29 December 2013

Tips Pancing2u: Jenis-Jenis Gewang Dan Aplikasinya

Assalamualaikum wbt diucapkan kepada para pembaca Pancing2u. Pada kali ini saya akan memaparkan artikel berkenaan jenis-jenis gewang yang perlu anda ketahui. Ramai diantara kita yang masih tidak arif dalam penggunaan gewang serta masih tidak mengenali jenis gewang yang bersesuaian ketika ingin menjerat spesies yang disasarkan.

Kita sedia maklum terdapat ribuan gewang-gewang di pasaran semasa yang dijual. Ia juga datang dalam pelbagai saiz serta harga bergantung kepada penggunaannya oleh itu bagi mereka diluar sana yang masih baru dalam dunia memancing ini, tips dibawah serba sedikit dapat membantu anda dan memberikan gambaran akan jenis-jenis gewang.


Topwater (Permukaan)
Gewang jenis ini berfungsi di atas permukaan air seperti Popper dan Gewang Jenis Pensil.

Floating (Terapung)
Gewang jenis ini akan berada didalam air semasa dikarau dan ia akan terapung ke permukaan air apabila karauan berhenti.

Suspend
Gewang jenis ini pula akan berada di dalam air semasa dikarau, tetapi apabila ianya berhenti dikarau ia tetap akan berada di posisi tetap dan tidak akan terapung dan tidak akan tenggelam.

Sinking (Tenggelam)
Gewang ini juga akan berada di dalam air apabila dikarau, tetapi akan tenggelam ke dasar jika ianya berhenti dikarau.

Deep Diving Minnow (Selaman Dalam)
Gewang jenis ini pula akan menyelam lebih dalam mengikut spesifikasi yang dibuat oleh pengeluar. Jenis ini mudah dikenali dengan melihat lidah (Bib) yang panjang. Semakin panjang lidah gewang tersebut semakin dalam gewang ini mampu menyelam.

Vibration (Bergetar)
Gewang ini selalunya tidak mempunya lidah (Bib). Apabila dikarau gewang ini akan bergetar. Kebanyakkan model jenis ini adalah jenis tenggelam (Singking) apabila ia berhenti dikarau.

Jig / Metal Jig / Micro Jig
Aplikasi gewang ini pula berlainan sedikit dengan yang lain, dimana jenis ini akan dibiarkan tenggelam ke dasar dan kemudian dikarau ke atas sambil dihenjut-henjut agar kelihatan anak ikan yang sedang tercedera. Jenis ini sesuai untuk memburu ikan di perairan yang dalam dan juga boleh digunakan di tempat yang cetek.

23 December 2013

"Casting" Di Kolam GP - (21.12.2013)

(Pemandangan Kolam Di Waktu Pagi)
Pada hari Sabtu lepas, ahli P2U Angler telah menerjah ke Kolam Green Paradise (GP) yang terletak di Rawang, Selangor Darul Ehsan. Bagi kaki-kaki pancing mungkin telah biasa mengunjunginya akan tetapi bagi mereka yang belum pernah ke sana anda bolehlah pergi menduga makhluk dasaran disana.

(Awal Pagi Dah Tercegat Di Kolam - 1st 'Debut' @ Lebai)
Cara untuk kesana sekiranya anda dari pusat bandaraya Kuala Lumpur adalah dengan melalui lebuhraya Jalan Kuching terus sahaja sehingga anda melepasi bulatan Selayang, kemudian akan nampak Pasar Selayang di sebelah kiri dan kanan anda dan teruskan memandu sehingga naik bukit dan kemudian terus turun bukit dan anda akan nampak Taman Rimba Templer disebelah kanan jalan anda. 100 meter sebelah kiri anda simpang perumahan dan kolam tersebut berada disekitar perumahan itu, kalau tanya pakcik 'Guard' mereka pasti tahu.

(Casting Yeop!!!...)
Berbalik kepada cerita tadi, kami tiba seawal jam 9am di kolam tersebut dan kelihatan ramai pemancing yang sudah berada disana, rata-rata sedang sibuk mengilat. Setiap 15 - 20 minit pasti akan ada sambaran yang diterima oleh pamancing disitu agaknya waktu ikan sedang makan. Trip kali ini disertai oleh Saya (Admin), Ringgo, Jojo dan Lebai yang merupakan penampilan pertama beliau memancing bersama kami. Lebai merupakan otai memancing memandangkan beliau adalah yang paling 'Senior' anda kami.

