Showing posts with label Ikan Merah. Show all posts
Showing posts with label Ikan Merah. Show all posts

29 December 2015

Sesi Panas Badan @ Kolam Pelita Harmoni, Jugra Banting - (22.12.2015)

Semasa sedang melayani laman sesawang Google.com untuk mencari peralatan memancing terbaru keluaran 2016, tiba-tiba Admin di sapa dari belakang, "Hoi bila nak gie memancing, sangap dah nie...", rupanya Si Torres yang semangat membakar untuk memancing balik kerja nanti katanya untuk sesi penutup bagi tahun 2015.

Untuk sesi  malam ini, dengan persiapan yang ala kadar kerana tidak sempat ke kedai pancing maka kami terpaksa turun menjerat ke Kolam Pelita Harmoni, Jugra Banting ataupun lebih dikenali sebagai Kolam Ikan Timbang. Bolehlah untuk memanaskan badan serta mencari lauk untuk dibuat makan sebelum cuti panjang yang bakal menjelma nanti.

Yuran Masuk Seperti Diatas...
Senarai Harga Mengikut Jenis Spesis...
Kami ke lokasi dengan menaiki Suzuki Swift Si Torres sebab dia yang ajak jadi pepandailah "Sponsor" pengangkutan dan bayar tol. Tiba dilokasi pada jam 10.30 malam dan keadaan kolam yang tenang serta tidak ramai pemancing yang turun mungkin pada hari bekerja. Alhamdulilah boleh kami memancing dengan tenang.

"Setting Up" Sebelum Beraksi...
Kepada mereka yang belum pernah sampai ke kolam ini, boleh rujuk dibahagian "LOKASI/PORT (BAYAR)" di bahagian tepi blog ini dan cari "KOLAM PELITA HARMONI" untuk mengetahui alamat dan cara untuk ke sini. Kolam ini sebenarnya memang merupakan port P2U Angler bersantai dan memancing dan telah beberapa kali kami ke sini untuk memancing. Oleh yang demikian penerangan berkenaan kolam ini tidak akan dibuat dalam siri kali ini.

Admin Tak Sah Kalau Tak Beli Makanan...
Setelah kami selesai membuat persiapan seperti memasang perambut dan membeli umpan Udang hidup, kami terus ke Kolam Ikan Merah kerana Si Ringgo teringin nak makan sup bersama Ikan Merah. Cuaca pada malam hari di kawasan kolam memang menenangkan. Suhu juga tidak terlalu panas cuma Nyamuk agak banyak menyebabkan kaki kami gatal-gatal. Selesai sahaja joran dilabuhkan Admin terus menyantap Meggi Cup yang dibeli di kaunter tadi, almaklumlah baru balik kerja dan kami tidak sempat nak makan.

Ringgo Dan Torres Menanti Dengan Penuh Kesabaran...
Sunyi Sepi Jer...
Admin Punya Jenahak Saiz Hidangan...
Walaupun tidak ramai pemancing, ikan-ikan di dalam kolam tidak begitu galak untuk menjamah umpan Udang yang kami beri. Terpaksalah kami bersabar agak lama sedikit sebelum beberapa sambaran diterima. Penggunaan set ringan sudah memadai kerana ikan-ikan di dalam kolam tidaklah terlalu gadang saiznya hanya sekadar saiz hidangan. Alhamdulilah lebih kurang 30 minit menunggu seekor ikan Jenahak saiz hidangan berjaya di tumpaskan.

Ringgo Sedang Menanti Getuan
Ringgo dan juga Torres juga saling tidak mengalah kerana gigih mendaratkan ikan dari beberapa ekor spesis berbeza iaitu Siakap, Jenahak dan Ikan Merah. Apa yang peliknya kesemuanya didapati di dalam kolam yang sama. Inilah masalah yang dihadapi oleh Pihak Kolam kerana sikap sesetengah para pemancing yang membuang atau melepaskan ikan kembali setelah di tangkap.

