Showing posts with label Gelama. Show all posts
Showing posts with label Gelama. Show all posts

28 September 2015

Trip Memancing Ke Kuala Selangor - (19.09.2015)

Pemandangan 1...
Pemandangan 2...
Pemandangan Jeti Sungai Buloh @ Jeram...
Lebih kurang 2 bulan yang lalu, Admin ada mengenali beberapa rakan memancing baru sewaktu mengunjungi rumah terbuka salah seorang kenalan pada musim Raya Aidilfitri yang lalu. Tidak sangka mereka mempunyai hobi dan minat yang sama terhadap dunia pemancingan ini. Bagi Admin yang masih mentah dalam arena ini rasa sangat berbangga kerana diberi peluang berkenalan dengan mereka yang lebih arif dan "Otai" kerana dapatlah menimba pengalaman dan belajar selok belok dunia memancing.

Admin Tiba Di Lokasi...
Kelengkapan Perang...
Alhamdulilah mukadimah yang tidak terlalu panjang untuk para pembaca blog Pancing2u yang mana menjadi blog rujukan dan sumber info maklumat berkenaan lokasi dan port memancing. Baiklah kembali kepada cerita tadi, rakan-rakan baru Admin ini boleh di kategorikan sebagai pemancing yang gemar memancing di laut-laut sekitar perairan Selat Melaka maka satu trip memancing atau 'Komplot' telah diatur dan kali ini Admin mewakili P2U Angler turut menyertai mereka.

Masa Untuk Menaiki Bot...
Pemandangan Jeti Dari Atas Bot...
Tekong Mula Bergerak Menyusur Keluar Kawasan Muara...
Disebabkan musim Monsun sudah bermula maka trip pendek merupakan alternatif terbaik bagi melepaskan rindu memancing dilaut. Biasalah akhir-akhir tahun ini kebanyakkan tekong sudah mula berehat untuk menyelenggara bot-bot mereka bagi tujuan keselamatan bersama, maka trip-trip panjang yang memakan masa tidak akan dilakukan.

"SELFIE" Paling Berisiko...Hahaha
Melepasi "Check Point" Pertama...
"Daily Fishing Trip" kali ini bertempat disekitar perairan Kuala Selangor yang mana kami akan menaiki bot di Jeti Sungai Buloh/Jeram. Jika kita dari Kuala Lumpur boleh mengikuti Lebuhraya Utara/Selatan dari Tol Jalan Duta terus sehingga Simpang keluar Kuala Selangor. Selepas simpang keluar lebuhraya tersebut, kita harus belok masuk pula ke Lebuhraya LATAR dan terus sehingga sampai di simpang tiga (3) dan ambil haluan kiri untuk ke Pekan Jeram dari situ cari 7eleven, Jeram dan jeti tersebut berada dibelakang kawasan tersebut.

Jo Dan Azim Sedang "Setting" Kelengkapan...
 "Let's Gear Up"...
Trip kali ini disertai enam (6) orang pemancing dan satu (1) tekong bot, dengan bayaran dikenakan bagi keseluruhan pakej termasuk bayaran bot, umpan Udang Lipan dan Sotong sebanyak Rm650.00. Pengangkutan dan makanan sendiri-sendiri. Admin, Abg Bany dan anak beliau, Jo, Arif Dan Azim yang akan memancing bersama pada kali ini. Kami tiba di jeti lebih kurang jam 8 pagi dan berkumpul di kawasan pasar tempat dimana nelayan mengumpulkan hasil tangkapan mereka. Banyak juga hasil-hasil tangkapan ikan yang menarik seperti Siakap, Merah, Kerapu, Gelama dan Udang dan lain-lain yang boleh dilihat di dalam pusat pengumpulan hasil tersebut. Hasil tangkapan ini akan di hantar ke pasar-pasar sekitar kawasan Kuala Selangor mengikut kata pekerja disitu.

