28 October 2014

INFO - Kolam Memancing Air Masin Semulajadi Sekitar (Kuantan-Kemaman)

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Pancing2u. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 1436 Hijrah. Sudah tentu Kalender Hijrah yang juga dipanggil oleh sesetengah pemancing sebagai Kalender Islam atau Bulan Melayu amat penting dalam dunia memancing. Para pemancing kebiasaannya menjadikan ia sebagai panduan merujuk kepada "Pasang-Surut Air" bagi menentukan kesesuaian waktu untuk turun memancing terutamanya di laut.

Cuti panjang baru-baru ini telah memberikan saya kesempatan untuk turun ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Sudah pasti sebagai seorang pemancing, antara aktiviti yang wajib dimasukkan dalam ‘Must Do’ list ialah mencari lokasi memancing. Hasilnya, saya telah menemui Lima (5) buah kolam memancing air masin semulajadi yag mana semuanya milik Bumiputera. Panduan arah ke kolam-kolam berikut boleh diperolehi dengan mudah menggunakan enjin carian google:

Kolam Pancing Syed, Balok

Kolam ini terletak di Balok Kuantan. Lebih kurang 5 km dari Swiss Garden Resort Kuantan menghala ke Kemaman dan merupakan kolam yang terdalam di Kuantan. Terdapat papan tanda besar kolam di tepi jalan utama Balok. Perlu diakui ini adalah kolam yang mempunyai kualiti air terbaik yang pernah saya kunjungi. Kolam di jaga dengan baik, bersih dengan air yang sangat jernih. Terdapat 3 jenis spesis di sini iaitu Jenahak, Siakap dan Siakap Merah @ MJ.

Maklumat Untuk Perhatian Pengunjung
Pemandangan Kolam Dan Air Yang Sangat Jernih
Petugas Melepaskan Ikan
Ikan Yang Dikumpul Akan Dilepaskan Ditengah Kolam
Antara Tangkapan Yang Berjaya Didaratkan

Kail Life Fishing, Balok

  • Alamat
    Lot 1944 Jalan Kuantan Kemaman,
    8295 Kampong Cherating.
    Pahang, Malaysia.
  • Seberang Balok, Kuantan,
  • 26800 Pahang,
  • Malaysia.

Hubungi
016-922 6004 (Kai)
017-363 6494 (Kak June)
012-900 3676 (Shahril)

Untuk makluman kolam ini baru dibuka kepada pemancing beberapa bulan yang lalu. Kolam ini berada di tepi jalan dan dapat dilihat dengan jelas apabila melalui jalan utama Balok. Pemancing di sini memberitahu saya bahawa ada pengunjung yang berjaya mendaratkan berbelas ekor ikan dalam satu sesi memancing. Kolam ini kelihatan seolah-oleh seperti sebuah "Taman Mini" dek kerana terletak bersebelahan laut.

Selamat Datang Ke Kail Life Fishing
Maklumat Penting Kolam
Dua Pulau Kecil Yang Unik Dibahagian Tengah Kolam
Restoran Mutiara Seafood Bersebelahan Kolam

RMY Cherating Best Fish, Cherating

Alamat
Jalan Kuantan Kemaman,
8295 Kampong Cherating.
Pahang, Malaysia.

Hubungi
019-980 7574
geng2ngail@gmail.com

Kolam ini terletak betul-betul sebelah jalan utama Cherating. Hasil temubual dengan pemilik kolam, majoriti penghuni kolam ini terdiri dari spesis Siakap Putih, selain itu terdapat Kerapu dan stok lama Jenahak.

Mudah Dikunjungi Kerana Bersebelahan Jalan Utama
Maklumat Kolam Pancing
Antara Spesies Yang Menghuni Kolam Ini
Suasana Tenang Di Kawasan Kolam RMY

Kolam Memancing Peramu (Pok Nik)

Terletak di kawasan Peramu berhampiran dengan kawasan makan terkenal di Kuantan iaitu di Tanjung Lumpur. Papan Tanda kolam dapat dilihat apabila telah hampir dengan Bangunan Yayasan Pahang. Seperti di Cherating, terdapat banyak Siakap Putih yang bersedia untuk menerima kunjungan pemancing di sini.

Kaunter Kolam
Suasana Kolam Dan Chalet Disebelah Kiri Kolam
Amaran Keras Dari Pok Nik!!!...

