Showing posts with label Kolam Seri Tanjung Port Klang. Show all posts
Showing posts with label Kolam Seri Tanjung Port Klang. Show all posts

05 January 2014

Kerapu Harimau "New Year"!!! - (04.01.2014)

Lokasi: Kolam Sri Tanjung, Port Klang
Tarikh: 04.01.2014
Masa: 3pm - 6pm
Ahli Komplot: Torres
Teknik: Drifting / Casting / Bottom

(Kolam Sri Tanjung @ Kolam Itik)
Assalamualaikum para pembaca Pancing2u, kali ini Saya (Admin) akan memaparkan hasil pancingan di lokasi biasa P2U Angler memancing iaitu Kolam Sri Tanjung yang terletak di Port Klang. Wah, dengar cerita orang yang memancing di kolam tersebut semakin meningkat ekoran banyak 'Post' hasil pancingan yang dilakukan oleh kami. Encik Taukeh Kolam andai terbaca blog ini silalah beri diskaun atau pakej yang menarik kepada P2U Angler sebab sebelum ini memang kurang orang yang memancing disitu namun sejak diwar-warkan dalam blog Pancing2u makin ramai pengunjung.

(Torres Memancing Dikawasan Kolong)
Baiklah berbalik kepada paparan kali ini, hanya seorang dari ahli P2U Angler yang turun memancing memandangkan yang lain sibuk dengan urusan masing-masing. Tidak banyak yang dapat saya karang untuk menceritakan keadaan yang berlaku sewaktu kejadian disebabkan saya tidak turun ber'Komplot' sekali namun hanya gambar-gambar pancingan yang dapat disajikan. Oleh itu diharap para pembaca dapat melihat dan menghayati gambar dibawah. Sekian terima kasih.

(Rod: Abu Garcia Vengeance / Reel: Abu Garcia Omega)
(Seekor Kerapu Yang Dibiar Tambat Sebelum Dibawa Pulang)
(Kerapu Harimau @ Bersaiz Juvenil 1.5 KG)
(Graaghhh Makan Budok!!!)

19 December 2013

Merah Oh Merah - (18.12.2013)

(Kelengkapan Perang Kami)
Semalam satu 'komplot' menerjah Kolam Seri Tanjung, Port Klang telah dijalankan. Seramai 3 orang ahli P2U Angler telah menyertainya antaranya Saya (Admin), Torres dan Ringgo. Misi kali ini lebih kepada mencari Sang Kerapu yang diidam-idamkan oleh kami selain itu untuk menguji joran Expert dan Kekili PENN Battle 1000 yang baru dibeli  si Ringgo.

(Memancing Dibelakang Kincir Air)
Setelah semua berkumpul di Seksyen 7, Shah Alam di rumah Torres dalam pukul 9 malam kami bergerak k ke lokasi dengan menaiki R3 milik saya dan tiba di destinasi sekitar pukul 9.30 malam. Pakej yang di ambil adalah selama 3 jam sahaja memandangkan esok merupakan hari kerja oleh itu tidak wajar jika pulang lewat. Bayaran deposit sebanyak RM80.00 di kenakan untuk tempoh 3 jam dan selebihnya akan dipulangkan apabila tamat waktu memancing.

(Ringgo Mencuba Senjata Barunya)
Umpan yang digunakan kali ini adalah Udang dan Belanak. Port yang dipilih adalah port sama tempoh hari kerana rata-rata antara kami ingin mengilat. Ramai juga pemancing-pemancing lain yang berada di kolam tersebut walaupun pada hari bekerja ini secara tidak langsung boleh menyebabkan peratusan 'Kumpau' adalah tinggi. namun kami tetap dengan pendirian ingin memancing pada malam itu juga.

(Ikan Oh Ikan Dimana Kau...)
Nampaknya setelah 2 jam masa berlalu masih tiada sebarang sambaran yang diterima oleh kami begitu juga dengan pemancing-pemancing lain yang berada di kolam tersebut. Bunyi Siren ada juga 2 ke 3 kali dibunyikan menandakan ada ikan dilepaskan namun masih tiada sambaran berlaku adakah ikan-ikan di kolam tersebut culas dengan kehadiran ramai pemancing atau mungkin juga faktor air yang kotor menyebabkan ikan plagik menjadi tidak sihat dan kurang aktif memburu.