Kapal Frigate Tentera Laut China Kelas Jiangkai II
Sekali "Beliau" Lalu Habis Bergoyang Satu Bot...
"After Shock"...!!!
Lebih kurang pukul 9 pagi, tekong yang akan membawa kami ke lubuk-lubuk sekitar perairan Kuala Selangor tiba dengan membawa umpan Udang Lipan yang telah dipesan  sebanyak 30 ekor. Selain itu umpan sotong juga digunakan kali ini untuk dipasang pada Apollo nanti. Setelah barang-barang kelengkapan di muat naik kedalam bot tekong mula bergerak menyusur keluar dari Kg. Nelayan. Pemandangan hutan paya bakau nan hijau sungguh indah dan Admin rasa sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk menikmati keindahan dibumi Allah Swt ini.

Teknik Memasang Umpan Udang Lipan

Udang Lipan @ Umpan "Killer" Jenahak Dan Kerapu...
Teknik Memasang Umpan Udang Lipan - (Double Hook)
Admin, Jo dan Azim akan berada di bahagian hadapan bot manakala Abg Bany dan Arif bersama tekong berada di bahagian belakang bot. Walaupun bot tersebut tidak terlalu besar namun ianya sangat selesa bagi kami seramai 6 orang untuk memancing. "Rod Holder" juga turut disediakan dan dilengkapi disetiap bahagian tepi bot oleh yang demikian setiap pemancing boleh memasang 2 hingga 3 batang joran.

Cara-cara Memotong Sotong Untuk "Apollo"

Potong Bahagian Tengah - Keluarkan Isi Perut / Dakwat Hitam...
Hiris Menjadi Kepingan...
Potong Petak Dan Sangkut Pada Mata "Apollo" Anda...
Menurut kata tekong tersebut, air kali ini tidak begitu cantik kerana arusnya agak laju dan sedikit bergelora namun masih belum di tahap yang membimbangkan. Sesi memancing masih boleh di terus kan cuma pemilihan batu ladung bersaiz 14' ke atas adalah perlu sekiranya arus agak laju. Cuaca juga tidak begitu panas ekoran masalah jerebu yang melanda dan apa yang penting deruman angin masih terasa di muka kami.

Hasilnya...
Lebih kurang 30 minit perjalanan sehingga ke bahagian tengah perairan Kuala Selangor bot mula bergerak perlahan menandakan kami hampir tiba ke "Check Point" yang pertama, terdapat beberapa bot pemancing lain yang telah berada disana awal pagi dan sedang memancing.  Masa untuk melabuhkan joran yang telah siap di "Setting" semasa dalam perjalanan tadi.

Ikan Gelama...
Ikan Bolos...
Ikan Duri...
Pada kali ini Admin akan mempertaruhkan 2 set pancing yang mana satu darinya merupakan set "Heavy" dan satu lagi merupakan set "Medium Heavy"Bagi set pertama, rod jenama Okuma Andros PE 3-4 panjang 6'0'' dipadankan dengan reel Okuma Trio Baitfeeder Red Core 5000 dan Tali Sulam Ichiban Pro Hunter 60lb. Manakala set kedua pula, rod jenama Abu Garcia Tournament 7'0'' dipadankan dengan reel Tomman Silver Lion 6000 dan Tali Tangsi Tomman Performance 40lb.


Azim Dan Jo Cuba "Jigging"...
Arus agak laju dan ombak pula sedikit bergelora menyebabkan pergerakan kami agak sukar, ini kalau sesiapa yang mabuk laut pasti tumbang diawal-awal peperangan. Nasib baik pagi tadi lepas sarapan Jo dengan baik hatinya telah memberi Admin makan 2 biji pil mabuk laut. Orang cakap lebih baik kita bersedia terhadapa sebarang kemungkinan. Setelah joran dilabuhkan kini tiba masa untuk menunggu mangsa yang sudi menjamah umpan yang diberikan. Sementara itu bekalan makanan yang Admin bawa tadi dari rumah tadi dikongsi bersama untuk mengalas perut dan memberi tenaga.

