Showing posts with label Ketuka. Show all posts
Showing posts with label Ketuka. Show all posts

19 January 2015

Muara Sungai Johor - ( November 2014)

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca setia Pancing2u. Laporan pertama tahun 2015 dari Selatan Tanah Air saya mulakan dengan berkongsi trip memancing di muara Sungai Johor. Sungai Johor memisahkan daerah Johor Bahru di sebelah Barat dan daerah Kota Tinggi di sebelah Timur. Muara Sungai Johor pula bertembung dengan Selat Tebrau yang menghadap Pulau Singapura. Terdapat jambatan Lebuhraya Senai-Desaru yang merupakan jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia buat masa ini.

Kedudukan Sungai Johor
Untuk memancing di muara Sungai Johor, terdapat banyak jeti yang menyediakan perkhidmatan menyewa bot. Antara lokasi jeti yang terkenal ialah di Kong-Kong, Sungai Layang dan Teluk Sengat.  Selain memancing dengan bot, terdapat beberapa rakit memancing di kawasan ini. Trip memancing bot saya biasanya terdiri dari enam orang. Lima orang ahli tetap iaitu saya, Najib, Pak Ndak (pakcik saya) dan dua rakan pakcik saya iaitu Pakcik Salleh dan Pakcik Noor. Seorang ahli jemputan untuk cukupkan korum biasanya terdiri daripada rakan-rakan atau pun saudara kepada ahli tetap. Pakcik Noor merupakan otai dan pakar rujuk kami di kawasan ini. Memandangkan rumah Pakcik Noor berhampiran jeti, hampir setiap minggu beliau akan turun memancing di kawasan ini. Bagi saya dan ahli-ahli lain pula, trip memancing di Sungai Johor merupakan aktiiti memancing bulanan yang bergantung kepada kedudukan bulan dan takwim pasang surut air laut. Biasanya kami akan memilih hujung minggu dengan keadaan air yang sesuai untuk memancing bagi meningkatkan peluang membawa hasil yang baik.

Persiapan Rapi Diperlukan
Maklumat Perkhidmatan Bot Dan Rakit Memancing
Persiapan lengkap perlu dipastikan seperti set memancing, umpan, peralatan keselamatan, first aid, baju hujan, makanan, minuman serta pakaian salinan. Untuk mengelakkan bahang terik matahari, trip memancing kumpulan kami akan dilakukan pada waktu malam. Kami akan mula turun selepas Asar dan pulang selepas Subuh keesokkan harinya. Kebiasaannya, kami akan turun ke Sungai Johor melalui jeti di Sungai Layang dan menyewa tiga bot gentian kaca (fiber). Bot biasanya disewa dari Rakit Yoyo ataupun Rakit Salleh. Setiap bot akan dinaiki oleh dua orang sahaja walaupun bot boleh dinaiki tiga pemancing. Selain untuk keselesaan, ianya juga untuk keselamatan dengan adanya bot rakan berdekatan untuk "Backup" sekiranya terjadi sesuatu perkara.

Dari Kiri - Najib, Nazri, Pak Ndak, Saya. Pakcik Salleh Dan Pakcik Noor
Untuk trip kali ini, ahli jemputan untuk mencukupkan korum ialah adik saya iaitu Nazri. Kami tiba di jeti pada jam 4 petang. Setelah menurunkan barang ke jeti, Pakcik Noor, Pak Ndak dan Pakcik Salleh bergerak ke rakit Yoyo untuk mengambil bot. Seperti biasa, ‘Partner’ bot saya ialah Pak Ndak, Najib akan bersama Pakcik Noor dan Nazri bersama Pakcik Salleh. Pakcik Noor akan mengetuai penjelajahan mencari lubuk terbaik. Sudah pasti buruan utama kami ialah spesis ikan air masin gred AAA seperti Jenahak, Pari, Kerapu, Siakap, Tebal Pipi dan sebagainya. Umpan yang dipilih ialah Perumpun (dipanggil Ruat di sini), Udang pasar, Udang hidup dan ikan Tamban. Teknik memancing bottom digunakan dengan balingan perlu dibuat berdasarkan kedudukan bot dan arus air.

