27 May 2014

Sirkit Pancing Putrajaya 2/2014 - (25.05.2014)

Checklist Barang Untuk Pertandingan:

Pancing 3 Batang - Siap!
Pancang "Y" - Siap!
Tikar / Kerusi - Siap!
Tangguk - Siap!
Beg Pancing (Mata kail / Perambut / Ladung) - Siap!
Umpan Dedak 286 - Siap!
Minyak Cacing - Siap!
Resit Rasmi Pertandingan - Siap!

Admin Yang Telah Bersiap Sedia...
Ringgo Kirim Gambar Persiapan Beliau...
Lebai Kirim Gambar "Umpan Sawit Peram" Beliau...
Apabila semua barang-barang telah siap barulah kami P2U Angler boleh berehat dan tidur untuk menghadapi pertandingan memancing esok di Putrajaya. Hasil "Google" dan carian di internet berkenaan teknik dan umpan yang sesuai digunakan di Tasik Putrajaya telah habis kami mentelaah sejak seminggu yang lalu. Pelbagai sumber dan info telah kami dapatkan dan berharap agar di hari pertandingan berjalan dengan lancar. Namun bak kata pepatah "Lain Padang, Lain Belalang" perlu diambil ikhtibar, maksudnya kami harus menjalani praktikal dan ujian baru kita akan tahu kelebihan dan kelemahan sesuatu padang pancing tersebut.

Layan "Big Breakfast MCD" Pun Sedap!...
Seawal jam 4:30 pagi lagi Admin telah bangun dan bersiap sedia untuk ke Sirkit Pancing Putrajaya 2/2014. Bertolak dari Sentul dengan menaiki R3 dan ditemani adik kemudian singgah sebentar di MCD, Sg Besi untuk bersarapan dan ketika itu keadaan cuaca masih gelap dan sejuk. Terasa sangat segar dan santai ketika memandu di jalan raya memandangkan tiada tekanan kesesakan jalan di hari cuti. Setelah selesai bersarapan, kami meneruskan perjalanan ke Putrajaya dan tiba pada pukul 7:00 pagi. 

Kaunter Pendaftaran Sirkit Pancing Putrajaya 2/2014...
Alhamdulilah, tiba giliran Admin Mendaftar - Yay! Dapat Baju T-Shirt...
Pengunjung dan peserta telah ramai berada di Putrajaya seawal jam 7:00 pagi, kenderaan telah penuh dan memakir di bahagian jalan memanjang dari kompleks mahkamah hingga ke hujung jambatan Gemilang, Persint 4. Nasib Admin memang baik ekoran ada kereta yang ingin beredar betul-betul di hadapan kaunter pendaftaran. Kemudian Admin terus ke dalam kaunter untuk mendaftar. Mana P2U Angler yang lain?, masing-masing belum sampai.

Admin Dan Ringgo Di Poster Sirkit...
Dari Kiri - Admin, Ringgo, Hairul dan Wak Lizam Yang Baru Join!...
Kemudian seorang demi seorang P2U Angler tiba di lokasi bermula dengan Ringo, Wak Lizam dan Hairul. Si Lebai lewat pula ekoran tertinggal resit rasmi pertandingan di pejabat, aduhai orang tua ini. Kami terpaksa masuk dahulu untuk mencari spot yang menarik memandangkan sudah pukul 8:00 pagi dan pertandingan sebenarnya telah bermula.

Mencari Spot-Spot Yang Masih Kosong Namun Hampa Sebab Semua Penuh!...
Jauh juga perjalanan kami sehingga hampir 1 kilometer berjalan kaki untuk mencari "Spot" yang menarik untuk melabuhkan joran namun kesemuanya hampa dipenuhi kaki pancing yang datang awal. Ada diantara mereka yang telah berkhemah sehari awal sebelum hari pertandingan kerana pihak penganjur membenarkan peserta memasang khemah selepas 5:00 petang 24.05.2014 dan pertandingan pada keesokkan harinya 25.05.2014.

