28 July 2013

Qiyamullail Di Kolam GP, Rawang - (26.07.2013)

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia dan paling bererti bagi umat islam di Malaysia. Bulan dimana semua umat islam menjalani ibadah puasa yakni menahan lapar dan dahaga. Sekilas pandang pastinya aktiviti luar seperti memancing dihadkan kerana menggunakan kudrat dan tenaga untuk menarik ikan, Casting, berpanas terik dan yang merokok juga tidak boleh merokok dan ini antara faktor yang menyebabkan aktiviti memancing menjadi terhad tapi kalau dah digelar pemancing "Heavy Duty" Ramadhan atau tidak pasti diredahnya sahaja.

(Suasana Larut Malam Di Kolam GP)
Bahang dan rasa rindu untuk menarik ikan terasa semakin menjadi-jadi. Saya (Admin) tidak terlepas dari merasai aura tersebut lantas satu trip tergempar dilaksanakan pada malam Jumaat Nuzul Al-Quran ekoran pada keesokan harinya saya bercuti kerana bekerja di Selangor. Saya telah ke Kolam GP, Rawang ditemani adik saya. Kami masuk ke kawasan kolam pancing tepat pukul 12mlm.

(Admin Dan Adik)
Setelah membuat pembayaran bagi 1 batang joran untuk pancingan selama 3 jam sebanyak Rm60, kami pun masuk dan tawaf sekeliling kolam untuk mencari port-port yang dirasakan sesuai. Ramai juga pemancing yang turun pada hari itu mencuba nasib. Ada yang telah pun mendapatkan hasil dan ada juga yang membangau tidak lupa juga kepada yang Kumpau. Akhirnya kami duduk di port hujung bersebelahan kincir air untuk.  mencuba nasib.

(Abu Garcia Black Max)
Untuk sesi kali ini sebenarnya saya ingin menurunkan kekili "Baitcaster" Abu Garcia Black Max yang baru dibeli sehari sebelumnya. Kejadian "Backlash" atau meehun kerap berlaku almaklumlah saya baru pertama kali menggunakan kekili casting. Oleh yang demikian saya terpaksa menyimpan kembali kekili tersebut dan seperti biasa saya menggunakan kekili Spinning Banax Xtream 3000 yang dililit tali flurocarbon berkekuatan 40lb.

Labuhan 1st Admin Telah Mengena Siakap Yang Sedang Lapar)
Baru sahaja balingan pertama saya dengan menggunakan teknik Casting dan tarik-tarik sedikit telah membuahkan hasil, umpan Udang hidup yang dilabuhkan telah mendapat sambaran dari seekor Siakap. Memang bernasib baik betul saya pada malam itu. Setelah ikan didaratkan, saya menggantikan dengan umpan Udang yang baru. Dalam tidak semena-mena ramai pula pemancing berpindah kedudukan bersebelahan tempat saya memancing. Hai, mengganggu betul corak persembahan saya malam itu kerana kejadian sangkut dan tersauk tali pemancing lain kerap berlaku.

(Gembira Dengan Hasil Tangkapan)
Sehingga ke akhir sesi pemancing saya di kolam tersebut saya hanya mampu mendaratkan 1 ekor Siakap  bersaiz "Juvenile" dan se1.6kg sebelum berakhirnya sesi pancingan kali ini. Alhamdulilah nasib baik saya tidak pulang "Kumpau". Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada pembaca blog Pancing2u kerana sudi meluangkan masa untuk membaca cerita diatas dan jangan lupa untuk menantikan cerita mengenai sesi pemancingan kami di Kolam Sealion.