(Hasil Malam Itu Yang Ditambat Ditepi Kolam)
Setelah kami semua hampir putus harapan dan ingin pulang, tiba-tiba joran Tores diseret kuat oleh penghuni dasaran menyebabkan kekili Abu Garcia Omega 4000 beliau berdesing kuat. Pecutan padu yang dilakukan oleh ikan tersebut nampaknya menyebabkan Torres terpaksa berhempas pulas menahan asak. Saya sudah sedia di sebelahnya dengan tangguk yang dibawa dari rumah untuk membantu menangguk ikan tersebut. Akhirnya tertewas juga seekor ikan Merah berskala 1.2kg, bolehlah orang cakap dari 'Kumpau'. Torres kiranya telah memecahkan ke 'Kumpauan' an yang melanda para pemancing pada malam itu dengan berjaya menaikkan ikan diwaktu-waktu hambar sebegini.

(Champion Malam Tersebut)
Setelah tamat masa 3 jam yang diperuntukkan, maka keputusannya berakhir dengan hanya seekor hasil tangkapan Merah yang berjaya diperoleh P2U Angler pada sesi kali ini. Sekian sahaja laporan yang boleh dikongsikan bersama anda semua nantikan aktiviti pancingan kami seterusnya di Kolam Green Paradise, Rawang dan Kolam Sentul. Assalamualaikum.

(Ikan Merah - 1.2kg)

16 December 2013

MJ @ Siakap Merah Dan Ikan Merah Seri Tanjung Tewas! - (14.12.2013)

(Pemandangan Kolam Seri Tanjung, Port Klang Di Waktu Pagi)
Nampaknya percaturan yang telah dibuat oleh kami ahli P2U Angler telah berhasil dalam usaha menjerat spesies Kaci yang jarang dinaikkan di Kolam Seri Tanjung, Port Klang atau lebih dikenali ramai dengan nama Kolam Itik. Ahli komplot kali ini hanya Saya (Admin) dan Torres yang turun memancing. Saya telah ke rumah Torres di Shah Alam dengan menaiki motorsikal dan ke lokasi dengan menumpang kereta beliau.

(Pemandangan Laut - Dari Belakang Kawasan Kolam)
Pada pengamatan kami lagi ramai pemancing yang turun ke kolam ikan akan lebih culas dan tidak mahu menjamah umpan. Oleh itu pakej pukul 11 malam sehingga 5 pagi yang dijangka akan penuh dengan pemancing tidak kami ambil. Strategi pada kali ini yang dapat kami laksanakan mudah sahaja, iaitu turun ke kolam seawal jam 5 pagi dan memancing sehingga pukul 8 pagi selama 3 jam iaitu selepas pakej memancing tersebut.

(Lepak Dihujung Kolam Bagi Mereka Yang Suka - MENGILAT)
Sewaktu kami tiba di lokasi kelihatan para pemancing yang telah layan pakej memancing 11 malam hingga 5 pagi sedang berpusu-pusu keluar dari kawasan kolam, rata-rata antara mereka memegang trofi masing-masing ada yang mendapat 2 ekor, 3 ekor dan ada yang 'kumpau'. Saya dan Torres hanya menunggu mereka beredar dan memerhati dari pintu kolam untuk mencari spot-spot menarik sekitar kolam yang dirasakan menarik. Akhirnya kami telah ke bahagian hujung kolam diantara 2 kincir air. Sesuai untuk sesi mengilat.

(MJ @ Siakap Merah 1st - Lesen Pertama Saya)
Boleh dikatakan hanya kami dan 2 ke 3 orang pemancing sahaja yang berada di kolam tersebut dan ini akan memberikan kelebihan kepada kami kerana tidak ramai yang memancing. Keadaan juga amat selesa dan tidak risau akan kejadian kes langgar tali pemancing lain ketika 'Casting' dan kami bebas memancing disekitar kolam. Sememangnya waktu tersebut sangat bagus untuk memancing, sekarang waktu Subuh dan sekejap lagi matahari akan naik maka ikan pun pasti akan keluar mencari makan.

