28 August 2014

Kolam Seksyen 33, Shah Alam - (27.08.2014)

Pintu Masuk Kolam
Assalamualaikum diucapkan kepada para pembaca Pancing2u semua, rasanya masih belum terlambat untuk P2U Angler mengucapkan Salam Aidilfitri (*Sudah habis raya pun...). Rasanya agak lama Admin tidak mengemaskini cerita mengenai sesi pancingan kami. Almaklumlah semua ahli kumpulan kami sibuk dengan urusan masing-masing ada yang sibuk berniaga, tumpukan sepenuh masa pada pelajaran, sibuk menguruskan anak-anak dan pelbagai lagi program sehinggakan tiada masa untuk turun memancing.

Kaunter Kolam - Syarat & Peraturan Kolam
Kehidupan berjalan seperti biasa selepas menyambut hari raya kita akan kembali berkerja dan meneruskan rutin harian kita. Ahli P2U Angler yang lain lagi masih dalam mood raya dan kurang aktif untuk ber'komplot' akan tetapi blog Pancing2u ini perlu di kemaskini agar "Angler" diluar sana tidak ketinggalan mengikuti informasi terbaru berkenaan sukan memancing.

Senarai Pemenang "JACKPOT" Kolam
Admin secara tidak sengaja telah mengajak Ringgo untuk ber'komplot' malam ini. Badan pun penat bekerja dan rasanya tidak wajar untuk turun ke lokasi yang jauh, oleh itu kami sepakat untuk cuba memancing di Kolam Seksyen 33, Shah Alam yang mana merupakan antara kolam pancing air masin yang berdekatan. Untuk makluman, ini merupakan kali pertama kami turun ke kolam ini segala perihal bayaran dan teknik yang harus digunakan sememangnya tidak diketahui langsung. Hanya sumber informasi dari carian Google yang membantu kami. Berikut di sertakan alamat serta informasi kolam tersebut.

Alamat Kolam:

Kolam Pancing Bukit Kemuning
Lot 22207 & 22208,
Jalan Bukit Kemuning,
Seksyen 33, Bukit Kemuning, Shah Alam

No. Tel: 017-206 0061

Kolam ini sememangnya strategik kerana terletak di kawasan perkilangan yang mana tiada kesesakan lalu lintas dan bunyi bising, lokasinya juga terletak di kawasan yang padat dengan penduduk. Pemancing boleh datang ke kolam ini melalui lebuhraya KESAS dan turun ke simpang Sri Muda. Kolam ini juga menyediakan kemudahan seperti restoren masakan melayu, tandas, surau dan parkir kereta. Antara spesies pelagik yang terdapat di kolam tersebut adalah Siakap dan Siakap Merah @ Kaci (*Panggilan MJ Di Kolam). 

Pakej Yang Ditawarkan:

Deposit: RM70.00 bagi sebatang joran
1 Jam - 3 Jam (Pertama) = RM39.00
3 Jam 30 Minit = RM46.00
4 Jam = RM52.00
4 Jam 30 Minit = RM59.00
5 Jam = RM65.00

Pakej Tengah Malam:

12 a.m - 7 a.m = RM50.00

Jadi macam mana, Berminat untuk mencuba?. Jika anda merupakan pemancing yang tinggal sekitar Lembah Klang adalah molek untuk cuba memancing disini dengar cerita "Jackpot" kolam ini boleh tahan spesies pelagiknya sehingga mencecah 10kg!!!... 

"Sempat Ke Nak Pancing Dah Pukul 10.45malam...Boleh Dapat Ikan Ker?" - Ujar Ringgo
Admin dan Ringgo tiba di lokasi pada pukul 10.45 malam, rasanya sudah terlewat untuk memancing kerana kolam ini ditutup setiap Isnin hingga Khamis pada jam 12 Malam, dan Jumaat Hingga Ahad dibuka 24 jam. Pihak kolam hanya membenarkan kami untuk memancing selama 1 jam sahaja, apa boleh buat nak buat sesi ujian padang pun tidak sempat dilakukan apatah lagi mengharapkan tangkapan yang menarik. Admin dan Ringgo hanya memancing dan bersantai bersama sahajalah kali ini dengan azam untuk kembali lagi "Repeat Session" di waktu yang lebih baik. In Shaa Allah...

