19 January 2015

Muara Sungai Johor - ( November 2014)

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca setia Pancing2u. Laporan pertama tahun 2015 dari Selatan Tanah Air saya mulakan dengan berkongsi trip memancing di muara Sungai Johor. Sungai Johor memisahkan daerah Johor Bahru di sebelah Barat dan daerah Kota Tinggi di sebelah Timur. Muara Sungai Johor pula bertembung dengan Selat Tebrau yang menghadap Pulau Singapura. Terdapat jambatan Lebuhraya Senai-Desaru yang merupakan jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia buat masa ini.

Kedudukan Sungai Johor
Untuk memancing di muara Sungai Johor, terdapat banyak jeti yang menyediakan perkhidmatan menyewa bot. Antara lokasi jeti yang terkenal ialah di Kong-Kong, Sungai Layang dan Teluk Sengat.  Selain memancing dengan bot, terdapat beberapa rakit memancing di kawasan ini. Trip memancing bot saya biasanya terdiri dari enam orang. Lima orang ahli tetap iaitu saya, Najib, Pak Ndak (pakcik saya) dan dua rakan pakcik saya iaitu Pakcik Salleh dan Pakcik Noor. Seorang ahli jemputan untuk cukupkan korum biasanya terdiri daripada rakan-rakan atau pun saudara kepada ahli tetap. Pakcik Noor merupakan otai dan pakar rujuk kami di kawasan ini. Memandangkan rumah Pakcik Noor berhampiran jeti, hampir setiap minggu beliau akan turun memancing di kawasan ini. Bagi saya dan ahli-ahli lain pula, trip memancing di Sungai Johor merupakan aktiiti memancing bulanan yang bergantung kepada kedudukan bulan dan takwim pasang surut air laut. Biasanya kami akan memilih hujung minggu dengan keadaan air yang sesuai untuk memancing bagi meningkatkan peluang membawa hasil yang baik.

Persiapan Rapi Diperlukan
Maklumat Perkhidmatan Bot Dan Rakit Memancing
Persiapan lengkap perlu dipastikan seperti set memancing, umpan, peralatan keselamatan, first aid, baju hujan, makanan, minuman serta pakaian salinan. Untuk mengelakkan bahang terik matahari, trip memancing kumpulan kami akan dilakukan pada waktu malam. Kami akan mula turun selepas Asar dan pulang selepas Subuh keesokkan harinya. Kebiasaannya, kami akan turun ke Sungai Johor melalui jeti di Sungai Layang dan menyewa tiga bot gentian kaca (fiber). Bot biasanya disewa dari Rakit Yoyo ataupun Rakit Salleh. Setiap bot akan dinaiki oleh dua orang sahaja walaupun bot boleh dinaiki tiga pemancing. Selain untuk keselesaan, ianya juga untuk keselamatan dengan adanya bot rakan berdekatan untuk "Backup" sekiranya terjadi sesuatu perkara.

Dari Kiri - Najib, Nazri, Pak Ndak, Saya. Pakcik Salleh Dan Pakcik Noor
Untuk trip kali ini, ahli jemputan untuk mencukupkan korum ialah adik saya iaitu Nazri. Kami tiba di jeti pada jam 4 petang. Setelah menurunkan barang ke jeti, Pakcik Noor, Pak Ndak dan Pakcik Salleh bergerak ke rakit Yoyo untuk mengambil bot. Seperti biasa, ‘Partner’ bot saya ialah Pak Ndak, Najib akan bersama Pakcik Noor dan Nazri bersama Pakcik Salleh. Pakcik Noor akan mengetuai penjelajahan mencari lubuk terbaik. Sudah pasti buruan utama kami ialah spesis ikan air masin gred AAA seperti Jenahak, Pari, Kerapu, Siakap, Tebal Pipi dan sebagainya. Umpan yang dipilih ialah Perumpun (dipanggil Ruat di sini), Udang pasar, Udang hidup dan ikan Tamban. Teknik memancing bottom digunakan dengan balingan perlu dibuat berdasarkan kedudukan bot dan arus air.