Lepak Di Jeti Sementara Menunggu Bot
Bot Yang Mengambil  Satu Keluarga Ke Rakit Yo Yo
Sesi Menurunkan Peralatan Memancing Ke Dalam Bot
Pakcik Noor Dan Najib Memulakan Perjalanan
Saya Menunjukkan Skill Mengemudi Bot Diatas Arahan Pak Ndak
Misi Mencari Lubuk Bermula Di Ketuai Oleh Bot Pakcik Noor
Lubuk pertama dengan latar belakang Jambatan Lebuhraya Senai-Desaru
Hasil Pertama Najib - "Si Buntal"
Misi Mencari Lubuk Seterusnya
Suasana Senja Di Muara Sungai Johor
"Otai" Membuat Persediaan Memancing Malam
Setelah memancing untuk beberapa jam, Pak Ndak dan Pakcik Salleh mengambil keputusan untuk berlabuh di Rakit. Kebetulan pada trip kali ini, terdapat perlawanan akhir Piala Malaysia diantara pasukan JDT dan Pahang. Ramai pemancing di atas rakit dan banyak bot yang singgah untuk menonton bola. Seperti semua sedia maklum, keputusan malam itu berpihak kepada Pasukan Pahang seterusnya menghampakan hampir setiap orang di atas rakit pada malam itu. Tahniah diucapkan kepada skuad "Tok Gajah". Suasana kemeriahan di atas rakit menyebabkan menu makan malam kami iaitu Nasi Goreng Kampung terasa sangat sedap sekali. Kesempatan ini juga digunakan untuk menunaikan solat kerana menunaikan solat diatas bot kecil sesuatu yang agak mencabar. Setelah tamat perlawanan, kami meneruskan kembali buruan. Kali ini, Pak Ndak dan Pakcik Salleh membawa haluan masing-masing mencari lubuk. Walau bagaimana pun, setiap bot akan sentiasa berhubung untuk melaporkan hasil tangkapan dan lubuk yang ditemui.

Kemeriahan Memancing Diatas Rakit
Pemancing Yang Menyewa Bilik Dan Memancing Diatas Rakit
Keseronokkan memancing di atas bot dan mendengar bunyi air sambil memerhatikan bintang-bintang amat memberikan ketenangan kepada saya. Berdasarkan pengalaman lepas kami, ikan galak menjamah umpan sekitar waktu selepas Asar sehingga tengah malam dan sesi seterusnya bermula jam 4 pagi sehingga jam 7 pagi. Diantara jam 12 malam hingga 4 pagi, biasanya kami akan berkelah ‘Maggi Cup’ di tengah sungai atau mengambil kesempatan untuk tidur dalam tempoh sejam dua.

Kelihatan cahaya matahari pagi mula menyinar dan terasa bahangnya. Kami mula bergerak pulang ke jeti sambil menjeling ke dalam Kotak Ais yang mengisi hasil buruan. Seperti satu pertandingan tidak rasmi, setiap bot perlu menunjukkan hasil dan berkongsi lokasi lubuk baru jika ditemui. Seperti biasa, carta tertinggi hasil tangkapan jauh didahului oleh spesis Gelama, diikuti rapat dengan spesis Duri. Selain itu, Semilang, Siakap, Jenahak, Tebal Pipi, Malong, Ketuka dan Kerapu juga berada dalam senarai. Ketam sesat juga berjaya dinaikkan. Cabaran utama memancing di sini ialah umpan kerap disambar oleh Belin, spesis yang kelihatan seperti belut. Tiada pilihan lain, kami terpaksa memutuskan perambut jika Belin yang menelan umpan dan membelit perambut.

