19 March 2015

Jom Memancing Di Zoo Negara!!!...

Assalamualaikum pembaca Pancing2u.blogspot.com, sewaktu Admin di pejabat melihat kalendar aktiviti bulanan bersama keluarga terutamanya aktiviti yang melibatkan anak kecil, Admin terfikir untuk membawa anak-anak ke Zoo Negara yang terletak di Ulu Klang untuk mengenali jenis-jenis haiwan dan melihat secara "Live". Admin terus ke laman sesawang mereka di http://www.zoonegaramalaysia.my untuk melihat apa perkembangan terbaru pihak Zoo dan mungkin ada haiwan-haiwan serta bangunan baru yang menarik.

Sambil melayari laman sesawang tersebut, Admin terlihat brochure khas buat pemancing yang mana mereka menawarkan pakej memancing sambil santai di salah satu tasik di dalam zoo tersebut. Oleh yang demikian, tanpa melengah-lengahkan masa terus Admin pamerkan di Blog Pancing2u untuk membantu mewar-warkan kepada semua pemancing diluar sana. Sebarang maklumat tambahan anda boleh menghubungi pihak penganjur sendiri pada nombor yang tertera dibawa. Apa Tunggu Lagi...Zaaaappp!!!

P/s - Dengar cerita orang Ikan Toman Zoo Negara bersaiz lengan and mega!

POSTER 1
POSTER 2

16 March 2015

Pusat Memancing Udang UG515, Johor Bahru - (06.03.2015)

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Pancing2u. Bertemu kembali dan kali ini saya ingin berkongsi pengalaman pertama memancing udang galah di kolam. Jika memancing ikan, segala kudrat perlu dikerahkan untuk menewaskan buruan di hujung kail. Sebaliknya, ketelitian dan kelembutan amat diperlukan untuk mendaratkan Sang Sepit Biru ini.

Selamat Datang Ke Pusat Memancing Udang UG515, Johor Bahru
Kolam yang menjadi pilihan saya ialah Pusat Memancing Udang UG515 yang terletak di Taman Perling, Johor Bahru. Kolam ini mudah ditemui kerana terletak bersebelahan jalan utama Danga Bay ke Nusajaya. Terdapat Danga Futsal Centre di belakang kolam ini. Memandangkan saya tiada pengalaman memancing udang, beberapa lawatan risikan dilakukan terlebih dahulu untuk memerhatikan spot terbaik serta kaedah dan ikatan yang digunakan oleh pemancing disini. Menurut otai yang ditemui, masa terbaik untuk memancing ialah di awal pagi dan selepas Maghrib. Umpan yang terbaik pula ialah Perumpun/Ruat, Hati/Jantung Ayam dan Cengkerik.

Maklumat Waktu Operasi Dan Bayaran
Peraturan Kolam
Bagi memudahkan pemancing, pihak kolam ini meminjamkan set joran lengkap serta umpan yang diberikan secara percuma kepada pemancing. Tetapi saya memilih untuk membeli sendiri set joran udang dengan modal kurang dari RM40.

Set Udang Amatur Saya
Seperti yang disarankan oleh pemancing disini, trip buruan Sepit Biru pertama saya dilakukan pada waktu pagi. Saya sampai di kolam pada jam 9.30 pagi.  Terdapat beberapa pemancing lain juga sedang menunggu kerana kolam beroperasi bermula jam 10 pagi. Sementara menunggu kolam dibuka, saya mula mengikat perambut dan mengambil peluang ini untuk melihat sekeliling kolam. Terdapat tiga kolam kecil di dalam kaunter yang digunakan untuk menyimpan stok udang yang akan dilepaskan pada setiap jam. Daripada pemerhatian saya, terdapat dua jenis udang dengan pelbagai saiz di sini iaitu Udang Galah dan spesis "Freshwater Crayfish".

Stok Udang Yang Akan Dilepaskan Setiap Jam
Kolam Memancing
Semua pemancing menyerbu kaunter bayaran sebaik sahaja kolam dibuka. Saya memilih untuk menduga kolam ini selama 4 jam. Memandangkan ini kali pertama saya memancing udang, saya tidak meletakkan sasaran hasil yang tinggi. Cukuplah sekadar saya belajar bagaimana untuk mengawal dan menarik udang naik. Perlu diingatkan kedalaman kolam perlu disukat terlebih dahulu bagi menentukan panjang perambut yang perlu disediakan. Tidak lama selepas umpan pertama disajikan, pelampung saya mula bergerak dan tenggelam secara perlahan. Ini menandakan sang sepit biru sedang menarik umpan. Joran 9 kaki saya mula diangkat secara perlahan. Tali yang diikat di hujung joran mula menegang dan satu sentapan dilakukan sejurus itu. Terasa berat di hujung joran menandakan buruan telah mengena. Saya mula mengangkat joran dengan perlahan dan sewaktu ini dapat dirasakan getuan udang yang menarik-narik untuk melepaskan diri. Dengan penuh ketelitian dan kesabaran, akhirnya udang galah pertama saya berjaya didaratkan.

Saya meneruskan buruan dengan lokasi balingan yang sentiasa diubah. Setelah empat jam memancing, masa yang diperuntukkan telah tamat. Permulaan yang baik untuk saya kerana berjaya mendaratkan sebanyak 13 ekor Udang kali ini. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa pemancing otai berjaya menaikkan hasil melebihi sekilo hanya dalam masa dua jam memancing. 

