22 December 2014

Sirkit Pancing Putrajaya 4/2014 - (14.12.2014)

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua pembaca Pancing2u yang dihormati, setelah hampir 3 bulan menunggu akhirnya ia berlangsung kembali. Pertandingan yang sememangnya dinantikan oleh semua pemancing iaitu Sirkit Pancing Putrajaya 4/2014 yang mana ini merupakan siri kemuncak atau terakhir dalam kalendar tahun 2014. Pertandingan ini merupakan anjuran Perbadanan Putrajaya yang diadakan sepanjang tahun di tasik-tasik Putrajaya. Ia terbuka kepada orang awam yang boleh di sertai oleh warganegara dan juga bukan warganegara Malaysia.

Akuarium Senu Yang Terletak Di Taman Dato' Senu, Sentul
Anak Ikan Kap
"Life Bait Bucket" Dan "Portable Air Pump" Digunakan Agar Umpan Kekal Segar
Sehari sebelum hari pertandingan Admin telah ke kedai Akuarium berdekatan rumah untuk mencari umpan bagi pertandingan esok. Namun kali ini Admin memilih untuk menggunakan umpan anak ikan Kap yang sememangnya digemari oleh pemangsa-pemangsa air tawar seperti Haruan. Mengikut pengalaman menyertai siri-siri yang lalu, penggunaan dedak berperisa kurang mendapat sambutan di Tasik Putrajaya berkemungkinan penghuninya kurang terdedah dengan umpan sebegitu. 

Seawal Jam 7 Pagi, Admim Sudah Terpacak Di Lokasi
Khemah Pendaftaran
Petugas-petugas Kaunter Sedang Mendaftarkan Peserta
Akhirnya detik yang dinanti-nantikan tiba, seawal jam 6 pagi Admin telah keluar dari rumah untuk ke Putrajaya seorang diri tanpa teman kali ini. Lebuhraya MEX menjadi pilihan kali ini kerana memudahkan serta dapat mempercepatkan perjalanan. Rakan-rakan P2U Angler yang lain akan berkumpul di khemah pendaftaran jika merujuk kepada pesanan yang dinyatakan di aplikasi Whatsapp Admin pada jam 8 pagi. Lebai merupakan orang kedua sampai selepas Admin, Hairul lewat sedikit ekoran tayar motorsikal beliau pancit, kasihan betul.

Gerai Jualan Makanan
Singgah Sebentar Membeli Nasi Ayam...
Selesai mendaftar di kaunter pendaftaran, kami menerima cenderahati berupa baju T-Shirt edisi Sirkit ke 4, tag pancang, tag joran dan tag gelang bagi pemancing. Alhamdulilah akhirnya Hairul selamat tiba di lokasi pendaftaran bersama anak beliau. Admin sedikit kagum dengan semangat beliau walaupun mengalami masalah tayar pancit untuk ke pertandingan namun masih kelihatan tenang dan tidak tertekan. Disebabkan masing-masing belum bersarapan pagi, kami membeli makanan yang dijual di khemah jualan makanan. Terdapat banyak peniaga yang menjual makanan dan minuman, cuma harga sedikit tinggi namun demikian ia tidak menjadi masalah.

Pemandangan Perumahan "Elite" di Presint 8, Putrajaya
Tasik Yang Tersergam Indah...
Lokasi tasik kali ini terletak di sekeliling bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) dan terus ke arah taman perumahan "Elite" di Presint 8, Putrajaya. Sepanjang pesisir kawasan tasik dipenuhi segenap pemancing sehingga tiada tempat untuk kami melabuhkan joran, nampaknya terpaksalah kami berjalan jauh hingga ke kawasan hujung tasik anggaran 2 kilometer. Apa yang tidak menyeronokkan adalah disebabkan semalam hujan lebat maka tanah merah menjadi lembab dan ia melekat-lekat di tapak kasut serta seluar kami. 