Masa Untuk Pulang Ke Jeti
 Ikan Siakap, Kerapu, Jenahak, Tebal Pipi, Duri dan Semilang
Ikan Gelama dan Ikan Duri memenuhi Kotak Ais Kami
Cuma seekor Ketuka berjaya didaratkan
Ketam saiz AAA yang berjaya didaratkan oleh Najib
Selepas mengemas kelengkapan, bot dihantar semua ke rakit. Seterusnya kami akan singgah di rumah Pakcik Noor untuk bersarapan pagi. Selepas itu, kami semua akan bergerak ke rumah saya yang biasanya dijadikan pusat pengagihan hasil tangkapan. Sampai di sini dulu laporan saya, terima kasih kerana sudi membaca laporan aktiviti memancing ini. Nantikan laporan seterusnya dari saya di Selatan Tanah Air.

01 June 2014

Misi Pancingan Liar: "Jambatan Raja Permaisuri Bainun" - (29.05.2014)

Al-fatihah dan Takziah ditujukan kepada Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah semoga roh tuanku di tempatkan dikalangan orang yang beriman. Dukacita ini dipanjangkan juga kepada seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan yang akan menjalani tempoh berkabung selama 100 hari. Kami dari P2U Angler juga turut merasakan simpati diatas pemergian almarhum.

Pemandangan Jambatan Raja Permaisuri Bainun, Perak
Pada 28-30hb Mei yang lalu, Admin telah bercuti di negeri Perak bersama keluarga. Ia merupakan sebuah negeri yang sangat besar dimana ia mempunya panorama yang menarik dan kaya dengan sumber-sumber hidupan laut serta terdapat banyak lokasi-lokasi yang menarik untuk diduga. Admin rasa sangat cemburu dengan semua "Angler-Angler" yang tinggal di negeri Perak kerana mereka dikurniakan padang pancing yang sangat baik. Terasa seperti ingin tinggal dan menetap di sana agar dapat mendalami ilmu memancing Admin.

Umpan Udang Hidup
Sepanjang 3 hari berada di Lumut, Perak apa yang Admin dapat perhatikan adalah hampir semua orang disana memancing baik lelaki mahu pun perempuan. Semasa memandu di jalanraya, ada sahaja joran tersemat disisi mereka menunjukkan memancing adalah aktiviti rutin disana. Nasib baik percutian kali ini memang Admin sengaja membawa set pancingan dari rumah untuk mencuba perairan disana.

Cangkok 2 Ekor Udang Baru Berhasil!!!...
Pada hari kedua di Swiss Garden Golf Resort & Spa, Damai Laut, Perak, hati Admin sudah tidak keruan. Walaupun sibuk melayan karenah anak dan isteri bercuti namun jiwa dan raga Admin sentiasa terbayang-bayang aktiviti memancing. "Ah!, tidak boleh jadi ini, aku mesti mendapatkan peluang untuk pergi memancing" - Kata Admin didalam hati. Alhamdulilah, petang tersebut Admin berjaya curi masa untuk memancing tetapi dimana lokasi hendak memancing? Setelah bertanya kepada penduduk sekitar Resort dan mereka mengesyorkan untuk cuba memancing di Jambatan Raja Permaisuri Bainun.

Berlatar Belakangkan SEGARI Gas Powerstation...
Jarak dari Resort hendak ke jambatan tersebut tidaklah terlalu jauh hanya 15 minit perjalanan anggaran 20 kilometer. Manakala umpan pula anda tidak perlu risau memandangkan sebelum sampai ke jambatan tersebut terdapat kedai menjual  umpan Udang hidup. Admin telah membeli Udang sebanyak 15 ekor dengan harga Rm6.00 sahaja agak murah berbanding harga di Kuala Lumpur. Bekalan air dan makanan juga mencukupi lalu misi untuk memancing diteruskan. Admin di temani oleh adik admin memancing.