Abam Lejen Kita Dapat 5 Ekor...
Sesi memancing kami berakhir pada pukul 2.30 pagi, keesokkan harinya kami akan bekerja seperti biasa jawabnya masing-masing akan mengantuk. Jumlah ikan keseluruhan yang ditangkap seperti gambar dibawah. Seterusnya kami ke kaunter kolam untuk membayar dan menyiang ikan sebelum dibawa pulang.

Hasil Malam Ini - 1 Siakap, 4 Jenahak, 2 Ikan Merah
Nasib baik ada perkhidmatan menyiang ikan oleh Pihak Kolam, ini memudahkan kami kerana boleh terus membersihkan ikan dan terus masak. Walaubagaimana pun bayaran sebanyak RM2.00 dikenakan untuk setiap sesi siangan. Akhir kata dari kami P2U Angler teruskan semangat untuk memancing dan nantikan cerita yang lebih menarik di sesi akan datang. Assalamualaikum.

Nasib Baik Ada "Abam-Abam" Tolong Tukang Siang Ikan...

21 November 2014

Pusat Memancing Zul, Taman Perling - (29.10.2014)

Kaunter Dan Pelbagai Info Kolam
Maklumat Perlepasan Ikan
Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca setia Pancing2u. Cuaca yang kurang menentu pada musim tengkujuh agak membataskan aktiviti memancing dan laporan serta "Update" terkini agak sukar disediakan. Namun demikian, semangat memancing dari P2U Angler (Johor Bahru) sememangnya Admin kagumi. Kali ini saya ingin berkongsi trip bersama rakan pemancing Najib ke Pusat Memancing Zul atau lebih dikenali sebagai Kolam Zul. Lokasi ini mudah ditemui sekiranya menggunakan jalan utama dari Danga Bay ke Nusajaya berhampiran jejambat Taman Perling. Kolam ini terletak bersebelahan Kolam Brother *rujuk maklumat kolam dalam blog.

Pemandangan Kolam - Sentiasa Dipenuhi Pengunjung
Pemandangan Dihujung Kolam
Stok Ikan Baru Sampai
Kami tiba lebih kurang jam 1:30 petang dan terus mempersiapkan set memancing untuk pertarungan hari ini. Di kaunter, kami membuat pembayaran untuk sesi selama tujuh jam. Penjaga kaunter ini tidak nampak macam ‘Zul’ sangat tapi kemungkinan Zul yang sebenar adalah rakan kongsi kerana kolam ini dikenali sebagai Kolam Happy sebelum ini. Hari ini saya menggunakan kaedah casting Udang hidup manakala Najib menggunakan teknik drifting (pelampung) umpan Udang hidup. Kami mula mengambil kedudukan di tengah kolam dan bergerak perlahan-lahan menukar lokasi membaling umpan sehingga ke hujung kolam.

Barisan Pengulas Setiap Aksi Pertarungan
Aksi Bersama Sang Siakap..
Ikan Merah Pun Ada...
Aksi Jenahak Yang Agak Ganas
Ikan Kerapu Seberat 4kg
"Otai Kolam" Bersama Hasil Beliau
Setelah dua jam memancing, saya telah menerima sambaran ringan ketika casting. Saya membiarkan dahulu dan kelihatan tali pancing bergerak dari kanan ke kiri namun tiada sentapan dirasakan buat masa ini. Setelah terasa ikan mula menarik dengan kuat, saya terus menyentap dan berjaya mendaratkan seekor Jenahak anggaran sekitar 1kg. Hujan mula turun tidak lama kemudian dan kami terpaksa memberhentikan sesi memancing buat sementara waktu. Antara pantang-larang sewaktu memancing ialah jangan sesekali memancing ketika hujan yang beserta dengan kilat. Kami meneruskan sesi memancing setelah hujan berhenti tetapi dengan lebih santai. Ini kerana momentum memancing mulai berkurangan setelah berhenti ketika hujan tadi.