(Lebai Dan Ringgo Menunggu Ikan)
Masing-masing berpecah untuk mencari port yang baik dan menarik sesuai untuk persembahan mengilat. Balingan demi balingan dibuat namun masih tiada sebarang sambaran diterima oleh saya mahupun rakan yang lain. Namun dalam pada masa itu terdapat beberapa pemancing lain yang kerap kali menerima sambaran dari Siakap kolam itu. Pada pandangan saya mungkin masih belum ada rezeki, biarlah.

(Rod Seahawk 5'ft Dan Kekili Daiwa Crest 1500)
Saya cuba untuk berpindah ke port yang lebih baik, dan masih berusaha mengilat Siakap. Agaknya perambut saya terlalu pendek rasanya kerana pada pendapat saya perambut paling kurang haruslah panjang 1 hasta atau 1/2 depa (*Sila betulkan saya sekiranya silap diruang komen). Untuk mengilat ikan  Siakap, panjang perambut harus dititik beratkan disebabkan ianya selalu bermain di kawasan tengah dasar air.

(Dah Naik Siakap...)
Tiba-tiba dari jauh kelihatan Lebai sedang bertarung dengan mangsanya, boleh tahan juga tarikannya, otailah katakan. Ada pemancing berbangsa Cina membantu menangguk ikan beliau. Akhirnya Lebai berjaya menewaskan seekor Siakap berat 1.8kg dan sepanjang 50cm. Bolehlah, penampilan sulung dah membuahkan hasil orang cakap.

Saya, Ringgo dan Jojo masih belum mendapat sebarang sambaran dari penghuni di sana. Apalah nasib, sudahlah tempoh hari 'Kumpau' di kolam Seri Tanjung. "Sabar Itu Separuh dari Iman", bak kata pepatah tersebut kami masih lagi cuba mengawal kesabaran. Tekanan dirasakan kerana sesi pancingan kami hanya dihadkan selama 2 jam berikutan masing-masing mempunyai hal di waktu tengah hari, oleh itu andai dapat seekor seorang pun jadilah.

(Siakap  Juvenil Berat 1.8kg Dan Panjang 50cm)
Jojo ada mendapat sambaran namun umpannya dibawa lari dan terlucut dari mata kailnya berkemungkinan Kaci atau Senangin Taiwan. Saya dan Ringgo masih belum merasa sebarang sambaran. Akhirnya masa yang diperuntukkan telah tamat, kami tiada pilihan lain selain dari berhenti memancing dan beredar dari kolam disebabkan ada hal. 

Akan tetapi alhamdulilah syukur kerana walau kami 'Kumpau' namun P2U Angler masih berjaya membawa balik seekor Siakap milik Lebai sebagai trofi dari kolam tersebut. Sekian sahaja cerita dari kami untuk tatapan para pembaca Pancing2u, sehingga bertemu lagi dalam cerita akan datang. Assalamualaikum WBT.

19 December 2013

Merah Oh Merah - (18.12.2013)

(Kelengkapan Perang Kami)
Semalam satu 'komplot' menerjah Kolam Seri Tanjung, Port Klang telah dijalankan. Seramai 3 orang ahli P2U Angler telah menyertainya antaranya Saya (Admin), Torres dan Ringgo. Misi kali ini lebih kepada mencari Sang Kerapu yang diidam-idamkan oleh kami selain itu untuk menguji joran Expert dan Kekili PENN Battle 1000 yang baru dibeli  si Ringgo.

(Memancing Dibelakang Kincir Air)
Setelah semua berkumpul di Seksyen 7, Shah Alam di rumah Torres dalam pukul 9 malam kami bergerak k ke lokasi dengan menaiki R3 milik saya dan tiba di destinasi sekitar pukul 9.30 malam. Pakej yang di ambil adalah selama 3 jam sahaja memandangkan esok merupakan hari kerja oleh itu tidak wajar jika pulang lewat. Bayaran deposit sebanyak RM80.00 di kenakan untuk tempoh 3 jam dan selebihnya akan dipulangkan apabila tamat waktu memancing.