(Ikan Dibiarkan Dalam Kolam Bagi Mengekalkan Kesegarannya)
Kami hanya ada 3 jam sahaja oleh itu masa tersebut haruslah digunakan sepenuhnya. Saya membeli umpan Udang sebanyak 4 ekor dan 1 ekor Ikan Belanak untuk sesi pancingan ini manakala Torres pula menggunakan isi Ikan Kembung yang telah dipotong, beliau ingin menjerat sang Kerapu katanya. Masing-masing memilih spot yang baik dan dirasakan berpotensi. Saya pun mula mengilat di bahagian hujung kolam, baling dibuat dan membiarkan umpan tenggelam hingga ke dasar sebelum mula mengilat perlahan-lahan. Lebih kurang 3 kali saya baling dibuat tiba-tiba "Sreeeeeeettt" kekili Daiwa Crest 1500 saya berdesing, ketika saya ingin mengetatkan drag lalu tali saya rabut, Arghh...Nasib-nasib habis dilarikan perambut dan umpan saya. Makluk dasaran apa yang menyerang saya tadi. Namun silap saya juga kerana gagal mengikat dengan kemas perambut pada tali utama.

(MJ 2nd Yang Berjaya Dinaikkan Lebih Kurang 20 Minit Menunggu)
Tanpa melengahkan masa, saya terus mengikat perambut baru dan kali ini saya telah pastikan yang ikatan betul-betul selamat. Umpan Udang hidup masih digunakan lalu menyambung untuk 'Casting' menggunakan teknik tadi lebih kurang 10 minit saya menunggu tiba-tiba "Sreeeeeeet' kekili saya berbunyi dan kali ini saya tidak akan melakukan kesilapan lagi bak kata  pepatah "Pisang Tidak Berbuah Dua Kali". Nampaknya ikan tersebut tertusuk kemas dan satu larian padu dilakukan manakala saya sedang sibuk mengawal lariannya dari masuk terus ke dalam kolong bahagian tepi kolam tersebut.

"Tangguk!...Tangguk!" jerit saya.

Kelihatan sisik warna kemerah-merahan muncul ditepi kolam, nampak macam dah lemah lalu Torres berusaha menangguk trofi saya pada pagi itu. Alhamdulillah, akhirnya tertewas juga seekor MJ @ Siakap Merah gelaran Otai-otai kolam tersebut. Fuh, berpeluh juga menarik ikan anggaran 2 kg almaklumlah ini merupakan lesen pertama MJ saya. Menjadi juga taktik mengilat saya lakukan sebentar tadi, MJ tersebut telah di ikat kemas dengan 'Ring' lalu dicampakkan kedalam kolam untuk dibiarkan segar sebelum pulang.

(Alhamdulillah - 2 Ekor MJ @ Siakap Merah Dan Ikan Merah Bagi 3 Jam Pancingan)
Perambut masih kuat dan tiada sebarang tanda kusut dan sebagainya lalu saya tinggal menganggukkan umpan Udang kembali. Masih pada kedudukan yang sama dan tidak sampai 20 minit saya menerima satu sambaran yang agak dasyat lariannya. Apa yang terfikir oleh saya adalah pastinya ini ikan Kerapu sebab kudratnya boleh tahan. Kawalan yang baik diberikan dan dibantu oleh Torres sebagai tukang tangguk ikan lalu saya berjaya mendaratkan seekor lagi MJ.

(Torres Menamatkan Zaman 'Kumpau'nya Di Kolam Seri Tanjung)
Torres masih 'Kumpau' lagi, dan kemudian dia menukar taktik dengan memakai umpan Udang dan mengilat di bahagian tepi kolam. Misi untuk menawan Kerapunya masih diteruskan dengan memancing di bahagian tepi-tepi kolam tersebut. Tanpa disedari umpannya telah di sambar oleh makhluk dasaran di situ, dengan kawalan yang kemas akhirnya dia berjaya mendaratkan seekor Merah yang merupakan lesen pertama baginya dan akhirnya badi ke'Kumpau'an di Kolam Seri Tanjung ini berakhir setalah beliau berjaya menewaskan Merah tersebut.

(Saya Mendapat Lesen MJ @ Siakap Merah 1st - Alhamdulilah)
Akhirnya masa yang diperuntukkan telah tamat dan kami tidak bercadang untuk menambah masa dan melanjutkan sesi pancingan kami, cukuplah sekadar ini untuk kali ini. In Sha Allah, pertengahan bulan ini ahli P2U Angler akan turun sekali lagi di kolam ini. Sekian terima kasih diucapkan kepada para pembaca Pancing2u yang sudi meluangkan masa membaca coretan kami.