Antara Ribuan Pemancing Yang Hadir
Tiada Ruang Kosong Langsung
Dibahagian Hujung Baru Kurang Pemancing...
P2U Angler: Hairul dan Anaknya
P2u Angler: Lebai Sedang Membantu "Setting" Joran Surf Casting Admin....
P2U Angler: Admin Terbaik...!!!
Akhirnya spot paling hujung kami pilih untuk melabuhkan joran dan berkhemah, kini tiba masa untuk menyelaras senjata untuk berperang dan menurunkan skill yang terperam sepanjang 3 bulan lalu. Admin menggunakan rod "Surf Casting" Riccochet 12 kaki yang baru dibeli tempoh hari di Meru, Klang. (*Rujuk pos lalu), Kekili Tomman Silver Lion 6000 dan Tali Tangsi Tomman Performance 40lb. Tujuan penggunaan rod ini adalah untuk membuat balingan yang lebih jauh ketengah, alhamdulilah memang jauh balingan pertama Admin, ditambah pula dengan bantuan batu ladung saiz 3 sememangnya  ada "Kaaawww!!!". Lebai Dan Hairul hanya menggunakan joran pendek sahaja dan menggunakan umpan tradisional iaitu Cacing Tanah dan Cengkerik. Kami bertiga hanya membiarkan umpan dilabuhkan ke dasar lagipun teknik pancingan dasar merupakan antara syarat utama pertandingan, selebihnya hanya berserah kepada tuhan.

Lebai Membantu Menaikkan Ikan Keli - Ai Gaya Selamba Jer Bang!
Hairul Berjaya Menaikkan Seekor Ikan Keli
Ikan Keli Tidak Dipertandingkan (*Bawa Balik Goreng Sahaja)
Cuaca terbaik namun sedikit panas biasalah Matahari semakin meninggi, tiada sebarang sambaran berlaku dalam kelompok kami mahupun pemancing lain, sesekali terdengar dari jauh suara sorakan dan jeritan, kami dapat agak yang pasti ada pemancing bertuah yang berjaya menaikkan ikan lalu menerima sorakan dari pemancing lain. Tiba-tiba joran Hairul bergetar seolah menerima ragutan dari penghuni tasik, setelah diangkat terbukti memang ada ikan yang telah terjerat, daya juang tidak begitu ganas namun kami masing-masing bersorak kegembiraan, akhirnya seekor ikan Keli saiz Juvenil yang tertewas. Ikan Keli tidak dipertandingankan oleh yang demikian Hairul tidak perlu ke khemah juri untuk menimbang. Ikan tersebut boleh dibawa pulang atau dilepaskan.

Antara Hasil Tangkapan Peserta
Juri Mengasingkan Ikan Mengikut Ketegori...
Ikan Kejuaraan Sirkit - TEMOLEH @ TEMELIAN
Tempat 1st Merupakan Peserta Wanita - "Believe It..."
Juara Keseluruhan Sirkit Pancing Putrajaya 
Jarum jam menunjukkan tepat pukul 12:30 tengah hari, waktu pertandingan telah tamat dan kami sekadar berpuas hati mendaratkan seekor ikan Keli lalu berkemas untuk ke khemah Utama bagi melihat pemenang Sirkit kali ini. Apa yang mengejutkan kami adalah beliau adalah seorang pemancing wanita, tahniah diucapkan kepada beliau dan kami P2U Angler sangat kagum kerana beliau telah berjaya mendaratkan ikan terberat. Selain itu juara keseluruhan Sirkit milik seorang pemuda dimana beliau berjaya membawa pulang hadiah utama berupa kereta MYVI. Akhir kata, terima kasih diucapkan kepada semua pembaca Pancing2u kerana sudi mengikuti laporan dari aktiviti pancing kami, sehingga bertemu lagi. 

-Assalamualaikum

19 December 2014

Tips Pancing2u: Bahaya Rip Currents

Rip Current Atau Lebih Dikenali Sebagai Arus Laut

Rip Current adalah arus yang dibentuk oleh pergerakan air yang relatif cepat (sekitar 4 ft (1.1 m)/dtk) yang mendesak keluar kembali ke tengah laut dari mana ia datang, kemungkinan terjadi hanya beberapa minit. Di kebanyakkan pantai, akan terdapat satu laluan yang tercipta untuk membenarkan air ombak yang sampai ke pantai untuk turun kembali ke laut. Ini terjadi apabila ombak terpecah dan air memerlukan laluan baru. Laluan/saluran ini dinamakan "Rip Current". Rip Current boleh bergerak melebihi kelajuan perenang tegar dan mengeret mangsa hingga ke tengah laut.

