29 September 2014

Sirkit Pancing Putrajaya 3/2014 - (28.09.2014)

Checklist Barang Untuk  Pertandingan:

Pancing 2 Batang - Siap!
Pancang "Y" - Siap!
Tikar / Kerusi - Siap!
Tangguk - Siap!
Beg Pancing (Mata kail / Perambut / Ladung) - Siap!
Umpan Roti Dan Cengkerik - Siap!
Bekalan Air - Siap!

 Resit Rasmi Pertandingan - Siap!

Cengkerik RM3 Beli Di Kedai Akuarium...
Teknik "Picagari" Umpan Roti...
Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada pembaca Pancing2u sekalian, kali ini P2U Angler ingin mengemaskini aktiviti memancing kami di Sirkit Pancing Putrajaya 3/2014 yang mana ia merupakan siri ke 3 dari 4 siri yang dipertandingkan pada tahun 2014. Sehari sebelum hari pertandingan kami telah membuat persediaan kelengkapan pancing dan umpan, cuma kali ini umpan yang digunakan hanyalah Cengkerik dan Roti perisa cacing tanah sahaja memandangkan Si Lebai gagal mendapatkan stok Buah Sawit untuk di peram.

Sedia Bergerak Seawal Jam 6 Pagi...
Seawal jam 6 pagi Admin keluar dari rumah dan bergerak melalui Lebuhraya MAX untuk mempercepatkan perjalanan dari Sentul ke Putrajaya. Setibanya di lokasi, Hairul sudah berada disana bersama anak beliau, dari jauh kelihatan Lebai menaiki motorsikal bersama batang rod terpacak di belakangnya. Alhamdulilah semuanya selamat sampai dan hadir ke lokasi.

Khemah Pendaftaran Peserta
Kaunter Pendaftaran Peserta
Kaunter Pengesahan Peserta - Boleh Ambil T-Shirt Disini!!!...
Kami pun terus ke kaunter pendaftaran untuk mengesahkan resit pertandingan. Pihak penganjur juga bermurah hati kerana menyediakan "Goodies" berupa T-Shirt kejohanan kepada 1000 peserta yang membuat pendaftaran awal. Sebenarnya P2U Angler menghantar lebih kurang 6 wakil ke pertandingan ini namun lagi 3 orang iaitu Jo, Ringgo dan Wak Lizam tidak dapat hadir kerana masalah yang tidak dapat dielakkan. Tinggallah Admin, Lebai Dan Hairul bertiga sahaja beraksi pada kali ini.

Ayuh Bergerak!!!...

Khemah Dipacak sejak dari Semalam
Selesai mendaftar, kami menyusur sepanjang laluan pejalan kaki di pesisir tasik tersebut dan mendapati terdapat ribuan pemancing tegar yang seawal jam 6 pagi "Booking" tempat dan spot yang baik. Mereka telah mendirikan khemah dan bermalam di sana demi untuk tidak melepaskan peluang memancing. Maka terpaksalah kami bertiga berjalan jauh sedikit ke bahagian belakang untuk mencari tempat melabuhkan umpan.

Kebanyakkan Peserta Adalah "Otai-Otai" - Mohon Tunjuk Ajar Sifu!
Bersusun...
Memang hampa kerana hampir sepanjang pesisir tasik dipenuhi pemancing jika hendak berjalan sejauh mana pun pasti akan dipenuhi pemancing lain oleh yang demikian apa boleh buat nampaknya terpaksalah kami menyelit diantara mereka,  Dengan berbekalkan muka "Selamba" kami meletakkan barang kelengkapan dan bersiap untuk memasang pancing dan perambut. Suasana pagi tersebut memang nyaman kerana udara segar dan nyaman.

