Showing posts with label Kolam Green Paradise Rawang. Show all posts
Showing posts with label Kolam Green Paradise Rawang. Show all posts

23 December 2013

"Casting" Di Kolam GP - (21.12.2013)

(Pemandangan Kolam Di Waktu Pagi)
Pada hari Sabtu lepas, ahli P2U Angler telah menerjah ke Kolam Green Paradise (GP) yang terletak di Rawang, Selangor Darul Ehsan. Bagi kaki-kaki pancing mungkin telah biasa mengunjunginya akan tetapi bagi mereka yang belum pernah ke sana anda bolehlah pergi menduga makhluk dasaran disana.

(Awal Pagi Dah Tercegat Di Kolam - 1st 'Debut' @ Lebai)
Cara untuk kesana sekiranya anda dari pusat bandaraya Kuala Lumpur adalah dengan melalui lebuhraya Jalan Kuching terus sahaja sehingga anda melepasi bulatan Selayang, kemudian akan nampak Pasar Selayang di sebelah kiri dan kanan anda dan teruskan memandu sehingga naik bukit dan kemudian terus turun bukit dan anda akan nampak Taman Rimba Templer disebelah kanan jalan anda. 100 meter sebelah kiri anda simpang perumahan dan kolam tersebut berada disekitar perumahan itu, kalau tanya pakcik 'Guard' mereka pasti tahu.

(Casting Yeop!!!...)
Berbalik kepada cerita tadi, kami tiba seawal jam 9am di kolam tersebut dan kelihatan ramai pemancing yang sudah berada disana, rata-rata sedang sibuk mengilat. Setiap 15 - 20 minit pasti akan ada sambaran yang diterima oleh pamancing disitu agaknya waktu ikan sedang makan. Trip kali ini disertai oleh Saya (Admin), Ringgo, Jojo dan Lebai yang merupakan penampilan pertama beliau memancing bersama kami. Lebai merupakan otai memancing memandangkan beliau adalah yang paling 'Senior' anda kami.

(Lebai Dan Ringgo Menunggu Ikan)
Masing-masing berpecah untuk mencari port yang baik dan menarik sesuai untuk persembahan mengilat. Balingan demi balingan dibuat namun masih tiada sebarang sambaran diterima oleh saya mahupun rakan yang lain. Namun dalam pada masa itu terdapat beberapa pemancing lain yang kerap kali menerima sambaran dari Siakap kolam itu. Pada pandangan saya mungkin masih belum ada rezeki, biarlah.

(Rod Seahawk 5'ft Dan Kekili Daiwa Crest 1500)
Saya cuba untuk berpindah ke port yang lebih baik, dan masih berusaha mengilat Siakap. Agaknya perambut saya terlalu pendek rasanya kerana pada pendapat saya perambut paling kurang haruslah panjang 1 hasta atau 1/2 depa (*Sila betulkan saya sekiranya silap diruang komen). Untuk mengilat ikan  Siakap, panjang perambut harus dititik beratkan disebabkan ianya selalu bermain di kawasan tengah dasar air.

(Dah Naik Siakap...)
Tiba-tiba dari jauh kelihatan Lebai sedang bertarung dengan mangsanya, boleh tahan juga tarikannya, otailah katakan. Ada pemancing berbangsa Cina membantu menangguk ikan beliau. Akhirnya Lebai berjaya menewaskan seekor Siakap berat 1.8kg dan sepanjang 50cm. Bolehlah, penampilan sulung dah membuahkan hasil orang cakap.

Saya, Ringgo dan Jojo masih belum mendapat sebarang sambaran dari penghuni di sana. Apalah nasib, sudahlah tempoh hari 'Kumpau' di kolam Seri Tanjung. "Sabar Itu Separuh dari Iman", bak kata pepatah tersebut kami masih lagi cuba mengawal kesabaran. Tekanan dirasakan kerana sesi pancingan kami hanya dihadkan selama 2 jam berikutan masing-masing mempunyai hal di waktu tengah hari, oleh itu andai dapat seekor seorang pun jadilah.

(Siakap  Juvenil Berat 1.8kg Dan Panjang 50cm)
Jojo ada mendapat sambaran namun umpannya dibawa lari dan terlucut dari mata kailnya berkemungkinan Kaci atau Senangin Taiwan. Saya dan Ringgo masih belum merasa sebarang sambaran. Akhirnya masa yang diperuntukkan telah tamat, kami tiada pilihan lain selain dari berhenti memancing dan beredar dari kolam disebabkan ada hal. 

