27 June 2013

Toman Tasik Bukit Merah, Perak - (12.12.2011)

Tanyalah mana-mana pemancing di Malaysia apakah ikan idaman kalbu yang didambakan pasti majoriti mengatakan Ikan Toman. Ikan sukan yang juga termasuk dalam kumpulan "Snake Head" ini sememangnya ikan sukan yang mencabar seorang pemancing dan memberi mesej yang jelas tentang apakah itu tarikan dan asakan yang ganas. Ikan ini merupakan ikan pemangsa yang menjaga kawanan anak-anaknya dan bertindak apabila kawasanya diceroboh. Ahli P2U Angler juga tidak ketinggalan mencuba nasib dan telah berjaya menewaskan spesis yang ganas ini. Mari kita ikuti cerita dibawah.

Pada cuti sekolah hujung tahun 2011 yang lalu, saudara Hairul salah seorang ahli P2U Angler yang juga dikenali dengan gelaran "King Of Toman" sempat menerjah Tasik Bukit Merah yang terletak di Perak. Beliau dan seorang rakannya yang juga saudaranya bernama Firdaus telah mencuba lubuk Toman di tasik tersebut. Jarak dari Tasik Merah ke kampung mereka adalah lebih kurang 15 minit perjalanan menaiki motor. Apa yang menyeronokkan adalah pemancing yang memancing di tasik berkenaan terpaksa memancing diatas landasan keretapi lama memandangkan landasan tersebut melalui atas tasik tersebut.

Set kelengkapan yang boleh diketegorikan sebagai set sederhana diperturunkan dalam sesi kali ini. Joran sepanjang 6' kaki jenama Ugly Stick "Blankt" dan kekili dari Shimano merupakan senjata utama yang dipertaruhkan. Tali sulam berkekuatan 60 paun keluaran Power Pro berserta perambut dawai jelas menyampaikan mesej yang sesi kali ini bukan calang-calang misinya. Umpan yang digunakan adalah anak Ikan Keli yang dicangkuk dibahagian ekornya. Manakala gewang-gewang pelbagai jenis dipersembahkan.
Hairul menggunakan teknik "Bottom" kerana membiarkan umpan anak Ikan Keli tersebut hidup dan berenang-renang di kawasan sasaran. Sambil menunggu umpan dimakan bolehlah kiranya menjamah makanan dan minuman yang dibawa dari rumah bersama saudaranya. Hampir 1 jam menunggu masih tiada sambaran dirasakan. Firdaus masih tidak jemu "Casting" namun masih tiada sambaran.

Kemudian joran Hairul terasa satu tarikan yang amat kuat sehingga menyebabkan jorannya melentur membentuk huruf U, nasib baik ianya Ugly Stick yang sememangnya terkenal dengan kekuatan grafitnya kalau tidak tidak tahulah apa yang jadi. Setelah dilayan secara perlahan-lahan, kerauan demi kerauan dilakukan akhirnya Sang penghuni tasik tertewas juga dan ternyata ianya bukan Toman bersaiz biasa kerana saiz yang muncul setelah seharian membangau adalah Toman bersaiz Gadang!. Anggaran berat ikan tersebut adalah diantara 4-5 kilo. Hati terasa puas kerana misi telah tercapai.

Akhir kata, misi menjerat penunggu Tasik Merah telah berjaya dan membuahkan hasil. Kenangan manis ini akan dipahatkan dihati mereka. Ikan tersebut dilepaskan kembali selaras dengan inisiatif menjaga kehidupan liar. Sebelum malam menjelma Hairul dan saudaranya bergerak keluar dari tasik tersebut. Sekian terima kasih diucapkan kepada seluruh para pembaca Pancing2u.

(Toman Tasik Merah)
(Memancing Diatas Landasan Keretapi)

Casting Di Sentul Sport Fishing Centre - (02.06.2013)

Pada cuti hujung minggu yang lalu saya (Admin) telah pulang ke rumah kedua orang tua saya di Sentul. Sudah menjadi rutin hidup saya untuk pulang menjenguk keluarga di Sentul dihujung minggu setelah sepanjang minggu bekerja di Petaling Jaya lagi pun jarak dari rumah saya tidaklah begitu jauh. Dikesempatan ini saya sempat menjenguk-jenguk kolam pancing di sekitar kawasan. 