Lebai dan Hairul Mempersiapkan Diri...
Alhamdulilah spot yang kami peroleh adalah di bahagian hujung oleh yang demikian memudahkan kami membuat balingan tanpa perlu menggangu pemancing-pemancing lain. Saya menggunakan umpan roti yang di kepalkan menggunakan Picagari (*Rujuk Gambar Diatas) menjadikan ia sebijik-sebijik dan memudahkan apabila disangkut di mata kail. Penggunaan mata kail kecil juga adalah digalakkan kerana ikan spesies air tawar ini kebanyakannya bermulut kecil. Sementara itu Si Hairul dan Si Lebai menggunakan umpan cengkerik yang dicangkukkan pada mata rambai. Satu balingan yang tidak terlalu jauh di lakukan memandangkan joran kami kesemuanya pendek. Alamak, kene cari satu joran "Surf Casting" jawabnya.

Admin Menikmati Pemandangan Yang Indah
Suasa di kawasan pertandingan cukup harmoni dan pemandangan  begitu indah sekali, memang pihak penganjur tidak salah membuat tafsiran kerana pertandingan sebegini sememangnya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan satu aktiviti yang agak baik dihujung minggu. Bagi mereka yang tidak gemar memancing bolehlah melakukan aktiviti kayuhan basikal sepanjang kawasan persisir tasik.

Rasa Perlu Beli 1 Joran "Surf Casting" Untuk Membuat Balingan Lebih Jauh
Dalam masa pertandingan sesekali terlihat aksi "Otai" bertarung dengan makhluk disitu serta berjaya mendaratkan ikan antaranya Baung, Toman, Tengas dan macam-macam lagi. Apa yang dapat Admin perhatikan adalah joran yang digunakan merupakan joran panjang dimana mereka berupaya membuat balingan jauh ke kawasan tengah tasik yang merupakan tempat ikan bermain. In shaa allah, kami akan cuba mendapatkan joran panjang untuk siri ke 4 nanti, tunggu...

Laluan Ikan - Bahagian Hujung Tasik...
Dari pagi hingga ke tengah hari masih "Kumpau" tiada sebarang tangkapan berjaya di naikkan, apatah lagi sebarang getuan juga masih belum dirasa. Kejadian tali bersimpul antara satu sama lain memang banyak berlaku, Admin sendiri berapa kali terpaksa membetulkan kedudukan pancing kerana sering menjadi mangsa belitan pemancing lain. Terpaksa bertolak ansur dan bertimbang rasa, jangan cepat emosi dan kita seharusnya mengawal keadaan agar tiada perkara tidak diingini berlaku.

Jeng...Jeng...Jeng...
Akhirnya pertandingan pun berakhir tepat jam 12:30 petang, nampaknya kami gagal menbawa naik sebarang tangkapan untuk di timbang di meja juri. Apa boleh buat, semangat harus diteruskan dan perlu kembali memperbaiki teknik serta kelengkapan. Setelah siap berkemas kami semua sepakat untuk ke khemat urus setia untuk melihat andai nombor pendaftaran kami berjaya mendapatkan cabutan bertuah.

Temensis @ Temoleh - 7.6 KG
Kami sempat singgah di khemah juri untuk melihat hasil tangkapan pemancing lain, alangkah terkejutnya Admin apabila melihat seekor Temoleh bersaiz 7.6kg berjaya didaratkan oleh seorang pemancing veteran. Masih adakah spesies bersaiz induk ini terdapat di perairan Putrajaya. Jawapannya adalah "Ya..." kerana buktinya seekor Temoleh telah berjaya dinaikkan. Jelas sekali ekosistem di Putrajaya masih terkawal walaupun pembangunan pesat berlaku disini. Kita sebagai generasi baru  harus mengekalkannya agar anak cucu kita akan dapat merasa apa yang kita kecapi sekarang.

Ikan Kejohanan Berharga RM7000.00
Antara Spesies Yang Berjaya Dibawa Naik - Toman, Haruan, Baung, Tenggalan
Akhir kata dari kami P2U Angler, terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca blog Pancing2u ini, sokongan anda adalah sangat diperlukan untuk memantapkan lagi industri serta dunia hanyir ini. Sekiranya terdapat bahan cerita atau komen jangan lupa untuk kirimkan kepada Admin untuk dipamerkan di blog Pancing2u.