Santai...
Pemandangan Kolam
Pada pendapat kami, air kolam sedikit kotor jika hendak dibandingkan dengan kolam-kolam yang lokasinya terletak di kawasan tepi muara dan laut kerana sumber airnya bukan ditarik dari kawasan semulajadi. Oleh yang demikian, berkemungkinan ikan-ikannya sedikit berbau dan nampak kurang ceria. Walau apapun jangan terus memandang 'enteng' akan potensi sebenarnya anda harus turun dan merasai sendiri pengalaman memancing di sana kemudian baru menilai.

Rod: Abu Garcia Tournament SX
OKUMA Trio Baitfeeder 55 - Dapatkan di Pancing2u Tackle Shop!!!
Akhir kata, sila nantikan cerita aktiviti pancingan kami di sesi akan datang. Terima kasih diucapkan kepada pembaca Pancing2u dan jangan lupa untuk menghantar komen serta pandangan anda semua ke emel Admin. Ayuh singgah sebentar ke Pancing2u Tackle Shop untuk mengetahui produk-produk memancing terbaru. 

-Assalamualaikum

18 August 2014

Tips Pancing2u: Kenali Batu Ladung Dan Kegunaannya

Admin ada menerima komen dari salah seorang pembaca Pancing2u memohon agar dikongsikan tips penggunaan Batu Ladung. Oleh yang demikian, artikel dibawah rasanya boleh dimanfaatkan serba sedikit untuk kemudahan ketika sesi pancingan anda semua kelak. Kali ini P2U Angler akan berkongsikan jenis dan cara penggunaan batu ladung yang sesuai bagi setiap padang pancing

Batu Ladung Atau pemberat merupakan antara aksesori wajib yang diperlukan untuk memancing. Kebiasaannya, batu ladung berperanan mengekalkan posisi perambut dan umpan anda. Batu ladung lazimnya diperbuat dari timah kerana ciri utama timah ialah ketumpatan tinggi dan menjadikannya berat, suhu lebur rendah dan menjadikan kos pembuatan murah, tahan karat dan tahan hakisan air laut.


Proses Pembikinan "Batu Ladung"
Pembikinan batu ladung ini telah lama di laksanakan sejak dari zaman dahulu lagi, dan di zaman moden ini terdapat pembuat batu ladung yang masih menggunakan cara tradisional dalam proses peleburan timah, acuan dan penyejukan. Terdapat pelbagai jenis batu ladung yang berada dipasaran masa kini. Walau bagaimana pun, masih ramai lagi yang kurang arif mengenai kesesuaian penggunaan batu ladung ini sama ada bentuk, saiz atau pun beratnya. Setiap jenis dan bentuk batu ladung mempunyai ciri-ciri tersendiri dan dapat digunakan mengikut kesesuaian padang pancing anda.


Batu Ladung Bulat

Batu ladung berbentuk bulat sangat sesuai digunakan untuk memancing di kawasan yang pantai atau laut yang landai, berpasir ataupun berlumpur. Tetapiia tidak sesuai digunakan di kawasan berbatu karang kerana bentuknya yang bulat sememangnya memudahkan batu jenis ini untuk tersangkut.

Cara penggunaan batu ladung bergantung pada keadaan air di kawasan berarus deras, gunakanlah saiz yang lebih berat agar tali anda tidak hanyut terlalu jauh dari kawasan permainan ikan.


Batu Ladung Panjang

Batu ladung berbentuk panjang juga antara jenis pemberat yang biasa digunakan oleh pemancing tidak kiralah di pantai, Kolam mahupun tasik. Batu jenis ini sangat efektif digunakan untuk pancingan tepi pantai ataupun kuala.