(Papan Tanda Masuk)
Ibarat kata pepatah "Pucuk Dicita Ulam Mendatang", alhamdulillah akhirnya saya terjumpa satu "Spot" yang menarik di Sentul. Ianya kolam air masin dan dinamakan Sentul Sport Fishing Centre. Hidupan dasar yang terdapat di kolam tersebut adalah Siakap, Jenahak, Lampam dan Lain-lain. Bayaran bagi sebatang joran pula adalah sebanyak RM64.00 deposit dan minima 3 jam manakala ikan yang berjaya ditangkap boleh dibawa pulang atau dijual kembali pada peraih yang ada berlegar-legar disekitar kawasan kolam. Umpan Udang pula 1 ekor dijual pada harga Rm1.00. Selain dari itu terdapat restoren makanan laut dan kedai-kedai santai bertujuan memudahkan pemancing untuk membeli makanan atau minuman.

(Admin Bersiap Sedia Untuk Membuat Ujian Kolam)
Setelah semua kelengkapan siap dan yuran telah dibayar saya pun bersiap sedia untuk membuat ujian di kolam tersebut, pada sesi kali ini hanya saya dari P2U Angler yang turun memandangkan ahli yang lain semua sibuk dengan urusan masing-masing. Saya diteman oleh adik yang kebetulan ingin mengikut serta melihat aksi pemancing disana. Bolehlah dia mengambil gambar aksi-aksi saya nanti andai berjaya menjerat ikan.

(Set Up Joran Abu  Tournament) 
Saya mempertaruhkan joran Abu Garcia Tournament berkekuatan 10-30lb dan berukuran 7' kaki. Manakala kekili dari Banax yang berkekuatan drag maksimum 25kg. Tali pula saya menggunakan tali tangsi berkekuatan 40 paun. Mana tahu andai terjerat makhluk dasaran yang gagah tidaklah gugup hendak bertarung dengannya. Setelah semua siap saya menggunakan teknik "Casting" dengan menggunakan umpan tiruan Udang pada mulanya.

(Teknik "Casting")
Hampir 10 balingan masih belum mendapat sambutan dari makhluk dasaran kolam Sentul ini, adakah mereka sudah kenyang atau mungkin tiada ikan disitu. Sambaran-sambaran kecil terasa ketika mengilat namun hampa apabila tali habis dikarau. Namun saya masih lagi tidak berputus asa, sekejap mengarau disini dan sekejap berpindah tempat dihujung kolam. Bak kata orang tua-tua mendapat ikan itu rezeki, dan rezeki tidak akan datang kalau tidak dicari oleh itu saya berpegang kuat pada kata-kata tersebut lalu berusaha mengilat disekitar kolam.

(Antara Pemancing Lain Yang Turut "Casting")
Kolam tersebut boleh dikira agak baik lokasinya yang mana berada di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur dan terdapat penempatan-penempatan utama seperti Gombak, Selayang, Batu Caves, Segambut dan Sentul oleh itu ianya mudah di akses olek penduduk sekitar yang gatal tangan untuk memancing justeru itu tidak hairanlah juga ramai pemancing yang datang ke kolam tersebut. Tiba-tiba joran saya terasa seperti di sambar oleh ikan, kalau mengikut percaturan saya ianya mungkin seekor Siakap kerana daya tarikannya yang kuat dan pantas. Dari jauh kelihatan ia berhempas pulas ingin meloloskan diri sehingga melompat kepermukaan air. Tekaan saya tepat, setelah tali dikarau perlahan-lahan dan akhirnya saya berjaya mendaratkan seekor Siakap andaian berat 1-2 Kilo.

(Siakap Saiz Hidangan)
Disebabkan masa sudah hampir tamat dan hari pun sudah hampir malam maka saya pun mengambil keputusan untuk beredar dari situ dengan hasil tangkapan yang tidak boleh dibanggakan namun tetap bersyukur terhadap rezeki yang diberikan oleh Allah S.W.T. Pengalaman memancing di kolam Sentul ini boleh diambil kira sebagai pelengkap diri saya untuk menjadi seorang "Pro Angler" suatu hari nanti. Nantikan episod seterusnya aktiviti budak-budak P2U Angler di dalam blog Pancing2u. Terima kasih diucapkan kepada semua pembaca Pancing2u .Blogspot.com.

(Keindahan Kolam Diwaktu Malam)

26 June 2013

Kunjungan Ke TCE Tackles Karnival Angling Fair 2013 - (28.05.2013)

Pada hujung bulan Mei 2013 yang lepas, Saya (Admin) dan Ringgo telah mengunjungi satu karnival yang dianjurkan oleh pembekal barangan pancing yang dikenali ramai pemancing dinegara kita iaitu TCE Tackles Sdn. Bhd. bertempat di bilik pameran mereka di Seksyen 28, Alam Megah. Sambutan yang diterima agak memuaskan pelbagai pihak.