Buruan Yang Hinggap Di Jaring Mengumpul Hasil
Hasil Pancing Pertama
Belajar daripada pengalaman pertama, lawatan susulan secara solo telah dilakukan baru-baru ini. Disebabkan hari Jumaat, saya mengambil pakej tiga jam kali ini untuk berhenti sebelum waktu solat Jumaat bermula. Walaupun lebih singkat dari lawatan pertama, hasil yang diperolehi kali ini lebih baik. Cabaran utama memancing udang ialah untuk menentukan bila masa terbaik untuk membuat sentapan. Kerap kali apabila pelampung bergerak atau tenggelam, tidak semestinya umpan sedang dijamah udang. Kadangkala udang hanya menyepit umpan dan apabila disentap ia akan melepaskan kembali umpan. 

Hasil Trip Kedua Yang Lebih Baik
Setakat ini dahulu perkongsian saya kali ini. Terima kasih kerana terus setia bersama Pancing2u dan nantikan laporan seterusnya dari Selatan tanah air. Diharapkan semua pembaca dapat menghebahkan mengenai Pancing2u kepada rakan-rakan dan saudara agar kita sama-sama dapat berkongsi ilmu hobi memancing ini.

03 March 2015

Sirkit Pancing Putrajaya 1/2015 - (01.03.2015)

Assalamualaikum dan Salam sejahtera diucapkan kepada para pembaca blog Pancing2u yang dihormati, pada 1hb Mac 2015 yang lalu berlangsungnya Sirkit Pancing Putrajaya siri 1/2015 di Sisir Tasik Persint 1 dan Sisir Tasik Taman Wawasan Persint 2, Putrajaya. Pertandingan ini di sertai oleh P2U Angler yang diwakili oleh Admin, Lebai dan Hairul hanya kami bertiga sahaja yang turun pada kejohanan tersebut.

Banner Pertandingan
Khemah Pendaftaran
Para Peserta Telah Berkumpul di Meja Urus setia seawal Jam 6 pagi..
Seawal jam 6:30am kami telah bergerak keluar dari rumah masing-masing menuju ke Putrajaya dan berkumpul di hadapan dataran Masjid Putrajaya sebelum ke khemah pendaftaran untuk tujuan pengesahan resit. Dukacita kerana T-Shirt telah habis diedarkan seawal jam 8 pagi. Kami merupakan pendaftar online dibawah 500 namun mengikut kata penganjur T-Shirt telah kehabisan. Disini status pembahagian cenderahati oleh pihak penganjur diragui sedikit, ramai peserta yang kecewa. 

Gerai Menjual Makanan dan Minuman...
Baiklah kita lupakan soal ke tidak puas hatian tersebut dan kembali ke misi utama kita untuk memancing, kami pun bergerak menaiki motorsikal (*dinasihatkan anda bawa motorsikal sendiri) dan menyusur sepanjang tasik yang hampir berkilometer jaraknya dan seperti yang diramal, terdapat ribuan para peserta yang telah terpacak dan "Book' tempat untuk memancing awal pagi lagi memaksa kami untuk bergerak lebih jauh dari kawasan yang dirasakan spot terbaik. Menurut kata salah seorang Marshall pertandingan yang sedang berkawal disitu, disebabkan jumlah peserta yang terlalu ramai menyebabkan pihak penganjur terpaksa membuka dan meluaskan lagi had kawasan memancing. Jika dilihat "Benchmark" had memancing adalah pada jambatan namun ekoran ramai pemancing mendesak agar dibuka lagi sehingga melepasi jambatan tersebut.

Jambatan Merupakan Had Akhir...
Setiap Ruang Dipenuhi Pemancing...
Setelah mendapat tempat yang baik maka kami pun membuka lembaran tikar untuk dijadikan tempat berehat dan masing-masing melabuhkan pancing. Kali ini kami hanya menggunakan umpan roti yang dipotong dadu dan dicampurkan bersama perisa pandan. Hanya umpan biasa yang digunakan dan berharap agar ada makhluk dasaran yang sudi menjamahnya. Menurut Hairul beliau tidak sempat untuk ke kedai menjual cengkerik kerana ada urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

Admin Posing...
Khemah P2U Angler di bawah Pokok Yang Rendang...
Berkenalan Dengan Rakan Baru...
Dari jauh kedengaran suara pemancing menjerit-jerit memanggil Marshall bagi mengesah dan merekod hasil tangkapan yang berjaya dibawa naik. Admin sempat ke khemah pengadil untuk melihat hasil tangkapan yang berjaya dibawa naik dari awal pagi dan kelihatan banyak ikan dari spesis Baung, Toman, Lampam, Tongsan dan Temoleh yang berada didalam tangki pengadilan. Namun demikian, pancing kami semua masih belum di sentap oleh ikan-ikan disana, mungkin umpan kurang menarik dan mungkin juga bukan rezeki. 

Khemah Utama
Pemancing Berhimpuan di Pentas Utama...
Terdapat Kedai Menjual Alatan Pancing...
TIdak Banyak Jenama Yang Ada...
Admin "Selfie"...
Lebai Dan Hairul Melihat Barangan Pancing...
Masing-Masing Berdebar Menanti Cabutan Bertuah...
Selesai aktiviti memancing kami bergerak ke pentas utama untuk menunggu hadiah cabutan bertuah seandainya rezeki memihak kepada kami. Pada sirkit kali ini hadiah tempat pertama di gondol oleh pemancing bertuah yang berjaya mendaratkan seekor ikan Temoleh seberat 12kg dan merupakan tangkapan terberat setakat ini. Selesai sesi pembahagian hadiah dan pengumuman juara, kami pun beredar. In sha allah, kami akan turun menyertai Sirkit Pancing Putrajaya siri akan datang, sekian sahaja cerita pada kali ini. 

-Assalamualaikum wbt.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...