29 August 2013

Misi Menjerat Kerapu Di Kolam Jugra - (25.08.2013)

Pada sesi kali ini P2U Angler telah turun ke Jugra Sport Fishing yang terletak di Banting untuk menjerat spesis Kerapu yang dikhabarkan terdapat disana. Saya (Admin), Ringgo, Jojo dan Torres telah gerak seawal jam 9 pagi ke kolam tersebut menaiki kereta masing-masing. Sebelum itu kami telah bersarapan pagi di kedai kampung Telok Panglima Garang.

(Pasar Keling)
Setelah perut penuh diisi, kami telah singgah di pasar Keling mengikut kata penduduk kampung tersebut untuk membeli 1kg Ikan Kembung bagi dijadikan umpan Kerapu nanti. Disebabkan ianya diambil segar oleh peraih ikan dari laut harganya juga jauh murah berbanding pasaraya. Isi Ikan Kembung digunakan untuk menjerat Kerapu ini digunakan kerana saya telah melihat sendiri ada pemancing berjaya menaikkan Kerapu di kolam Jugra menggunakan umpan tersebut. Oleh itu kami ingin mencubanya pada sesi kali ini.

(Nasi Lemak Kerang Dan Teh Tarik Memang Sodap)
Setelah deposit Rm50.00 dibayar untuk sesi pancingan 3 jam dan umpan Udang dibeli sebanyak 10 ekor kami pun terus mencari port di kawasan tengah kolam tersebut berhampiran sangkar ikan kerana kami ingin melabuhkan umpan betul-betul tepi sangkar. Saya dan Ringgo menggunakan 2 batang jorang yang mana satu digunakan untuk teknik "Bottom" dan satu lagi untuk "Casting". Jojo dan Torres pula hanya menggunakan sebatang joran untuk "Casting".

(Joran Dilabuhkan Dan Membangau) 
Angin bertiup menghadap arah kami oleh itu balingan yang dibuat semuanya tidak dapat pergi jauh hingga ke tengah. Ini boleh menyebabkan gangguan terhadap permainan kami. Balingan sering tersasar nasib baik tiada pemancing lain yang berkongsi tempat sesama kami jika tidak pasti akan sangkut tali mereka.

Setelah hampir 2 jam memancing, kami masih tidak menerima sebarang getuan dari makhluk dasaran. Tiba-tiba sedang saya sibuk "Casting" disekitar kolam dan jauh berada dari pancing yang "Bottom" joran saya telah bergetar menandakan ada ikan yang telah terjerat. Jojo menjerit memanggil saya disamping itu dia membantu  mengawal pergerakan ikan dengan mengarau sedikit demi sedikit. Saya bergegas ke tempatnya untuk menyambung kerauannya. Setelah ikan semakin hampir ke tepi kilauan sisik keputihan kelihatan dan pastinya seekor Siakap saiz 2kg. Arghh...kami menyangkakan ianya seekor Kerapu rupanya seekor Siakap. Tidak mengapalah janji dapat ikan. Ketika tiba saat ingin mengangguk ikan tersebut ianya terlucut dari mata kail saiz 11 saya, Aduhai tiada rezeki saya.

(Jojo Dan Joran Ofmer Infinity)
Selaku seorang professional kita harus tenang dan bersabar walaupun ikan terlepas sama ada secara sengaja atau tidak. Kita tidak boleh menyalahkan rakan kita walau apa pun yang berlaku. Semangat setia kawan dan hormat menghormati antara rakan pancing harus dititik beratkan. Kita harus sentiasa menganggap rezeki itu pemberian dari Allah S.W.T andai kata ianya tertulis untuk kita maka dapatlah, andai ianya bukan untuk kita maka tidak dapatlah.

(Ringgo Dengan Hasil Tangkapannya)
Masa semakin suntuk, dan kelibat ikan masih tidak kelihatan. Getuan yang diterima oleh pemancing lain juga kurang mungkin bukan waktu ikan makan atau pun taukeh kolam perlu melepaskan ikan lagi. Kami masih lagi tidak jemu-jemu mencuba nasib disekitar kolam. Umpan Udang pula sudah dua kali ditambah yang baru ekoran perambut sangkut didasar kolam dan tercicir sewaktu membaling umpan.

