Showing posts with label Kolam Siakap RM3 Banting. Show all posts
Showing posts with label Kolam Siakap RM3 Banting. Show all posts

02 December 2013

Siakap Jugra Yang "Frenzy" - (01.12.2013)

(Inilah Kolam Siakap RM3.00)
(Pondok Untuk Berteduh Disediakan)
Assalamualaikum wbt diucapkan kepada para pembaca Pancing2u semoga dalam keadaan yang sihat dan sejahtera. Pada sesi kali ini ahli P2U Angler telah menerjah kolam yang tidak asing lagi dikalangan kaki pancing area Kuala Lumpur dan Selangor yakni Kolam Siakap Rm3.00 yang terletak di Jugra, Banting. Trip kali ini hanya sekadar ingin mencari lauk sahaja almaklumlah kolam ini kalau diikutkan sudah banyak kali di masukkan kedalam blog ini.

(Rilek-Rilek Sambil Hisap Rokok)
(Siakap Pertama Berjaya Didaratkan)
Trip kali ini hanya Saya (Admin) dan Torres yang turun untuk menjerat Sang Siakap. Trip bermula agak lewat sedikit disebabkan pada sebelah paginya masing-masing mempunyai hal sendiri maka 'Komplot' terpaksa dijalankan sebelah petang akan tetapi masa tidak sedikit pun menjejaskan fokus kami kerana sememangnya kami lebih arif tentang perihal kolam tersebut dan hanya memerlukan lebih kurang 1 jam untuk mendapatkan hasil yang lumayan.

(Itu Dia 2 Ekor Siakap Saiz Hidangan Tertewas!)
Selepas membayar yuran masuk sebanyak Rm3.00 untuk sebatang joran dan kami membeli umpan udang sebanyak 10 ekor seorang. Udang di situ kecil sahaja saiznya kerana Siakap di situ tidaklah bersaiz gadang maka umpannya juga kecil. Kami mencari port bertentangan dengan kincir air kerana dikatakan ikan akan bermain-main di kawasan tersebut kerana peratusan oksigen dalam kolam adalah lebih tinggi disitu. Joran pun mula dilabuhkan tidak sampai 5 minit kami 'Casting' dan beberapa henjutan dilakukan sambaran dari penghuni dasaran telah diterima.

(Siakap-Siakap Hasil Pancingan Saya Sahaja)
Terasa getuan kecil disusuli tarikan rakus dari Siakap kolam tersebut. Disebabkan saiznya tidaklah sebesar mana anggaran bawah 700gram maka kami hanya karau seperti biasa dan akhirnya ikan tertewas. Seekor demi seekor Siakap kami naikkan dan terasa penat bukan disebabkan bertarung dengan ikan tetapi disebabkan sangkut ikan pada hook dan tali sebelum dilepaskan kembali kedalam kolam.

(Torres Juga Berjaya Mendaratkan 4 Ekor Ikan Siakap)
Lebih kurang banyak hasil yang telah diperoleh dimana saya berjaya mendaratkan 6 ekor Siakap dan Torres pula 4 ekor Siakap agak-agakcukup untuk dibuat lauk seminggu maka kami pun berhenti memancing dan mula berkemas untuk pulang nanti lebih lama kami disini dan lebih banyak ikan dinaikkan tidak pasal-pasal tol yang dikenakan semakin mahal. 

(Weeehooo...Hati Gembira)
Tiba di kaunter depan kolam ikan dimasukkan kedalam bakul untuk ditimbang oleh taukeh kolam, saya dikenakan bayaran sebanyak Rm32.70 bagi hasil timbangan seberat 2.18kg bersamaan 6 ekor Siakap manakala Torres pula dikenakan bayaran sebanyak Rm24.50 bagi hasil timbangan seberat 1.9kg bersamaan 4 ekor Siakap. 

(TOL@ Ikan Harus Ditimbang Sebelum Dibawa Pulang)
Alhamdulilah akhirnya kami berjaya mendapatkan lauk untuk minggu ini, kepada pembaca Pancing2u jika terasa ingin untuk mencuba memancing disini datanglah. Lokasinya adalah seperti berikut: 
  • Dari Kesas Highway terus sehingga Teluk Panglima Garang.
  • Sehingga jumpa Bulatan kecil terus sahaja.
  • Sampai Traffic Light simpang 4 belok kiri
  • Terus sampai jumpa Jambatan Besar Merentas Sungai.
  • Terus sampai jumpa Masjid Al-Islah sebelah kiri
  • Lebih kurang 200 meter belok kanan.
  • Terus sampai hujung jalan belok kiri.
  • 100 meter belok kanan
  • Terus sampai hujung jalan dan sampai.
SAKSIKAN VIDEO PANCING KAMI