Gambaran Sebenar
Antara tanda Rip Current ialah:
  • Kelihatan satu laluan tenang walau tempat lain berombak
  • Berbeza warna airnya / kedalamannya
  • Kelihatan buih-buih laut yang membentuk satu barisan ke arah laut
  • Ombak terpecah




Cara-cara menyelamatkan diri apabila terperangkap didalam Rip Current:
  • Belajar berenang
  • Jangan panik, bernafas secara tenang dan bersedia untuk ambil nafas dalam.
  • Simpan tenaga 
  • Berfikir sebelum bertindak
  • Jika anda seorang perenang yang lemah; apungkan diri dan biar Rip Current menolak anda hingga ke tengah laut sedikit kemudian berenang ke tepi dimana arus sudah semakin perlahan.
  • Jika anda seorang perenang yang kuat; terus berenang ke tepi dan keluar dari laluan tersebut.
  • Jika anda seorang yang tidak tahu berenang; pada saat anda ditarik arus, bertenang dan menarik nafas panjang sambil menjerit meminta tolong sambil melambai tangan.

Akhir kata dari kami P2U Angler, dalam menjalani aktiviti harian memancing atau berkelah di tepi pantai. Sentiasa berhati-hati dan mengawasi pergerakan kita dan orang yang disayangi. Adalah lebih baik seandainya kita melengkapkan diri dengan pengetahuan dan ilmu berkenaan arus pasang surut air sesuatu tempat, perubahan cuaca serta isu keselamatan. Sekian dari kami P2U Angler.

17 December 2014

Damai Fishing Village - (27.11.2014)

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca setia blog Pancing2u. Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman memancing yang sangat jarang diperolehi. Trip kali ini disertai oleh Saya, Najib dan adik saya iaitu Nazri dan kami berkunjung ke salah satu kolam memancing terkenal di Johor Bahru iaitu Damai Fishing Village, Taman Perling. Kolam ini terletak berhampiran dengan Restoran Damai dan tidak jauh dari Kolam Brother dan Kolam Zul (rujuk post lepas untuk kedua-dua kolam ini). Kolam Damai telah berpindah ke lokasi baru sejak pertengahan tahun ini. Berbanding di lokasi lama, kolam pancing masa di lokasi baru kelihatan agak kecil. Selain itu, terdapat kolam pancing "Catch And Release" air masin dan air tawar. Walaupun yuran yang dikenakan lebih mahal berbanding kolam-kolam lain di Johor Bahru, Kolam Damai memang terkenal kerana ikan yang banyak, meriah dengan ikan bersaiz besar serta menjanjikan pengalaman memancing yang mendebarkan. Cuma menurut pandangan saya, air di kolam ini perlu selalu dibersihkan dengan lebih kerap.

Maklumat Bayaran
Kami tiba di kolam pada jam 3:30 petang  dan disambut dengan iklan tawaran yuran masuk hari ini. Ketika kami sedang bersiap-siap menyediakan set memancing, Najib telah disapa oleh seorang pemancing. Menurut pemancing tersebut, hari ini ikan sangat kurang menjamah umpan. Berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas kami, jika ikan tak makan umpan waktu siang, umpan akan dijamah pada waktu malam. Kami semua menyiapkan perambut casting, saya akan menggunakan umpan Udang kopek, Najib pula ekor ikan Keli dan Nazri menggunakan Udang hidup. Ekor ikan Keli adalah umpan yang berjaya menawan ikan beraiz besar ketika lawatan risikan yang dilakukan sebelum ini.

Tawaran Yuran Masuk Yang Menggembirakan Kami
Kami memulakan buruan tepat jam 4:00 petang untuk pakej memancing selama lima jam. Agak menghairankan kerana kelihatan banyak ikan Kerapu berenang di tepi kolam. Setelah tiga jam memburu, ketiga-tiga hidangan kami suakan langsung tidak diusik oleh penghuni kolam. Kelihatan beberapa pemancing mula mengeluh terutamanya yang datang dari pagi kerana ikan tidak menjamah langsung umpan yang disajikan. Rasa marah dan tidak berpuas hati mula ditunjukkan oleh beberapa pemancing. Ada pemancing mula menyauk ikan yang berenang di tepi kolam. Saya mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan air di kolam ini setelah semakin banyak ikan berenang di tepi kolam. Mungkin juga disebabkan oleh hujan lebat beberapa hari sebelum ini yang menyebabkan tahap kemasinan air menjadi rendah.