Akan tetapi alhamdulilah syukur kerana walau kami 'Kumpau' namun P2U Angler masih berjaya membawa balik seekor Siakap milik Lebai sebagai trofi dari kolam tersebut. Sekian sahaja cerita dari kami untuk tatapan para pembaca Pancing2u, sehingga bertemu lagi dalam cerita akan datang. Assalamualaikum WBT.

27 August 2013

Kolam Green Paradise (GP), Rawang - (15.08.2013)

Dalam menghabiskan cuti hari raya ini, saya (Admin) telah mengaturkan beberapa trip untuk memancing di kolam-kolam sekitar kawasan tempat tinggal. Sepanjang cuti 1 minggu tersebut saya telah meluangkan masa menduga makhluk dasaran di beberapa kolam antaranya Kolam No. 2 Sea Lion, Kolam Jugra Sport Fishing dan Green Paradise (GP), Rawang.

(Kolam Yang Lengang)
Dalam menghabiskan cuti hari raya ini, saya (Admin) telah mengaturkan beberapa trip untuk memancing di kolam-kolam sekitar kawasan tempat tinggal. Sepanjang cuti 1 minggu tersebut saya telah meluangkan masa menduga makhluk dasaran di beberapa kolam antaranya Kolam No. 2 Sea Lion, Kolam Jugra Sport Fishing san Green Paradise (GP), Rawang.

(Banax Xtream GT 3000 dan Abu Tourmanent SX)
Ada yang kumpau, ada yang membangau, dan ada juga yang rabut. Tidak dapat dinafikan yang bukan setiap kolam saya pergi saya akan berjaya mendaratkan ikan cuma apa yang saya fokus untuk dititik beratkan adalah ilmu yang diperoleh antaranya teknik memancing, ekologi setiap kolam tersebut, corak pemakanan dan diet ikan-ikan tersebut malah info dari "otai-otai" kolam dalam memilih kekili, tali dan rod juga harus diambilkira. Almaklumlah saya ini budak baru belajar, pandangan dan nasihat dari pakar kolam harus dipelajari.

(Berjaya Mendaratkan Siakap Juvinil 1.6KG)
Pada sesi kali ini saya telah turun ke GP, Rawang untuk mencuba nasib. Disebabkan masa agak terhad dan kadar kewangan selepas menyambut hari raya berkurangan saya hanya memancing selama 2 jam pada kadar Rm40.00. Saya hanya berserah kepada Allah S.W.T andai kata sesi kali ini pulang kumpau juga. Saya tiba dikolam tersebut pada pukul 1.20pm dan kelihatan orang berkurangan disana kerana hari tersebut merupakan hari bekerja. Apa yang kita sedia maklum, apabila orang kurang memancing bermakna taukeh kolam secara automatiknya akan melepaskan ikan tidak banyak.

Walau bagaimana pun itu tidak mengoyahkan saya untuk turun beraksi di kolam tersebut. Pepatah mengatakan "Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan". Saya akan tetap menggagahkan diri dan berusaha untuk membawa pulang ikan pada hari tersebut. Karauan demi karauan dilakukan namun masih tidak mendapat sebarang getuan dari sang penghuni kolam. Kejadian sangkut di celah-celah batu itu kerap berlaku. Umpan Udang sudah 5 ekor ditukar, asal biar bottom sahaja Udang mati ekoran dibedal anak ikan Lampam yang ada dikolam tersebut.Ini menambahkan lagi stress saya sebab harga seekor Udang bukannya murah Rm1.00.

Kini waktu memancing semakin tenat dan sudah sampai ke penghujungnya, sudah hampir 2 jam. Tiba-tiba ada seorang pemancing yang ingin dikenali sebagai Abg Sani datang ke port saya memancing dan kami pun layan borak tentang pengalaman dan berkongso ilmu serta teknik memancingnya. Abg Sani berasal dari Kelantan dan sudah biasa memancing di kolam tersebut, katanya pada hari tersebut dia cuti sebab semalam dia dah berjaya menaikkan 7 ekor ikan di situ. Dia juga memberitahu ada sebuah kolam pancing yang ada di Pulau Carey yakni Kolam Pancing Loong Sang. Kolam tersebut mempunyai makhluk dasaran yang bersaiz gadang dan sesuai jika ingin merasa tarikannya.