(TCE Tackles Sdn. Bhd. Cawangan Alam Megah)
Sebagai pemancing yang menyokong kuat aktiviti memancing dinegara yang tercinta ini, aktiviti jualan murah dan pameran sebegini sememangnya ditunggu-tunggu oleh kaki pancing dari segenap lapisan usia dan masyarakat. Karnival seperti ini amat jarang sekali diadakan dan memandangkan ianya hanya dilangsungkan 1-2 tahun sekali. Justeru itu ianya boleh dikatakan wajib untuk datang dan jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan barangan pancing dengan harga diskaun.

(Saya Sempat Bergambar Dipintu Masuk)
Saya dan Ringgo tiba di sana lebih kurang pukul 3pm dan masih belum dikunjung oleh ramai kaki pancing lagi. Suasana masih tenang dan damai di kawasan kedai. Kelihatan pekerja-pekerja TCE Tackles sedang berkerja keras menyusun dan memperagakan produk jualan mereka. Produk-produk pancing dibawah naungan mereka adalah seperti Ajiking, Banax, Ecoda, Lemax dan Tomman. Pelbagai rod dan reel yang terdapat sewaktu karnival tersebut.

(Ringgo Bergambar Di Bilik Pameran)
Saya dan Ringgo sebenarnya ingin mencari set pancingan ringan "Casting" namun mengikut jurujual tersebut set yang dicari telah habis dijual. Melepaslah jawabnya, tidak ada rezeki kami pada hari itu. Kami hanya berlegar-legar disekitar kedai melihat gewang-gewang yang dijual. Untuk mengelakkan dari pulang dengan tangan kosong, saya pun membeli set "Analog Scale" keluaran Bakau dengan harga Rm14.50. Saya juga sempat untuk mendaftar menjadi ahli kelab TCE Tackles dengan membayar yuran tahunan sebab Rm10.00.

(Pelbagai Barangan dan Aksesori Pancing)
Selain dari mempamerkan produk pancing terdapat juga aktiviti lain seperti permainan video "Sim Fish" dimana pengunjung berpeluang untuk merasa tarikan ikan laut yang sebenar menggunakan set pancing yang disediakan. Memang agak menarik dan mencabar juga permainan video tersebut berdasarkan apa yang dilihat oleh saya melalui cara pengunjung berhempas pulas melawan daya tarikan ikan virtual dalam permainan tersebut. Berpeluh jugalah pakcik tua yang mengendalikan tarikan ikan Tuna yang ganas itu. Saya menyuruh Ringgo untuk mencuba namun beliau menolak atas alasan masih belum biasa dengan tarikan gergasi lautan.

(Mamat Yang Mencuba Permainan "Sim Fish")
Sekian sahaja cerita mengenai pengalaman berkunjung ke karnival tersebut. Terima kasih diucapkan kepada pembaca Pancing2u kerana mengikuti perkembangan budak-budak P2U Angler. Jangan lupa untuk mengikuti aktiviti seterusnya dalam "Casting" di kampung halaman Admin, Sentul.

16 June 2013

Kolam Siakap, Banting - (12.05.2013)

Setelah 2 minggu merehatkan diri dari dunia pemancingan, Kini rindu semakin membuak-buak buat budak-budak J.C.T untuk turun ke Lubuk Siakap RM3 di Banting. Setelah memilih tarikh yang sesuai untuk menjerat makhluk dasaran disana satu temujanji bersama ahli kumpulan di meterai. Seawal jam 8:00am kami berkumpul di Shah Alam untuk bersarapan pagi di Restoren Mamak sebelah KPJ, Shah Alam. Pada sesi ujian padang kali ini hanya 3 orang budak J.C.T yang turun yakni Saya (Admin), Ringgo dan Jojo. Selesai bersarapan pagi kami mulakan perjalanan ke Banting dan tiba di lokasi pada pukul 9:30am. Sudah ramai pemancing lain yang sudah berada disitu dan "Chop" tempat yang bagus-bagus. Alamak, saya berpesan kepada geng semua jangan "Membangau" sudahlah.

(Joran Abu Garcia Tournament Dan Kekili Banax Xtream 3000)
Untuk beraksi di kolam tersebut pemancing memerlukan peralatan perlindungan tubuh, dinasihatkan kepada semua pemancing untuk menyediakan topi, penutup muka, sarung tangan dan bekalan air putih secukupnya kerana keadaan di kolam tersebut yang terik dan kering almaklumlah tepi laut oleh itu bahang dari angin laut memang cukup panas. Walaupun diawal pagi cuaca sudah terik ekoran matahari sedang naik apatah lagi apabila tiba waktu tengah hari. Oleh itu persediaan awal amatlah diperlukan kerana jika tidak kulit akan terkena "Sunburn" suhu badan meningkat menjadi panas dan ini boleh merbahayakan kesihatan.