Suasana Kolam Pancing Masa
Kolam Pancing "Catch & Release"
Dua Pemancing Tegar Dan Merupakan Ahli Kelab Kolam
Ikan Akan Dilepaskan Setiap 2 Jam
Kerisauan saya berasas apabila tauke kolam berjumpa dengan setiap pengunjung memohon maaf kerana terdapat jangkitan pada air kolam. Tauke kolam meminta semua pemancing untuk pergi ke sangkar untuk mengambil siakap sebelum pulang. Petugas kolam juga datang bertemu semua pengunjung dan menyuruh kami semua menyauk apa sahaja ikan yang ada. Semua pemancing mula meninggalkan pancing masing2 dan kolam ini secara tiba-tiba bertukar menjadi lokasi pesta menyauk ikan beramai-ramai. Nazri telah menunjukkan skill menyauknya apabila berjaya menyauk dua ekor kerapu bersaiz 2.5kg dan 3.5 kg.

Nazri Bersama Hasil Sauknya
Najib Tumpang Bergambar
Saya Bersama Hasil Tangkapan Hari Ini
Empat Siakap Sebagai Tanda Maaf Dari Pihak Kolam
Notis kolam ditutup selama dua minggu telah ditampal dan air kolam mula dikeringkan pada malam itu juga. Kami mula mengemas kelengkapan dan berkumpul di kaunter. Sekali lagi, tauke kolam dengan murah hati sudi membelanja kami minum di restoran kolam. Kami cuma mengambil 3 tin minuman ringan sambil memerhatikan petugas menjalankan tugas mengeringkan kolam. Sebelum pulang, tauke telah memberikan kami 4 ekor Siakap. Najib mengambil seekor Kerapu dan seekor Siakap manakala saya mengambil seekor Kerapu dan 3 ekor Siakap. Kesimpulannya, kami telah datang memancing pada waktu yang paling teruk tetapi membawa pulang hasil yang terbaik.

N otis Kolam Ditutup
Petugas Mula Mengeringkan Kolam
Taukeh Kolam Sedang Memikirkan Sesuatu
Saya kembali ke kolam keesokkan harinya. Saya selalu mengambil peluang untuk ke kolam yang telah dikeringkan kerana mahu melihat kedudukan kalbat. Ini penting untuk mengetahui dimana kedudukan strategik untuk menyajikan umpan pada trip memancing seterusnya. Tauke  memberitahu yang telah 2 tong besar ikan dihantar ke beberapa restoran. Memang betul apa yang saya dengar sebelum ini, saya saksikan sendiri kolam ini mempunyai banyak ikan dengan majoritinya bersaiz yang besar. Untuk pengetahuan para pemancing, Kolam Damai telahpun dibuka semula pada Ahad lepas. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca laporan saya di blog Pancing2u dan nantikan laporan seterusnya dari Selatan Tanahair.

Petugas Mengumpulkan Semua Ikan
Tong Kedua Mengumpul Ikan Yang Tidak Dapat Diselamatkan

02 December 2014

Sirkit Pancing Putrajaya 4/2014

Salam sejahtera diucapkan kepada semua pembaca Pancing2u yang dihormati, kali ini di ruangan buletin P2U Angler Admin ingin mempromosikan iklan berkenaan Sirkit Pancing Putrajaya 4/2014 yang sering kali diadakan setiap tahun di Tasik Putrajaya bersemperna "Piala Presiden Perbadanan Putrajaya dan Hari Terbuka Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP)". Hadiah-hadiah yang di tawarkan juga agak menarik berbanding tahun lalu disamping itu terdapat juga cabutan bertuah untuk peserta. Untuk sebarang maklumat pertandingan boleh menghubungi nombor telefon yang tertera didalam iklan tersebut atau lawati laman sesawang tertera. 

Hasil pemantauan dan pengalaman kami P2U Angler sewaktu mengikuti Seri ke-3 yang lalu (Rujuk Pos Lalu), terdapat ramai peserta datang dari pelbagai tempat dan sambutannya juga agak menarik. Pihak penganjur pula harus mempelbagaikan jualan makanan dan minuman serta membuka "Booth" dan gerai jualan lebih banyak memandangkan bilangan peserta yang hadir adalah tinggi. Selain dari itu kemudahan tandas bergerak juga perlu di perbanyakkan. Akhir kata, kepada pemancing yang menyertai pertandingan tersebut jangan lupa untuk bertemu kami di sana, bolehlah kita bertukar-tukar pandangan serta tips. Selamat memancing.

POSTER PERTANDINGAN
LOKASI PERTANDINGAN
-Copyright @ Pancing2uTM-

P/S: Kalau terserempat dengan P2U Angler jangan lupa untuk bertegur sapa...