Lepak Di Jeti Sementara Menunggu Bot
Bot Yang Mengambil  Satu Keluarga Ke Rakit Yo Yo
Sesi Menurunkan Peralatan Memancing Ke Dalam Bot
Pakcik Noor Dan Najib Memulakan Perjalanan
Saya Menunjukkan Skill Mengemudi Bot Diatas Arahan Pak Ndak
Misi Mencari Lubuk Bermula Di Ketuai Oleh Bot Pakcik Noor
Lubuk pertama dengan latar belakang Jambatan Lebuhraya Senai-Desaru
Hasil Pertama Najib - "Si Buntal"
Misi Mencari Lubuk Seterusnya
Suasana Senja Di Muara Sungai Johor
"Otai" Membuat Persediaan Memancing Malam
Setelah memancing untuk beberapa jam, Pak Ndak dan Pakcik Salleh mengambil keputusan untuk berlabuh di Rakit. Kebetulan pada trip kali ini, terdapat perlawanan akhir Piala Malaysia diantara pasukan JDT dan Pahang. Ramai pemancing di atas rakit dan banyak bot yang singgah untuk menonton bola. Seperti semua sedia maklum, keputusan malam itu berpihak kepada Pasukan Pahang seterusnya menghampakan hampir setiap orang di atas rakit pada malam itu. Tahniah diucapkan kepada skuad "Tok Gajah". Suasana kemeriahan di atas rakit menyebabkan menu makan malam kami iaitu Nasi Goreng Kampung terasa sangat sedap sekali. Kesempatan ini juga digunakan untuk menunaikan solat kerana menunaikan solat diatas bot kecil sesuatu yang agak mencabar. Setelah tamat perlawanan, kami meneruskan kembali buruan. Kali ini, Pak Ndak dan Pakcik Salleh membawa haluan masing-masing mencari lubuk. Walau bagaimana pun, setiap bot akan sentiasa berhubung untuk melaporkan hasil tangkapan dan lubuk yang ditemui.

Kemeriahan Memancing Diatas Rakit
Pemancing Yang Menyewa Bilik Dan Memancing Diatas Rakit
Keseronokkan memancing di atas bot dan mendengar bunyi air sambil memerhatikan bintang-bintang amat memberikan ketenangan kepada saya. Berdasarkan pengalaman lepas kami, ikan galak menjamah umpan sekitar waktu selepas Asar sehingga tengah malam dan sesi seterusnya bermula jam 4 pagi sehingga jam 7 pagi. Diantara jam 12 malam hingga 4 pagi, biasanya kami akan berkelah ‘Maggi Cup’ di tengah sungai atau mengambil kesempatan untuk tidur dalam tempoh sejam dua.

Kelihatan cahaya matahari pagi mula menyinar dan terasa bahangnya. Kami mula bergerak pulang ke jeti sambil menjeling ke dalam Kotak Ais yang mengisi hasil buruan. Seperti satu pertandingan tidak rasmi, setiap bot perlu menunjukkan hasil dan berkongsi lokasi lubuk baru jika ditemui. Seperti biasa, carta tertinggi hasil tangkapan jauh didahului oleh spesis Gelama, diikuti rapat dengan spesis Duri. Selain itu, Semilang, Siakap, Jenahak, Tebal Pipi, Malong, Ketuka dan Kerapu juga berada dalam senarai. Ketam sesat juga berjaya dinaikkan. Cabaran utama memancing di sini ialah umpan kerap disambar oleh Belin, spesis yang kelihatan seperti belut. Tiada pilihan lain, kami terpaksa memutuskan perambut jika Belin yang menelan umpan dan membelit perambut.

Masa Untuk Pulang Ke Jeti
 Ikan Siakap, Kerapu, Jenahak, Tebal Pipi, Duri dan Semilang
Ikan Gelama dan Ikan Duri memenuhi Kotak Ais Kami
Cuma seekor Ketuka berjaya didaratkan
Ketam saiz AAA yang berjaya didaratkan oleh Najib
Selepas mengemas kelengkapan, bot dihantar semua ke rakit. Seterusnya kami akan singgah di rumah Pakcik Noor untuk bersarapan pagi. Selepas itu, kami semua akan bergerak ke rumah saya yang biasanya dijadikan pusat pengagihan hasil tangkapan. Sampai di sini dulu laporan saya, terima kasih kerana sudi membaca laporan aktiviti memancing ini. Nantikan laporan seterusnya dari saya di Selatan Tanah Air.