Ikan Belukang...
Tak Reti Nak Guna "Ring" Langsung Letak Dalam "Jala"
Labuhan pertama dibuat, keadaan arus yang kuat ketika itu membuatkan sering kali tali tersasar jauh dari tempat sasaran. Penggunaan ladung yang agak besar dan berat amat diperlukan memandangkan angin dan tolakan arus yang deras. Fungsi "Baitfeeder' yang sering berputar tanpa ada getuan memaksa Admin mengetatkan sedikit agar umpan tidak bergerak. Sambil menikmati udara dan tiupan angin petang, sesekali kelihatan bot Apek tua yang sibuk menghantar pemancing ke tiang-tiang jambatan untuk memancing. Untuk makluman semua bayaran Rm10.00 dikenakan untuk mereka yang ingin memancing di tiang jambatan tersebut. Admin hanya mencuba di sisir jambatan sahaja kerana kesuntukan masa.

Rilek Dalam Air Ok...
Setiap 10 minit Admin akan memeriksa umpan dan acap kali kehilangan Udang samada di bawa arus deras atau dikacau oleh ketam. Penggunaan 2 ekor Udang mungkin membantu, dan kali ini Admin mensasarkan kawasan yang lebih terbuka. Selang 10 minit menunggu tiba-tiba joran seperti disentap ikan, apa lagi terus sebatlah joran dan melayan tarikan ikan yang dirasakan agak kuat sedikit berbanding tarikan biasa, mungkin ikan pari pada fikiran Admin. Akhirnya seekor ikan Belukang anggaran berat 2 kg telah berjaya ditumpaskan. Ganas juga rupa ikan ini, ada sengat di bahagian Sirip pektoral dan dorsalnya.

Berjaya Bawa Nak Seekor KETUKA
Proses Pemotongan Ekor - Kalau Kena Hospital Ooo...
Kemudian setelah menukar umpan Udang hidup yang baru satu balingan yang kuat dan jauh sedikit disasarkan kebahagian menghadap jambatan. Pada pemerhatian Admin, rata-rata mereka yang memancing disitu semuanya menggunakan joran "Surfcasting" yang panjang untuk membuat balingan yang jauh dan stabil. Nampak gayanya kena sambar satulah jawabnya. Jam G-Shock sudah menunjukkan hampir 7:30 malam dan cuaca semakin gelap. Mungkin sudah tiba waktu untuk beredar, sedang Admin mengemas barang-barang joran Admin sekali lagi digetu menandakan ada mangsa yang sudah terperangkap. Alhamdulilah rezeki, tarikan yang dirasakan tidaklah begitu mencabar dan akhirnya seekor Ketuka saiz kecil berjaya dinaikkan.

Pemandangan Diwaktu Senja - Cantikkan!!!!
Setelah cuaca bertukar gelap maka sesi pancingan Admin telah berakhir dan rasa sangat puas hati kerana berjaya mendapatkan 2 ekor hasil tangkapan yang baru dalam karier. Pada mulanya ingat hendak C&R sahaja tangkapan tersebut, namun ada kawan dari KL pesan suruh bawa pulang maka terpaksalah bawa balik. Satu lagi pesan Admin kepada mereka yang ingin mencuba memancing disini, perkhidmatan bot disediakan untuk pancingan di bawah jambatan dengan bayaran sebanyak Rm10.00 dan sila bawa ladung saiz besar sedikit agar cepat labuhan dilakukan, serta bawa krim "Insect Repellent" kerana nyamuk sini sihat-sihat belaka. Fuh!...

Ikan Belukang 2kg - TERBAIK BOH!!!...
Akhir kata, terima kasih diucapkan kepada pembaca-pembaca setia yang mengikuti blog P2U Angler ini, sekian sahaja cerita pada kali ini dan nantikan aktiviti pancingan kami seterusnya. Peliharalah padang pancing kita dan amalkan konsep C&R dimana sahaja anda berada untuk generasi akan datang. Jangan lupa untuk memberikan pandangan serta komen kepada kami sebagai sokongan dan penambahbaikan.

-Assalmualaikum wbt.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...