Batu ladung jenis ini juga boleh diguna pakai untuk pancingan di kawasan berbatu karang. Bentuknya yang menajam di kedua-dua hujung berpotensi untuk mengelakkan perambut anda dari tersangkut di celah-celah batu karang. Sama seperti batu ladung bulat, saiz batu ladung panjang juga digunakan mengikut kawasan memancing anda.


Batu Ladung Hidup

Batu ladung hidup merupakan sejienis pemberat yang membenarkan tangsi bergerak bebas melaluinya tanpa diikat. Kebiasaannya batu jenis ini sesuai digunakan di kawasan muara dan ia juga sering digunakan untuk memancing di tasik, sungai atau kolam-kolam komersial.

Penggunaan batu jenis ini amat sesuai digunakan untuk memancing ikan Siakap di muara-muara sungai kerana bagi sesetengah ikan (seperti Siakap) ia akan memuntahkan kembali umpan apabila terasa 'berat' dan umpan tersangkut-sangkut pergerakannya. Jenis batu ladung hidup yang popular ketika ini ialah batu ladung biji kana dan batu ladung bulat.


Batu Ladung Sauh

Batu sauh amat popular digunakan oleh kaki pancing dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Batu jenis ini amat bersesuaian digunakan di kawasan yang berarus deras terutamanya waktu air jalan pasang ataupun air jalan surut. Kegunaan dawai di sekeliling batu sauh ini dapat mencengkam dasar laut sekali gus mengelakkan dari perambut kita dihanyutkan arus deras.


Batu Ladung Leper

Bentuk batu ladung leper ini direka untuk memastikan umpan tidak hanyut apabila dilontar ke kawasan tepi pantai. Namun begitu, batu jenis ini lebih sesuai digunakan untuk joran aksi ringan sahaja. Ini kerana, kebiasaannya, ikan-ikan sasaran untuk batu jenis ini hanyalah untuk ikan-ikan kecil seperti Gelama, Bolos dan sewaktu dengannya.

12 August 2014

Tips Pancing2u: PEACOCK BASS

Peacock Bass

Peacockbass (Cichla) adalah sejenis Cichlid berukuran besar yang berasal dari Amerika Selatan. Semua jenis Cichla adalah karnivor. Ikan Peacock Bass banyak berhabitat di sungai atau danau. Mereka merupakan ikan yang hidup berkelompok dalam jumlah yang cukup banyak. Di Malaysia ia terkenal dengan beberapa nama contohnya; Ikan Raja dan PB.

Seperti pada umumnya Cichlid, Cichla juga berkembang biak dengan cara bertelur. Pasangan Cichla yang telah kawin biasanya akan membuat sarang untuk menempatkan telur telurnya. Biasanya mereka memilih bersarang ditempat yang berpasir atau berlumpur, biasanya kumpulan ini akan bersembunyi di bahagian dasaran dimana ianya lebih selesa dan tenang dari gangguan pemangsa. Peacock Bass merupakan spesies yang menjaga kawanan serta anak-anaknya, induk dewasa akan berkeliaran sekitar kawanan untuk menjaga dan melindungi kawanan.

Peacock Bass jantan ataupun betina memiliki warna yang hampir sama cantik, hanya saja yang jantan biasanya akan memiliki bonjolan didahinya.

Kini hampir semua jenis Peacock Bass telah mula diternak serta di jadikan ikan hiasan yang mana ia mempunyi nilai komersil yang tinggi. Pemeliharaan Peacock Bass cukup mudah, hanya saja ketika masih berukuran kecil ikan sukar dijaga ekoran mudah mendapat penyakit. Jadi cara rawatannya cukup sekadar dipasang alat pemanas dan air diberi garam secukupnya.