(Ringgo Mencuba Senjata Barunya)
Umpan yang digunakan kali ini adalah Udang dan Belanak. Port yang dipilih adalah port sama tempoh hari kerana rata-rata antara kami ingin mengilat. Ramai juga pemancing-pemancing lain yang berada di kolam tersebut walaupun pada hari bekerja ini secara tidak langsung boleh menyebabkan peratusan 'Kumpau' adalah tinggi. namun kami tetap dengan pendirian ingin memancing pada malam itu juga.

(Ikan Oh Ikan Dimana Kau...)
Nampaknya setelah 2 jam masa berlalu masih tiada sebarang sambaran yang diterima oleh kami begitu juga dengan pemancing-pemancing lain yang berada di kolam tersebut. Bunyi Siren ada juga 2 ke 3 kali dibunyikan menandakan ada ikan dilepaskan namun masih tiada sambaran berlaku adakah ikan-ikan di kolam tersebut culas dengan kehadiran ramai pemancing atau mungkin juga faktor air yang kotor menyebabkan ikan plagik menjadi tidak sihat dan kurang aktif memburu.

(Hasil Malam Itu Yang Ditambat Ditepi Kolam)
Setelah kami semua hampir putus harapan dan ingin pulang, tiba-tiba joran Tores diseret kuat oleh penghuni dasaran menyebabkan kekili Abu Garcia Omega 4000 beliau berdesing kuat. Pecutan padu yang dilakukan oleh ikan tersebut nampaknya menyebabkan Torres terpaksa berhempas pulas menahan asak. Saya sudah sedia di sebelahnya dengan tangguk yang dibawa dari rumah untuk membantu menangguk ikan tersebut. Akhirnya tertewas juga seekor ikan Merah berskala 1.2kg, bolehlah orang cakap dari 'Kumpau'. Torres kiranya telah memecahkan ke 'Kumpauan' an yang melanda para pemancing pada malam itu dengan berjaya menaikkan ikan diwaktu-waktu hambar sebegini.

(Champion Malam Tersebut)
Setelah tamat masa 3 jam yang diperuntukkan, maka keputusannya berakhir dengan hanya seekor hasil tangkapan Merah yang berjaya diperoleh P2U Angler pada sesi kali ini. Sekian sahaja laporan yang boleh dikongsikan bersama anda semua nantikan aktiviti pancingan kami seterusnya di Kolam Green Paradise, Rawang dan Kolam Sentul. Assalamualaikum.

(Ikan Merah - 1.2kg)

18 December 2013

Shopping Time!!! - (18.12.2013)

Lokasi: 
SS2 Fishing Fever Angler
Alamat:
C-G24 Block C, Rumah Pangsa Damansara Bistari, Jalan Harapan Off Jalan SS2/72, 46000 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. 
Waktu Operasi:
11:00am - 8:00pm
Tel:
603-7958 2623 (Aunty Ann)

Ekoran pertempuran yang mendebarkan tempoh hari di Kolam Seri Tanjung sehingga menyebabkan ahli P2U Angler kehilangan banyak perambut dan matakail di rembat spesies makhluk dasaran di sana akhirnya membuatkan kami terpaksa turun ke kedai pancing berdekatan untuk menambah stok perang agar sesi memancing di masa akan datang tidak terjejas.

(Ringgo (Kiri) Akhirnya Terjerbak Beli PENN Battle 1000)
Dijangkakan pada bulan Disember 2013 - Januari 2014 akan ada 'Komplot' untuk menduga spesies-spesies dikolam disekitar kawasan Selangor. Almaklumlah musim hujung-hujung bulan ini ramai yang 'Masyuk' dengan insentif-insentif yang diterima oleh itu persiapan rapi harus dilakukan. Barang-barang keperluan memancing seperti Tali Perambut, Batu Ladung, Luminous Bean, Mata kail dan lain-lain harus penuh di dalam "Tackle Box" masing-masing.

(Jojo Juga Sempat Posing)
Pada sesi membeli belah kali ini, ahli P2U Angler telah menerjah kedai pancing yang tidak asing lagi dikalangan pemancing sekitar Lembah Klang iaitu SS2 Fishing Fever Angler yang terletak di SS2, Petaling Jaya. Untuk mencari kedai ini tidaklah sesukar mana kerana ianya terletak bersebelahan dengan Pusat Membeli Belah SS2. Kedai ini menawarkan banyak produk-produk pancing dari harga mahal sehingga yang murah.