07 November 2013

Kumpau Di Kolam Seri Tanjung, Port Klang - (05.11.2013)

Itulah orang dah pesan kalau hendak turun menduga makhluk dasaran di kolam pastikan bukan pada hari cuti dan selepas hari cuti ini kerana peratusan untuk "Kumpau" adalah sangat tinggi ekoran ikan-ikan di kolam yang akan dipancing telah disambar terlebih dahulu oleh Otai-otai kolam. Tapi awak degil!!!.

(Beratur Pemancing)
Hati terasa berat untuk ke turun menjerat ikan pada sesi kali ini ekoran ingin berehat dirumah bersama keluarga tetapi bak kata pepatah "Dimana Ada Kemahuan, Disitu Ada Jalan" semangat P2U Angler tetap diteruskan untuk memancing. Oleh sebab itu hanya Saya (Admin) dan Torres yang turun pada sesi kali ini untuk menjerat spesies di Kolam Seri Tanjung, Port Klang.

(Torres Masih Semangat Walaupun Dah Nampak Tanda Kekumpauan)
Kali ini kami berdua sepakat untuk mangambil pakej memancing dari pukul 12mlm - 7pagi dengan bayaran sebanyak RM77.00. Berumpankan ikan Belanak dan Udang hidup maka sesi pancingan pun bermula. Masyallah, ramainya pemancing-pemancing yang datang ke kolam tersebut sehingga hendak mencari port yang baik pun susah semuanya telah dipenuhi orang maka terpaksalah kami dengan selambanya menyelit diantara pemancing-pemancing yang telah tiba awal tadi. Ada yang buat muka cenggih dan tarik muka, takutlah ikan tidak sangkut pada mata kail mereka tapi rileklah brader "Rezeki telah tertulis maa"...

(Saya Pun Kumpau Daa...)
Setelah hampir 2 jam memancing masih tiada sebarang sambaran yang diterima kami mahupun orang di sekeliling kolam ini macam petanda yang kurang baik sahaja. Pukul 3pagi, hujan mula turun renyai-renyai dan masing-masing dikolam mengeluh "Aduhai, ini kompom ikan tak naik!". Kami berdua masih teruskan sesi memancing macam biasa, Torres sudah mula tidak senang duduk dan berkeliaran di sekitar kawasan kolam membuat lontaran demi lontaran namun tetap tiada sambaran. Saya hanya duduk dan tanam umpan di spot yang dikatakan menjadi sarang ikan Kerapu juga tiada sambaran.

Sepanjang pemerhatian kami berada di kolam tersebut, rata-rata pemancing yang dapat menarik ikan hanya sebanyak 5 orang sahaja dan tiada tangkapan yang "Frenzy" dan ini menyimpulkan satu andaian yang mengatakan adakah taukeh kolam kurang melepaskan ikan atau mungkin ikan telah dilepaskan awal pada Jumaat dan telah habis dirembat oleh mereka yang datang pada hari Sabtu dan Ahad lepas. Akhirnya masa pancingan selama 7 jam berakhir dengan tiada sebarang tangkapan dari kami. Nampaknya sesi kali ini berakhir dengan "Kekumpauan" buat P2U Angler. Terima kasih diucapkan kepada para pembaca Pancing2u yang sudi mengikuti perkembangan kami, usah kuatir mungkin tiada rezeki kami pada kali ini dan insyallah kami akan turun untuk menjerat lagi di aktiviti akan datang.

05 November 2013

Berakhirnya Kemelut "Kekumpauan" - (01.11.2013)

P2U Angler telah menganjurkan satu komplot pada Jumaat lepas ke Kolam Seri Tanjung, Port Klang tanpa pengetahuan dari Admin. Memandangkan Torres, Ringgo dan Jojo telah bercuti separuh hari pada hari tersebut maka hanya 3 orang sahaja yang turun memancing.

Mereka telah ke kolam tersebut dan mengambil pakej 3 jam dengan bayaran Rm50 untuk satu joran. Maklumat yang diperoleh Admin adalah semua menggunakan teknik pancingan berpelampung untuk menjerat spesies disana.