-Assalamualaikum

24 September 2014

Peraduan Air Masin Majalah UMPAN (Volume 19) - (23.09.2014)

"Tuah Ayam Nampak Dikaki, Tuah Manusia Siapa Yang Tahu..."

Alhamdulilah, P2U Angler sekali lagi memenangi peraduan bulanan anjuran majalah Umpan iaitu "Peraduan Air Masin". Untuk makluman para pembaca diluar sana, ini merupakan kali ke-3 Admin berjaya menambat hati juri-juri pertandingan sekaligus berjaya membawa pulang set Kekili Tomman Silver Lion 6000 dan Tomman Performance Line 40lb (245m).

Gambar Koboi Kolam Berjaya Menambat Hati Juri
Majalah UMPAN (Volume 19)
Kini bertambah lagi koleksi pancing Admin, apa yang menggembirakan hati ini adalah mendapat kekili saiz 6000 yang mana ianya boleh digunakan di laut dan aksi yang lebih ekstrim memandangkan saiznya yang lebih besar. Bolehlah mencubanya nantiu ketika turun ke laut.

Kekili Saiz 6000 Boleh Lakukan Pancingan Ekstrim
Terima kasih diucapkan kepada sidang redaksi majalah UMPAN kerana menganjurkan peraduan sedemikian dan diharapkan ianya dapat diteruskan dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari "Angler-Angler" diluar sana. Tidak lupa juga kepada TCE Tackles Sdn. Bhd. kerana sentiasa menyokong dan menjadi penaja utama pertandingan sebegini.

TCE Tackles Sdn. Bhd. Cawangan Setapak
Kita sememangnya sedia maklum yang syarikat ini merupakan antara gergasi pembekal peralatan pancing tersohor di Malaysia, oleh yang demikian kerjasama antara keduanya pihak adalah perlu demi menghangatkan lagi industri ini.

Gambaran Dalam Kedai...
Admin mendapat SMS dari pihak penganjur untuk pergi ke TCE Tackles Sdn. Bhd. cawangan Setapak berdekatan dengan rumah dan mengambil hadiah tersebut disana. Cawangan di Setapak ini sebenarnya telah lama dibuat hampir 14 tahun usianya terdapat juga banyak produk-produk pancing boleh didapatkan. Admin baru mengetahui kewujudan cawangan tersebut. Senanglah nanti sekiranya ingin membeli belah barangan pancing. Kepada pembaca diluar sana, bolehlah datang sendiri ke TCE Tackles Sdn. Bhd. cawangan Setapak.

Alamat:
43, Jalan Genting Klang,
Setapak,
53300 Kuala Lumpur.

Buka:
9:30am - 7:00pm

Telefon:
603-4022 5973

19 September 2014

Sirkit Pancing Putrajaya 3/2014

Salam sejahtera diucapkan kepada semua pembaca Pancing2u yang dihormati, kali ini di ruangan buletin P2U Angler Admin ingin mempromosikan iklan berkenaan Sirkit Pancing Putrajaya 3/2014 yang sering kali diadakan setiap tahun di Tasik Putrajaya bersemperna "Sambutan Hari Kemerdekaan Dan Hari Malaysia". Hadiah-hadiah yang di tawarkan juga agak menarik berbanding tahun lalu disamping itu terdapat juga cabutan bertuah untuk peserta. Untuk sebarang maklumat pertandingan boleh menghubungi nombor telefon yang tertera didalam iklan tersebut atau lawati laman sesawang tertera. 