Arif - Mamat Paling Sempoi!...
Abg Bany - Orang Bertanggungjawab Menjayakan Trip Ini..
Lebih kurang 1/2 jam memancing hanya berjaya mendaratkan ikan-ikan kecil seperti Gelama, Duri dan Bolos. Tiada kelibat ikan sasaran seperti Jenahak dan Kerapu, mungkin belum masa makan agaknya. Keadaan agak sepi dan tekong mula berubah tempat ke lubuk yang lain. Sauh bot digulung kembali dan enjin mula dihidupkan. Bot mula bergerak ke lokasi seterusnya.

Beri Laluan - Kapal Kontena Lalu!!!...
Sesekali apabila kapal kontena dan kapal armada perang diraja membelah lautan maka pukulan arus ombak yang  dihasilkan datang menghala ke bot kami akan mengoyangkan seluruh bot-bot pemancing menyebabkan keadaan kami diatas bot terumbang-ambing. Percikan air naik ke atas bot dan membasahkan pakaian kami, apa boleh buat pasrah sahaja.

Santai Bersama Uncle @ Tekong Kita...
Sementara menunggu joran disentap, Admin sempat "Interview" tekong bot kami. Tekong yang mesra dan mahu dikenali sebagai Uncle rupanya seorang yang peramah dan baik, seorang bangsa Cina dan merupakan penduduk asal Jeram. Menurut beliau keadaannya yang sudah berusia menyebabkan beliau tidak lagi turun ke laut dalam untuk menangkap ikan dan hanya berani membawa pemancing untuk trip memancing sahaja itupun di siang hari sahaja. kerana keadaan mata beliau sudah tidak berapa nampak. Sejak beliau berusia 20an beliau telah mula menjadi "Orang Laut" dan sudah mahir mencari lubuk ikan dan mengemudi bot miliknya. Tentang perihal keluarga pula, anak lelaki beliau merupakan seorang pemandu lori dan memiliki kedai "Halfcut" kereta. Admin merasa kagum dengan semangat beliau yang sudah di lewat usia emas ini masih turun ke laut mencari rezeki.

Pertarungan Yang Paling "Epik"...
Kawasan Pulau Berbatu...
Rumah Sang Kerapu...
Kembali kepada sesi memancing kita, beberapa ekor ikan telah berjaya dinaikkan oleh kami yang pasti Ikan Gelama merupakan ranking tertinggi setakat ini. Apabila suasana menjadi kian hambar, Uncle akan mula beralih arah mencari lubuk-lubuk yang berpotensi. Kami sempat memancing dikawasan sekitar Pulau Angsa dan pulau-pulau kecil disitu, hajat dihati ingin "Casting" menggunakan umpan tiruan namun joran tidak sesuai kerana bersaiz kasar dan berat. "Bottom" sahajalah yang termampu dilakukan.

Bot Mula Memasuki Kawasan Muara...
Subhanallah Indahnya Pemandangan...
Masyallah Indahnya Ciptaan Mu...
Kami memancing dari pagi hingga ke petang sehingga badan Admin pun sudah rasa letih, bekalan air juga telah berkurangan oleh yang demikian tepat jam 5:30 petang, Uncle mula memanaskan enjin untuk kembali ke jeti Kg. Nelayan. Kami agak berpuas hati apabila hampir satu tong Coleman yang dibawa penuh berisi hasil tangkapan. Setelah tiba di jeti, kami membahagikan hasil-hasil tangkapan sama rata.

Alhamdulilah Akhirnya Selamat Sampai Ke Jeti...
Hati-Hati Bawa Naik Hasil Pancingan Kita...
Bye-Bye Uncle - Jumpa Lagi Lain Kali...
Akhir kata, trip pendek ini memang memuaskan hati bagi kami yang sememangnya dahagakan aksi memancing. Kepada para pembaca Pancing2u jangan lupa untuk mengikuti perkembangan kami  dalam cerita yang seterusnya, terima kasih diucapkan kepada anda yang masih setia menyokong blog suka ramai ini.

-Assalamualaikum

Hasil Trip Kali Ini...

19 January 2015

Muara Sungai Johor - ( November 2014)

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca setia Pancing2u. Laporan pertama tahun 2015 dari Selatan Tanah Air saya mulakan dengan berkongsi trip memancing di muara Sungai Johor. Sungai Johor memisahkan daerah Johor Bahru di sebelah Barat dan daerah Kota Tinggi di sebelah Timur. Muara Sungai Johor pula bertembung dengan Selat Tebrau yang menghadap Pulau Singapura. Terdapat jambatan Lebuhraya Senai-Desaru yang merupakan jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia buat masa ini.