09 September 2013

Penangan Siakap Banting!!! - (08.09.2013)

Trip kali ini Saya (Admin) dan Ringgo hanya menyasarkan Siakap "Frenzy" dari kolam Rm3 yang terletak di Jugra, Banting. Misi kali ini sebenarnya lebih kepada menguji joran Ikano "My Lucky Rod" 5' kaki yang baru dibeli oleh Ringgo. Untuk tidak membangau dan penat menunggu ikan maka P2U Angler telah memilih untuk memancing di kolam Rm3 yang "Frenzy".

(Kolam RM 3, Banting)
Keluar dari rumah seawal jam 10.00 pagi dan bergerak dari Shah Alam menaiki R3 Ringgo, kami bersarapan di mamak pekan Telok Panglima Garang. Selepas itu kami sempat meninjau kolam LS untuk misi pancingan seterusnya diepisod akan datang. Masa yang diperuntukkan bagi sesi pancingan kali ini adalah selama 1 jam sahaja kerana terdapat urusan lain diwaktu petang.

(Ringgo Dengan Joran IKANO 5' "My Lucky Rod")
Sebenarnya sudah lama kami tidak berkunjung ke kolam Rm3, Banting ini dan terdapat banyak perubahan antaranya Udang-Udang yang dijual sebagai umpan pemancing semakin kecil saiz anak-anak Udang dan saiz ikan-ikan Siakapnya pula dibawah 500gram seekor. Memandangkan kolam ini merupakan asas kami mula belajar memancing dan mendalami ilmu menangkap ikan oleh itu sokongan terhadap kolam ini tetap tidak dilupakan. Ramai pemancing lain membawa anak-anak mereka untuk memancing. Ini penting bagi melatih generasi cilik mengenal hobi memancing dan menambah minat mereka dimasa hadapan.

(Ringgo Dengan Hasilnya)
Tiba dikolam tersebut pada pukul 12.30 tengah hari dimana panas terik mentari sedang hangat membakar kulit. Setelah membeli umpan anak Udang Rm4.00 sebanyak 8 ekor kami mula melabuhkan joran dan mengilat. Sesi kali ini saya dan Ringgo mempertaruhkan set ringgan kami untuk beraksi menarik Siakap yang tidaklah bersaiz gadang. Apa yang menariknya pada labuhan pertama kami sudah mendapat getuan dari sang makhluk dasaran dikolam tersebut. Disebabkan umpan Udang yang kecil maka ianya mudah disambar dan hilang dibaham Siakap yang sedang "Frenzy" didalam kolam tersebut.

(Saya Dengan "Baby Siakap")
Leceh kerana kami terpaksa memasang umpan baru, kami menerima ragutan dari Siakap setiap kali kami lelabuhkan umpan. Setengah jam masa telah berlalu dan kami telah dapat menewaskan 4 ekor Siakap dengan mudah. Pemancing lain hanya melihat kami menaikkan ikan, ada diantara mereka yang sedang sibuk mencuba gewang dan memahirkan diri dengan skill menggunakan "Baitcaster" memandangkan kolam tersebut membenarkan penggunaan gewang dan ada juga yang sibuk melayan anak-anak memancing.

(Hasil Tangkapan Saya - 8 Ekor Siakap)
(Jumlah Tanggapan Kami Sebanyak 16 Ekor Siakap)
Akhirnya setelah 1 jam masa kami memancing, sebanyak 16 ekor Siakap berjaya kami naikkan. Bersyukur terhadap Allah swt kerana telah memberikan rezeki kepada kami berdua pada hari ini. Betullah orang cakap kalau terasa nak mencari lauk untuk dibuat hidangan silalah ke kolam Rm 3.00 di Banting ini kerana ianya menjanjikan pulangan hasil tangkapan yang "Frenzy". Sekian sahaja laporan kami pada kali ini, semoga berjumpa lagi di laporan aktiviti memancing P2U Angler yang seterusnya. Assalamualaikum wbt.