Penuh Batang Pancing...
Akhrinya Setelah Berjalan Sejauh 2 Kilometer Baru Jumpa "PORT"
Serius dan tidak bohong, kalau anda masuk pertandingan jangan sesekali lewat kerana jika terlewat maka tempat yang terbaik pasti akan dipenuhi, samalah dengan nasib kami yang lewat ini. Bukan main susah hendak mendapatkan tempat sehingga kami dihalau oleh seorang "Brader" yang merasakan dirinya "Otai". Pada pandangan kami tidak wajarlah suka-suka hendak halau orang, cukup sekadar cakap dengan baik. "Awak Bukan Anak Najib Pun..."

 
Khemah Dibawah Pokok Redup...
Berkat dihalau oleh "Brader Poyo" tadi akhirnya kami telah berjaya mendapatkan "Spot" yang lebih baik dibawah pokok-pokok yang rimbun dan redup. Admin pun mula membentang tikar yang baru dibeli di kedai pancing semalam, dan kami membuat persediaan membancuh umpan dan "Setting" joran kami. Harap-harap menjadilah umpan ini, kemudian kami memacakkan pancang di tepi tiang besi sebelum melabuhkan umpan dedak dan sawit peram yang di gumpal-gumpal menjadi bulat. Balingan pertama dilakukan dengan lafaz Bismillah...


Bersusun Batang Pancing Kami...
Joran Kami Pendek, Baling Pun Sampai Tepi Sahaja...
Tu Dia Otai Baru Sampai...
Kedengaran dari jauh orang bersorak-sorak dan apabila memandang ke sisi terlihat seorang peserta sedang bergasak dengan joran "Surf Casting" beliau, pada fikiran kami nampaknya hanya joran 16-20 kaki yang berupaya mendapatkan ikan memandangkan mereka mampu baling hingga ke tengah. Harapanlah, jika masuk pertandingan dengan hanya menggunakan joran pendek. Namun kami akan tetap bersabar dan menunggu andai ada makhluk dasaran yang terjerat. Arus yang kuat menyebabkan semua tali pancing akan bersilang antara satu sama lain. Jika seorang menggulung tali untuk memeriksa umpan, joran disebelah pasti akan terbelit.

Layan Nasi Lemak Pun Sedap!...
Kami ada memeriksa khemah pengadil dan disana disediakan 2 buah tangki untuk menyimpan ikan-ikan yang berjaya dinaikkan peserta, terdapat beberapa spesies yang telah berjaya dibawa naik seperti Temoleh, Tenggalan, Toman, dan Baung. Kesemua saiz dan berat beranggaran bawah 2 kilo, nampaknya tasik ini tiada spesimen yang bersaiz gadang. Dari pagi membawa ke tengah hari namun P2U Angler masih belum menerima sebarang sambaran.

Sepi...
Jam Menunjukkan tepat pukul 12:30 tengah hari, akhirnya wisel penamat ditiupkan dan kami gagal membawa naik sebarang hasil untuk dipersembahkan kepada pengadil, umpan power yang dicipta tidak mendapat sambutan oleh penghuni dasaran disana. Apa yang kami pelajari kali ini adalah mungkin spesies liar lebih gemar umpan semulajadi seperti cacing, katak, anak ikan keli dan tidak biasa dengan umpan dedak yang dicampur bahan-bahan pewarna. Apa pun kami tetap gembira kerana dapat bersama-sama sebagai satu pasukan berhimpun dan menyertai pertandingan ini dan yang pasti pertandingan. In Sha Allah, Sirkit 3 akan kami cuba!. Sekian terima kasih diucapkan kepada pembaca blog Pancing2u kerana sudi meluangkan masa membaca cerita kami.

-Assalamualaikum wbt

16 May 2014

Pameran Memancing Dan Aktiviti Luar 2014

Sedar tidak sedar sudah hampir 1 tahun ianya berlalu dan kini ia kembali menggegarkan warga pemancing yang sememangnya sudah tidak sabar untuk menerjah pameran yang julung kali diadakan. P2U Angler juga akan turut serta memeriahkan lagi pameran tersebut, dan ingin melihat apakah penambahbaikan yang telah dilakukan berbanding tahun lepas. Pada tahun lepas, saya Admin telah berjaya memenangi sebatang joran Casting jenama "Shakespear" dalam acara "Spin & Win". Diharap tahun ini pihak penganjur menawarkan hadiah dan "Goodie Beg" yang lebih menarik. 