(Siakap Saiz Juvenil 1.3KG)
Disebabkan masa telah hampir tamat maka Jojo dan Ringgo sepakat untuk pulang awal manakala saya dan Torrres ingin melanjutkan tambahan masa 2 jam. Ringgo yang membuat balingan terakhir telah menerima satu getuan dari makhluk dasaran. Ibarat "Bulan Jatuh Ke Riba" dia menarik ikan ketepi dan akhirnya kekumpauan P2U Angler telah dipecahkan oleh Ringgo setelah berjaya mendaratkan seekor Siakap saiz Juvenil beranggaran saiz 1.3kg. Selepas sesi bergambar mereka berdua pulang dan tinggallah saya dan Torres yang masih setia memancing.

Namun akhirnya kami berdua terpaksa menyerah kerana masa 2 jam yang diperuntukkan telah tamat. Walaupun tidak berjaya mendaratkan Kerapu pada sesi kali ini namun semangat yang ditonjolkan harus diteruskan. Mungkin tiada rezeki kami pada kali ini. Selepas ini kami akan pergi mencuba kolam No. 2 Sealion, Port Klang untuk mencuba nasib. Terima kasih diucapkan kepada pembaca Pancing2u dan nantikan cerita akan datang.

27 August 2013

Kolam Green Paradise (GP), Rawang - (15.08.2013)

Dalam menghabiskan cuti hari raya ini, saya (Admin) telah mengaturkan beberapa trip untuk memancing di kolam-kolam sekitar kawasan tempat tinggal. Sepanjang cuti 1 minggu tersebut saya telah meluangkan masa menduga makhluk dasaran di beberapa kolam antaranya Kolam No. 2 Sea Lion, Kolam Jugra Sport Fishing dan Green Paradise (GP), Rawang.

(Kolam Yang Lengang)
Dalam menghabiskan cuti hari raya ini, saya (Admin) telah mengaturkan beberapa trip untuk memancing di kolam-kolam sekitar kawasan tempat tinggal. Sepanjang cuti 1 minggu tersebut saya telah meluangkan masa menduga makhluk dasaran di beberapa kolam antaranya Kolam No. 2 Sea Lion, Kolam Jugra Sport Fishing san Green Paradise (GP), Rawang.

(Banax Xtream GT 3000 dan Abu Tourmanent SX)
Ada yang kumpau, ada yang membangau, dan ada juga yang rabut. Tidak dapat dinafikan yang bukan setiap kolam saya pergi saya akan berjaya mendaratkan ikan cuma apa yang saya fokus untuk dititik beratkan adalah ilmu yang diperoleh antaranya teknik memancing, ekologi setiap kolam tersebut, corak pemakanan dan diet ikan-ikan tersebut malah info dari "otai-otai" kolam dalam memilih kekili, tali dan rod juga harus diambilkira. Almaklumlah saya ini budak baru belajar, pandangan dan nasihat dari pakar kolam harus dipelajari.

(Berjaya Mendaratkan Siakap Juvinil 1.6KG)
Pada sesi kali ini saya telah turun ke GP, Rawang untuk mencuba nasib. Disebabkan masa agak terhad dan kadar kewangan selepas menyambut hari raya berkurangan saya hanya memancing selama 2 jam pada kadar Rm40.00. Saya hanya berserah kepada Allah S.W.T andai kata sesi kali ini pulang kumpau juga. Saya tiba dikolam tersebut pada pukul 1.20pm dan kelihatan orang berkurangan disana kerana hari tersebut merupakan hari bekerja. Apa yang kita sedia maklum, apabila orang kurang memancing bermakna taukeh kolam secara automatiknya akan melepaskan ikan tidak banyak.

Walau bagaimana pun itu tidak mengoyahkan saya untuk turun beraksi di kolam tersebut. Pepatah mengatakan "Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan". Saya akan tetap menggagahkan diri dan berusaha untuk membawa pulang ikan pada hari tersebut. Karauan demi karauan dilakukan namun masih tidak mendapat sebarang getuan dari sang penghuni kolam. Kejadian sangkut di celah-celah batu itu kerap berlaku. Umpan Udang sudah 5 ekor ditukar, asal biar bottom sahaja Udang mati ekoran dibedal anak ikan Lampam yang ada dikolam tersebut.Ini menambahkan lagi stress saya sebab harga seekor Udang bukannya murah Rm1.00.