(Saya Dapat Kawan Baru -Chris yang 11 Kali 'Kumpau' Kat Sealion)
Kalau tidak silap kami taukeh kedai pancing ini juga otai memancing dilaut dan sepanjang kami mendapatkan stok disini masih tidak pernah jumpa atau bersua muka. Hanya isteri beliau sahaja yang kami kenali iaitu Aunty Ann, dia ini peramah sikit dan bolehlah kalau hendak tawar menawar. Anda harus pandai buat 'Muka Kesian' sedikitlah untuk melembutkan hatinya.

(Aunty Ann - Bini Taukeh Daa...)
Saya hanya membeli barang-barang keperluan memancing yang didapati semakin kurang dalam 'Tackle Box' saya sahaja, manakan tidaknya habis tali perambut dan mata kail semua tercabut layan di Kolam Seri Tanjung tempoh hari semua disebabkan ikatan pada tali utama tidak kuat. Nasib badanlah terpaksa cari barang-barang balik. Lagipun Ringgo telah berjaya menjual kekili PENN Battle 4000 nya dan berhajat untuk membeli balik PENN Battle 1000 yang kecil sedikit untuk dibuat layan kolam katanya.

(Ini Berapa Pula Harganya - Buat Layan Kolam Sahaja)
Akhir kata, nak memancing ini modal harus dikeluarkan walaupun sedikit baru terasa berbaloi andai berjaya mendaratkan ikan nanti. Kami tahu ramai "Otai-Otai" diluar sana yang telah berhabisan ribuan ringgit berbanding dengan kami yang masih baru dalam dunia pemancingan ini. Apa yang ingin kami sampaikan adalah kita sesama pemancing ini harus bersikap bantu membantu dan sokong menyokong diantara satu sama lain baru hobi yang dicintai ini dapat dikekalkan. Sekian sahaja dari kami untuk para pembaca Pancing2u, semoga bertemu lagi di lain kali, Assalamualaikum.

16 December 2013

MJ @ Siakap Merah Dan Ikan Merah Seri Tanjung Tewas! - (14.12.2013)

(Pemandangan Kolam Seri Tanjung, Port Klang Di Waktu Pagi)
Nampaknya percaturan yang telah dibuat oleh kami ahli P2U Angler telah berhasil dalam usaha menjerat spesies Kaci yang jarang dinaikkan di Kolam Seri Tanjung, Port Klang atau lebih dikenali ramai dengan nama Kolam Itik. Ahli komplot kali ini hanya Saya (Admin) dan Torres yang turun memancing. Saya telah ke rumah Torres di Shah Alam dengan menaiki motorsikal dan ke lokasi dengan menumpang kereta beliau.

(Pemandangan Laut - Dari Belakang Kawasan Kolam)
Pada pengamatan kami lagi ramai pemancing yang turun ke kolam ikan akan lebih culas dan tidak mahu menjamah umpan. Oleh itu pakej pukul 11 malam sehingga 5 pagi yang dijangka akan penuh dengan pemancing tidak kami ambil. Strategi pada kali ini yang dapat kami laksanakan mudah sahaja, iaitu turun ke kolam seawal jam 5 pagi dan memancing sehingga pukul 8 pagi selama 3 jam iaitu selepas pakej memancing tersebut.

(Lepak Dihujung Kolam Bagi Mereka Yang Suka - MENGILAT)
Sewaktu kami tiba di lokasi kelihatan para pemancing yang telah layan pakej memancing 11 malam hingga 5 pagi sedang berpusu-pusu keluar dari kawasan kolam, rata-rata antara mereka memegang trofi masing-masing ada yang mendapat 2 ekor, 3 ekor dan ada yang 'kumpau'. Saya dan Torres hanya menunggu mereka beredar dan memerhati dari pintu kolam untuk mencari spot-spot menarik sekitar kolam yang dirasakan menarik. Akhirnya kami telah ke bahagian hujung kolam diantara 2 kincir air. Sesuai untuk sesi mengilat.