Hasil pemantauan dan pengalaman kami P2U Angler sewaktu mengikuti Seri ke-2 yang lalu (Rujuk Pos Lalu), terdapat ramai peserta datang dari pelbagai tempat dan sambutannya juga agak menarik. Pihak penganjur pula harus mempelbagaikan jualan makanan dan minuman serta membuka "Booth" dan gerai jualan lebih banyak memandangkan bilangan peserta yang hadir adalah tinggi. Selain dari itu kemudahan tandas bergerak juga perlu di perbanyakkan. Akhir kata, kepada pemancing yang menyertai pertandingan tersebut jangan lupa untuk bertemu kami di sana, bolehlah kita bertukar-tukar pandangan serta tips. Selamat memancing.

POSTER PERTANDINGAN
LOKASI PERTANDINGAN
-Copyright @ Pancing2uTM-

P/S: Kalau terserempat dengan P2U Angler jangan lupa untuk bertegur sapa...

15 September 2014

Kolam Pancing Kita, Kuala Lukut - (06.09.2014)

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca Pancing2u.  Kali ni saya ingin berkongsi trip memancing di satu-satunya kolam air masin semulajadi di Port Dickson iaitu Kolam Pancing Kita. Biasanya jika saya ke rumah adik yang terletak di Semenyih, saya akan melawat kolam-kolam pancing sekitar Semenyih dan Pajam. Namun disebabkan kolam-kolam ini tidak menggunakan air masin semulajadi, jadi saya pun menggunakan khidmat “Google Search Engine” untuk mencari kolam lain yang berdekatan.

Selamat Datang Ke Kolam Pancing Kita
Hasil carian membawa saya ke Kuala Lukut menggunakan Lebuhraya Seremban-Port Dickson hala ke arah Pekan Lukut. Di simpang empat bersebelahan pasaraya Giant Lukut, belok kanan dan ikut papan tanda ke arah kolam di hujung jalan. Saya sampai di kolam ini sekitar jam 8.15 pagi dan kolam juga masih belum dibuka. Setelah menunggu seketika, saya pengambil keputusan untuk menelefon pihak kolam. Saya kemudian dimaklumkan pekerja kolam akan tiba lambat sedikit disebabkan urusan yang tidak dapat dielakkan.

Pemandangan Kolam
Sementara menunggu, saya berbual bersama-sama rakan pemancing lain yang baru tiba sambil masing-masing mula menyiapkan set untuk buruan pagi ini. Jelas dari perbualan kami, mereka merupakan pengunjung tetap kolam dan selalu datang ke sini. Menurut mereka, ikan lebih aktif di air masin semulajadi. Semasa saya sedang menyiapkan perambut untuk 'Casting', mereka memberi tips agar 'Casting' di buat disekitar bucu kolam terutamanya berhampiran bilik air. 

Kadar Bayaran Kolam

1 Jam = RM14.00 (Minimum 3 Jam)
3 Jam = RM42.00 + RM3.00 = RM45.00
6 Jam = RM67 + RM3.00 = RM70.00

Waktu Operasi

Ahad - Jumaat = 8:00am - 2:00am
Sabtu Dan Cuti Umum = 24 Jam
*Rabu = Tutup

Hubungi

Pak Yob - 019-245 0057
Harry - 012-287 0184

Tidak lama kemudian, tauke kolam dikenali sebagai Pak Yob tiba untuk membuka kolam. Tanpa membuang masa, semua pemancing terus mencari spot yang dirasakan terbaik untuk menghidangkan sarapan pagi kepada sang penghuni kolam. Kelihatan rakan pemancing yang mengilat berjaya menaikkan dua ekor Aruan Tasik. Setelah saya mengilat satu pusingan kolam namun masih belum beroleh sebarang sambaran, lalu saya menukar kepada kaedah 'Bottom' dan duduk berhampiran kaunter.

Pak Yob Menunjukkan "Skill" Balingan Beliau...
Pak Yob datang di sebelah saya dan bersiap untuk menduga penghuni kolam beliau sendiri menggunakan kaedah pelampung dengan umpan Udang kopek. Setelah balingan dibuat, kami mula berbual mengenai dunia memancing. Menurut Pak Yob, terdapat lebih 300 ekor ikan dari 11 spesis di kolam ini. Untuk mereka yang menggunakan teknik pelampung (Drifting) dan Bottom, tips yang diberikan ialah balingan perlu dibuat berhampiran sangkar di tengah kolam. Setelah beberapa kali membuat balingan, Pak Yob mendapat strike dan berjaya mendaratkan seekor Senangin dengan berat sekitar 1.5kg.