Kini waktu memancing semakin tenat dan sudah sampai ke penghujungnya, sudah hampir 2 jam. Tiba-tiba ada seorang pemancing yang ingin dikenali sebagai Abg Sani datang ke port saya memancing dan kami pun layan borak tentang pengalaman dan berkongso ilmu serta teknik memancingnya. Abg Sani berasal dari Kelantan dan sudah biasa memancing di kolam tersebut, katanya pada hari tersebut dia cuti sebab semalam dia dah berjaya menaikkan 7 ekor ikan di situ. Dia juga memberitahu ada sebuah kolam pancing yang ada di Pulau Carey yakni Kolam Pancing Loong Sang. Kolam tersebut mempunyai makhluk dasaran yang bersaiz gadang dan sesuai jika ingin merasa tarikannya.

Banyak ilmu saya berjaya peroleh darinya dan sedang berborak-borak tiba-tiba saya menerima getuan dari sang penghuni dasaran, tengok gaya macam seekor Siakap. Abg Sani menyuruh saya melepaskan tali dan mengetatkan drag sedikit, ikan sudah terjerat san saya mengawal pergerakan ikan tersebut agar tidak terlepas. Apabila tiba di tepi kolam tangguk digunakan untuk menyauk ikan dikuatiri rabut dari tali memandangkan ikan bergerak ganas bila tiba dipermukaan kolam. Alhamdulilah saya berjaya mendaratkan seekor Siakap berat berukuran 1kg. Nasib baik disaat akhir ada ikan yang sangkut, memang rezeki saya pada hari itu.

(Brader Indon Siang Ikan)
Apa yang bagus disini ada disediakan perkhidmatan menyiang ikan yang ditangkap dan pemancing hanya dikenakan bayaran Rm2.00 sahaja. Akhir kata dari saya, terima kasih diucapkan kepada pembaca Pancing2u kerana sudi meluangkan masa membaca aktiviti memancing disini. Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan "Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Batin".

23 August 2013

15 Petua Pastikan Joran Tahan Lama

Pada kali ini Pancing2u ingin berkongsi sedikit tips kepada pembaca blog ini berkenaan teknik penjagaan joran agar is tahan lama. Bagi saya 15 petua atau 'pantang larang' yang dipaparkan dibawah ini boleh dinilai sendiri oleh pemancing untuk memanjangkan hayat penggunaan joran yang dimiliki. Antaranya:
  1. Usah memijak, duduk, atau menghempas objek berat keatasnya terutamanya pada sebelah hujung.
  2. Jangan himpit pada pintu kereta atau bonet.
  3. Gunakan joran untuk memutuskan tali tangsi tersangkut sambil membiarkan ia melengkung seperti huruf "U".
  4. Usah mencampakkan joran.
  5. Jangan membilas joran selepas digunakan.
  6. Jangan meletakkan joran dibahagian bawah sekali sama ada didalam kereta atau bot sebelum barang-barang lain dimuatkan ke atasnya.
  7.  Elakkan hujung joran terkena syiling kipas ketika membelek joran di kedai.
  8. Jangan membiarkan anak-anak anda bermain jolok-jolok menggunakan joran anda.
  9. Menunjuk kepada kawan-kawan betapa kuatnya joran anda dengan melenturkannya membentuk huruf "U".
  10. Usah mengacak joran ke langit ketika cuaca kilat.
  11. Jangan membebankan joran anda dengan meletakkan tali tangai 50lb - 80lb dengan menggunakan joran untuk menguji daya ketahanan tangsi tersebut sehingga putus.
  12. Mengangkat beban atau ikan melebihi 10kg dengan menggunakan joran tanpa menggunakan tangan ketika mengambil gambar.
  13. Usah meminjamkan joran anda kepada kawan-kawan yang baru belajar memancing.
  14. Memegang bahagian hujung joran yang nipis dan bukannya tempat pemegang.
  15. Menggunakan joran yang telah reput, patah, rosak untuk sesi berikutnya boleh membahayakan pemancing dan orang lain.