(MJ @ Siakap Merah 1st - Lesen Pertama Saya)
Boleh dikatakan hanya kami dan 2 ke 3 orang pemancing sahaja yang berada di kolam tersebut dan ini akan memberikan kelebihan kepada kami kerana tidak ramai yang memancing. Keadaan juga amat selesa dan tidak risau akan kejadian kes langgar tali pemancing lain ketika 'Casting' dan kami bebas memancing disekitar kolam. Sememangnya waktu tersebut sangat bagus untuk memancing, sekarang waktu Subuh dan sekejap lagi matahari akan naik maka ikan pun pasti akan keluar mencari makan.

(Ikan Dibiarkan Dalam Kolam Bagi Mengekalkan Kesegarannya)
Kami hanya ada 3 jam sahaja oleh itu masa tersebut haruslah digunakan sepenuhnya. Saya membeli umpan Udang sebanyak 4 ekor dan 1 ekor Ikan Belanak untuk sesi pancingan ini manakala Torres pula menggunakan isi Ikan Kembung yang telah dipotong, beliau ingin menjerat sang Kerapu katanya. Masing-masing memilih spot yang baik dan dirasakan berpotensi. Saya pun mula mengilat di bahagian hujung kolam, baling dibuat dan membiarkan umpan tenggelam hingga ke dasar sebelum mula mengilat perlahan-lahan. Lebih kurang 3 kali saya baling dibuat tiba-tiba "Sreeeeeeettt" kekili Daiwa Crest 1500 saya berdesing, ketika saya ingin mengetatkan drag lalu tali saya rabut, Arghh...Nasib-nasib habis dilarikan perambut dan umpan saya. Makluk dasaran apa yang menyerang saya tadi. Namun silap saya juga kerana gagal mengikat dengan kemas perambut pada tali utama.

(MJ 2nd Yang Berjaya Dinaikkan Lebih Kurang 20 Minit Menunggu)
Tanpa melengahkan masa, saya terus mengikat perambut baru dan kali ini saya telah pastikan yang ikatan betul-betul selamat. Umpan Udang hidup masih digunakan lalu menyambung untuk 'Casting' menggunakan teknik tadi lebih kurang 10 minit saya menunggu tiba-tiba "Sreeeeeeet' kekili saya berbunyi dan kali ini saya tidak akan melakukan kesilapan lagi bak kata  pepatah "Pisang Tidak Berbuah Dua Kali". Nampaknya ikan tersebut tertusuk kemas dan satu larian padu dilakukan manakala saya sedang sibuk mengawal lariannya dari masuk terus ke dalam kolong bahagian tepi kolam tersebut.

"Tangguk!...Tangguk!" jerit saya.

Kelihatan sisik warna kemerah-merahan muncul ditepi kolam, nampak macam dah lemah lalu Torres berusaha menangguk trofi saya pada pagi itu. Alhamdulillah, akhirnya tertewas juga seekor MJ @ Siakap Merah gelaran Otai-otai kolam tersebut. Fuh, berpeluh juga menarik ikan anggaran 2 kg almaklumlah ini merupakan lesen pertama MJ saya. Menjadi juga taktik mengilat saya lakukan sebentar tadi, MJ tersebut telah di ikat kemas dengan 'Ring' lalu dicampakkan kedalam kolam untuk dibiarkan segar sebelum pulang.

(Alhamdulillah - 2 Ekor MJ @ Siakap Merah Dan Ikan Merah Bagi 3 Jam Pancingan)
Perambut masih kuat dan tiada sebarang tanda kusut dan sebagainya lalu saya tinggal menganggukkan umpan Udang kembali. Masih pada kedudukan yang sama dan tidak sampai 20 minit saya menerima satu sambaran yang agak dasyat lariannya. Apa yang terfikir oleh saya adalah pastinya ini ikan Kerapu sebab kudratnya boleh tahan. Kawalan yang baik diberikan dan dibantu oleh Torres sebagai tukang tangguk ikan lalu saya berjaya mendaratkan seekor lagi MJ.

(Torres Menamatkan Zaman 'Kumpau'nya Di Kolam Seri Tanjung)
Torres masih 'Kumpau' lagi, dan kemudian dia menukar taktik dengan memakai umpan Udang dan mengilat di bahagian tepi kolam. Misi untuk menawan Kerapunya masih diteruskan dengan memancing di bahagian tepi-tepi kolam tersebut. Tanpa disedari umpannya telah di sambar oleh makhluk dasaran di situ, dengan kawalan yang kemas akhirnya dia berjaya mendaratkan seekor Merah yang merupakan lesen pertama baginya dan akhirnya badi ke'Kumpau'an di Kolam Seri Tanjung ini berakhir setalah beliau berjaya menewaskan Merah tersebut.