13 January 2015

Tips Pancing2u: Mari Mencipta Sesuatu...

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera diucapkan kepada pembaca blog Pancing2u, baru-baru ini kita dikejutkan dengan fenomena banjir besar yang melanda negara. Takziah diucapkan kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat. Admin sendiri rasa sangat sedih dan simpati keatas mereka manakan tidak, mereka kehilangan tempat tinggal dan terputus hubungan dengan dunia luar. Alhamdulilah rakyat Malaysia masih bersifat prihatin dan timbang rasa, bantuan datang dari pelbagai sumber (Kewangan, Tenaga Kerja dan Masa). Ujian yang turun ini merupakan satu petanda dan peringatan darinya agar kita semua tidak alpa dan leka akan tanggungjawab sebagai umatnya di muka bumi ini.

Baiklah pada kali ini Admin ingin kongsikan apa yang dirasakan sangat KREATIF dan BERINOVASI kepada anda semua. Mungkin ada diantara anda semua yang telah melihat dan mencuba namun pos kali ini adalah sekadar ingin berkongsi, bak kata pepatah "Ilmu Itu Harus Disebarkan, Agar Menjadi Manfaat Kepada Semua". Memang tidak dapat dinafikan para pemancing di Malaysia ini sememangnya kreatif dan berinovasi, mereka mampu untuk mencipta barangan yang dapat memberikan manfaat terhadap hobi memancing. Dibawah di sertakan beberapa keping gambar yang Admin dapat di laman sosial Facebook.

1. LIFE BAIT BUCKET (BEKAS UMPAN HIDUP)

CONTOH 1
Bahan Yang Digunakan:
-Tong Cat / Bekas Pasir
-Skru mata Philip
-Portable Air Pump

CONTOH 2
Bahan Yang Digunakan:
-Bekas Bateri Lama (Yang Ditebuk Lubang)
-Klip Pembuka Pintu
-Portable Air Pump

 2. ROD STAND PVC( RAK PANCING PVC)

CONTOH 1
Bahan Yang Digunakan:
-Paip PVC jenis "T"
-Paip PVC jenis "L"
-Paip PVC panjang (Dipotong)

CONTOH 2
Bahan Yang Digunakan:
-Paip PVC jenis "T"
-Paip PVC jenis "L"
-Paip PVC panjang (Dipotong)

3. SYRINGE BAIT MAKER (ACUAN UMPAN DARI PICAGARI)

CONTOH 1
Bahan Yang Digunakan:
-Picagari (Dipotong bahagian depan)
-Sesuai bagi mereka yang gemar menggunakan roti

4. PVC ROD CASE (BEKAS ROD PVC)

CONTOH 1
Bahan Yang Digunakan:
-Paip PVC panjang
-Penutup PVC (Ditebuk)
-Sebatang skru berlubang
-Solex / Kunci

02 January 2015

Lesen 2015 @ Kolam Pancing Gansaan, Banting - (01.01.2015)


ALAMAT

KOLAM MEMANCING IKAN GANSAAN
LOT 4905, JALAN BANDAR LAMA,
BATU 11, SEGENTING PULAU CAREY,
42500 TELUK PANGLIMA GARANG,
BANTING, SELANGOR DARUL EHSAN,
MALAYSIA.

HUBUNGI

EMEL: gansaankolampancing@gmail.com
TEL: 016-267 1020 (Jeevan)
          016-928 8977 (Selvam)

Assalamualaikum dan Salam Tahun Baru!!!...