(Siakap Berat 1.6 Kilogram)
-Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dari kami P2U Angler

21 July 2013

Siakap Gadang!!! Kolam Pancing (GP), Rawang - (04.07.2013)

(Kolam Green Paradise (GP), Rawang)
Bertemu lagi dalam aktiviti memancing Budak-budak P2U Angler. Pada sesi kali ini kami telah pergi menerjah kolam pancing yang tidak asing lagi bagi "Angler-Angler" yang tinggal di sekitar Lembah Klang mahupun di daerah Selangor. Kolam tersebut adalah Kolam Pancing Green Paradise (GP) yang terletak di Rawang bersebelahan dengan Taman Rimba Templer. Lokasi kolam ini sememangnya strategik dengan dikelilingi bukit-bukau yang hijau dan sejuk menunjukkan ekosistemnya yang masih belum dicemari. Jarak kolam tersebut dari Pusat Bandar Kuala Kumpur hanya memakan masa lebih kurang 30 minit sahaja, bergantung kepada kesesakan lalulintas.

(Pemandangan Kolam Pancing Yang Tenang)
Pemancing hanya perlu menggunakan lebuhraya di Jalan Kuching andai anda dari Pusat Bandar kemudian jalan terus hingga melepasi pasar borong Selayang di sebelah kiri dan kanan anda kemudian terus lagi sehingga bertemu Jabatan Ukur Tanah disebelah kanan anda dan teruskan perjalanan sehingga anda melihat Taman Rimba Templer di sebelah kanan dan perumahan disebelah kiri. Masuk ke taman perumahan tersebut dan anda perlu melepasi satu pondok pengawal (*Boleh Lepas) dan anda akan sampai ke kolam tersebut.

(Yuran Memancing)
Bayaran untuk sesi 3 jam pemancingan adalah sebanyak Rm60.00 dan setiap 1 jam berikutnya di kenakan cas Rm 20.00. Minimum adalah 3 jam memancing dan umpan hidup seperti udang ada dijual pada harga Rm1 seekor. Terdapat kemudahan untuk pemancing seperti tempat letak kereta, kedai makan dan minuman, tandas awam, surau dan tempat menyiang ikan juga ada disediakan. Apa yang menyeronokkan adalah ketika memancing pekerja gerai tersebut akan membuat "Tawaf" disekeliling kolam mengambil pesanan makanan dari pemancing-pemancing jadi kita tidak perlu berlapar ketika menjerat penghuni dasaran. Pemancing boleh "Mengeteh" sambil berborak-borak dengan kawan-kawan ketika memancing. Ini adalah satu inisiatif yang baik.

(Joran Dilabuhkan Dan Sesi Memburu Bermula)
Setelah mendapat info dari seorang kawan yang telah kesana dan mengatakan kolam tersebut bagus. Budak-budak P2U Angler pun telah membuat rujukan berkenaan kolam tersebut dari pelbagai aspek melalui laman web google dan forum-forum di internet lalu kami semua sepakat untuk menguji kolam tersebut.  Pada sesi kali ini hanya Saya (Admin) dan Ringgo yang turun untuk menguji hidupan dasar disini. Setelah membuat rujukan di internet, didapati terdapat specis hidupan seperti Siakap, Senangin Taiwan, dan Jenahak yang menghuni kolam GP, Rawang ini dan diet utama mereka adalah Udang.

(Ringgo Masih Tekun Memancing)
Saya mempertaruhkan Kelili keluaran Banas Xtream 3000 dan Rod Abu Tournament SX berkekuatan 10-30lb manakala tali pula saya hanya menggunakan Tali Flurocarbon 40lb keluaran Lemax. Ringgo pula mempertaruhkan Kelili baru dibelinya PENN Battle 4000 dan Rod PENN Marco berkekuatan 10-20lb manakala tali braided 30lb keluaran Power Pro. Senjata yang dipertaruhkan semuanya diperlukan untuk menawan makhluk dasaran disana GP, Rawang sebab dengar cerita makluk dasaran disana semuanya saiz gadang-gadang belaka.

(Otai Kolam Aka Pakcik Zainal) 
Sesi pancingan kami bermula pada pukul 12 tengah hari di kolam tersebut memandangkan masa yang diperuntukkan 3 jam sedang eloklah rasanya kerana pada waktu begini ikan-ikan sedang liar memburu makanan. Masa berlalu dengan pantas sekali sedar tidak sedar sudah 2 jam berlalu namun masih tiada sebarang tangkapan. Puas sudah mengilat dan menanam umpan malah berbagai-bagai teknik dijalankan namun masih "Kumpau". Nasiblah ada pekerja kedai makan yang lalu untuk mengambil pesanan, bolehlah kiranya membasahkan tekak dan hilangkan stress apabila berborak dengan rakan.