Senangin Seberat 1.5KG...
Kami meneruskan perbualan dan kali ini disertai oleh pekerja kepercayaan Pak Yob iaitu Azmi. Disebabkan keramahan Pak Yob dan Azmi yang tidak lokek berkongsi pengalaman dan pelbagai tips memancing, kami rancak berbual sehingga saya tidak lagi fokus kepada pemancingan. Sekitar jam 12 tengahari, Pak Yob meminta diri untuk menghadiri majlis kenduri. Saya berpindah ke pondok berhampiran pintu masuk kolam dan menukar teknik pelampung (Drifting) dengan mrnggunakan umpan Udang hidup. Balingan yang dibuat di tepi sangkar disambar oleh penghuni kolam tidak lama kemudian. Agak malang ketika pertarungan, ikan yang tidak diketahui spesisnya itu berjaya meloloskan diri. Ah Yong yang berada disebelah saya dan juga pemancing tegar kolam ini menerima sambaran tidak lama kemudian.

Azmi Menjalankan Tugas Melepaskan Ikan...
Setelah melakukan beberapa balingan, saya pun mengambil keputusan untuk mengakhiri sesi lawatan kerana perlu pulang ke Johor kerana keesokkan harinya bekerja. Sepanjang pemerhatian saya berada di kolam ini, apa yang dapat dipelajari adalah kaedah casting, bottom dan pelampung (Drifting) merupakan teknik yang paling mujarab bagi mendapatkan ikan dan paling mencuri perhatian saya ialah gelagat Ah Yong yang sentiasa mendaratkan ikan.

Ah Yong Dan Hasilnya - Lumayan Betul!!!

Trip pengenalan kali ini membuatkan saya nekad untuk kembali lagi ke kolam ini dan akan lebih fokus untuk memancing. Terima kasih diucapkan kepada para pembaca Pancing2u kerana sudi meluangkan masa membaca cerita diatas. Akhir sekali jangan lupa untuk menantikan laporan seterusnya dari kami P2U Angler.

11 September 2014

Kolam Brother Taman Perling, Johor Bahru – (08.09.2014)

Assalammualaikum dan salam perkenalan kepada semua pembaca Pancing2u. Saya merupakan ahli baru P2U Angler dan akan membuat liputan aktiviti memancing di Selatan Tanah Air terutamanya di kawasan Johor Bahru. Saya dimaklumkan bahawa salah satu kolam memancing di Johor Bahru iaitu Kolam Brother mengadakan pertandingan memancing. Selepas pulang dari tempat kerja, saya terus memecut ke kolam tersebut untuk melihat sendiri kemeriahan pertandingan kali ini dan agak ramai pemancing yang menyertainya.

Tujuan saya datang ke pertandingan ini biasanya ingin mengetahui berapa ekor ikan saiz besar yang dilepaskan dan berapa ekor ikan yang berjaya didaratkan. Hasil temubual dengan beberapa pengunjung setia di kolam ini, lebih kurang 160 ekor ikan dilepaskan manakala yang berjaya didaratkan sekitar 30% sahaja sepanjang 6 jam pertandingan. Dengan perkiraan kebarangkalian untuk mendaratkan ikan pertandingan yang tinggi, satu trip untuk bertarung dengan ikan-ikan ini dirancang.