16 June 2013

Kolam Siakap, Banting - (12.05.2013)

Setelah 2 minggu merehatkan diri dari dunia pemancingan, Kini rindu semakin membuak-buak buat budak-budak J.C.T untuk turun ke Lubuk Siakap RM3 di Banting. Setelah memilih tarikh yang sesuai untuk menjerat makhluk dasaran disana satu temujanji bersama ahli kumpulan di meterai. Seawal jam 8:00am kami berkumpul di Shah Alam untuk bersarapan pagi di Restoren Mamak sebelah KPJ, Shah Alam. Pada sesi ujian padang kali ini hanya 3 orang budak J.C.T yang turun yakni Saya (Admin), Ringgo dan Jojo. Selesai bersarapan pagi kami mulakan perjalanan ke Banting dan tiba di lokasi pada pukul 9:30am. Sudah ramai pemancing lain yang sudah berada disitu dan "Chop" tempat yang bagus-bagus. Alamak, saya berpesan kepada geng semua jangan "Membangau" sudahlah.

(Joran Abu Garcia Tournament Dan Kekili Banax Xtream 3000)
Untuk beraksi di kolam tersebut pemancing memerlukan peralatan perlindungan tubuh, dinasihatkan kepada semua pemancing untuk menyediakan topi, penutup muka, sarung tangan dan bekalan air putih secukupnya kerana keadaan di kolam tersebut yang terik dan kering almaklumlah tepi laut oleh itu bahang dari angin laut memang cukup panas. Walaupun diawal pagi cuaca sudah terik ekoran matahari sedang naik apatah lagi apabila tiba waktu tengah hari. Oleh itu persediaan awal amatlah diperlukan kerana jika tidak kulit akan terkena "Sunburn" suhu badan meningkat menjadi panas dan ini boleh merbahayakan kesihatan.


Akhirnya kami mendapat spot pilihan disebelah belakang kolam berdekatan dengan kincir angin. Ikan Siakap gemar berada di kawasan tersebut kerana peratusan Oksigen adalah lebih tinggi berbanding kawasan kolam yang lain. Lagi pun disitu terdapat rimbunan pohon-pohon bakau yang rendang untuk dijadikan tempat berteduh dari sinaran UV yang terik membakar kulit.

(Jojo Bersiap Untuk Melempar Joran)
(Teknik "Bottom" Atau Pancingan Dasar Oleh Ringgo Dan Jojo)
(Admin Testing Teknik "Bottom")
2 ragutan di terima oleh Admin dan Ringgo diawal labuhan umpan, namun semuanya rabut. Mungkin mata kail tidak "Bold" dan hanya tersangkut sipi-sipi di mulut ikan. Tekanan rasanya bila ikan rabut tetapi tidak mengapa kerana masih awal lagi untuk kami mengalah. Setelah menunggu hampir 30 minit tiba-tiba joran Ofmer Infinity milik Jojo bergetar kuat menandakan ada mangsa yang telah terjerat. Setelah dikarau dengan perlahan akhirnya Jojo telah berjaya menaikkan Siakap pertama dalam ujian padang kami kali ini.

(Siakap 1st Pembuka Tirai)
Semangat kami untuk mendapatkan ikan semakin membuak-buak setelah Jojo berjaya memperoleh hasil yang pertama. Umpan Udang semakin kerap ditukar kerana sering kali hancur dibelasah anak ikan yang mengganggu. Hasil "Casting" juga turut menyumbang kerosakkan pada umpan yang dipasang. Udang tersebut terpaksa dikopek kulit kerana apabila Udang tersebut telah mati Siakap lebih tertarik dengan Udang yang telah di kopek kulitnya. Macam-macam karenah juga Siakap ini.

(Lesen 1st Buat Joran "Prawn Stick" Admin)
Saya menjerat dengan menggunakan 2 joran pada sesi kali ini, satu Abu Garcia Tournament 10-30lb manakala satu lagi Joran X-Puyu 7-13lb a.k.a "Prawn Stick" yang mana saya sengaja turunkan untuk mendapatkan lesen baginya. Alhamdulilah "Pucuk Dicita Ulam Mendatang" joran X-Puyu saya mendapat sambaran dari Siakap, bertarung jugalah disebabkan joran tidak begitu mantap almaklumlah joran Udang. Setelah diheret ketepi saya berjaya menaikkan Siakap dan mendapatkan lesen untuk joran tersebut. Ringgo pula mengalami masalah teknikal ekoran tali tangsinya yang sering terkeluar dari kekili Shimano Accortnya. 

