidak kedaifan tentang perihal dunia memancing ini. Disamping iti juga kami berkelah dengan menikmati nasi campur yang telah dibeli sebelum ke kolam tadi, snek-snek serta air jus yang menyegarkan tekak juga menjadi hidangan makan tengah hari kami. Aktiviti bersantai bersama orang tersayang ini adalah perlu bagi merapatkan silaturrahim sesama keluarga yang jarang bertemu.

(Pemancing Cilik)
Masa 4 jam yang diperuntukkan hampir tamat dan tiada sebarang tanggapan diperoleh setakat ini, cuaca yang terik mungkin menjadi penyebab ikan kurang menjamah makanan yang dihidangkan akan tetapi budak khemah sebelah telah berjaya mendaratkan sang Kerapu Harimau yang boleh diketegorikan istimewa yang beranggaran 2.2kg. Ini membuatkan saya betul-betul cemburu dengannya mungkin rezekinya baik pada hari itu. Saya telah berjumpa dengannya dan bertanyanya apa umpan yang digunakan bagi menjerat spesis "Rare" tersebut dan dia memberitahu yang dia hanya menggunakan isi ikan Kembung yang dihiris kemudian ditanam dikawasan sangkar. Budak itu ada memberikan saya sedikit isi ikan Kembung untuk dicuba tetapi memandangkan masa memancing saya telah suntuk untuk mencubanya, mungkin disesi akan datang saya cuba menggunakannya.

(Disangkar Ikan Itulah Tempat Persembunyian Kerapu Harimau)
Setelah gagal membawa pulang ikan pada sesi kali ini, saya nekad untuk terus pulang kumpau dan mungkin akan datang dilain masa insyaallah memandangkan spesis Kerapu ada dikolam tersebut cuma perlu menggunakan umpan isi ikan kembung dan ditanam berhampiran sangkar ikan. Itu tips yang saya peroleh dikolam Jugra ini. Sekian terima kasih diucapkan kepada para pembaca Pancing2u yang sudi meluangkan masa mengunjungi blog ini. Kita akan bertemu lagi disesi pemancingan seterusnya di Kolam GP, Rawang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...