Tahun 2014 akhirnya berlalu meninggalkan kita membawa seribu kenangan, bagaimana dengan azam anda semua tercapai atau tidak? adakah perlu diteruskan pada tahun 2015? atau ingin membuka buku baru. Yang pasti azam Admin bagi tahun 2014 tercapai iaitu memancing di kawasan-kawasan liar atau terbuka seperti tasik, sungai dan lombong. Walaupun tidak begitu ekstrim, namun dapat meneroka dan mempelajari serba sedikit mengenai ilmu bermain "Air Tawar" dan pergi memancing di pot-pot liar bagi sesi pertama ini sudah mencukupi. In sha allah, kehadiran tahun 2015 ini akan memberikan impak yang lebih menarik dalam arena memancing bagi kami P2U Angler. Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih diatas sokongan pembaca Pancing2u Blogspot yang sudi mengikuti kami sejak dari mula.


Baiklah dikesempatan cuti tahun baru semalam, P2U Angler telah merancang untuk menerjah satu kolam pancing air masin yang baru dibuka lebih kurang 1 bulan yang lepas. Mengikut perkhabaran dan ruang Facebook kolam tersebut, rata-rata pemancing yang hadir ke kolam berjaya membawa pulang hasil sekitar 3-6 kilo, Waah! ini menarik perhatian kami untuk mencuba memancing di kolam tersebut. Oleh yang demikian komplot kali ini disertai oleh Admin, Jojo, Torres dan Ringgo yang akan turun untuk membuat satu "Ujian Lapangan" di kolam tersebut.

Maklumat Kolam
Umpan Udang Ada Dijual
P2U Angler Bersiap Sedia Untuk Memancing...
Tepat jam 10:00am, Admin tiba di pintu masuk kolam sementara Ringgo, Torres dan Jojo telah berada di kawasan kolam tersebut bersiap sedia mengikat tali perambut dan kelengkapan joran. Kami disambut mesra oleh penyelia dan pekerja kolam tersebut. Sedikit maklumat yang kami perolehi adalah terdapat 2 pemilik kolam satu berbangsa india (Tuan Tanah) dan satu lagi berbangsa cina (Taukeh Kolam dan Ikan) dan terdapat beberapa orang pekerja berbangsa india. Tutur kata mereka begitu ramah dan mereka betul-betul menjaga pelanggan. Servis sebegini yang dimahukan oleh kami pemancing-pemancing. "Good Job!..."


Laluan Sebelum Ke Kolam Utama
Kedudukan Kolam Bersebelahan Jambatan Jugra
Terdapat Beberapa Pondok Untuk Pemancing
Setelah semua selesai memasang perambut dan mata kail, kami memilih untuk menggunakan umpan Udang hidup yang dijual disitu, harganya agak mahal berbanding kolam-kolam sekitarnya iaitu RM1.00 seekor. Kami terlupa untuk membawa "Portable Air Pump" menyebabkan umpan tidak dapat dibeli dengan banyak hanya sekadar 2-3 ekor bagi kegunaan seorang. Kami terus ke kolam utama untuk mencari pot yang sesuai, kami memilih untuk ke pondok pertama berdekatan dengan laluan pintu masuk kolam kerana pondok yang lain telah dipenuhi oleh pemancing. Namun demikian disebabkan kami tiba agak awal, pemancing lain masih tidak ramai dan mungkin juga kolam ini masih belum diketahui umum.

Pondok Pertama Berdekatan Kolong
Masing-masing Menunggu Dengan Penuh Harapan
Admin "Selfie" - Jangan Marah!
Lebih kurang 10 minit melabuhkan umpan, tiba-tiba Torres mendapat sambaran dari penghuni kolam, seluruh pemancing bersorak manakan tidak kami baru sahaja sampai dah nasib Torres memang amat baik kerana umpan yang disuakan telah dijamah. Torres mengawal joran dengan baik agar kejadian seperti rabut dan rod patah tidak berlaku, terasa agak berat sedikit tarikan ikan tersebut. Akhirnya seekor ikan Kerapu bersaiz 3 kg telah berjaya beliau daratkan. Alhamdulilah, Torres memang bertuah kerana mendapat sambaran awal dan menaikkan spesies yang menjadi dambaan pemancing yang turun ke kolam tersebut. Pekerja kolam menyatakan yang ikan Kerapu hanya dilepaskan 6 ekor pada minggu ini dan beliau merupakan orang ke 2 yang berjaya menaikkan ikan Kerapu.