(Saya Mendapat Lesen MJ @ Siakap Merah 1st - Alhamdulilah)
Akhirnya masa yang diperuntukkan telah tamat dan kami tidak bercadang untuk menambah masa dan melanjutkan sesi pancingan kami, cukuplah sekadar ini untuk kali ini. In Sha Allah, pertengahan bulan ini ahli P2U Angler akan turun sekali lagi di kolam ini. Sekian terima kasih diucapkan kepada para pembaca Pancing2u yang sudi meluangkan masa membaca coretan kami.

03 December 2013

"Triple Threat" Jenahak...!!! - (02.12.2013)

"Tuah ayam nampak dikaki, Tuah Orang Siapa Yang Tahu"

Pepatah diatas sesuai dirungkaikan kepada salah seorang ahli P2U Angler yang lebih dikenali sebagai Torres. Setelah 5 kali mengalami nasib "Kumpau" yang agak lama, beliau telah menjalankan sesi pancingan secara solo di Kolam Sealion No. 2, Port Klang pada hari Isnin yang lepas. Niat asalnya yang hanya untuk merehatkan minda dan bersantai di kolam pancing telah bertukar menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila menerima sapaan dari 3 ekor penghuni kolam disitu.

(Kolam No. 2 Sealion, Port Klang)
Tiba di kolam pada pukul 2:30pm dan mengambil pakej 3 jam sehingga pukul 5:30pm, bayaran yang dikenakan seperti biasalah Rm100.00 untuk deposit dan 1 jam bersamaan Rm18.00 minimum 3 jam. Berbekalkan senjata Abu Garcia Vengeance sepanjang 6 kaki dan kekili Abu Omega 4000 dipadankan dengan tali sulam Berkley berkekuatan 30lb maka beliau telah bersedia untuk berjuang.

(Menunggu Mangsa Yang Kelaparan)
Umpan yang digunakan untuk labuhan pertama adalah seekor Udang hidup dan di 'Casting' secara unjunan dan tarik secara perlahan. Lebih kurang 45 minit pertama seekor Jenahak bersaiz "Juvenil" telah berjaya dinaikkan. Kemudian beliau bertukar ke tempat lain iaitu di sebelah kiri kolam berdekatan kincir air.

(JENAHAK 1st Berjaya Dinaikkan)
Ramai juga pemancing-pemancing lain yang turun ke kolam tersebut pada hari itu walaupun ianya hari bekerja. Menurut kata beliau, terdapat seorang pemancing berjaya mendaratkan seekor ikan Kerapu Harimau anggaran 7 kilo. Apakah ini tanda Taukeh ada melepaskan banyak ikan pagi itu?.

(3 Ekor Jenahak Berjaya Ditewaskan)
Tiba-tiba rod Abu Vengeance beliau melentur sehingga membentuk huruf 'U' menandakan ada mangsa yang telah terjerat. Bertarung dalam 5 minit dan pengawalan yang baik telah membuahkan hasil dimana Jenahak saiz besar telah berjaya dinaikkan anggaran 2.5kg. Sesi pancingan diteruskan sehingga jam terakhir beliau bertukar port ke bahagian hadapan kolam tersebut dan menerima satu lagi sambaran dari seekor Jenahak hanya selepas menukar umpan kepada Ikan Belanak hidup.

(Torres Dan Trofinya)
Akhirnya masa 3 jam yang diperuntukkan untuk memancing telah tamat dan agak menggembirakan hati kerana berjaya membawa pulang 3 ekor Jenahak pada sesi tersebut. Berbaloi rasanya apabila dapat membawa trofi dan pengalaman memancing secara solo lalu membuahkan kejayaan buat dirinya. Sekian sahaja dari kami ahli P2U Angler buat para pembaca Pancing2u, nantikan perkembangan terbaru kami di sesi pancingan akan datang. Sekian Terima kasih.