Kolam Memancing Air Masin Kijal, Kemaman

Ini merupakan kolam yang seharusnya dikunjungi oleh para pemancing yang dahagakan aksi bertarung dengan Sang Siakap Putih. Pelbagai saiz Siakap dilepaskan sekitar kolam yang menjanjikan pelbagai aksi dan cabaran yang mendebarkan setiap pengunjung.

Yuran Kolam Yang Berbeza Mengikut Hari
Kediaman "Sang Siakap Kijal"
Selain kolam diatas, terdapat dua lagi kolam memancing yang tidak menggunakan air masin semulajadi iaitu berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan dan berhampiran Bandar Chukai, Kemaman. Sepanjang tempoh di sini, saya berkesempatan untuk menduga dua kolam iaitu di Kolam Memancing Syed dan Kolam Memancing Air Masin Kijal. Hasilnya, ‘JDT stail’ nampaknya tak laku di sini. Tetapi saya sempat mempelajari kaedah mengikat perambut yang banyak digunakan oleh pemancing di kawasan ini.

Kebanyakkan pemancing otai disini mengikat perambut seperti kaedah drifting dengan pelampung digantikan dengan mata kail untuk menukarkannya menjadi kaedah bottom. Secara keseluruhannya, sebagai perbandingan antara kolam di sini dengan kolam di tempat asal saya, Johor Bahru. Pada pemerhatian yang dijalankan oleh saya, kolam di sini bersaiz agak kecil dan kurang kepelbagaian spesis dengan majoriti penghuni kolam ialah Siakap Putih.

Walau bagaimanapun, ianya sudah cukup untuk memberi kepuasan ketika bertarung terutamanya jika Siakap bersaiz besar yang menyambar umpan yang disajikan. Kebanyakkan pemancing di Pantai Timur lebih gemar turun ke laut atau ke pantai untuk memancing. Akhir kata, terima kasih kerana sudi membaca laporan pertama saya berkaitan kolam memancing di Pantai Timur, InsyaAllah saya akan kembali dengan laporan seterusnya dari Selatan Tanah Air.

-Assalamualaikum

13 October 2014

Kolam Pak Akob, Senibong, Johor Bahru - (09.10.2014)

LOKASI KOLAM PAK AKOB, SENIBONG, JOHOR BAHRU

BLOG: www.kolamsenibong.blogspot.com

EMAIL: kolamsenibong@gmail.com


Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Pancing2U. “Pecah Rekod!” - Itulah yang dapat disimpulkan pada pertarungan pertama saya di Kolam Pak Akob, Senibong, Johor Bahru.  Untuk sampai ke sini, pengunjung perlu membuat pusingan ke arah Senibong di persimpangan empat berhadapan Pasaraya AEON Permas Jaya. Lokasi kolam ini berhampiran dengan kawasan restoran makanan laut yang terkemuka di Johor Bahru serta bersebelahan Selat Tebrau yang memisahkan antara Malaysia dan Singapura. Ketika ini kerja-kerja penambakkan laut oleh Kerajaan Malaysia sedang giat dijalankan berhampiran kolam Pak Akob setelah Kerajaan Singapura tidak membenarkan pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor yang membolehkan bot-bot kecil melaluinya.

Selamat Datang Ke Kolam Pak Akob
Kebiasaannya, jika saya ke salah satu kedai alatan memancing terbesar di JB – Fishingline Tackle Sdn Bhd, Permas Jaya, saya akan singgah di Kolam Pak Akob untuk bersantai tetapi belum pernah berkesempatan memancing di sini. Saiz kolam ini agak kecil berbanding kolam yang selalu saya melakukan buruan di Tanjung Fishing Village dan Kolam Brother JB. Selepas satu perbualan yang mengatakan kolam yang bersaiz kecil lebih mudah untuk mendapat hasil, saya telah mengajak rakan sekepala dalam bab memancing iaitu Najib untuk sama-sama turun menduga kolam ini.