Ikan Peacock Bass juga boleh di bela di dalam kolam atau tangki akuarium di rumah, penjagaan yang rapi diperlukan agar ikan belaan tersebut sentiasa kekal sihat. Bagi sesetengah kaki 'Casting' di Malaysia, Ikan Peacock Bass merupakan salah satu ikan sasaran memandangkan daya juang serta teknik lariannya yang agak ganas. 

Berikut merupakan beberapa foto jenis-jenis Peacock Bass

07 August 2014

Naikkan "Mood" Di Kepong Tackles - (05.08.2014)

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera diucapkan kepada para pembaca Pancing2u yang dihormati, sudah hampir 1 bulan Admin tidak mengemaskini blog untuk tatapan semua almaklumlah sebulan kita berpuasa maka aktiviti memancing dikurangkan sedikit, kemudian di sambung pula dengan menyambut hari lebaran maka berhabuklah set pancing kata orang, tangan pun "Parkinson" sebab lama bercuti rehat dari dunia memancing.

KEPONG TACKLES SDN. BHD.
Baiklah untuk memanaskan badan dan menaikkan semangat memancing kembali ekoran lama berehat makanya pada hari Selasa yang lalu, perkara pertama yang dilakukan adalah singgah sebentar ke Kepong Tackles Sdn. Bhd. untuk membuat sedikit persediaan memancing serta menaikkan kembali mood yang suram. Dapatlah kiranya cuci mata berkenaan produk-produk baru dipasaran sekarang, disamping ada barang-barang yang dipesan oleh rakan P2U Angler sebelum trip akan datang.

Kedai Yang Lengkap Dengan Pelbagai Pilihan Barangan Pancing
Mungkin ramai pembaca diluar sana yang tahu dan telah pergi sendiri ke Kepong Tackle, sememangnya kedai ini merupakan kedai yang dikenali ramai serta menjadi "Port" bagi sesetengah kaki pancing tegar yang akan singgah sebelum mengikuti trip-trip memancing. Ini disebabkan oleh terdapat banyak pilihan barang kelengkapan memancing dan mereka menawarkan harga yang murah. Kedai ini juga merupakan salah satu kedai pancing tertua yang mana telah ditubuhkan seawal tahun 1985, Wow Lama juga!.

Ratusan Joran Dari Harga Serendah RM 20 > Rm 1k++
Lokasi kedai ini sememangnya dekat dengan rumah Admin, oleh itu ini merupakan kunjungan kali ke 3 disini, tapi pada kali ini Admin ingin berkongsi sedikit gambaran dan info mengenai Kepong Tackle Sdn. Bhd. Antara info yang menarik untuk dikongsikan, bagi mereka yang meminati jenama Megabass dan Shimano, kedai ini merupakan salah satu 'hub' terbesarnya dimana satu bahagian di dalam kedai dikhaskan untuk jenama tersebut.

Bagi Peminat Haruan Dan Toman...
Boleh koyak poket kalau datang sini, duit raya banyak ini ada juga yang terbelanja nanti, masa cuti hari raya hari tempoh hari sibuk saudara Admin ajak "Meruan" di sekitar parit-parit di kawasan kampung namun apa yang kurang adalah "Jump Frog" oleh itu Admin terpaksa membeli barang seketul dua untuk di uji. Lepas ini kalau pulang ke kampung bolehlah cuba-cuba "Casting" disana.

Sempat Sambar 2 Biji Katak!!!...
Baiklah setakat ini sahaja cerita yang dapat dikongsikan untuk semua, In sha allah kami P2U Angler akan turun untuk memancing dalam waktu terdekat ini dan jangan lupa untuk ikuti sesi pancingan kami. Akhir kata, terima kasih diucapkan kepada para pembaca dan dibawah disertakan panduan untuk ke Kepong Tackles Sdn. Bhd.

INFO



Kepong Tackle Sdn. Bhd.

No 52 & 54 Jalan Besar Kepong,
52100, Kuala Lumpur

Tel: 603-6274 0460
Fax: 603-6277 2343
Email: info@kepongtackle.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...