Kedudukan Sungai Johor
Untuk memancing di muara Sungai Johor, terdapat banyak jeti yang menyediakan perkhidmatan menyewa bot. Antara lokasi jeti yang terkenal ialah di Kong-Kong, Sungai Layang dan Teluk Sengat.  Selain memancing dengan bot, terdapat beberapa rakit memancing di kawasan ini. Trip memancing bot saya biasanya terdiri dari enam orang. Lima orang ahli tetap iaitu saya, Najib, Pak Ndak (pakcik saya) dan dua rakan pakcik saya iaitu Pakcik Salleh dan Pakcik Noor. Seorang ahli jemputan untuk cukupkan korum biasanya terdiri daripada rakan-rakan atau pun saudara kepada ahli tetap. Pakcik Noor merupakan otai dan pakar rujuk kami di kawasan ini. Memandangkan rumah Pakcik Noor berhampiran jeti, hampir setiap minggu beliau akan turun memancing di kawasan ini. Bagi saya dan ahli-ahli lain pula, trip memancing di Sungai Johor merupakan aktiiti memancing bulanan yang bergantung kepada kedudukan bulan dan takwim pasang surut air laut. Biasanya kami akan memilih hujung minggu dengan keadaan air yang sesuai untuk memancing bagi meningkatkan peluang membawa hasil yang baik.

Persiapan Rapi Diperlukan
Maklumat Perkhidmatan Bot Dan Rakit Memancing
Persiapan lengkap perlu dipastikan seperti set memancing, umpan, peralatan keselamatan, first aid, baju hujan, makanan, minuman serta pakaian salinan. Untuk mengelakkan bahang terik matahari, trip memancing kumpulan kami akan dilakukan pada waktu malam. Kami akan mula turun selepas Asar dan pulang selepas Subuh keesokkan harinya. Kebiasaannya, kami akan turun ke Sungai Johor melalui jeti di Sungai Layang dan menyewa tiga bot gentian kaca (fiber). Bot biasanya disewa dari Rakit Yoyo ataupun Rakit Salleh. Setiap bot akan dinaiki oleh dua orang sahaja walaupun bot boleh dinaiki tiga pemancing. Selain untuk keselesaan, ianya juga untuk keselamatan dengan adanya bot rakan berdekatan untuk "Backup" sekiranya terjadi sesuatu perkara.

Dari Kiri - Najib, Nazri, Pak Ndak, Saya. Pakcik Salleh Dan Pakcik Noor
Untuk trip kali ini, ahli jemputan untuk mencukupkan korum ialah adik saya iaitu Nazri. Kami tiba di jeti pada jam 4 petang. Setelah menurunkan barang ke jeti, Pakcik Noor, Pak Ndak dan Pakcik Salleh bergerak ke rakit Yoyo untuk mengambil bot. Seperti biasa, ‘Partner’ bot saya ialah Pak Ndak, Najib akan bersama Pakcik Noor dan Nazri bersama Pakcik Salleh. Pakcik Noor akan mengetuai penjelajahan mencari lubuk terbaik. Sudah pasti buruan utama kami ialah spesis ikan air masin gred AAA seperti Jenahak, Pari, Kerapu, Siakap, Tebal Pipi dan sebagainya. Umpan yang dipilih ialah Perumpun (dipanggil Ruat di sini), Udang pasar, Udang hidup dan ikan Tamban. Teknik memancing bottom digunakan dengan balingan perlu dibuat berdasarkan kedudukan bot dan arus air.