Bersama Hasil Kali Ini - Jenahak!
Najib Bersama Ikan Ehsan
Terdapat pelbagai jenis ikan Gred A yang sedia untuk menduga skill memancing setiap pengunjung di kolam ini. Kelihatan ramai pemancing mendaratkan pelbagai jenis ikan. Kami umpama penonton kepada semua aksi-aksi pertarungan ini. Mungkin lawatan lain kali rezeki kami pula. Sampai di sini dulu laporan saya dan nantikan laporan seterusnya dari Selatan Tanah Air.

02 October 2014

Tanjung Fishing Village, Pendas - (26.09.2014)

Assalammualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua pembaca tegar Pancing2u. Cerita kali ini ada lah berkenaan salah satu kolam pancing air masin semulajadi yang selalu saya lawati iaitu Tanjung Fishing Village yang terletak di Kampung Pendas, Gelang Patah, Johor. Untuk makluman, kolam ini 100% milik bumiputera dan untuk ke lokasi pengunjung boleh menggunakan Lebuhraya Senai-Tuas (2nd Link) keluar di persimpangan Tanjung Pelepas atau melalui pekan Gelang Patah menuju ke Tanjung Kupang. Kolam ini terletak di hujung jalan Tanjung Kupang berhampiran jeti Kampung Pendas Laut.

Kolam ini menyediakan kemudahan yang sangat lengkap dan selesa kepada pengunjung. Antara kemudahan disediakan ialah Chalet, Restoran Terapung, Mini Mart serta Surau berpenghawa dingin. Maka tidak hairan ramai pemancing kesini bersama-sama ahli keluarga masing-masing. Ketika ini, kerja-kerja menaiktaraf kemudahan sedang giat dijalankan. Terdapat tiga jenis kolam disini iaitu:

  • Kolam Pancing Masa
  • Kolam Pancing Timbang
  • Kolam Catch and Release (CNR)

Semua maklumat kolam ini dapat disimpulkan dalam gambar pertama dibawah selain gambar-gambar suasana kolam untuk tatapan para pembaca:


Macam-macam Ada Dan Memang Meriah!
Harga baru kolam Pancing Masa:

Deposit = RM 15.00
3 Jam = RM 48.00
4 Jam = RM 58.00

8 Jam = RM 103.00

Midnight = RM 45.00

Siap Ada Layout Kolam...
Senarai Ikan Terberat  Mingguan...
Pemandangan Restoren Terapung - (Surau Di tingkat Bawah / Chalet Di tingkat Atas)
Kolam Pancing Timbang Dan Kolam Catch And Release (CNR)
Kolam Pancing Masa - Kanvas Digunakan Untuk Mengelakkan Balingan "Menggila" Pemancing Dari Masuk Ke Dalam Sangkar
2 Orang Penting Memeriksa Stok Udang Hidup
Kolam Catch And Release (CNR) - Kebiasaannya Di Sewa Oleh Pemancing Dari Singapura
Pada setiap hari Jumaat, kolam hanya dibuka mulai jam 4 petang. Saya mengambil keputusan untuk bergerak ke kolam selepas solat Jumaat. Saya telah ke lokasi lebih awal untuk melakukan sesi fotografi khas untuk Pancing2u. Selesai sesi photografi dan solat Asar, saya membuat bayaran untuk sesi buruan selama 3 jam. Kebiasaannya, saya akan menyiapkan tiga jenis perambut untuk kegunaan teknik Casting, Drifting dan Bottom. Tapi kali ini saya nekad untuk melakukan buruan menggunakan teknik Casting sahaja. Alhamdulillah, lawatan kali ini berjaya menaikkan seekor Jenahak seberat 1KG. Saya agak kurang bernasib baik kerana sambaran dari makhluk dasar selepas itu tidak sempat ditarik ketika saya meninggalkan pancing untuk mengambil barang yang ditinggalkan di pondok.