(Gewang Selaman Dari Strike Pro Turut Diuji)
Kemudian kami bertukar port ke hujung kolam dan cuba untuk "Casting". Alhamdulilah, setiap kali saya melontarkan joran saya menerima sambaran dari Siakap. Umpan yang digunakan hanyalah Udang Kopek. Waktu petang membuatkan Siakap sedang lapar memburu apa sahaja yang berada dilaluannya, nasib saya pula sangat baik kerana tiap kali lontaran dibuat pasti bersambut. Sehingga tidak terlarat bahu ini untuk menarik makhluk dasar yang "Frenzy" ini. 

(Hasil "Casting" 6 Ekor Siakap Berjaya Ditewaskan)
Menjelang ke Petang, saya telah memperoleh 6 ekor, Ringgo 2 ekor dan Jojo 1 ekor, cukuplah untuk sesi kali ini. Lepas sudah gian untuk mendapatkan Siakap dan tiba masa untuk kami pulang. Apa yang penting masing-masing tidak pulang dengan tangan kosong. Cuma kami terpaksa melalui "Tol" untuk membayar ikan-ikan yang telah didapat. Saya dikenakan sekitar Rm47.00 bagi 3.75kg ikan. Bolehlah, sama juga kalau dikira-kira andai memancing dikolam yang dikenakan deposit cuma apa yang berlaku disini adalah deposit hanya Rm3.00 dan berat ikan diguna pakai untuk timbangan.

(Bangga Dengan Hasil Masing-Masing)
Akhir sekali, Admin ingin mengucapkan terima kasih kepada budak-budak J.C.T kerana sudi turun memancing dan kepada para pembaca Pancing2u yang sudi mengikuti perkembangan kami. Nantikan cerita berikutnya, insyaallah.

06 June 2013

Kolam Siakap, Banting - (01.05.2013)

Setelah bosan melayan ikan air tawar, pada 1 Mei 2013 cuti hari pekerja yang lalu budak-budak P2U Angler telah sepakat mengambil keputusan untuk mencuba nasib menerjah Kolam Siakap Banting. Asalnya kolam tersebut telah diperkenalkan oleh seorang rakan kerja dari Duta Marine yang selalu memancing disana. Kolam tersebut terletak di daerah Jugra malah bersebelahan dengan "Jugra Sport Fishing". Kira-kira 1 jam perjalanan dari Subang Jaya untuk sampai ke lokasi. Bayaran dikenakan untuk 1 joran adalah sebanyak Rm3.00 bagi seharian memancing, murah bukan?, namun andai anda berjaya menaikkan Siakap-siakap di situ, "Tol" dikenakan mengikut timbangan berat setiap ekor ikan yang berjaya ditangkap sebelum anda keluar dari kolam.

(Pemandangan Kolam Dari Pintu Masuk)
Pada sesi ujian padang kali ini hanya Saya (Admin) dan Ringgo yang telah ke lokasi yang dikatakan "Lubuk Siakap" yang mana rata-rata pemancing dan penduduk disitu mengatakan yang kalau tidak tahu memancing pun pasti akan dapat ikan kerana Siakap-siakapnya sangat "Frenzy". Tanpa membuang masa saya dan Ringgo pun bersiap sedia dengan senjata perang yang akan diperturunkan untuk menduga penghuni dasaran disitu. Umpan yang kami gunakan adalah Udang yang ada dijual di kaunter. Harga umpan Udang tersebut tidak mahal Rm5.00 bersamaan 9 ekor Udang.


Saya mempertaruhkan Joran Abu Garcia Tournament 7'kaki berkekuatan 10-30lb dan kekili Banax Xtream 3000 manakala tali tangsi berkekuatan 40lb. Ringgo pula mempertaruhkan Joran Penn Marco 6'kaki berkekuatan 10-20lb dan kekili Shimano Accort. Setelah selesai mempersiapkan kelengkapan semua kini tiba masa untuk mencari spot-spot di sekitar kolam yang dirasakan hidupan dasar berkumpul. Disebabkan hari sudah lewat petang oleh itu sinaran terik matahari telah berkurangan namun bahang tepi laut tetap dirasakan.

(Pancang Diperlukan Untuk "Teknik Bottom")
Apabila umpan Udang tadi sudah dilabuhkan kedasar kolam, seperti biasa kami akan berborak-borak dan berkenalan dengan rakan-rakan pemancing yang ada disitu. Pada hari tersebut kami berkenalan dengan seorang pemancing dikatakan "Otai" dikawasan itu namanya Abang Awie. Beliau tidak lokek berkongsi ilmu dan tips untuk menjerat siakap dikolam tersebut malah perambut dan mata kail saya pun dipasang olehnya. Menurut kata beliau di kolam ini memang Siakap sangat "Frenzy" dan mudah untuk dijerat. Antara teknik yang boleh digunakan disini adalah "Pancingan Dasar" dan "Casting".