Maklumat Bayaran Dan Ikan Yang Akan Dibeli Balik Oleh Pihak Kolam
Apa yang menarik di Kolam Pak Akob adalah, tiada deposit dikenakan yang menjadikan kolam ini antara yang termurah untuk dikunjungi serta penggunaan umpan tiruan "Soft Plastic" dibenarkan. Kami pantas melakukan pembayaran sebaik sahaja selesai mengikat perambut. Tepat jam 2 petang bermulalah sesi casting kami kali ini untuk tempoh 5 jam. Menggunakan Udang kopek, saya dan Najib mula mengilat di kawasan yang dirasakan strategik. Setelah mengilat hampir sejam, satu tarikan kuat saya rasakan dan bermulalah pertarungan antara dua makhluk ini. Lesen pertama saya di kolam ini iaitu seekor MJ dengan saiz kurang 1Kg berjaya dinaikkan. Sesi mengilat diteruskan dan kali ini satu sentapan yang lebih kuat dirasakan ketika umpan telah hampir dengan tebing kolam. Kali ini, seekor Jenahak sekitar 1Kg dapat ditumpaskan. Giliran Najib menerima sentapan dari hujung kolam tetapi malang ikan yang tidak diketahui spesisnya berjaya meloloskan diri. Masa menunjukkan kami telah berada di sini hampir tiga jam. Tidak lama kemudian, saya menerima rentapan seterusnya dari seekor bawal yang seberat hampir 1Kg. Najib mengubah lokasi mengilat dan telah menerima sekali lagi sambaran penghuni kolam. Jelas kekecewaan terpancar di wajah Najib apabila pertarungan sekali lagi dimenangi oleh penghuni dasar yang bijak melepaskan diri.

Suasana Kolam Pak Akob
Berdiri Di Hujung Malaysia Dengan Pulau Singapura Kelihatan Di Seberang Sana
Tiba masa kolam melepaskan ikan dan hampir semua pemancing menumpukan balingan kearah sangkar. Ketika ini, pemancing sebelah saya berjaya menaikkan seekor siakap menggunakan teknik pelampung. Saya pula menerima getuan ringan dari makhluk yang berada di hujung kail dan ianya jelas dari seekor ketam yang masih mengepit umpan sewaktu didaratkan. Mengikut kata kumpulan pemancing tegar kolam ini, banyak juga ketam disini disebabkan kedudukan kolam betul-betul disebelah laut. Saya seterusnya menerima satu lagi sambaran dan seekor lagi MJ berjaya didaratkan.

Pihak Kolam Melepaskan Ikan
Kawalan 'Drag' Harus Bersesuaian Bagi Meningkatkan Peluang Mendaratkan Ikan
Aksi Pemancing Bertarung...
Setelah empat jam memburu, bekalan Udang kopek kami telah kehabisan. Najib berbesar hati men’sponsor’ Udang hidup menyebabkan kami menyambung sesi casting menggunakan Udang hidup pula. Setika masa memancing berbaki 15 minit, satu tarikan yang sangat kuat saya rasakan. Saya terus meminta Najib untuk menyediakan tangguk bagi membantu mendaratkan ikan kali ini. Nampaknya ikan ini memang laju lariannya dan ke pelbagai arah. Najib telah bersedia untuk menangguk setelah ikan tersebut berjaya dibawa hampir ke tepi kolam. Malangnya, satu aksi rontaan dengan tarikan yang kuat menyebabkan ikan GT tersebut berjaya meloloskan diri.

Hasil Tangkapan Petang Ini
"Najib Kumpau" - Bersama Hasil Tangkapan
Masa yang diperuntukkan telah tamat dan satu rekod baru tercipta apabila saya berjaya mendaratkan 4 ekor ikan dalam satu sesi memancing kolam. Apa yang saya dapat simpulkan, memang banyak ikan di kolam Pak Akob. Rata-ratanya semua pemancing berjaya mendaratkan atau menerima sambaran pada petang ini. Kepada pembaca yang mendambakan aksi pertarungan yang mendebarkan, bolehlah mencuba kolam ini. Terima kasih kerana sudi membaca laporan saya kali ini dan nantikan aksi-aksi pertarungan sengit seterusnya dari saya di Selatan Tanah Air.

07 October 2014

Menyiakap Sebentar Mencari Lauk - (05.10.2014)

Pemandangan Kolam Pelita Harmoni (PH), Banting
Assalamualaikum Dan Salam Aidil Adha dari P2U Angler kepada semua pembaca Pancing2u. Semperna cuti perayaan ini ramai yang akan pulang beraya di kampung halaman, sudah pasti ramai yang akan turun memancing di lokasi-lokasi dikampung bersama rakan-rakan dan sanak saudara. Apa kata anda kongsikan bersama Admin dan kirimkan cerita serta gambar pancing anda ke emel/Wechat dibawah. Pancing2u akan pamerkan cerita anda di blog ini agar dapat dikongsikan satu Malaysia.