(Bertarung Dengan Siakap Gadang!)
Setelah agak lama menunggu, Ringgo menyatakan hasrat untuk bertukar port ke kawasan yang lebih strategik untuk menjerat ikan mungkin nasib akan lebih baik. Saya pun bersetuju dengan cadangan tersebut dan kami pun berpindah ke kawasan kincir air sebelah hujung kolam. Disana kami bertemu dengan seorang pakcik yang hanya ingin dikenali dengan nama Pakcik Zainal, menurut beliau teknik kami salah untuk menjerat makhluk dasaran dikolam tersebut. Memandangkan beliau selalu turun ke kolam tersebut dan melihat hasil tangkapannya juga agak membanggakan 3 ekor lalu kami bertanyakan perihal teknik dan cara dari beliau. Pakcik Zainal tidak kedekut ilmu dan sudi menolong kami malah beliau sanggup mengikat tali perambut joran kami.

(Siakap Berjaya Ditewaskan)
Tiba-tiba joran Abu Tournament SX saya terasa satu sambaran yang agak kuat, kemudian saya melepaskan tali untuk membiarkan mangsa membawa lagi umpan Udang tersebut. Apabila ia leka saya menutup dan mengetatkan Drag sedikit demi sedikit dan mula melayan penangan makhluk dasaran tersebut. Pada pandangan saya ianya adalah seekor Siakap dan terbukti ianya benar. Hampir 10 minit bertarung dan akhirnya Siakap tersebut tertewas. Alangkah gembiranya hati ini setelah seharian menunggu dan akhirnya berjaya mendapatkan seekor Siakap anggaran saiz 2++ KG. Memang nasib orang cakap!.

(Wajah Kegembiraan Terpancar Setelah Mendapatkan Ikan)
Ringgo masih belum berjaya menaikkan ikan mungkin belum sampai rezekinya lagi. Sekali-sekala terasa getuan pada joran beliau tetapi apakan daya belum tiba masa mengena. Saya sudah berpuas hati dengan hasil tangkapan ini, Memandangkan masa memancing kami hanya tinggal lagi beberapa minit lalu kami pun sepakat untuk bersiap mengemas barang-barang pancing untuk pulang. Cukuplah untuk hari ini hasil tangkapan yang boleh di banggakan, nasib kami tidak pulang "Kumpau". Walaupun hasil tangkapan tidak banyak tapi kami sepakat untuk turun lagi ke Kolam GP, Rawang ini lain kali.

(Siakap Gadang Ada Bran!!!...)
Kepada rakan-rakan pembaca blog Pancing2u yang berminat untuk mencuba nasib di kolam ini sememangnya dialu-alukan. Ikut sahaja direktori jalan yang telah saya berikan pada awal cerita ini dan dinasihatkan agar rajin-rajin bertanya kepada mereka yang selalu turun memancing di kolam ini sebelum anda turun beraksi kerana takot ada yang "Kumpau" kerana ikan-ikan disini ada teknik dan cara untuk menggodanya. Sekian sahaja cerita kali ini dan nantikan episod seterusnya aktiviti P2U Angler dalam Pancing2u. Sekian Assalamualaikum WBT.

14 July 2013

Pameran Memancing Dan Aktiviti Luar 2013 - (28.06.2013 - 30.06.2013)

Pameran memancing dan aktiviti luar 2013 kembali lagi dan yang pasti kali ini lebih menyengat dan menarik. Apa yang pasti budak-budak P2U Angler tidak ketinggalan mengunjungi pameran ini. Aktviti-aktiviti yang di paparkan kali ini sangatlah berguna bagi warga pancing dan mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia pancing. Kunjungan kali ini bertujuan menambah ilmu mancing kami dan memperkuatkan lagi minat kami terhadap dunia pemancingan.