Pameran yang akan berlangsung selama 3 hari; Jumaat, Sabtu dan Ahad 20-22 Jun antara pukul 10:00am - 8:00pm akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor. Satu lokasi yang mudah ditujui berserta kawasan parkir kereta yang luas di sekelilingnya. Pelbagai aktiviti akan diadakan dan yang utama adalah jualan habis-habisan barangan memancing dan produk aktiviti luar dari kebanyakan syarikat-syarikat yang mengambil bahagian. Tidak dilupakan pameran produk-produk memancing terkini 2014-2015 dari dalam dan luar negara. Anda juga boleh mempelajari dan mendapatkan info-info terkini berkenaan alatan memancing dan peralatan aktiviti luar dari pempamer yang mengambil bahagian.

Jangan lengah, tandakan tarikh 20-22hb Jun 2014 dalam kalendar anda!

POSTER PAMERAN
-Copyright @ Pancing2uTM

12 May 2014

"Siakap" Midnight Hunter - (10.05.2014)

Assalamualaikum diucapkan kepada pembaca Pancing2u. Selamat Hari Wesak diucapkan kepada yang menyambut perayaan tersebut, bersemperna dengan cuti perayaan tersebut P2U Angler telah berkomplot ke Kolam Pelita Harmoni (PH), Banting.

Ketibaan P2U Angler (*Aisey Nak Kena Ada Uniform Laa..)
Untuk makluman pemancing yang belum pernah ke Kolam PH ini, kolam buka seawal jam 8am hingga 3am setiap hari. Terdapat 4 kolam yang khusus untuk spesis seperti Siakap, Senangin Taiwan, Kaci, Jenahak dan Kerapu. Yuran masuk adalah sebanyak Rm3.00 (pagi) dan Rm5.00 (malam) serta terdapat kolam khas untuk CNR.

Pekene Teh Tarik Pun Sodap!...
Pada sesi kali ini hanya Saya (Admin), Torres dan Ringgo yang turun ke kolam tersebut bagi menangkap ikan Siakap untuk dibuat lauk pada hujung minggu ini. Kami tiba di lokasi pada pukul 11.00 malam dan kelihatan beberapa pemancing yang masih ada disekitar kolam tersebut.

Rod: X-Puyu Zonoa 5'0'' Reel: Tomman Spin Pro 2000 Line: Tomman Performance 15lb
Kami hanya menggunakan set ringan sahaja memandangkan Kolam Siakap ini hanya mempunyai Siakap saiz Juvenil anggaran 500 gram ke 1 kilo sahaja. Umpan pula hanya menggunakan Udang Hidup yang dijual dikaunter masuk kolam. Admin pula ingin menguji set Tomman yang diterima semperna memenangi pertandingan  majalah SIRIP (*Rujuk Cerita Lepas), biar melekat "Hanyir" sikit.

Ini Kira Tangkapan Paling Besar Malam Ini Anggaran 800g
Pada malam ini kami memilih 'spot' pondok di bahagian hujung kolam kerana merasakan ikan kurang aktif dan akan berada dikawasan yang paling dalam yakni dihujung kolam serta menggunakan teknik 'bottom' sahaja.

Naik Pun...
Kecik Sahaja...
Joran Admin disentap dahulu namun ekoran lompatan akrobatik dari Sang Siakap Kecil menyebabkan kes rabut berlaku namun ianya tidak menggugat semangat kami. Torres telah berjaya menaikkan Siakap beranggaran saiz 800 gram boleh tahan juga besarnya.

Akhirnya Berjaya Menaikkan Siakap
Jojo Sedang Berusaha Membuka Mata Kail...
Apa yang kami lihat rata-rata pemancing yang pulang mengghurung hampir 10-15 ekor Siakap. Meriah betul hasil tangkapan mereka agaknya berapalah jumlah *"Tol" yang dikenakan nanti, Hehehe...