27 November 2014

Aktiviti Musim Tengkujuh - (27.11.2014)


AKUARIUM ALAM
Lot No. 6857, Jalan Persiaran Hamzah Alang,
Kapar, 42200 Klang,
Selangor Darul Ehsan.

Lee Tan Lai
019-203 1355

Assalamualaikum dan Salam sejahtera diucapkan kepada pembaca blog Pancing2u yang setia. Semoga anda semua dalam keadaan sihat dan sentiasa dalam rahmatnya. Hujan...Hujan...Hujan...apabila kita memandang ke luar jendela pasti kelihatan kepulan awan gelap dan tebal serta pancaran kilat jika tidak hujan disebelah pagi pasti hujan disebelah petang membawa ke malam. Aktiviti memancing sudah pasti akan terbatas ekoran cuaca yang tidak menentu sekarang, sebagai seorang pemancing tegar sudah pasti akan rasa tidak tenteram ekoran program memancing terganggu. Harap sabar kerana mungkin segala yang berlaku ada hikmahnya, hujan itu sendiri membawa rahmat kepada setiap makhluk dimuka bumi ini.

Banyak Terdapat Joran-Joran Yang Berkualiti
Kekili Yang Terdapat Di Akuarium Alam
Baiklah kita teruskan kembali cerita pada kali ini, P2U Angler juga terkesan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ini, aktiviti  memancing tergendala dan terpaksa berehat dirumah. Oleh yang demikian kami mengambil inisiatif seperti membaiki peralatan memancing kami yang telah rosak atau perlu diselenggara, pergi ke kedai peralatan memancing untuk membeli barang-barang keperluan memancing serta pelbagai lagi aktiviti sampingan yang difikirkan boleh menghilangkan rindu.

Terdapat Juga Akuarium Menjual Ikan
Kali ini kami telah pergi ke sebuah kedai menjual peralatan memancing kecil yang terletak di Kapar, Klang. Ianya sebuah perniagaan kecil-kecilan milik Encik Lee Tan Lai atau lebih senang dikenali Mr. Lai. Seorang yang mudah didekati dan tidak lokek untuk mengurangkan harga jualan, itu yang penting! Kedai beliau Admin rasa sememangnya dikenali oleh setiap pemancing di kawasan Kapar ini memandangkan disini tidak banyak kedai pancing.

Terdapat Banyak Pilihan Rod "Surf Casting"
Tujuan P2U Angler ke kedai beliau sebenarnya yang pertama adalah disebabkan urusan kerja dan bernasib baik sempat singgah dan yang kedua adalah ingin mencari joran "Surf Casting" untuk dibeli sebagai persiapan memancing di Sirkit Pancing Putrajaya Siri ke-4 yang dijangka akan tiba. Jika anda yang pernah membaca cerita serta pos kami sebelum ini, kami ada membuat sedikit kajian yang mana majoriti mengatakan yang "Pemancing Yang Memiliki Joran Paling Panjang Lebih Tinggi Potensi Mendapatkan Hasil Tangkapan" ini terbukti kerana mereka mampu untuk membuat balingan pada jarak yang jauh dimana tempat ikan berkumpul. Memang betul umpan merupakan antara resipi rahsia mendapatkan ikan namun aspek teknikal seperti panjang joran dan kuat balingan juga menjadi ukuran.

Mr. Lai Mengesyorkan Joran "Surf Casting"

Alhamdulilah, kedai ini menawarkan joran "Surf Casting" pada harga yang tidak terlalu tinggi. Pada pendapat kami yang baru ingin belajar menggunakan joran panjang ini adalah lebih baik bermula dengan kos yang tidak terlalu mahal. Mungkin pemancing  tinggal di kawasan pantai biasa menggunakan joran sebegini dan popular dikalangan mereka tetapi bagi kami yang tinggal di kawasan bandar jarang dan tidak mahir menggunakannya. Oleh yang demikian ini merupakan salah satu langkah dalam proses pembelajaran terhadap industri ini.

Dari Kiri - Admin, Lebai dan Ringgo
Akhir kata, jemputlah ke Akuarium Alam yang mana terletak berdekatan dengan Kolam Sementa untuk melihat sendiri barangan yang dijual serta mendapatkan harga yang terbaik dari Mr. Lai. Sesekali kita harus juga pergi ke kedai-kedai pancing yang kecil ini mungkin di kedai sebegini terdapat sesuatu keistimewaan yang tiada di kedai-kedai besar. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...