Torres Dan Tangkapan Awal...
Kerapu Beliau Mendapat Perhatian Pemancing Lain...
Lihat Saiznya Yang Gemok!
Selepas kejadian tersebut kami semua lebih bersemangat untuk memancing kerana melihat Torres berjaya mendapatkan ikan Kerapu. Pada mulanya kami ingin bermain "Bottom" dan "Casting" sahaja namun tidak menyangka pula ikan Kerapu akan menyambar umpan yang terapung seperti mana yang telah dibuat oleh Torres lalu Jojo dan Admin terus bertukar kepada menggunakan pelampung. Cuaca pula makin lama semakin panas kerana hampir tengah hari. Sepanjang memancing Admin sudah 3 kali sangkut di kolong, agak banyak kolong berada didasar kolam Gansaan ini oleh yang demikian, kepada mereka diluar sana harus berhati-hati ketika ingin mengilat atau menanam umpan dikuatiri mata kail tersangkut pada kolong.

Peratus Sambaran Semakin Kurang Ekoran Cuaca Semakin Panas...
Setelah hampir 2 jam 45 minit memancing masih tiada sebarang sambaran yang diterima oleh kami, sudah habis satu kolam kami tawaf untuk memujuk ikan keluar dari tempat menyorok mereka namun masih hampa. Namun demikian, bukan kami mengatakan kolam tersebut tiada ikan, rata-rata pemancing yang memancing sudah memdapatkan 2-3 ekor ikan hanya menghabiskan saki baki masa sahaja untuk mendapatkan ikan tambahan. Saya, Jojo dan Ringgo masih "Kumpau" dan belum mendapatkan ikan, masa pula semakin suntuk dan ini menambahkan lagi tekanan.

Admin Berjaya Mendaratkan Siakap...
Macam Mana Ok Tidak?
Admin Tidak Tahu Kenapa Harus Ada Selipar - Hmmm...
Masa tinggal lebih kurang 6 minit sahaja lagi dan Admin membuat keputusan untuk membuat balingan terakhir di sebelah kawasan sangkar di bahagian tengah kolam. Satu balingan yang jauh dibuat, dan dibiarkan sahaja ia ternggelam perlahan-lahan. Dalam masa lebih kurang 10 saat, tiba-tiba Jojo menjerit "Bob Tengok Tali Awak!!!..." kelihatan tali tangsi 15lb Tomman Performance Admin semakin lama semakin menegang menandakan umpan sedang dibawa lari. Admin mengangkat joran dengan lembut dan Zaaap!!!...menyebat joran, akhirnya seekor lagi mangsa telah terjerat. Kawalan joran agar tidak terlalu tinggi dan melonggarkan sedikit drag kekili agar tiada tekanan diberikan kepada tali oleh sang ikan ketika meronta-ronta ingin melepaskan diri harus di ambil kira. Penamat bagi seekor ikan Siakap bersaiz "Mama" apabila tersadai lemah ditepi kolam. Alhamdulillah, kerana pada minit-minit terakhir Admin berjaya membawa pulang hasil.

Siakap Gadang! - Ngam-Ngam 3 Kilo
Gambar Timbangan...
RM3.00 Bagi Setiap Ekor Ikan - Siang Ikan
Kesimpulannya, P2U Angler dapat merasakan yang Kolam Gansaan ini mempunyai potensi untuk berkembang maju sekiranya ikan yang dilepaskan oleh Taukeh Kolam bersaiz 3 kilo keatas. Jangan pula apabila sudah maju dan mempunyai pelanggan nanti, Taukeh dengan sewenang-wenangnya menurunkan saiz ikan atau menaikkan harga memancing. Namun apa pun sepanjang kami memancing servis yang diberikan adalah terbaik!. Kepada pembaca Pancing2u. Blospot.com, mari ramai-ramai mencuba untuk memancing disini, kerana ia merupakan kolam baru, bolehlah mencipta rekod baru atau menimba pengalaman di kolam baru. Sekian sahaja dari kami, Assalamualaikum wbt~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...