*"Tol" = Jumlah Berat Ikan Yang Akan Ditimbang (1kg x Rm17.00)

Alang-Alang Siang Sekali...
Akhirnya sebanyak 8 ekor Siakap kami berjaya pancing dari 11 malam hingga 3 pagi. Saya 3 ekor, Torres 4 ekor dan Jojo 1 ekor. Alhamdulilah, dengan rezeki yang diberikan oleh Allah ini dapatlah kami dan keluarga makan "Best" hujung minggi ini. Terima kasih diucapkan kepada pembaca Pancing2u dan nantikan cerita 'Komplot' kami dilain kali. Assalamualaikum wbt.

07 May 2014

Cabaran Pantai Redang!!!

Pada bulan Mei 2014 ini dapat disaksikan banyak pertandingan-pertandingan pancing yang diadakan bagi mengisi masa lapang. Admin Pancing2u akan turut mengiklankan pertandingan-pertandingan tersebut untuk tatapan pembaca Pancing2u mana tahu ada yang berminat untuk menyertai. Sebarang maklumat boleh menghubungi nombor telefon bimbit yang tertera dalam iklan tersebut.

POSTER PERTANDINGAN


-Copyright @ Pancing2uTM-

P/S: P2U Angler seperti ingin mencuba pada kali ini "In Sha Allah" andai berkesempatan. 

06 May 2014

Sirkit Pancing Putrajaya 2/2014

Salam Sejahtera diucapkan kepada semua pembaca Pancing2u yang dihormati, kali ini di ruangan buletin P2U Angler saya ingin mempromosikan iklan berkenaan Sirkit Pancing Putrajaya 2/2014 yang sering kali diadakan setiap tahun di Tasik Putrajaya bersemperna "Hari Belia Negara". Hadiah-hadiah yang di tawarkan juga agak menarik berbanding tahun lepas. Untuk sebarang maklumat pertandingan boleh menghubungi nombor telefon yang tertera didalam iklan tersebut atau lawati laman sesawang tertera.

POSTER PERTANDINGAN
LOKASI PERTANDINGAN

-Copyright @ Pancing2uTM-

P/S: P2U Angler seperti ingin mencuba pada kali ini "In Sha Allah" andai berkesempatan. 

02 May 2014

P2U Angler Menang "Kuiz Strike Pro" Majalah SIRIP (Bil.145)

Sungguh tidak disangka-sangka ketika membelek Majalah Sirip (Bil.145) edisi Disember 2013 yang lalu, P2U Angler telah memenangi "Kuiz Strike Pro" tersebut. Alhamdulilah syukur, diatas rezeki yang diberikan serta ribuan terima kasih di ucapkan kepada penaja utama kuiz iaitu STRIKE PRO dan TCE Tackle Sdn. Bhd. menanjurkan pertandingan seumpanya.

Majalah Sirip Edisi Oktober 2013 (Bil.145)
Hampir 2 bulan juga kami menunggu keputusan dikeluarkan, akhirnya penantian tersebut berbaloi apabila di bayar dengan hadiah set pancingan ringan; Kekili Tomman Spin Pro 2000, Tomman Performance Line 15lb dan Gewang Strike Pro. Lepas ini bolehlah P2U Angler menguji set tersebut.

Hadiah Kemenangan...Yahuu!!!
Tomman Spin Pro 2000 Reel + Tomman Performance Line 15lb + Gewang Strike Pro
Hadiah tersebut haruslah di ambil sendiri oleh pemenang menurut penganjur di TCE Tackles Sdn. Bhd. Seksyen 13, Shah Alam. Lepas menunaikan solat Jumaat, Saya (Admin), Ringgo dan Jojo terus ke sana untuk menuntut hadiah berkenaan. Sekian sahaja cerita untuk kali ini, terima kasih diucapkan kepada para pembaca Pancing2u dan teruskan menyokong blog kami. Nantikan 'Komplot' seterusnya P2U Angler menerjah Kolam Pandamaran (Kolam 4). 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...