Pemandangan Kolam Yang Luas
Keesokkan harinya, saya sampai di kolam ini sekitar jam 5 petang dan kelihatan agak kurang pemancing diwaktu itu. Saya sememangnya merupakan pengunjung setia kolam ini, Untuk makluman para pembaca Pancing2u terdapat pelbagai spesis di sini seperti Jenahak, Kaci, Kerapu, Merah, Bawal, Siakap, GT, Senangin dan lain-lain. Terdapat dua jenis kolam di sini, Kolam Utama masuk mengikut jam dan Kolam Pro bagi mereka yang menggemarkan konsep "Catch And Release".  Kolam Brother adalah salah satu dari tiga kolam terkenal di kawasan Taman Perling, Johor Bahru yang mana terletak berhampiran dengan Danga Bay. Dua lagi kolam berdekatan ialah Damai Fishing Village dan Kolam Zul. Selepas solat dan menyiapkan perambut, saya terus membuat bayaran untuk pakej 5 jam. 

Info Kolam dan Senarai "Jackpot Mingguan"
Pakej baru yang ditawarkan:

Deposit - RM8 Sahaja
2 Jam = RM32
3 Jam = RM40
4 jam = RM48
5 jam = RM52
10 jam = RM88

Midnight:

12.30am-6.30am = RM40
2.00am-6.30am = RM30
2.30am-6.30am = RM25

Saya menggunakan teknik "Bottom" dan menyajikan umpan hirisan ikan selayang kepada penghuni kolam tersebut. Setelah beberapa kali balingan dibuat, umpan saya disambar oleh Si Bawal yang kelaparan. Tidak lama kemudian, pemancing berhampiran saya pula mendapat strike dan berjaya menaikkan seekor Kerapu Harimau anggaran 3 kilo. Mengikut maklumat yang diberikan oleh seorang pemancing yang berada di kolam sejak pagi, banyak ikan yang berjaya didaratkan hari ini termasuklah sembilan ekor kerapu.

Aksi Rakan Pancing Bertarung Dengan Kerapu!!!...
Kemudian saya bertukar kepada teknik penggunaan pelampung pula dan menggunakan Udang hidup untuk menjerat penghuni seterusnya. Balingan dibuat di beberapa tempat yang dirasakan strategik sekitar sangkar dan di tengah kolam namun masih belum berhasil. Hari telah pun gelap dan kelihatan rakan pejabat saya, Zul a.k.a Ustaz tiba di kolam. Beliau boleh dikatakan "Otai" kolam ini dan memiliki kad ahli eksklusif kolam yang hanya diberikan kepada 100 pemancing setahun. 

Sambil bercerita mengenai "Strike" ketika kunjungan lepas, dengan mood yang baik malam ini Ustaz membantu saya menyambung tali utama dan perambut. Ustaz kemudian membantu menyiapkan set untuk mencari Kerapu dengan menggunakan umpan ikat Talapia hidup. Sudah tentu antara cabaran memancing pada waktu malam ialah gigitan nyamuk dan unggas. Selain dari membakar sarang telur (*kertas lapik telur biasa kelihatan di kedai), para pemancing juga boleh menggunakan produk penghalau nyamuk seperti di bawah yang disapukan di bahagian terbuka badan.

Ustaz Tekun Membantu Saya Menyambung Perambut
Berkesan Menghalau "Sang Nyamuk"
Masa memancing yang di peruntukkan semakin tamat dan alhamdulilah saya berjaya mendaratkan seekor Bawal saiz "Juvenil". Kemudian saya mengemas barang kelengkapan dan bersiap untuk pulang memandangkan pada keesokkan harinya berkerja namun Ustaz masih meneruskan sesi pancingan beliau dalam usaha memburu spesies plagik.

Hasil Kali Ini Seekor Bawal Saiz "Juvenil"
Sepanjang kunjungan saya ke sini, Kolam Brother sentiasa menjanjikan pelbagai debaran; pertarungan yang hebat, gangguan anak-anak ikan yang menguji kesabaran, tali putus ketika bertarung peratusan "Kumpau" yang tinggi. Itulah lumrah dan cabaran yang dialami oleh nelayan darat di kolam seluruh negara. Akhir kata saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca cerita di blog Pancing2u dan nantikan laporan seterusnya dari P2U Angler.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...