Akhirnya kami mendapat spot pilihan disebelah belakang kolam berdekatan dengan kincir angin. Ikan Siakap gemar berada di kawasan tersebut kerana peratusan Oksigen adalah lebih tinggi berbanding kawasan kolam yang lain. Lagi pun disitu terdapat rimbunan pohon-pohon bakau yang rendang untuk dijadikan tempat berteduh dari sinaran UV yang terik membakar kulit.

(Jojo Bersiap Untuk Melempar Joran)
(Teknik "Bottom" Atau Pancingan Dasar Oleh Ringgo Dan Jojo)
(Admin Testing Teknik "Bottom")
2 ragutan di terima oleh Admin dan Ringgo diawal labuhan umpan, namun semuanya rabut. Mungkin mata kail tidak "Bold" dan hanya tersangkut sipi-sipi di mulut ikan. Tekanan rasanya bila ikan rabut tetapi tidak mengapa kerana masih awal lagi untuk kami mengalah. Setelah menunggu hampir 30 minit tiba-tiba joran Ofmer Infinity milik Jojo bergetar kuat menandakan ada mangsa yang telah terjerat. Setelah dikarau dengan perlahan akhirnya Jojo telah berjaya menaikkan Siakap pertama dalam ujian padang kami kali ini.

(Siakap 1st Pembuka Tirai)
Semangat kami untuk mendapatkan ikan semakin membuak-buak setelah Jojo berjaya memperoleh hasil yang pertama. Umpan Udang semakin kerap ditukar kerana sering kali hancur dibelasah anak ikan yang mengganggu. Hasil "Casting" juga turut menyumbang kerosakkan pada umpan yang dipasang. Udang tersebut terpaksa dikopek kulit kerana apabila Udang tersebut telah mati Siakap lebih tertarik dengan Udang yang telah di kopek kulitnya. Macam-macam karenah juga Siakap ini.

(Lesen 1st Buat Joran "Prawn Stick" Admin)
Saya menjerat dengan menggunakan 2 joran pada sesi kali ini, satu Abu Garcia Tournament 10-30lb manakala satu lagi Joran X-Puyu 7-13lb a.k.a "Prawn Stick" yang mana saya sengaja turunkan untuk mendapatkan lesen baginya. Alhamdulilah "Pucuk Dicita Ulam Mendatang" joran X-Puyu saya mendapat sambaran dari Siakap, bertarung jugalah disebabkan joran tidak begitu mantap almaklumlah joran Udang. Setelah diheret ketepi saya berjaya menaikkan Siakap dan mendapatkan lesen untuk joran tersebut. Ringgo pula mengalami masalah teknikal ekoran tali tangsinya yang sering terkeluar dari kekili Shimano Accortnya. 

(Gewang Selaman Dari Strike Pro Turut Diuji)
Kemudian kami bertukar port ke hujung kolam dan cuba untuk "Casting". Alhamdulilah, setiap kali saya melontarkan joran saya menerima sambaran dari Siakap. Umpan yang digunakan hanyalah Udang Kopek. Waktu petang membuatkan Siakap sedang lapar memburu apa sahaja yang berada dilaluannya, nasib saya pula sangat baik kerana tiap kali lontaran dibuat pasti bersambut. Sehingga tidak terlarat bahu ini untuk menarik makhluk dasar yang "Frenzy" ini. 

(Hasil "Casting" 6 Ekor Siakap Berjaya Ditewaskan)
Menjelang ke Petang, saya telah memperoleh 6 ekor, Ringgo 2 ekor dan Jojo 1 ekor, cukuplah untuk sesi kali ini. Lepas sudah gian untuk mendapatkan Siakap dan tiba masa untuk kami pulang. Apa yang penting masing-masing tidak pulang dengan tangan kosong. Cuma kami terpaksa melalui "Tol" untuk membayar ikan-ikan yang telah didapat. Saya dikenakan sekitar Rm47.00 bagi 3.75kg ikan. Bolehlah, sama juga kalau dikira-kira andai memancing dikolam yang dikenakan deposit cuma apa yang berlaku disini adalah deposit hanya Rm3.00 dan berat ikan diguna pakai untuk timbangan.

(Bangga Dengan Hasil Masing-Masing)
Akhir sekali, Admin ingin mengucapkan terima kasih kepada budak-budak J.C.T kerana sudi turun memancing dan kepada para pembaca Pancing2u yang sudi mengikuti perkembangan kami. Nantikan cerita berikutnya, insyaallah.