Brader Depan Itu Berlatih "Baitcaster"
Baiklah pada cuti yang lalu Admin pulang ke kampung di Shah Alam (*Macam Jauh Bunyi) dan banyak menghabiskan masa dikampung melayan sanak saudara. Apabila berkumpul bersama pasti ada mulut yang "Request" untuk menu makan malam yang istimewa. Apa barang bergelar pemancing kalau menu makan tidak mewah. Kesempatan ini dimanfaatkan oleh Admin untuk memancing dan lari sebentar dari kaum keluarga.

Satu Keluarga Memancing...
Alhamdulilah setelah menghubungi beberapa taukeh kolam-kolam pancing bertanyakan kolam mereka dibuka atau tidak pada hari raya ini, ternyata hanya 1 kolam yang buka iaitu Kolam Pelita Harmoni (PH), Banting. Bolehlah, janji bawa balik seekor dua untuk dibuat lauk malamnya.

Teringat Anak Dirumah...
Setibanya di lokasi, boleh dikatakan segenap kawasan kolam dipenuhi pemancing dari muda hingga tua sedang gigih mencari ikan. Alamak, macam mana nak hadap orang yang ramai dan pasti peluang untuk mendaratkan ikan kurang dek kerana tekanan pemancing yang tinggi pada waktu itu. Redah sahaja alang-alang sudah sampai. Untuk makluman pembaca Pancing2u, Kolam PH ini sememangnya "Training Ground" bagi kami P2U Angler dalam erti kata lain kolam yang sering diterjah kami. Oleh itu rujuk pos yang lepas untuk mengetahui maklumat kolam, kadar bayaran dan info spesies.

Set Biasa Sahaja - "Standard" Kolam :)
Semasa memancing, Admin terhibur bila melihat telatah si cilik yang sibuk "Menarik" ikan sambil ditemani ibu bapa. Teringat pula pada anak Admin, cepatlah membesar agar boleh teman memancing bersama. Kembali kepada cerita tadi, pot yang dipilih hanya bahagian depan Kolam Siakap dan menggunakan umpan Udang hidup kemudian dilabuhkan ke kawasan tengah kolam. Lebih kurang 10 minit menunggu joran X-Puyu Zonoa 5'0" disentap oleh Siakap bersaiz juvenil.

Berkilat-Kilat Sisik...
Admin sengaja melonggarkan "Drag" kekili Tomman Spin Pro 2000 yang dipadankan dengan tali tangsi Tomman Performance 15lb agar ketika ikan menarik kedengaran bunyi nyaring. Jangan dipandang enteng Sang Siakap di sini, kecil-kecil cili padi. Pada sesi kali ini sahaja Admin 4 kali rabut akibat lompatan "Akrobatik" mereka dan sehingga ke akhir sesi pancingan Admin hanya berjaya mendaratkan 2 ekor Siakap bersaiz hidangan sahaja.

Hasil Sesi Ini - 2 Ekor Siakap Saiz Hidangan
Alhamdulilah bersyukur dengan rezeki yang diberikan, Admin bersiap-siap untuk pulang kerana hari sudah hampir gelap. Kepada pembaca Pancing2u yang masih belum berkesempatan mencuba memancing disini adalah digalakkan untuk mencuba. Akhir kata selamat maju jaya dan teruskan memartabat dunia sukan memancing.

Tips Pancing2u: Panduan Mengendalikan Ikan

Assalamualaikum dan Salam sejahtera, kali ini Pancing2u ingin berkongsikan sedikit tips kepada para pemancing diluar sana dalam mengendalikan ikan di mana-mana padang pancing. Memang seronok apabila umpan telah mengena, tambah seronok bila dapat bertarung sepuasnya dengan ikan. Namun teknik dan tatacara untuk mengendalikan ikan yang akan didaratkan itu tidak ramai ambil kisah sangat. Hakikatnya, cara pengendalian ikan amat penting tidak kiralah sama ada untuk melepaskan kembali ikan tersebut atau dijadikan lauk.


Tangguk / Sauk
Sebaiknya gunalah tangguk atau sauk yang sepadan dan sesuai untuk mendaratkan ikan. Dengan cara ini ikan tidak berhadapan risiko kecederaan malah dapat mengelakkan kemalangan pada joran dan pemancing sendiri.