Banyak ilmu saya berjaya peroleh darinya dan sedang berborak-borak tiba-tiba saya menerima getuan dari sang penghuni dasaran, tengok gaya macam seekor Siakap. Abg Sani menyuruh saya melepaskan tali dan mengetatkan drag sedikit, ikan sudah terjerat san saya mengawal pergerakan ikan tersebut agar tidak terlepas. Apabila tiba di tepi kolam tangguk digunakan untuk menyauk ikan dikuatiri rabut dari tali memandangkan ikan bergerak ganas bila tiba dipermukaan kolam. Alhamdulilah saya berjaya mendaratkan seekor Siakap berat berukuran 1kg. Nasib baik disaat akhir ada ikan yang sangkut, memang rezeki saya pada hari itu.

(Brader Indon Siang Ikan)
Apa yang bagus disini ada disediakan perkhidmatan menyiang ikan yang ditangkap dan pemancing hanya dikenakan bayaran Rm2.00 sahaja. Akhir kata dari saya, terima kasih diucapkan kepada pembaca Pancing2u kerana sudi meluangkan masa membaca aktiviti memancing disini. Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan "Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Batin".

28 July 2013

Qiyamullail Di Kolam GP, Rawang - (26.07.2013)

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia dan paling bererti bagi umat islam di Malaysia. Bulan dimana semua umat islam menjalani ibadah puasa yakni menahan lapar dan dahaga. Sekilas pandang pastinya aktiviti luar seperti memancing dihadkan kerana menggunakan kudrat dan tenaga untuk menarik ikan, Casting, berpanas terik dan yang merokok juga tidak boleh merokok dan ini antara faktor yang menyebabkan aktiviti memancing menjadi terhad tapi kalau dah digelar pemancing "Heavy Duty" Ramadhan atau tidak pasti diredahnya sahaja.

(Suasana Larut Malam Di Kolam GP)
Bahang dan rasa rindu untuk menarik ikan terasa semakin menjadi-jadi. Saya (Admin) tidak terlepas dari merasai aura tersebut lantas satu trip tergempar dilaksanakan pada malam Jumaat Nuzul Al-Quran ekoran pada keesokan harinya saya bercuti kerana bekerja di Selangor. Saya telah ke Kolam GP, Rawang ditemani adik saya. Kami masuk ke kawasan kolam pancing tepat pukul 12mlm.

(Admin Dan Adik)
Setelah membuat pembayaran bagi 1 batang joran untuk pancingan selama 3 jam sebanyak Rm60, kami pun masuk dan tawaf sekeliling kolam untuk mencari port-port yang dirasakan sesuai. Ramai juga pemancing yang turun pada hari itu mencuba nasib. Ada yang telah pun mendapatkan hasil dan ada juga yang membangau tidak lupa juga kepada yang Kumpau. Akhirnya kami duduk di port hujung bersebelahan kincir air untuk.  mencuba nasib.

(Abu Garcia Black Max)
Untuk sesi kali ini sebenarnya saya ingin menurunkan kekili "Baitcaster" Abu Garcia Black Max yang baru dibeli sehari sebelumnya. Kejadian "Backlash" atau meehun kerap berlaku almaklumlah saya baru pertama kali menggunakan kekili casting. Oleh yang demikian saya terpaksa menyimpan kembali kekili tersebut dan seperti biasa saya menggunakan kekili Spinning Banax Xtream 3000 yang dililit tali flurocarbon berkekuatan 40lb.

Labuhan 1st Admin Telah Mengena Siakap Yang Sedang Lapar)
Baru sahaja balingan pertama saya dengan menggunakan teknik Casting dan tarik-tarik sedikit telah membuahkan hasil, umpan Udang hidup yang dilabuhkan telah mendapat sambaran dari seekor Siakap. Memang bernasib baik betul saya pada malam itu. Setelah ikan didaratkan, saya menggantikan dengan umpan Udang yang baru. Dalam tidak semena-mena ramai pula pemancing berpindah kedudukan bersebelahan tempat saya memancing. Hai, mengganggu betul corak persembahan saya malam itu kerana kejadian sangkut dan tersauk tali pemancing lain kerap berlaku.