Saya Bersama Hasil Pancingan Hari Ini
Sempat Meninjau Hasil Pemancing Sebelah - (Siakap/Bawal/MJ)
Suasana Kolam Di Waktu Malam
Pada lawatan sebelum ini, saya ditemani rakan pejabat yang juga pemancing tegar; Najib datang ke kolam untuk mencuba nasib di Kolam Pancing Timbang. Berbekalkan umpan ikan Tamban, kami bermula di seksyen ikan Merah dan Jenahak. Disebabkan masa bukan ukuran, kami bersetuju untuk membuat balingan seorang demi seorang menggunakan teknik Bottom. Balingan pertama saya hanya mengambil masa hanya beberapa saat untuk disambar oleh menghuni kolam. Pertarungan yang mengambil masa kurang seminit itu telah berjaya mendaratkan seekor ikan merah bersaiz 1.2 kg. Tiba masa Najib pula untuk menunjukkan skill balingan hikmatnya.  Sangat mengujakan apabila balingan Najib ketika umpan dirasakan masih belum menjejak dasar telah disambar oleh seekor Jenahak dengan berat hampir 1 kg.

Bersama "Si Merah"

Najib Dan Jenahak Beliau...
Kami mengambil keputusan bergerak ke seksyen Siakap pula. Menggunakan Udang hidup,  balingan teknik Bottom kali ini dimulakan Najib. Setelah menunggu lima minit, tiada sambaran diterima. Saya mula meninjau sekeliling kolam dan kelihatan sekumpulan siakap berkampung di satu sudut kolam. Tanpa membuang masa, saya dan Najib terus menggempur lokasi tersebut. Balingan kami segera disambar oleh Siakap sekitar saiz 600 gram. Saya turut meminta pemancing lain untuk turut sama menggempur tempat tersebut. Seperti kami, mereka juga berjaya mendaratkan siakap dalam tempoh yang singkat.

Hasil Tangkapan Kami Pada Kali Ini...
Kami mengambil keputusan untuk menamatkan sesi pancingan "Super Cepat" ini yang hanya mengambil masa dalam 20 minit. Ketika membuat timbangan dan bayaran, petugas kolam memaklumkan ikan yang dilepaskan di Kolam Pancing Timbang mempunyai berat antara 1-3 kg bagi Kerapu, Merah dan Jenahak manakala berat dalam 1 kg untuk siakap. Pada Trip kali ini kami tidak mencuba seksyen kerapu kerana masing-masing tidak bercadang untuk membawa balik kerapu. Untuk pengetahuan pembaca, restoran kolam ini turut menyediakan perkhidmatan memasak ikan yang dipancing mengikut citarasa pelanggan dengan mengenakan sedikit bayaran.

Senarai Harga Ikan Setiap KG Dan Upah Masak - (Unga = Jenahak / Kambing = Kaci)
Akhir kata, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca trip dan aktiviti saya pada kali ini. Kepada para pemancing diluar sana yang mendambakan aksi pertarungan bersama ikan bergred AAA serta bersantai bersama-sama ahli keluarga, Tanjung Fishing Village adalah salah satu spot pilihan anda dan nantikan laporan saya seterusnya dari Selatan tanah air.

-Assalamualaikum

30 June 2014

Layan Tarik!!!...Ikan Gred "A" - (27.06.2014)

"SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK IKHLAS DARI P2U ANGLER"

Tiba Di Lokasi Tepat Pukul 2 Petang...
Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada para pembaca blog Pancing2u, seperti kita sedia maklum bulan Ramadhan bakal berkunjung tiba menandakan seluruh umat islam akan menunaikan ibadah berpuasa. Aktiviti memancing pastinya akan terhenti seketika sepanjang bulan ini, komplot-komplot bersama rakan-rakan ke lubuk-lubuk yang sering dikunjungi pasti akan tertunda sehingga selesai tempoh berpuasa. Namun kepada mereka yang bergelar pemancing "Hardcore" aktiviti memancing ini pasti akan terus berjalan biar pun cuaca panas dan kering janji dapat "Menarik!!!..."