(Abang Awie Sedang "Casting")
Sedang kami berbual-bual hampir 3 kali joran saya bergetar namun apabila disentap tiada Siakap yang terjerat, saya hampir bengang kerana merasakan ikan disini bijak juga. Kata Abang Awie saya duduk terlalu jauh dari joran dan ini membuatkan ikan tersebut sempat meloloskan diri. Tiba-tiba joran Ringgo mendapat satu sentapan yang agak kuat, setelah diangkat ternyata seekor Siakap telah terjerat. Ringgo mengarau kekili Shimano beliau dengan pelahan dan akhirnya ikan berjaya didaratkan, Siakap bersaiz "Juvenil" dalam anggaran 600g.

(Lesen Siakap 1st Ringgo)
Wah ini menambahkan lagi semangat saya untuk mengarau dengan lebih tekun untuk mendapatkan "Lesen Siakap" Banting. Mana boleh tahan melihat rakan berseronok dengan hasil tangkapannya. Hari semakin lewat petang namun hanya getaran pada joran Abu Garcia Tournament yang berlaku, umpan Udang semakin berkurangan ekoran berlaku penukaran umpan pada mata kail terlalu kerap. Almaklumlah Siakap Banting ini mudah rasa bosan terhadap umpan yang lama dipasang, mereka lebih gemar menikmati umpan yang segar dan baru dipasang. Saya meneruskan usaha mengail Siakap dengan penuh kesabaran kerana saya tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

(Akhirnya Berjaya Mendapat Lesen!)
Tiba-tiba satu getaran kuat dirasakan pada hujung joran Abu Garcia Tournament saya dan apa lagi tanpa berlengah-lengah saya terus menyentap joran dan melayan asakan Siakap yang menggelupur di dalam kolam cuba untuk memutuskan tali 40 lb saya, harapanlah!. Perlahan-lahan kekili dikarau sehingga akhirnya saya berjaya mendaratkan Siakap seberat 800g, alhamdulilah dan ini merupakan lesen Siakap yang pertama saya. Syukur kerana ada juga rezeki yang Allah SWT ingin berikan kepada saya pada sesi memancing kali ini. Sedang saya hendak mengeluarkan mata kail dari mulut hasil tangkapan saya tiba-tiba satu sambaran diterima oleh Ringgo, Ringgo berjaya mendaratkan 2 ekor Siakap pada kali ini dan saya pula seekor Siakap.  


Disebabkan hari sudah lewat malam dan jam tangan menunjukan pukul 8.30pm kami berdua sepakat untuk pulang dari kolam pancing tersebut. Ketika melalui "Tol" dipintu masuk saya dikenakan bayaran sebanyak Rm3.70 dan Ringgo sebanyak Rm14.00 sahaja. Menurut kata Ringgo, dia ingin menggoreng seekor Siakap beliau di Restoren Nenek saya yang terletak di Bukit Naga, Shah Alam untuk dibuat makan malam bersama, satu cadangan yang agak bernas dan menarik. Jadi masing-masing dapat membawa pulang seorang seekor Siakap dan merasai hasil tangkapan untuk dibuat sajian pada malam itu.

(Hasil Tangkapan Kami yang dimasak "Siakap 3 Rasa")
Setibanya kami di Restoren Bukit Naga Tomyam Seafood, Shah Alam, ikan terus diserahkan kepada tukang masak didalam dapur untuk disiang dan dimasak. Kami berdua menjamu selera dengan hasil tangkapan kami pada malam itu dengan penuh rasa seronok. Penat lelah seharian memancing telah terbayar dengan lauk "Siakap 3 Rasa" yang enak. Disebabkan restoren tersebut milik nenek saya oleh itu cas yang dikenakan hanya Rm 23.00 untuk Nasi 2 pinggan, Upah masak Siakap 3 Rasa, Kangkung Goreng Belacan, Telur Dadar dua orang makan, Air teh O' suam dan Air Fresh Orange.

Hasrat untuk memancing lagi di kolam pancing Banting tidak terhenti sampai setakat hari ini sahaja kerana kami akan turun lagi untuk menawan Siakap-siakap Banting di lain hari. Buat pembaca Pancing2u diharap sabar menanti aktiviti budak-budak P2U Angler di sesi "Casting Siakap Banting" episod akan datang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...