(Gembira Dengan Hasil Tangkapan)
Sehingga ke akhir sesi pemancing saya di kolam tersebut saya hanya mampu mendaratkan 1 ekor Siakap  bersaiz "Juvenile" dan se1.6kg sebelum berakhirnya sesi pancingan kali ini. Alhamdulilah nasib baik saya tidak pulang "Kumpau". Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada pembaca blog Pancing2u kerana sudi meluangkan masa untuk membaca cerita diatas dan jangan lupa untuk menantikan cerita mengenai sesi pemancingan kami di Kolam Sealion.

(Siakap Berat 1.6 Kilogram)
-Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dari kami P2U Angler

21 July 2013

Siakap Gadang!!! Kolam Pancing (GP), Rawang - (04.07.2013)

(Kolam Green Paradise (GP), Rawang)
Bertemu lagi dalam aktiviti memancing Budak-budak P2U Angler. Pada sesi kali ini kami telah pergi menerjah kolam pancing yang tidak asing lagi bagi "Angler-Angler" yang tinggal di sekitar Lembah Klang mahupun di daerah Selangor. Kolam tersebut adalah Kolam Pancing Green Paradise (GP) yang terletak di Rawang bersebelahan dengan Taman Rimba Templer. Lokasi kolam ini sememangnya strategik dengan dikelilingi bukit-bukau yang hijau dan sejuk menunjukkan ekosistemnya yang masih belum dicemari. Jarak kolam tersebut dari Pusat Bandar Kuala Kumpur hanya memakan masa lebih kurang 30 minit sahaja, bergantung kepada kesesakan lalulintas.

(Pemandangan Kolam Pancing Yang Tenang)
Pemancing hanya perlu menggunakan lebuhraya di Jalan Kuching andai anda dari Pusat Bandar kemudian jalan terus hingga melepasi pasar borong Selayang di sebelah kiri dan kanan anda kemudian terus lagi sehingga bertemu Jabatan Ukur Tanah disebelah kanan anda dan teruskan perjalanan sehingga anda melihat Taman Rimba Templer di sebelah kanan dan perumahan disebelah kiri. Masuk ke taman perumahan tersebut dan anda perlu melepasi satu pondok pengawal (*Boleh Lepas) dan anda akan sampai ke kolam tersebut.

(Yuran Memancing)
Bayaran untuk sesi 3 jam pemancingan adalah sebanyak Rm60.00 dan setiap 1 jam berikutnya di kenakan cas Rm 20.00. Minimum adalah 3 jam memancing dan umpan hidup seperti udang ada dijual pada harga Rm1 seekor. Terdapat kemudahan untuk pemancing seperti tempat letak kereta, kedai makan dan minuman, tandas awam, surau dan tempat menyiang ikan juga ada disediakan. Apa yang menyeronokkan adalah ketika memancing pekerja gerai tersebut akan membuat "Tawaf" disekeliling kolam mengambil pesanan makanan dari pemancing-pemancing jadi kita tidak perlu berlapar ketika menjerat penghuni dasaran. Pemancing boleh "Mengeteh" sambil berborak-borak dengan kawan-kawan ketika memancing. Ini adalah satu inisiatif yang baik.

(Joran Dilabuhkan Dan Sesi Memburu Bermula)
Setelah mendapat info dari seorang kawan yang telah kesana dan mengatakan kolam tersebut bagus. Budak-budak P2U Angler pun telah membuat rujukan berkenaan kolam tersebut dari pelbagai aspek melalui laman web google dan forum-forum di internet lalu kami semua sepakat untuk menguji kolam tersebut.  Pada sesi kali ini hanya Saya (Admin) dan Ringgo yang turun untuk menguji hidupan dasar disini. Setelah membuat rujukan di internet, didapati terdapat specis hidupan seperti Siakap, Senangin Taiwan, dan Jenahak yang menghuni kolam GP, Rawang ini dan diet utama mereka adalah Udang.