Kami Memilih Pondok Paling Hujung
Misi Menduga Kolam No. 4 (Kerapu)
P2U Angler juga sempat bergasak dengan beberapa ekor spesies di Kolam Pelita Harmoni (PH) yang terletak di Banting sehari sebelum bermulanya puasa. Komplot kali ini hanya disertai oleh Admin dan Ringgo yang kebetulan memang sepakat untuk turun pada hari tersebut. Misi sebenarnya untuk menguji set PENN yang baru dibeli oleh Ringgo 1 bulan yang lalu namun beliau masih belum berkesempatan mengujinya ekoran kesibukan kerja.

Ringgo Mencuba Set Ringan PENN Beliau...
Kami tiba di lokasi pada pukul 2 petang, suasana kolam aman dan tenteram. Tidak ramai pemancing yang memancing kerana kami ke sana pada waktu bekerja, bukan apa potensi untuk menerima "Strike" lebih tinggi dikala tekanan pemancing berkurangan. Kami pun dapatlah kiranya bergerak bebas dan memilih spot yang baik untuk sesi pancingan nanti. Untuk makluman pembaca yang baru, yuran bagi sebatang pancing hanyalah sebanyak Rm3.00 sahaja dan ikan yang berjaya dipancing harus ditimbang mengikut jenis gred ikan ( Sila Rujuk Post *Kolam Pelita Harmoni (PH) ).

Admin Biarkan "Bottom" Sahaja
Kali ini Admin sengaja menggunakan set Heavy Action, Rod Abu Garcia Tournament Sx 7'0", kekili OKUMA Trio Baitfeeder 55 dan Braided Line Ichiban 60lb. Manakala Ringgo pula menggunakan set ringan beliau yakni Rod PENN Squadron 5'6", Kekili PENN Battle 2000 dan Braided Line Ichiban 20lb. Kami ingin menguji keberkesanan tahap kepuasan melayan spesies di kolam ini dengan penggunaan set berlainan. Setelah persiapan perambut di buat, Admin menggunakan umpan Udang hidup manakala Ringgo pula menggunakan isi Ikan Kembung yang dipotong kecil. Kemudian labuhan dibuat di kolam Kerapu bahagian berdekatan kincir air dimana kami tahu situ merupakan kawasan lepak "Sang Kerapu" cuma saiznya akan sudi menjamah umpan yang tidak kami ketahui, berkemungkinan 2kg, atau 4kg.

Ringgo Sedang Melayan Asakan!!!...
Kerapu Hybrid Seberat 2 Kilo...
Setelah hampir 15 minit labuhan dibuat tidak terdapat sebarang sambaran dari makhluk dasaran. Ringgo cuba untuk mengulung tali beliau kemudian tiba-tiba, "Eh..Eh..Ada..Ada.." kata Ringgo, rupanya umpan isi ikan beliau telah dimakan secara senyap. Apa lagi bermulalah sesi pertarungan dengan Sang Kerapu yang dicari-cari. Admin sempat merakam gambar aksi beliau dan detik-detik pertarungan beliau. Lebih kurang 3 minit melayan asakan, lalu tertewaslah seekor Kerapu anggaran skala 2kg. Memang mendebarkan jika kita menggunakan set ringan untuk melayan.