Lepak Di Jeti Sementara Menunggu Bot
Bot Yang Mengambil  Satu Keluarga Ke Rakit Yo Yo
Sesi Menurunkan Peralatan Memancing Ke Dalam Bot
Pakcik Noor Dan Najib Memulakan Perjalanan
Saya Menunjukkan Skill Mengemudi Bot Diatas Arahan Pak Ndak
Misi Mencari Lubuk Bermula Di Ketuai Oleh Bot Pakcik Noor
Lubuk pertama dengan latar belakang Jambatan Lebuhraya Senai-Desaru
Hasil Pertama Najib - "Si Buntal"
Misi Mencari Lubuk Seterusnya
Suasana Senja Di Muara Sungai Johor
"Otai" Membuat Persediaan Memancing Malam
Setelah memancing untuk beberapa jam, Pak Ndak dan Pakcik Salleh mengambil keputusan untuk berlabuh di Rakit. Kebetulan pada trip kali ini, terdapat perlawanan akhir Piala Malaysia diantara pasukan JDT dan Pahang. Ramai pemancing di atas rakit dan banyak bot yang singgah untuk menonton bola. Seperti semua sedia maklum, keputusan malam itu berpihak kepada Pasukan Pahang seterusnya menghampakan hampir setiap orang di atas rakit pada malam itu. Tahniah diucapkan kepada skuad "Tok Gajah". Suasana kemeriahan di atas rakit menyebabkan menu makan malam kami iaitu Nasi Goreng Kampung terasa sangat sedap sekali. Kesempatan ini juga digunakan untuk menunaikan solat kerana menunaikan solat diatas bot kecil sesuatu yang agak mencabar. Setelah tamat perlawanan, kami meneruskan kembali buruan. Kali ini, Pak Ndak dan Pakcik Salleh membawa haluan masing-masing mencari lubuk. Walau bagaimana pun, setiap bot akan sentiasa berhubung untuk melaporkan hasil tangkapan dan lubuk yang ditemui.

Kemeriahan Memancing Diatas Rakit
Pemancing Yang Menyewa Bilik Dan Memancing Diatas Rakit
Keseronokkan memancing di atas bot dan mendengar bunyi air sambil memerhatikan bintang-bintang amat memberikan ketenangan kepada saya. Berdasarkan pengalaman lepas kami, ikan galak menjamah umpan sekitar waktu selepas Asar sehingga tengah malam dan sesi seterusnya bermula jam 4 pagi sehingga jam 7 pagi. Diantara jam 12 malam hingga 4 pagi, biasanya kami akan berkelah ‘Maggi Cup’ di tengah sungai atau mengambil kesempatan untuk tidur dalam tempoh sejam dua.

Kelihatan cahaya matahari pagi mula menyinar dan terasa bahangnya. Kami mula bergerak pulang ke jeti sambil menjeling ke dalam Kotak Ais yang mengisi hasil buruan. Seperti satu pertandingan tidak rasmi, setiap bot perlu menunjukkan hasil dan berkongsi lokasi lubuk baru jika ditemui. Seperti biasa, carta tertinggi hasil tangkapan jauh didahului oleh spesis Gelama, diikuti rapat dengan spesis Duri. Selain itu, Semilang, Siakap, Jenahak, Tebal Pipi, Malong, Ketuka dan Kerapu juga berada dalam senarai. Ketam sesat juga berjaya dinaikkan. Cabaran utama memancing di sini ialah umpan kerap disambar oleh Belin, spesis yang kelihatan seperti belut. Tiada pilihan lain, kami terpaksa memutuskan perambut jika Belin yang menelan umpan dan membelit perambut.

Masa Untuk Pulang Ke Jeti
 Ikan Siakap, Kerapu, Jenahak, Tebal Pipi, Duri dan Semilang
Ikan Gelama dan Ikan Duri memenuhi Kotak Ais Kami
Cuma seekor Ketuka berjaya didaratkan
Ketam saiz AAA yang berjaya didaratkan oleh Najib
Selepas mengemas kelengkapan, bot dihantar semua ke rakit. Seterusnya kami akan singgah di rumah Pakcik Noor untuk bersarapan pagi. Selepas itu, kami semua akan bergerak ke rumah saya yang biasanya dijadikan pusat pengagihan hasil tangkapan. Sampai di sini dulu laporan saya, terima kasih kerana sudi membaca laporan aktiviti memancing ini. Nantikan laporan seterusnya dari saya di Selatan Tanah Air.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...