Tip Pancing2u: Umpan Siakap

Salam semua warga pancing2u.blogspot.com,

Kita sering mendengar suara-suara pemancing diluar sana yang kecewa ekoran pulang memancing dengan tidak mendapat hasil (*Kumpau), Joran sudah lengkap, Teknik sudah betul, Cuaca boleh tahan, Mood pun baik namun mungkin umpan yang digunakan kurang sesuai atau teknik memasang umpan tersebut salah. Sila ikuti lebih lanjut cerita kali ini.

Rasanya Admin boleh tolong macam mana nak layan siakap ini. Insyaallah, kaedah ini memang selalu digunakan oleh para pemancing yang turun ke kolam-kolam air masin sekitar kawasan untuk menyasarkan ikan seperti Siakap, Kerapu dan Jenahak.

Umpan yang biasa di gunakan adalah:

1.   Udang Gatal. (Mula-mula pancing guna ini, Udang sudah mati baru guna No. 2)

2.   Udang Kopek.

3.   Ikan Mati (Kembung/Sardin/Ikan Jaket).

4.   Lampam.

Admin selalu gunakan adalah kaedah "Casting". Umpan, Udang yang telah di kopek kulit. Kalau nak jimat beli di pasar malam Udang tersebut kerana harganya lebih murah berbanding harga Udang yang dijual dikolam memancing yang anda pergi. Potong kepala dan ekor, Kopek kulit sehingga licin.

Kemudian luruskan badan Udang itu. Cara nak luruskan tekan pelahan-lahan bahagian bengkok Udang itu. Badan Udang memang kena di luruskan agar semasa kita casting udang berkenaan tidak berpusing. Selesai mencangkuk Udang, bolehlah diuji pada joran anda dengan mencangkup pancing anda di bahagian keratan kepala Udang dan letak ke dalam air tarik dengan rod.

Kalau berpusing maknanya tidak berapa elok teknik mencangkuk Udang anda. Di atas mata pancing yang di ikat letak batu ladung yang kecil anggaran saiz 2' agar casting kita tidak berada di dasar sangat atau pun di permukaan sangat, sasaran kita "Bottom-Middle". Kalau nak guna ikan mati juga boleh. Kebiasaannya Ikan Sardin di potong 1 inci. Kaedah ni kita panggil tanam atau dasar.

Saat yang paling seronok adalah apabila ikan siakap menyambar!. Cara hendak mengenali ikan ini telah menangkap umpan udang kopek kita adalah joran kita akan rasa satu rentapan. Buka pelepas tali ketatkan drag.  tunggu sehingga tali kita di tarik oleh ikan tu, kira 1 hingga 6, tutup pelepas tali, tegangkan tali dengan memusing spinner, bila dah tegang, sentak dan longgarkan semula drag kita mengikut keadaan tarikan siakap itu.

Kalau di Kolam Siakap RM3, Banting memang ikan Siakap disitu menggemari umpan sebegini. Insyallah kalau dipraktikkan pasti anda tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Siapa hendak pergi jom!, kita pakat kumpul disana. 

06 June 2013

Kolam Siakap, Banting - (01.05.2013)

Setelah bosan melayan ikan air tawar, pada 1 Mei 2013 cuti hari pekerja yang lalu budak-budak P2U Angler telah sepakat mengambil keputusan untuk mencuba nasib menerjah Kolam Siakap Banting. Asalnya kolam tersebut telah diperkenalkan oleh seorang rakan kerja dari Duta Marine yang selalu memancing disana. Kolam tersebut terletak di daerah Jugra malah bersebelahan dengan "Jugra Sport Fishing". Kira-kira 1 jam perjalanan dari Subang Jaya untuk sampai ke lokasi. Bayaran dikenakan untuk 1 joran adalah sebanyak Rm3.00 bagi seharian memancing, murah bukan?, namun andai anda berjaya menaikkan Siakap-siakap di situ, "Tol" dikenakan mengikut timbangan berat setiap ekor ikan yang berjaya ditangkap sebelum anda keluar dari kolam.

(Pemandangan Kolam Dari Pintu Masuk)
Pada sesi ujian padang kali ini hanya Saya (Admin) dan Ringgo yang telah ke lokasi yang dikatakan "Lubuk Siakap" yang mana rata-rata pemancing dan penduduk disitu mengatakan yang kalau tidak tahu memancing pun pasti akan dapat ikan kerana Siakap-siakapnya sangat "Frenzy". Tanpa membuang masa saya dan Ringgo pun bersiap sedia dengan senjata perang yang akan diperturunkan untuk menduga penghuni dasaran disitu. Umpan yang kami gunakan adalah Udang yang ada dijual di kaunter. Harga umpan Udang tersebut tidak mahal Rm5.00 bersamaan 9 ekor Udang.