Giliran Admin Pula Bertarung!!!...
Terbaik!!!...
Kerapu Hybrid Yang Tertewas Seberat 2.5 Kilo...
Sedang kami sibuk mengambil gambar dan bergembira meraikan hasil tangkapan Ringgo, mesin baitfeeder Admin memuntahkan tali keluar, nampaknya pengera teknologi Baitfeeder Admin berfungai dengan baik. Joran diangkat dengan cermat dan Admin melakukan satu sembatan, "Yes..Aku Punya Dah Kena...Yahuu.." kata Admin kepada Ringgo yang ketika itu sedang sibuk memasang ring pada mulut tangkapannya. Walaupun set berat yang digunakan namun kudrat tarikan Kerapu kali ini amat kuat sekali. "Berat Nie...Penat Nak Layan..." kata Admin. Kepuasan masih dapat dirasakan sewaktu pertarungan dan setelah dilayan dengan baik akhirnya tertewaslah seekor Kerapu anggaran skala 2.5kg.

Berkocak Air - Lihat Betapa Ganasnya Si Merah Ini...
Sememangnya satu kepuasan dikecapi apabila joran masing-masing mengena dan beroleh tangkapan. Setelah selesai menambat hasil tangkapan di tepi kolam, tanpa membuang masa kami beralih kepada Kolam No. 3 yakni kolam Jenahak, namun menurut taukeh kali ini ada dilepaskan Ikan Merah. Bolehlah kami cuba menangkap untung-untung boleh buat Sup Ikan Merah untuk berbuka puasa nanti. Kali ini Ringgo masih menggunakan isi Ikan Kembung dan Admin pun turut sama menggunakan umpan yang sama memandangkan potensi umpan tersebut cepat disambar.

Tertewas Seekor Merah
Ikan Merah - Sedap Jika Dibuat Sup!
Tidak sampai 10 minit sekali lagi kekili Baitfeeder Admin memuntahkan tali. "Alhamdulilah Bob...Nampaknya Menjadi Juga Umpan Ikan Kembung Nie..." kata Admin kepada Ringgo. Setelah di layan dengan cermat kelihatan warna kemerah-merahan timbul di permukaan air, "Yes..Ikan Merah...Ikan Merah...Bawa Tangguk Cepat..." kata Admin. Akhirnya Admin berjaya mendaratkan seekor Ikan Merah. Pada mulanya risau kalau Jenahak yang sudi, alhamdulilah berjaya dapatkan spesies yang dicari.

Ringgo Dan Si Merah...
Ringgo juga berjaya menjerat seekor ikan Merah, nasib kami memang begitu baik sekali kerana setiap umpan yang dilabuh akan digetu tidak kurang dari 10 minit. Mungkin waktu makan bagi ikan-ikan dikolam tersebut atau mungkin juga tekanan pemancing tidak begitu ramai. Setelah Ringgo berjaya mendaratkan hasil tangkapan beliau, kami sepakat untuk berpindah dan menduga kolam No. 1 (Siakap), entah apa yang sudah merasuk kepala kami, rasa ketagih pulak hendak menarik ikan.

Jom Kita Pindah Kolam...
Selesai Menangkap Spesies Yang Diidamkan Kami Berhijrah ke Kolam No. 1 (Siakap)
Memandangkan umpan Udang dan isi ikan Kembung kami masih ada, jadi tidak perlulah kami membeli lagi dan boleh diguna pakai untuk sesi pemancingan di Kolam No. 1 (Siakap) nanti. Bilangan pemancing di sini agak ramai berbanding kolam lain almaklumlah kolam Siakap ini merupakan spot kegemaran orang ramai untuk memancing memandangkan harga timbangan yang jauh lebih murah berbanding kolam lain.Menurut taukeh, beliau ada melepaskan banyak Siakap saiz hidangan pada hari tersebut, memang tidak dapat dinafikan Admin dan Ringgo masing-masing berjaya mendaratkan hasil di kolam tersebut.

Siakap "Hook Up" Di Badan...
Admin 3 Ekor Dan Ringgo 1 Ekor...
Akhir kata, sekian sahaja cerita kali ini dari kami P2U Angler untuk tatapan semua. Selamat berpuasa diucapkan kepada semua dan jangan lupa untuk teruskan mengikuti perkembangan kami bagi sesi yang akan datang.

-Assalamualaikum wbt.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...