17 August 2013

Kolam Jugra Sport Fishing, Banting - (14.08.2013)

Aktiviti turun padang semperna Hari Raya Aidilfitri sesi ke 2 ini berlangsung di Jugra Sport Fishing, Banting. Saya tiba dikolam tersebut seawal jam 11am dan ditemani oleh adik dan anak buah saya. Menurut taukeh kolam tersebut, semperna pembukaan kolam tersebut yang telah bercuti sepanjang bulan Ramadhan lalu, dia ada membuat promosi harga iaitu Rm36.00 selama 4 jam dan ada memasukkan ikan-ikan jackpot seperti Kerapu Harimau dan Jenahak.

(Cuaca Panas Terpaksa Memakai Pelindung)
Cuaca pada hari itu sangatlah berbahang dan panas sehingga saya terpaksa memakai perlindung badan seperti sarung muka dan lengan. Orang tidaklah terlalu ramai dan sesak almaklumlah masih dalam mood raya. Umpan Udang dijual pada harga yang murah iaitu Rm0.50 seekor dan saya hanya membeli sebanyak 6 ekor untuk sesi kali ini. Saya telah memilih port di tengah-tengah bahagian kolam yang menjadi perantaraan laluan ikan-ikan didalam kolam tersebut. Kemudian saya melabuhkan umpan jauh ke dasar kolam.

(Peralatan Memancing)
Pada sesi kali ini saya telah menggunakan set "Baitcasting" dan set "Spinning" memandangkan kawasan kolam yang agak luas dan tiada bumbung maka bolehlah kiranya saya mempraktikkan penggunaan baitcaster yang baru dibeli oleh saya. Joran Shakespear dan kekili Abu Garcia Black Max dipadankan dengan tali sulam berkekuatan 20lb menjadi mukadimah apabila dikarau disekitar kolam tersebut. Manakala Joran Abu Tournament SX dan kekili Banax Xtream 3000  yang dipadankan dengan tali Lemax 40lb saya biarkan untuk teknik "bottom" bagi menjerat sang Kerapu.

Set "Casting" Abu Black Max)
Dalam pada itu juga saya sempat meluangkan masa untuk mengajar anak buah saya Riyaz Reqarl tentang apa itu "Sesi Memancing". Sememangnya adalah digalakkan kita mengajar anak-anak kecil kita memancing dan membiarkan mereka membiasakan diri dengan aktiviti hanyir ini agar dikala mereka membesar esok tidak kedaifan tentang perihal dunia memancing ini. Disamping iti juga kami berkelah dengan menikmati nasi campur yang telah dibeli sebelum ke kolam tadi, snek-snek serta air jus yang menyegarkan tekak juga menjadi hidangan makan tengah hari kami. Aktiviti bersantai bersama orang tersayang ini adalah perlu bagi merapatkan silaturrahim sesama keluarga yang jarang bertemu.

(Pemancing Cilik)
Masa 4 jam yang diperuntukkan hampir tamat dan tiada sebarang tanggapan diperoleh setakat ini, cuaca yang terik mungkin menjadi penyebab ikan kurang menjamah makanan yang dihidangkan akan tetapi budak khemah sebelah telah berjaya mendaratkan sang Kerapu Harimau yang boleh diketegorikan istimewa yang beranggaran 2.2kg. Ini membuatkan saya betul-betul cemburu dengannya mungkin rezekinya baik pada hari itu. Saya telah berjumpa dengannya dan bertanyanya apa umpan yang digunakan bagi menjerat spesis "Rare" tersebut dan dia memberitahu yang dia hanya menggunakan isi ikan Kembung yang dihiris kemudian ditanam dikawasan sangkar. Budak itu ada memberikan saya sedikit isi ikan Kembung untuk dicuba tetapi memandangkan masa memancing saya telah suntuk untuk mencubanya, mungkin disesi akan datang saya cuba menggunakannya.