02 December 2013

Siakap Jugra Yang "Frenzy" - (01.12.2013)

(Inilah Kolam Siakap RM3.00)
(Pondok Untuk Berteduh Disediakan)
Assalamualaikum wbt diucapkan kepada para pembaca Pancing2u semoga dalam keadaan yang sihat dan sejahtera. Pada sesi kali ini ahli P2U Angler telah menerjah kolam yang tidak asing lagi dikalangan kaki pancing area Kuala Lumpur dan Selangor yakni Kolam Siakap Rm3.00 yang terletak di Jugra, Banting. Trip kali ini hanya sekadar ingin mencari lauk sahaja almaklumlah kolam ini kalau diikutkan sudah banyak kali di masukkan kedalam blog ini.

(Rilek-Rilek Sambil Hisap Rokok)
(Siakap Pertama Berjaya Didaratkan)
Trip kali ini hanya Saya (Admin) dan Torres yang turun untuk menjerat Sang Siakap. Trip bermula agak lewat sedikit disebabkan pada sebelah paginya masing-masing mempunyai hal sendiri maka 'Komplot' terpaksa dijalankan sebelah petang akan tetapi masa tidak sedikit pun menjejaskan fokus kami kerana sememangnya kami lebih arif tentang perihal kolam tersebut dan hanya memerlukan lebih kurang 1 jam untuk mendapatkan hasil yang lumayan.

(Itu Dia 2 Ekor Siakap Saiz Hidangan Tertewas!)
Selepas membayar yuran masuk sebanyak Rm3.00 untuk sebatang joran dan kami membeli umpan udang sebanyak 10 ekor seorang. Udang di situ kecil sahaja saiznya kerana Siakap di situ tidaklah bersaiz gadang maka umpannya juga kecil. Kami mencari port bertentangan dengan kincir air kerana dikatakan ikan akan bermain-main di kawasan tersebut kerana peratusan oksigen dalam kolam adalah lebih tinggi disitu. Joran pun mula dilabuhkan tidak sampai 5 minit kami 'Casting' dan beberapa henjutan dilakukan sambaran dari penghuni dasaran telah diterima.

(Siakap-Siakap Hasil Pancingan Saya Sahaja)
Terasa getuan kecil disusuli tarikan rakus dari Siakap kolam tersebut. Disebabkan saiznya tidaklah sebesar mana anggaran bawah 700gram maka kami hanya karau seperti biasa dan akhirnya ikan tertewas. Seekor demi seekor Siakap kami naikkan dan terasa penat bukan disebabkan bertarung dengan ikan tetapi disebabkan sangkut ikan pada hook dan tali sebelum dilepaskan kembali kedalam kolam.

(Torres Juga Berjaya Mendaratkan 4 Ekor Ikan Siakap)
Lebih kurang banyak hasil yang telah diperoleh dimana saya berjaya mendaratkan 6 ekor Siakap dan Torres pula 4 ekor Siakap agak-agakcukup untuk dibuat lauk seminggu maka kami pun berhenti memancing dan mula berkemas untuk pulang nanti lebih lama kami disini dan lebih banyak ikan dinaikkan tidak pasal-pasal tol yang dikenakan semakin mahal. 

(Weeehooo...Hati Gembira)
Tiba di kaunter depan kolam ikan dimasukkan kedalam bakul untuk ditimbang oleh taukeh kolam, saya dikenakan bayaran sebanyak Rm32.70 bagi hasil timbangan seberat 2.18kg bersamaan 6 ekor Siakap manakala Torres pula dikenakan bayaran sebanyak Rm24.50 bagi hasil timbangan seberat 1.9kg bersamaan 4 ekor Siakap. 

(TOL@ Ikan Harus Ditimbang Sebelum Dibawa Pulang)
Alhamdulilah akhirnya kami berjaya mendapatkan lauk untuk minggu ini, kepada pembaca Pancing2u jika terasa ingin untuk mencuba memancing disini datanglah. Lokasinya adalah seperti berikut: 
  • Dari Kesas Highway terus sehingga Teluk Panglima Garang.
  • Sehingga jumpa Bulatan kecil terus sahaja.
  • Sampai Traffic Light simpang 4 belok kiri
  • Terus sampai jumpa Jambatan Besar Merentas Sungai.
  • Terus sampai jumpa Masjid Al-Islah sebelah kiri
  • Lebih kurang 200 meter belok kanan.
  • Terus sampai hujung jalan belok kiri.
  • 100 meter belok kanan
  • Terus sampai hujung jalan dan sampai.
SAKSIKAN VIDEO PANCING KAMI


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...