Saya mempertaruhkan Joran Abu Garcia Tournament 7'kaki berkekuatan 10-30lb dan kekili Banax Xtream 3000 manakala tali tangsi berkekuatan 40lb. Ringgo pula mempertaruhkan Joran Penn Marco 6'kaki berkekuatan 10-20lb dan kekili Shimano Accort. Setelah selesai mempersiapkan kelengkapan semua kini tiba masa untuk mencari spot-spot di sekitar kolam yang dirasakan hidupan dasar berkumpul. Disebabkan hari sudah lewat petang oleh itu sinaran terik matahari telah berkurangan namun bahang tepi laut tetap dirasakan.

(Pancang Diperlukan Untuk "Teknik Bottom")
Apabila umpan Udang tadi sudah dilabuhkan kedasar kolam, seperti biasa kami akan berborak-borak dan berkenalan dengan rakan-rakan pemancing yang ada disitu. Pada hari tersebut kami berkenalan dengan seorang pemancing dikatakan "Otai" dikawasan itu namanya Abang Awie. Beliau tidak lokek berkongsi ilmu dan tips untuk menjerat siakap dikolam tersebut malah perambut dan mata kail saya pun dipasang olehnya. Menurut kata beliau di kolam ini memang Siakap sangat "Frenzy" dan mudah untuk dijerat. Antara teknik yang boleh digunakan disini adalah "Pancingan Dasar" dan "Casting".

(Abang Awie Sedang "Casting")
Sedang kami berbual-bual hampir 3 kali joran saya bergetar namun apabila disentap tiada Siakap yang terjerat, saya hampir bengang kerana merasakan ikan disini bijak juga. Kata Abang Awie saya duduk terlalu jauh dari joran dan ini membuatkan ikan tersebut sempat meloloskan diri. Tiba-tiba joran Ringgo mendapat satu sentapan yang agak kuat, setelah diangkat ternyata seekor Siakap telah terjerat. Ringgo mengarau kekili Shimano beliau dengan pelahan dan akhirnya ikan berjaya didaratkan, Siakap bersaiz "Juvenil" dalam anggaran 600g.

(Lesen Siakap 1st Ringgo)
Wah ini menambahkan lagi semangat saya untuk mengarau dengan lebih tekun untuk mendapatkan "Lesen Siakap" Banting. Mana boleh tahan melihat rakan berseronok dengan hasil tangkapannya. Hari semakin lewat petang namun hanya getaran pada joran Abu Garcia Tournament yang berlaku, umpan Udang semakin berkurangan ekoran berlaku penukaran umpan pada mata kail terlalu kerap. Almaklumlah Siakap Banting ini mudah rasa bosan terhadap umpan yang lama dipasang, mereka lebih gemar menikmati umpan yang segar dan baru dipasang. Saya meneruskan usaha mengail Siakap dengan penuh kesabaran kerana saya tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

(Akhirnya Berjaya Mendapat Lesen!)
Tiba-tiba satu getaran kuat dirasakan pada hujung joran Abu Garcia Tournament saya dan apa lagi tanpa berlengah-lengah saya terus menyentap joran dan melayan asakan Siakap yang menggelupur di dalam kolam cuba untuk memutuskan tali 40 lb saya, harapanlah!. Perlahan-lahan kekili dikarau sehingga akhirnya saya berjaya mendaratkan Siakap seberat 800g, alhamdulilah dan ini merupakan lesen Siakap yang pertama saya. Syukur kerana ada juga rezeki yang Allah SWT ingin berikan kepada saya pada sesi memancing kali ini. Sedang saya hendak mengeluarkan mata kail dari mulut hasil tangkapan saya tiba-tiba satu sambaran diterima oleh Ringgo, Ringgo berjaya mendaratkan 2 ekor Siakap pada kali ini dan saya pula seekor Siakap.  


Disebabkan hari sudah lewat malam dan jam tangan menunjukan pukul 8.30pm kami berdua sepakat untuk pulang dari kolam pancing tersebut. Ketika melalui "Tol" dipintu masuk saya dikenakan bayaran sebanyak Rm3.70 dan Ringgo sebanyak Rm14.00 sahaja. Menurut kata Ringgo, dia ingin menggoreng seekor Siakap beliau di Restoren Nenek saya yang terletak di Bukit Naga, Shah Alam untuk dibuat makan malam bersama, satu cadangan yang agak bernas dan menarik. Jadi masing-masing dapat membawa pulang seorang seekor Siakap dan merasai hasil tangkapan untuk dibuat sajian pada malam itu.