(Shah Alam Convention Centre)
Diadakan di Pusat Konvensyen, Shah Alam yang mana ianya menjadi pusat pertemuan bagi orang dari segenap tempat memudahkan mereka untuk datang mengunjunginya. Pameran yang berlangsung selama 3 hari ini menyebabkan mereka yang tidak sempat mengunjungi pada hari bekerja boleh datang membawa keluarga pada hari cuti hujung minggu. Lebih kurang 30 minit masa yang diperlukan kami untuk sampai ke sana.

(Jojo dan Ringgo Dipintu Hadapan)
Pada kali ini hanya saya (Admin), Jojo dan Ringgo sempat hadir ke pameran tersebut. Bertujuan untuk menambah ilmu dan sekadar melihat keadaan sekeliling apa yang terdapat disana dan pastinya kunjungan kami ke sana tidak menghampakan kerana terdapat hadiah dan barangan pancing yang menarik boleh didapati. Pelbagai produk memancing yang dikeluarkan dari jenama-jenama yang  dikenali ramai terdapat di pameran tersebut antaranya Ajiking, Tomman, Black Cat, Ofmer, Mega Bass, Rapala dan macam-macam lagi. Penaja utama pameran terdiri dari Land Rover Malaysia, Majalah Pancing dan produk minuman tempatan.

(Antara Produk-Produk Pancing)
Terdapat syarikat memancing gergasi seperti TCE Tackles Sdn. Bhd. yang memberi pengunjung-pengunjung yang datang mencuba permainan Simulator "Sim Fish". Pengunjung berpeluang merasai pengalaman bertarung dengan ikan laut dalam dengan menggunakan peranti tersebut manakala pancing yang diberikan adalah tajaan produk-produk memancing dari syarikat TCE Tackle Sdn. Bhd. Pertarungan dengan ikan laut dalam seperti Ikan Layaran, Ikan Tuna, Ikan Pari dan Ikan Jerung memang mendebarkan malah memerah keringat mereka yang mencuba permainan tersebut. Penganjur akan memberikan tip-tip dan cara bagaimana menghadapi pertarungan apabila bertarung dengan ikan-ikan berkenaan.




Saya juga menyertai pertandingan teka gewang yang ada di pameran tersebut namun gagal meneka dengan tepat. Pemenang yang berjaya adalah seorang pemancing Cina dari Rawang yang meneka gewang dengan tepat. Walaupun tidak berjaya meneka gewang dengan tepat, namun saya berjaya memenangi sebatang joran casting keluaran dari jenama "Shake Spear" yang mana saya menang dalam pertandingan "Spin And Win". Gembira rasa dihati kerana tidak pulang kosong tangan ketika mengunjungi pameran tersebut. Alhamdulilah, sekarang saya hanya perlu mencari kekili Casting untuk memiliki set lengkap Casting.

(Joran  Medium-Weight 10-20lb Dan Panjang 5.6 kaki)
(Rod Casting "Shake Spear" Yang Saya Menang)
Pelbagai produk-produk untuk perkhemahan dan pemancingan yang disediakan oleh gerai-gerai yang terdapat di pameran tersebut. Saya memang ingin mencari botol air untuk dibawa ketika turun memancing dan akhirnya telah pun saya beli di pameran tersebut. Botol Air keluaran Coleman yang tahan lasak dan sejuk ini memang berguna sebagai bekas air minuman ketika turun memancing. Harga yang ditawarkan juga murah hanya Rm20.00 sahaja. 

(Jojo Bergambar di Booth Outdoor)
(Coleman Cooler Bottle Yang Saya Beli)
Akhir kata Pameran Memancing Dan Aktiviti Luar 2013 kali ini memang menarik dan memberikan seribu kenangan terindah buat kami dari P2U Angler selaku pendatang baru dalam dunia memancing ini. Semangat memancing akan berterusan  setelah ilmu dan pengalaman yang kami timba dari kunjungan ke pameran yang jarang diadakan seperti ini. Kepada pembaca Pancing2u jangan lupa saksikan aksi budak-budak P2U Angler di cerita akan datang, dimana kami pergi menawan kolam pancing Green Paradise (GP), Rawang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...