Torres telah menerima 3 sentapan dari ikan disana namun gagal mendaratkan ikan. Ringgo pula tidak menerima sebarang sentapan dari makhlik dasaran disana, manakala Jojo telah berjaya mendaratkan seekor Jenahak saiz Juvenil, dengan tertewasnya Jenahak tersebut maka berakhirnya "Kekumpauan" yang melanda diri Jojo setelah sekian lama.

Jenahak tersebut telah dimasak stim sejurus pulang dari sesi pancingan. Sekian sahaja laporan dari Pancing2u dan diharapkan para pembaca terhibur teruskan memberi sokongan terhadap industri pemancingan.

27 October 2013

Jenahak Seri Tanjung Patahkan Rod!!! - (26.10.2013)

Lokasi: Kolam Seri Tanjung, Port Klang
Tarikh: 25.10.2013
Masa: 11:00pm - 05:00am
Ahli Komplot: Admin, Ringgo dan Torres

Setelah hampir 2 minggu P2U Angler mengalami trauma "Kekumpauan" di Kolam Jugra Sport Fishing satu komplot telah diaturkan untuk mengubati luka dihati. Komplot kali ini bertempat di Kolam Seri Tanjung, Perlabuhan Klang yang sememangnya kaya dengan spesies ikan laut seperti Jenahak, Kerapu, Bawal, Senangin, Merah, Kaci, dll. Ini merupakan kunjungan pertama kami ke kolam ini oleh itu teknik serta permainan kolam berkenaan masih belum kami ketahui, Ayuh kita layan!...

(Kolam Seri Tanjung,Port Klang)
(Ketibaan Yang Amat Berhormat) 
Tepat jam 9.30mlm bersamaan 25.10.2013, Saya (Admin) dan Ringgo telah berkumpul di Seksyen 7, Shah Alam di rumah Torres dan menaiki R3 Ringgo untuk ke kolam tersebut. Alhamdulillah jam 10.30mlm kami tiba di Kolam Seri Tanjung, sewaktu ketibaan kami di kolam pada hari itu tidak ramai kelibat otai-otai kolam disitu dan ini merupakan satu kelebihan buat kami kerana dapat memilih port untuk melabuhkan joran.

(Pekene Teh Dulu Sambil "Setting Joran")
Setelah meninjau-ninjau sekitar kolam, kami terus ke kaunter untuk bertanyakan bayaran serta pakej yang ditawarkan. Menurut penjaga kaunter tersebut terdapat banyak pakej yang ditawarkan khas untuk pancingan malam dan siang, kami telah memikih pakej memancing dari pukul 11 malam sehingga 5 pagi dengan bayaran sebanyak Rm66.00. Umpan Udang dan Ikan Belanak ada dijual di situ dengan harga Rm1.00 seekor. Disebabkan belum pukul 11.00 malam maka kami sempat minum Teh Tarik dahulu sambil "Setting" senjata di gerai di kolam tersebut.

(Torres Sedang Sibuk "Casting")
(Ringgo Dan Set Ryobi Miliknya)
Pada sesi kali ini saya menggunakan set Ofmer yang baru diterima dari King Fisher Sdn. Bhd. iaitu rod Ofmer Infinity 5.6 kaki, kekili Ofmer Aegis 3000 dan tali tangsi Ofmer E-Gold berkekuatan 23lb. Torres pula mempertaruhkan set Abu Garcia beliau iaitu rod Abu Vengeance 5.6 kaki, kekili Abu Omega 4000 dan tali sulam Berkley 20lb manakala Ringgo menggunakan set Ryobi beliau yang terdiri dari rod Ryobi Reventon 5 kaki, kekili Ryobi Krieger dan tali sulam 30lb. Kami membahagikan kepada 3 division pada malam tersebut dimana masing-masing membawa tanggungjawab menggalas jenama terkenal seperti Ofmer, Ryobi dan Abu Garcia.

(Manalah Makhluk Dasaran Ini)
Nasib kami pada malam itu 50-50 kerana angin bertiup kencang menandakan hujan lebat akan turun sekejap lagi. Bila hujan turun bermakna ikan akan culas dan tidak mahu membaham umpan kerana air kolam menjadi sejuk. Kami tawakal sahaja kepada allah swt dan teruskan juga sesi memancing. Joran telah dilabuhkan dan masing-masing mencuba teknik pelampung dan casting. Setelah hampir 1 jam membangau dan tiada tarikan dilakukan kami berpindah port ke bahagian belakang sedikit. Dari jauh nampaklah ada seorang otai kolam berjaya mendaratkan Kerapu Harimau.