(Hasil Tangkapan Kami yang dimasak "Siakap 3 Rasa")
Setibanya kami di Restoren Bukit Naga Tomyam Seafood, Shah Alam, ikan terus diserahkan kepada tukang masak didalam dapur untuk disiang dan dimasak. Kami berdua menjamu selera dengan hasil tangkapan kami pada malam itu dengan penuh rasa seronok. Penat lelah seharian memancing telah terbayar dengan lauk "Siakap 3 Rasa" yang enak. Disebabkan restoren tersebut milik nenek saya oleh itu cas yang dikenakan hanya Rm 23.00 untuk Nasi 2 pinggan, Upah masak Siakap 3 Rasa, Kangkung Goreng Belacan, Telur Dadar dua orang makan, Air teh O' suam dan Air Fresh Orange.

Hasrat untuk memancing lagi di kolam pancing Banting tidak terhenti sampai setakat hari ini sahaja kerana kami akan turun lagi untuk menawan Siakap-siakap Banting di lain hari. Buat pembaca Pancing2u diharap sabar menanti aktiviti budak-budak P2U Angler di sesi "Casting Siakap Banting" episod akan datang.

03 June 2013

Kolam Pancing Seksyen 24, Shah Alam - (20.04.2013)

Assalamualaikum WBT, ekoran dari kegagalan P2U Angler tempoh hari untuk menjerat sang penghuni dasaran, kami kembali lagi ke Kolam Pancing Seksyen 24, Shah Alam untuk mencuba nasib. Pada sesi ujian padang kali ini hanya 4 orang dari kumpulan kami yang turun antaranya Saya (Admin), Ringgo, Jojo dan Torres. Seperti biasa kami berkumpul di port pada pukul 8:30pm selepas pulang dari kerja.

Kami seperti tidak percaya yang kolam di Seksyen 24 ini memiliki hidupan dasar yang boleh dikira agak ezotik dan bersaiz gadang. Antara spesis yang dikenal pasti adalah Patin Chao Phraya, Amazon Cat Fish, Baung Ekor Merah, Alligator Gar dan lain-lain. Ikan nampak macam gempak tapi setakat hari ini rata-rata pemancing yang datang hanya berjaya menaikkan Patin, itu pun hanya untuk acara "Jackpot". Pada pendapat sayalah taukeh kolam ini hanya mempamerkan senarai ikan ezotik untuk menarik pemancing sahaja, busines sebegini memang tidak patut!.

(Senarai Penghuni Dasar Yang Terdapat Di Kolam Pancing Seksyen 24, Shah Alam)
Berbalik kepada cerita tadi, nampaknya pada sesi memancing kali ini Jojo dan Torres lebih bersedia berbanding saya dan Ringgo. Ini kerana mereka berdua telah memiliki joran berskala 7'kaki keluaran Ofmer Infinity dan kekili Ofmer 3000 & 4000. Tali tangsi skala 10-20lbs menjadi taruhan mereka berdua pada malam ini. Manakala saya dan Ringgo masih menggunakan joran yang sama ketika sesi memancing terdahulu.

(Mempersiapkan Senjata)
Umpan yang digunakan adalah cacing tanah dan cengkerik. Sebenarnya umpan sebegini lebih kepada menjerat Baung. Sang Patin pula dikatakan lebih menggemari umpan roti berperisa Strawberry atau Pandan. Disebabkan kami tidak sempat ke kedai pancing untuk membeli roti memadailah dengan hanya menggunakan cacing dan cengkerik. Jojo pula membawa perut ayam mentah untu dijadikan sebagai "Umpan Tapa" satu teknik untuk memikat kawanan Baung.

Joran Ofmer Infinity milik Jojo dirasakan bergetar dan bergoyang menandakan ada mangsa yang telah terjerat. Bunyi kekili berdering kuat menandakan mangsa sedang meronta-ronta didasar sana. Setelah pertarungan hampir 5 minit berlansung seekor Baung Ekor Merah bersaiz "Juvenil" berjaya didaratkan. Kami semua rasa sangat gembira kerana ini merupakan hasil tangkapan yang pertama sejak penubuhan kumpulan ini. Spesis yang berjaya ditawan itu juga merupakan antara spesis ikan ezotik.

(Jojo Dengan Hasil Tangkapan 1st)
Selang beberapa minit selepas joran Jojo mengena kini tiba pula giliran joran Torres bergetar. Namun saingan kali ini tidak boleh dipandang remeh ekoran joran Ofmer Infinity beliau dikatakan menjadi "Pancing Terbang" pada malam itu. Setelah hampir 5 minit bertarung seekor Baung Ekor Merah bersaiz "Juvenil" berjaya didaratkan tetapi saiz pada kali ini agak lebih besar sedikit dari tangkapan Jojo.