(Ringgo Masih Tekun Memancing)
Saya mempertaruhkan Kelili keluaran Banas Xtream 3000 dan Rod Abu Tournament SX berkekuatan 10-30lb manakala tali pula saya hanya menggunakan Tali Flurocarbon 40lb keluaran Lemax. Ringgo pula mempertaruhkan Kelili baru dibelinya PENN Battle 4000 dan Rod PENN Marco berkekuatan 10-20lb manakala tali braided 30lb keluaran Power Pro. Senjata yang dipertaruhkan semuanya diperlukan untuk menawan makhluk dasaran disana GP, Rawang sebab dengar cerita makluk dasaran disana semuanya saiz gadang-gadang belaka.

(Otai Kolam Aka Pakcik Zainal) 
Sesi pancingan kami bermula pada pukul 12 tengah hari di kolam tersebut memandangkan masa yang diperuntukkan 3 jam sedang eloklah rasanya kerana pada waktu begini ikan-ikan sedang liar memburu makanan. Masa berlalu dengan pantas sekali sedar tidak sedar sudah 2 jam berlalu namun masih tiada sebarang tangkapan. Puas sudah mengilat dan menanam umpan malah berbagai-bagai teknik dijalankan namun masih "Kumpau". Nasiblah ada pekerja kedai makan yang lalu untuk mengambil pesanan, bolehlah kiranya membasahkan tekak dan hilangkan stress apabila berborak dengan rakan.

(Bertarung Dengan Siakap Gadang!)
Setelah agak lama menunggu, Ringgo menyatakan hasrat untuk bertukar port ke kawasan yang lebih strategik untuk menjerat ikan mungkin nasib akan lebih baik. Saya pun bersetuju dengan cadangan tersebut dan kami pun berpindah ke kawasan kincir air sebelah hujung kolam. Disana kami bertemu dengan seorang pakcik yang hanya ingin dikenali dengan nama Pakcik Zainal, menurut beliau teknik kami salah untuk menjerat makhluk dasaran dikolam tersebut. Memandangkan beliau selalu turun ke kolam tersebut dan melihat hasil tangkapannya juga agak membanggakan 3 ekor lalu kami bertanyakan perihal teknik dan cara dari beliau. Pakcik Zainal tidak kedekut ilmu dan sudi menolong kami malah beliau sanggup mengikat tali perambut joran kami.

(Siakap Berjaya Ditewaskan)
Tiba-tiba joran Abu Tournament SX saya terasa satu sambaran yang agak kuat, kemudian saya melepaskan tali untuk membiarkan mangsa membawa lagi umpan Udang tersebut. Apabila ia leka saya menutup dan mengetatkan Drag sedikit demi sedikit dan mula melayan penangan makhluk dasaran tersebut. Pada pandangan saya ianya adalah seekor Siakap dan terbukti ianya benar. Hampir 10 minit bertarung dan akhirnya Siakap tersebut tertewas. Alangkah gembiranya hati ini setelah seharian menunggu dan akhirnya berjaya mendapatkan seekor Siakap anggaran saiz 2++ KG. Memang nasib orang cakap!.

(Wajah Kegembiraan Terpancar Setelah Mendapatkan Ikan)
Ringgo masih belum berjaya menaikkan ikan mungkin belum sampai rezekinya lagi. Sekali-sekala terasa getuan pada joran beliau tetapi apakan daya belum tiba masa mengena. Saya sudah berpuas hati dengan hasil tangkapan ini, Memandangkan masa memancing kami hanya tinggal lagi beberapa minit lalu kami pun sepakat untuk bersiap mengemas barang-barang pancing untuk pulang. Cukuplah untuk hari ini hasil tangkapan yang boleh di banggakan, nasib kami tidak pulang "Kumpau". Walaupun hasil tangkapan tidak banyak tapi kami sepakat untuk turun lagi ke Kolam GP, Rawang ini lain kali.

(Siakap Gadang Ada Bran!!!...)
Kepada rakan-rakan pembaca blog Pancing2u yang berminat untuk mencuba nasib di kolam ini sememangnya dialu-alukan. Ikut sahaja direktori jalan yang telah saya berikan pada awal cerita ini dan dinasihatkan agar rajin-rajin bertanya kepada mereka yang selalu turun memancing di kolam ini sebelum anda turun beraksi kerana takot ada yang "Kumpau" kerana ikan-ikan disini ada teknik dan cara untuk menggodanya. Sekian sahaja cerita kali ini dan nantikan episod seterusnya aktiviti P2U Angler dalam Pancing2u. Sekian Assalamualaikum WBT.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...