27 November 2014

Aktiviti Musim Tengkujuh - (27.11.2014)


AKUARIUM ALAM
Lot No. 6857, Jalan Persiaran Hamzah Alang,
Kapar, 42200 Klang,
Selangor Darul Ehsan.

Lee Tan Lai
019-203 1355

Assalamualaikum dan Salam sejahtera diucapkan kepada pembaca blog Pancing2u yang setia. Semoga anda semua dalam keadaan sihat dan sentiasa dalam rahmatnya. Hujan...Hujan...Hujan...apabila kita memandang ke luar jendela pasti kelihatan kepulan awan gelap dan tebal serta pancaran kilat jika tidak hujan disebelah pagi pasti hujan disebelah petang membawa ke malam. Aktiviti memancing sudah pasti akan terbatas ekoran cuaca yang tidak menentu sekarang, sebagai seorang pemancing tegar sudah pasti akan rasa tidak tenteram ekoran program memancing terganggu. Harap sabar kerana mungkin segala yang berlaku ada hikmahnya, hujan itu sendiri membawa rahmat kepada setiap makhluk dimuka bumi ini.

Banyak Terdapat Joran-Joran Yang Berkualiti
Kekili Yang Terdapat Di Akuarium Alam
Baiklah kita teruskan kembali cerita pada kali ini, P2U Angler juga terkesan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ini, aktiviti  memancing tergendala dan terpaksa berehat dirumah. Oleh yang demikian kami mengambil inisiatif seperti membaiki peralatan memancing kami yang telah rosak atau perlu diselenggara, pergi ke kedai peralatan memancing untuk membeli barang-barang keperluan memancing serta pelbagai lagi aktiviti sampingan yang difikirkan boleh menghilangkan rindu.

Terdapat Juga Akuarium Menjual Ikan
Kali ini kami telah pergi ke sebuah kedai menjual peralatan memancing kecil yang terletak di Kapar, Klang. Ianya sebuah perniagaan kecil-kecilan milik Encik Lee Tan Lai atau lebih senang dikenali Mr. Lai. Seorang yang mudah didekati dan tidak lokek untuk mengurangkan harga jualan, itu yang penting! Kedai beliau Admin rasa sememangnya dikenali oleh setiap pemancing di kawasan Kapar ini memandangkan disini tidak banyak kedai pancing.

Terdapat Banyak Pilihan Rod "Surf Casting"
Tujuan P2U Angler ke kedai beliau sebenarnya yang pertama adalah disebabkan urusan kerja dan bernasib baik sempat singgah dan yang kedua adalah ingin mencari joran "Surf Casting" untuk dibeli sebagai persiapan memancing di Sirkit Pancing Putrajaya Siri ke-4 yang dijangka akan tiba. Jika anda yang pernah membaca cerita serta pos kami sebelum ini, kami ada membuat sedikit kajian yang mana majoriti mengatakan yang "Pemancing Yang Memiliki Joran Paling Panjang Lebih Tinggi Potensi Mendapatkan Hasil Tangkapan" ini terbukti kerana mereka mampu untuk membuat balingan pada jarak yang jauh dimana tempat ikan berkumpul. Memang betul umpan merupakan antara resipi rahsia mendapatkan ikan namun aspek teknikal seperti panjang joran dan kuat balingan juga menjadi ukuran.

Mr. Lai Mengesyorkan Joran "Surf Casting"

Alhamdulilah, kedai ini menawarkan joran "Surf Casting" pada harga yang tidak terlalu tinggi. Pada pendapat kami yang baru ingin belajar menggunakan joran panjang ini adalah lebih baik bermula dengan kos yang tidak terlalu mahal. Mungkin pemancing  tinggal di kawasan pantai biasa menggunakan joran sebegini dan popular dikalangan mereka tetapi bagi kami yang tinggal di kawasan bandar jarang dan tidak mahir menggunakannya. Oleh yang demikian ini merupakan salah satu langkah dalam proses pembelajaran terhadap industri ini.