(Spesis Ezotik - Baung Ekor Merah)
Mengikut percaturan saya, mungkin bau perut ayam yang dijadikan "Umpan Tapa" tadi telah merangsang kumpulan Baung untuk datang menyambar cengkerik yang dipasang pada mata kail Jojo dan Torres sebab jarang sekali situasi "Double Strike" berlaku jadi memang tidak dapat disyaki lagi. Kami semua kegembiraan kerana akhirnya ada juga penghuni dasaran yang sudi meragut umpan kami.

Hajat dihati sebenarnya ingin menjerat Patin 9kg namun spesis lain pula yang mengena, nasib badan laa Labu!. Joran saya dan Ringgo masih belum mendapat sebarang ragutan buat masa ini mungkin kawanan Baung tadi sudah culas di kawasan pancingan kami dan menyedari risiko bermain disitu. Selaras dengan etika pemancingan dan menyokong kempen "Catch And Release" bagi mengimbangi eco-sistem kolam, ikan-ikan tersebut telah dilepaskan kembali kedalam kolam. Kami hanya bergambar bersama hasil tangkapan ezotik tersebut untuk dijadikan kenangan.

(Budak-Budak J.C.T Bergambar Kenangan)
Sekian sahaja cerita budak-budak P2U pada kali ini, diharap para pembaca menunggu sesi pemancingan kami dimasa akan datang. Diharap semangat setia kawan dan minat memancing tidak akan pudar dan kembali menyengat. Nantikan aktiviti seterusnya - "Casting Siakap Banting".

Kolam Pancing Seksyen 24, Shah Alam - (05.04.2013)

Assalamualaikum WBT, diucapkan kepada semua pembaca Pancing2u.Blogspot. Bagi memulakan cerita di blogspot ini, Admin akan memaparkan serba sedikit kisah dan cerita mengenai aktiviti memancing oleh "Pancing2u" atau dikenali sebagai "P2U". Setiap aktiviti yang dijalankan adalah berasaskan peristiwa sebenar dan dilalui sendiri oleh ahli kumpulan P2U Angler. Kami adalah kumpulan yang suka memancing dan menjalankan aktiviti luar yang dapat merapatkan silaturahim dan  menguatkan semangat setia kawan.

Sebagai pemancing yang tinggal di kawasan bandar yang sibuk dengan tugas dan kerja harian tetapi masih minat untuk turun memancing cukuplah sekadar melepaskan gian untuk memancing di kolam-kolam sekitar kawasan. Walaupun hajat untuk turun ke port-port luar kawasan bandar yang menarik masih belum sempat kami terjah. 


Pada kali ini budak-budak P2U telah turun ke Kolam Pancing Seksyen 24, Shah Alam untuk menguji kepakaran masing-masing mempersembahkan taktik dan strategi mereka. Boleh dikatakan rata-rata antara kami adalah pemancing Amatur dan masih dalam proses pembelajaran. Sesi kali ini boleh dianggap sebagai latihan ujian padang yang pertama buat kumpulan kami. Pada malam ini seramai 5 orang ahli P2U yang turun ke port antaranya Saya (Admin), Ringgo, Jojo, Shawn dan Torres.


Memandangkan semua ahli kelihatan penat bekerja di waktu siang, persediaan pada malam ini agak kurang sedikit. Dimana saya dan Jojo hanya mempertaruhkan "Prawn Stick" untuk digunakan pada malam ini, manakala Ringgo pula hanya membawa "Ugly Stick" 4.5 beliau. Shawn pula dilihat seperti bersedia dengan set pemancingan keluaran TCE Tackle beliau. Torres pula tiba lewat di port dan masih belum mempunyai set pancing. Terdapat beberapa spesis ikan air tawar yang ada di kolam ini antaranya Baung ekor merah, Patin, Mekong, Alligator Gar, Amazon Cat Fish, dan lain-lain.


Kami tiba dilokasi pada pukul 9:30pm dan pulang pada pukul 3:00am. Namun langit tidak selalunya cerah, tiada hasil yang diperoleh pada sesi kali ini dan kami semua pulang dalam keadaan hampa. Nampaknya makhluk dasar di kolam ini masih menyombong dan tidak mahu menyambar umpan-umpan yang kami hulurkan. Yuran bagi sebatang joran di kolam pancing ini adalah sebanyak Rm30.00 dan boleh dikatakan terbakar begitu sahaja. Namun ini tidak mematahkan usaha kami untuk terus aktif memancing dan menjadi seorang pemancing pro suatu hari nanti. Sekian sahaja kisah pada kali ini yang dapat dikongsikan buat para pembaca Pancing2u. Ikuti kisah kami dalam sesi yang akan datang. Assalamualaikum WBT.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...