(Itu Dia JENAHAK Sudah Naik)
Hujan masih turun renyai-renyai dan kami masih belum berjaya memperoleh sebarang hasil tangkapan. Adalah beberapa pemancing ini asyik-asyik bawa naik ikan Bawal. Apa yang dapat kami pelajari di kolam ini adalah anda haruslah mensasarkan spesies apa yang ingin dijerat dan mengaplikasikan teknik yang bersesuaian sebagai contoh jika ingin menjerat Kerapu maka gunakan teknik pelampung dan hanyutkan sahaja umpan yang dipasang pada perambut sedepa. Kedalam kolam ini kata otai-otai kolam disitu 8-9 kaki, itu dalam dan macam tidak percaya pula. Oleh yang demikian kita tidak boleh semberono Casting memang kumpaulah jawabnya sebab ikan berenang didasaran padanlah orang tengok sahaja saya Casting, buang tebiat agaknya. Almaklumlah kami budak baru belajar dan pertama kali turun kolam ini, nasib cepat sedar dan rajin bertanya otai kolam.

(Tali Tambat Tepi Kolam Namun Ikan Masih Cuba Melarikan Diri)
Nasib baiklah pakej 6 jam, legalah juga ada masa lebih untuk pancing. Ini sudah 2 jam setengah kami pancing, saya dan Torres ada juga menerima getuan di joran tetapi rabut ekoran lambat menyebat joran. Tiba-tiba saya menerima satu sambaran dari makhluk dasaran, saya biarkan tali dilepaskan seketika dan kemudian menyentap joran, alhamdulillah tertancap kemas akhirnya. Ganas juga ikan ini tetapi ikan apakah?, saya karau sehingga ketepi dan kelihatan sisik keemasan naik timbul rupanya seekor Jenahak. Setelah saya heret ketepi kolam untuk di bawa naik keatas tiba-tiba Jenahak tersebut membuat satu pecutan kedasar, Praappp!!!...habis patah hujung joran Ofmer saya, aduhai nasib-nasib. Alhamdulilah saya berjaya mendaratkan seekor Jenahak buat masa ini. Setelah ditimbang ianya seberat 1.8kg.

(Sang Jenahak Yang Tertewas Pada Sesi Kali Ini)
Setelah ditambat ditepi kolam saya ke kereta untuk menukar joran simpanan nasib baik bawa lebih kalau tidak tengok sahajalah kawan-kawan pancing. Kalau diikutkan ini kali kedua saya daratkan Jenahak, dua-dua patah joran apa punya badilah. Ringgo dan Torres masih kumpau dan tidak menerima sebarang getuan. Sudah pukul 4 pagi dan kami masih meneruskan pemancingan. Dari jauh kelihatan pelampung Torres tenggelam, dan orang sekitar kolam menjerit-jerit ada "Ada Ikan Tue!", "Ada Ikan Sebat-Sebat!" akan tetapi Torres mengalami masalah teknikal sewaktu lepaskan tali, talinya telah tersimpul maka masa yang diambil untuk membetulkan tali menyebabkan ikan culas dan melepaskan umpan.

(Penimbang Analog Keluaran Bakau)
(1.8KG - Saiz Sedap Makan)
Akhirnya masa pancingan selama 6 jam telah tamat, banyak teknik dan corak persembahan kolam yang dapat kami pelajari disini. Terima kasih diucapkan kepada otai kolam dari Keramat AU4, diatas tip-tip yang diberikan dan pelampung yang diberi pinjam kalau abang sempat membaca blog tulisan kami ini ribuan terima kasih diucapkan, insyallah kalau panjang umur kita jumpa lagi. Tidak lupa juga kepada para pembaca Pancing2u, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi membaca tulisan dan cerita kami. Akhir kata, cubalah memancing di Kolam Seri Tanjung, Port Klang kerana ianya memang mencabar dan menduga skill anda. Sebelum anda turun memancing disini rujuk di forum-forum pancing berkenaan teknik pemancingan disini. Jangan lupa untuk bertanya otai-otai kolam disini insyallah mereka pasti membantu. Lagi satu ini kolam orang melayu kita jadi "Support" lah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...