Dari Kiri - Admin, Lebai dan Ringgo
Akhir kata, jemputlah ke Akuarium Alam yang mana terletak berdekatan dengan Kolam Sementa untuk melihat sendiri barangan yang dijual serta mendapatkan harga yang terbaik dari Mr. Lai. Sesekali kita harus juga pergi ke kedai-kedai pancing yang kecil ini mungkin di kedai sebegini terdapat sesuatu keistimewaan yang tiada di kedai-kedai besar. 

21 November 2014

Pusat Memancing Zul, Taman Perling - (29.10.2014)

Kaunter Dan Pelbagai Info Kolam
Maklumat Perlepasan Ikan
Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca setia Pancing2u. Cuaca yang kurang menentu pada musim tengkujuh agak membataskan aktiviti memancing dan laporan serta "Update" terkini agak sukar disediakan. Namun demikian, semangat memancing dari P2U Angler (Johor Bahru) sememangnya Admin kagumi. Kali ini saya ingin berkongsi trip bersama rakan pemancing Najib ke Pusat Memancing Zul atau lebih dikenali sebagai Kolam Zul. Lokasi ini mudah ditemui sekiranya menggunakan jalan utama dari Danga Bay ke Nusajaya berhampiran jejambat Taman Perling. Kolam ini terletak bersebelahan Kolam Brother *rujuk maklumat kolam dalam blog.

Pemandangan Kolam - Sentiasa Dipenuhi Pengunjung
Pemandangan Dihujung Kolam
Stok Ikan Baru Sampai
Kami tiba lebih kurang jam 1:30 petang dan terus mempersiapkan set memancing untuk pertarungan hari ini. Di kaunter, kami membuat pembayaran untuk sesi selama tujuh jam. Penjaga kaunter ini tidak nampak macam ‘Zul’ sangat tapi kemungkinan Zul yang sebenar adalah rakan kongsi kerana kolam ini dikenali sebagai Kolam Happy sebelum ini. Hari ini saya menggunakan kaedah casting Udang hidup manakala Najib menggunakan teknik drifting (pelampung) umpan Udang hidup. Kami mula mengambil kedudukan di tengah kolam dan bergerak perlahan-lahan menukar lokasi membaling umpan sehingga ke hujung kolam.

Barisan Pengulas Setiap Aksi Pertarungan
Aksi Bersama Sang Siakap..
Ikan Merah Pun Ada...
Aksi Jenahak Yang Agak Ganas
Ikan Kerapu Seberat 4kg
"Otai Kolam" Bersama Hasil Beliau
Setelah dua jam memancing, saya telah menerima sambaran ringan ketika casting. Saya membiarkan dahulu dan kelihatan tali pancing bergerak dari kanan ke kiri namun tiada sentapan dirasakan buat masa ini. Setelah terasa ikan mula menarik dengan kuat, saya terus menyentap dan berjaya mendaratkan seekor Jenahak anggaran sekitar 1kg. Hujan mula turun tidak lama kemudian dan kami terpaksa memberhentikan sesi memancing buat sementara waktu. Antara pantang-larang sewaktu memancing ialah jangan sesekali memancing ketika hujan yang beserta dengan kilat. Kami meneruskan sesi memancing setelah hujan berhenti tetapi dengan lebih santai. Ini kerana momentum memancing mulai berkurangan setelah berhenti ketika hujan tadi.

Bersama Hasil Kali Ini - Jenahak!
Najib Bersama Ikan Ehsan
Terdapat pelbagai jenis ikan Gred A yang sedia untuk menduga skill memancing setiap pengunjung di kolam ini. Kelihatan ramai pemancing mendaratkan pelbagai jenis ikan. Kami umpama penonton kepada semua aksi-aksi pertarungan ini. Mungkin lawatan lain kali rezeki kami pula. Sampai di sini dulu laporan saya dan nantikan laporan seterusnya dari Selatan Tanah Air.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...