Lip Grip / Pencangkuk Bibir Ikan
Jika tiada penyauk, gunakanlah Lip Grip atau Pencangkuk bibir ikan. Penggunaan Lip Grip amat bagus jika memancing ikan air tawar bergigi tajam seperti Haruan dan Toman. Selain mudah bagi proses menanggalkan mata kail kemalangan juga dapat dikurangkan. Terdapat pelbagai rekabentuk yang boleh dipilih oleh pemancing diluar sana, tertakluk kepada bajet dan selera anda.


Gancu / Pencangkuk
Jika pancingan di laut, seeloknya gunalah gancu atau pencangkuk. Apatah lagi jika ikan yang ingin didaratkanitu bersaiz besar, bergigi tajam tajam atau yang bersengat seperti ikan Pari.


Playar / Hook Remover
Apabila menanggalkan mata kail dari dalam mulut ikan, sebaiknya gunalah Playar atau Hook Remover dan elakkan dari menanggalkannya dengan menggunakan tangan khusus mengendalikan ikan bergigi tajam.


Tangan Kosong
Sekiranya tiada peralatan tersebut dan perlu mendaratkan dengan menggunakan tangan, pastikan ikan berkeadaan lemah, sebaiknya guna bahagian ekor ikan untuk menariknya ke darat. Boleh juga mendaratkan ikan dengan kaedah memegang mulutnya dengan tangan tetapi harus diingatkan, bukan semua ikan boleh dipegang dibahagian mulutnya seperti siakap atau sebarau, sebaiknya kenali dulu jenis ikan sebelum "Tunjuk Hero".

Kurangkan Ikan Mengelepar
Bagi mengurangkan ikan daripada menggelepar, pegang ekor ikan dan bengkokkan badannya ke arah kepala. Jangan terlalu kuat hingga boleh mematahkan tulang. Jika memegang ikan bersengat peganglah dibahagian kepalanya dengan cara yang betul.

Mata Kail Di Telan Jauh Kedalam
Jangan sesekali menyeret ikan naik ke darat khususnya jika berhasrat untuk melepaskan kembali ikan tersebut. Sekiranya mata kail ditelan terlalu jauh ke dalam, sebaiknya putuskan sahaja perambut dan biarkan mata kail di dalam mulut ikan.


Ketika Sesi Fotografi
Jika ingin berpotret bersama ikan, sebaiknya ampu tubuh ikan di bahagian kepala dan ekornya. Jangan memegang ekor sahaja kerana ia boleh mencederakan ikan dan mudah terhempas.

02 October 2014

Tanjung Fishing Village, Pendas - (26.09.2014)

Assalammualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua pembaca tegar Pancing2u. Cerita kali ini ada lah berkenaan salah satu kolam pancing air masin semulajadi yang selalu saya lawati iaitu Tanjung Fishing Village yang terletak di Kampung Pendas, Gelang Patah, Johor. Untuk makluman, kolam ini 100% milik bumiputera dan untuk ke lokasi pengunjung boleh menggunakan Lebuhraya Senai-Tuas (2nd Link) keluar di persimpangan Tanjung Pelepas atau melalui pekan Gelang Patah menuju ke Tanjung Kupang. Kolam ini terletak di hujung jalan Tanjung Kupang berhampiran jeti Kampung Pendas Laut.

Kolam ini menyediakan kemudahan yang sangat lengkap dan selesa kepada pengunjung. Antara kemudahan disediakan ialah Chalet, Restoran Terapung, Mini Mart serta Surau berpenghawa dingin. Maka tidak hairan ramai pemancing kesini bersama-sama ahli keluarga masing-masing. Ketika ini, kerja-kerja menaiktaraf kemudahan sedang giat dijalankan. Terdapat tiga jenis kolam disini iaitu:

  • Kolam Pancing Masa
  • Kolam Pancing Timbang
  • Kolam Catch and Release (CNR)

Semua maklumat kolam ini dapat disimpulkan dalam gambar pertama dibawah selain gambar-gambar suasana kolam untuk tatapan para pembaca:


Macam-macam Ada Dan Memang Meriah!
Harga baru kolam Pancing Masa:

Deposit = RM 15.00
3 Jam = RM 48.00
4 Jam = RM 58.00

8 Jam = RM 103.00

Midnight = RM 45.00

Siap Ada Layout Kolam...
Senarai Ikan Terberat  Mingguan...
Pemandangan Restoren Terapung - (Surau Di tingkat Bawah / Chalet Di tingkat Atas)
Kolam Pancing Timbang Dan Kolam Catch And Release (CNR)
Kolam Pancing Masa - Kanvas Digunakan Untuk Mengelakkan Balingan "Menggila" Pemancing Dari Masuk Ke Dalam Sangkar
2 Orang Penting Memeriksa Stok Udang Hidup
Kolam Catch And Release (CNR) - Kebiasaannya Di Sewa Oleh Pemancing Dari Singapura
Pada setiap hari Jumaat, kolam hanya dibuka mulai jam 4 petang. Saya mengambil keputusan untuk bergerak ke kolam selepas solat Jumaat. Saya telah ke lokasi lebih awal untuk melakukan sesi fotografi khas untuk Pancing2u. Selesai sesi photografi dan solat Asar, saya membuat bayaran untuk sesi buruan selama 3 jam. Kebiasaannya, saya akan menyiapkan tiga jenis perambut untuk kegunaan teknik Casting, Drifting dan Bottom. Tapi kali ini saya nekad untuk melakukan buruan menggunakan teknik Casting sahaja. Alhamdulillah, lawatan kali ini berjaya menaikkan seekor Jenahak seberat 1KG. Saya agak kurang bernasib baik kerana sambaran dari makhluk dasar selepas itu tidak sempat ditarik ketika saya meninggalkan pancing untuk mengambil barang yang ditinggalkan di pondok.

Saya Bersama Hasil Pancingan Hari Ini
Sempat Meninjau Hasil Pemancing Sebelah - (Siakap/Bawal/MJ)
Suasana Kolam Di Waktu Malam
Pada lawatan sebelum ini, saya ditemani rakan pejabat yang juga pemancing tegar; Najib datang ke kolam untuk mencuba nasib di Kolam Pancing Timbang. Berbekalkan umpan ikan Tamban, kami bermula di seksyen ikan Merah dan Jenahak. Disebabkan masa bukan ukuran, kami bersetuju untuk membuat balingan seorang demi seorang menggunakan teknik Bottom. Balingan pertama saya hanya mengambil masa hanya beberapa saat untuk disambar oleh menghuni kolam. Pertarungan yang mengambil masa kurang seminit itu telah berjaya mendaratkan seekor ikan merah bersaiz 1.2 kg. Tiba masa Najib pula untuk menunjukkan skill balingan hikmatnya.  Sangat mengujakan apabila balingan Najib ketika umpan dirasakan masih belum menjejak dasar telah disambar oleh seekor Jenahak dengan berat hampir 1 kg.

Bersama "Si Merah"

Najib Dan Jenahak Beliau...
Kami mengambil keputusan bergerak ke seksyen Siakap pula. Menggunakan Udang hidup,  balingan teknik Bottom kali ini dimulakan Najib. Setelah menunggu lima minit, tiada sambaran diterima. Saya mula meninjau sekeliling kolam dan kelihatan sekumpulan siakap berkampung di satu sudut kolam. Tanpa membuang masa, saya dan Najib terus menggempur lokasi tersebut. Balingan kami segera disambar oleh Siakap sekitar saiz 600 gram. Saya turut meminta pemancing lain untuk turut sama menggempur tempat tersebut. Seperti kami, mereka juga berjaya mendaratkan siakap dalam tempoh yang singkat.

Hasil Tangkapan Kami Pada Kali Ini...
Kami mengambil keputusan untuk menamatkan sesi pancingan "Super Cepat" ini yang hanya mengambil masa dalam 20 minit. Ketika membuat timbangan dan bayaran, petugas kolam memaklumkan ikan yang dilepaskan di Kolam Pancing Timbang mempunyai berat antara 1-3 kg bagi Kerapu, Merah dan Jenahak manakala berat dalam 1 kg untuk siakap. Pada Trip kali ini kami tidak mencuba seksyen kerapu kerana masing-masing tidak bercadang untuk membawa balik kerapu. Untuk pengetahuan pembaca, restoran kolam ini turut menyediakan perkhidmatan memasak ikan yang dipancing mengikut citarasa pelanggan dengan mengenakan sedikit bayaran.

Senarai Harga Ikan Setiap KG Dan Upah Masak - (Unga = Jenahak / Kambing = Kaci)
Akhir kata, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca trip dan aktiviti saya pada kali ini. Kepada para pemancing diluar sana yang mendambakan aksi pertarungan bersama ikan bergred AAA serta bersantai bersama-sama ahli keluarga, Tanjung Fishing Village adalah salah satu spot pilihan anda dan nantikan laporan saya seterusnya dari Selatan tanah air.

-Assalamualaikum
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...