(Disangkar Ikan Itulah Tempat Persembunyian Kerapu Harimau)
Setelah gagal membawa pulang ikan pada sesi kali ini, saya nekad untuk terus pulang kumpau dan mungkin akan datang dilain masa insyaallah memandangkan spesis Kerapu ada dikolam tersebut cuma perlu menggunakan umpan isi ikan kembung dan ditanam berhampiran sangkar ikan. Itu tips yang saya peroleh dikolam Jugra ini. Sekian terima kasih diucapkan kepada para pembaca Pancing2u yang sudi meluangkan masa mengunjungi blog ini. Kita akan bertemu lagi disesi pemancingan seterusnya di Kolam GP, Rawang.

10 August 2013

Kolam Pancing Sealion No. 2 - (10.08.2013)

Assalamualaikum wbt,

Terlebih dahulu saya (Admin) ingin mengucapkan "Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Dan Batin" kepada semua pembaca blog Pancing2u memandangkan bulan Syawal telah tiba. Mungkin ramai sedang berseronok meluangkan masa bersama keluarga dengan pulang ke kampung menyambut hari lebaran dan tidak lupa juga kepada rakan-rakan P2U Angler yang masih beraya bersama keluarga mereka. Pada hari raya ke 3, saya telah sempat turun ke Kolam No. 2, Sealion bersama adik untuk cuba nasib disana.

(Pemandangan Kolam No. 2 Sealion, Port Klang)
Tiba pada pukul 11.46am di lokasi dengan mengambil laluan dari KESAS terus ke Perlabuhan Klang. Lebih kurang 1 jam jarak perjalanan, disebabkan tersilap jalan. Setibanya di kolam tersebut terdapat ramai pemancing otai sedang mengadu nasib bertarung dengan makhluk dasaran disana membuatkan semangat saya membuak-buak. Walaupun umat islam masih menyambut hari raya aidilfitri namun kolam tetap penuh.

(Senarai Makhluk Dasaran Yang Terdapat Dikolam)
Terdapat pelbagai jenis ikan ada di kolam no. 2 ini, mengikut senarai ikan yang diletakkan dipintu masuk kolam tersebut. Yuran bagi sebatang joran adalah sebanyak Rm18.00 tetapi pemancing harus mengambil waktu minimum selama 3 jam yakni Rm54.00 dan meletakkan deposit sebanyak Rm100.00. Umpan Udang ada dijual di kolam tersebut dengan harga Rm1.00 seekor.

(Salah Pilih Port)
Setelah bayaran dibuat, saya terus mencari port-port untuk meletakkan beg dan "Tackle Box" serta memasang senjata. Setelah siap "Setting" saya melabuhkan umpan kedalam kolam dan mula menggunakan teknik "Bottom" bagi joran Abu Tournament manakala sebatang lagi joran dipasang dengan menggunakan set "Casting" saya untuk sesi mengilat.

(Layan Bottom Sahaja)
Diawal sesi pemancingan saya merasa sedikit getuan dan sambaran di hujung joran saya, tetapi rabut pula akhirnya. Kecewa juga kerana pada fikiran saya ianya tentu seekor Jenahak Gadang memandangkan rata-rata pemancing menaikkan Jenahak dikolam tersebut. Balingan demi balingan dibuat namun semuanya tidak menbuahkan hasil, mungkin teknik yang digunakan tidak betul sebab ikan memang banyak dilepaskan oleh taukeh kolam tersebut.

Faktor suhu air dan angin telah saya kaji dan semuanya dalam keadaan baik tetapi ikan masih tidak mahu menyambar umpan Udang yang dihidangkan. Apa yang dapat diperhatikan pemancing disana menggunakan isi ikan tamban, Selar dan Kembung. Mungkin makhluk dasaran disini biasa dengan umpan ikan yang telah dipotong sehingga udang tidak lagi menjadi diet utama mereka.

Masa 3 jam tidak cukup bagi saya lalu ditambah kepada 4 jam, tetapi masih lagi tiada hasil untuk dibawa pulang. Akhirnya saya redha terpaksa pulang dalam keadaan "Kumpau" dan amat mengecewakan. Nampaknya tiada rezeki untuk sesi kali ini, kempunan lagi hendak mendapatkan lesen Kerapu dan Jenahak. Sekian sahaja cerita untik kali ini semoga bertemu lagi disesi akan datang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...