Showing posts with label Senangin Taiwan. Show all posts
Showing posts with label Senangin Taiwan. Show all posts

30 April 2015

Pertandingan Memancing Kolam Air Masin Anjuran MDKL - (25.04.2015)

Assalamualaikum kepada para pembaca pancing2u.com, baiklah kali ini Admin tidak memaparkan aktiviti memancing P2U Angler cuma sekadar memapar dan kongsikan program memancing anjuran MDKL yang bertempat di Kolam Ikan Air Masin Jalan Bandar @ Jugra Sport Fishing, Banting. Pertandingan Memancing Kolam Air Masin anjuran  Kelab Sukan & Kebajikan MDKL yang telah diadakan pada 25 April 2015 yang lalu. 

Tempoh hari Admin ada menerima kiriman foto dari taukeh kolam tersebut Haji Sani melalui aplikasi Whatsapp. Pertandingan tersebut merupakan acara tertutup yang mana hanya disertai oleh pekerja dan ahli keluarga MDKL sahaja. Oleh yang demikian kolam tersebut telah ditutup dari jam 8:00 pagi hingga 2:00 petang. Kolam tersebut hanya dibuka selepas jam 2:00 petang kepada pemancing-pemancing luar.

Pihak kolam telah melepaskan banyak ikan-ikan bersaiz gadang untuk dijadikan sebagai ikan pertandingan anggaran 2-3 kilogram. Kebanyakkan spesies yang berjaya dinaikkan adalah spesies Siakap, Kerapu dan Senangin Taiwan. Peserta juga kelihatan gembira dan ceria kerana dapat beriadah bersama keluarga dan menjalinkan ukhwah sesama sendiri.

Akhir kata bagi mereka yang masih belum pernah mencuba memancing di Kolam Jugra Sport Fishing, Banting, Ayuh! rancang untuk turun ber 'komplot' bersama rakan-rakan disini kerana pakej dan bayaran masuk ke kolam tersebut tidaklah terlalu mahal dan hasilnya juga agak memberansangkan. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan kolam boleh rujuk maklumat kolam di bahagian kanan blog (*Jugra Sport Fishing). Sekian sahaja dari P2U Angler untuk semua, Assalamualaikum wbt.








15 September 2014

Kolam Pancing Kita, Kuala Lukut - (06.09.2014)

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca Pancing2u.  Kali ni saya ingin berkongsi trip memancing di satu-satunya kolam air masin semulajadi di Port Dickson iaitu Kolam Pancing Kita. Biasanya jika saya ke rumah adik yang terletak di Semenyih, saya akan melawat kolam-kolam pancing sekitar Semenyih dan Pajam. Namun disebabkan kolam-kolam ini tidak menggunakan air masin semulajadi, jadi saya pun menggunakan khidmat “Google Search Engine” untuk mencari kolam lain yang berdekatan.

Selamat Datang Ke Kolam Pancing Kita
Hasil carian membawa saya ke Kuala Lukut menggunakan Lebuhraya Seremban-Port Dickson hala ke arah Pekan Lukut. Di simpang empat bersebelahan pasaraya Giant Lukut, belok kanan dan ikut papan tanda ke arah kolam di hujung jalan. Saya sampai di kolam ini sekitar jam 8.15 pagi dan kolam juga masih belum dibuka. Setelah menunggu seketika, saya pengambil keputusan untuk menelefon pihak kolam. Saya kemudian dimaklumkan pekerja kolam akan tiba lambat sedikit disebabkan urusan yang tidak dapat dielakkan.

Pemandangan Kolam
Sementara menunggu, saya berbual bersama-sama rakan pemancing lain yang baru tiba sambil masing-masing mula menyiapkan set untuk buruan pagi ini. Jelas dari perbualan kami, mereka merupakan pengunjung tetap kolam dan selalu datang ke sini. Menurut mereka, ikan lebih aktif di air masin semulajadi. Semasa saya sedang menyiapkan perambut untuk 'Casting', mereka memberi tips agar 'Casting' di buat disekitar bucu kolam terutamanya berhampiran bilik air. 

Kadar Bayaran Kolam

1 Jam = RM14.00 (Minimum 3 Jam)
3 Jam = RM42.00 + RM3.00 = RM45.00
6 Jam = RM67 + RM3.00 = RM70.00

Waktu Operasi

Ahad - Jumaat = 8:00am - 2:00am
Sabtu Dan Cuti Umum = 24 Jam
*Rabu = Tutup

Hubungi

Pak Yob - 019-245 0057
Harry - 012-287 0184

Tidak lama kemudian, tauke kolam dikenali sebagai Pak Yob tiba untuk membuka kolam. Tanpa membuang masa, semua pemancing terus mencari spot yang dirasakan terbaik untuk menghidangkan sarapan pagi kepada sang penghuni kolam. Kelihatan rakan pemancing yang mengilat berjaya menaikkan dua ekor Aruan Tasik. Setelah saya mengilat satu pusingan kolam namun masih belum beroleh sebarang sambaran, lalu saya menukar kepada kaedah 'Bottom' dan duduk berhampiran kaunter.

Pak Yob Menunjukkan "Skill" Balingan Beliau...
Pak Yob datang di sebelah saya dan bersiap untuk menduga penghuni kolam beliau sendiri menggunakan kaedah pelampung dengan umpan Udang kopek. Setelah balingan dibuat, kami mula berbual mengenai dunia memancing. Menurut Pak Yob, terdapat lebih 300 ekor ikan dari 11 spesis di kolam ini. Untuk mereka yang menggunakan teknik pelampung (Drifting) dan Bottom, tips yang diberikan ialah balingan perlu dibuat berhampiran sangkar di tengah kolam. Setelah beberapa kali membuat balingan, Pak Yob mendapat strike dan berjaya mendaratkan seekor Senangin dengan berat sekitar 1.5kg.

Senangin Seberat 1.5KG...
Kami meneruskan perbualan dan kali ini disertai oleh pekerja kepercayaan Pak Yob iaitu Azmi. Disebabkan keramahan Pak Yob dan Azmi yang tidak lokek berkongsi pengalaman dan pelbagai tips memancing, kami rancak berbual sehingga saya tidak lagi fokus kepada pemancingan. Sekitar jam 12 tengahari, Pak Yob meminta diri untuk menghadiri majlis kenduri. Saya berpindah ke pondok berhampiran pintu masuk kolam dan menukar teknik pelampung (Drifting) dengan mrnggunakan umpan Udang hidup. Balingan yang dibuat di tepi sangkar disambar oleh penghuni kolam tidak lama kemudian. Agak malang ketika pertarungan, ikan yang tidak diketahui spesisnya itu berjaya meloloskan diri. Ah Yong yang berada disebelah saya dan juga pemancing tegar kolam ini menerima sambaran tidak lama kemudian.

Azmi Menjalankan Tugas Melepaskan Ikan...
Setelah melakukan beberapa balingan, saya pun mengambil keputusan untuk mengakhiri sesi lawatan kerana perlu pulang ke Johor kerana keesokkan harinya bekerja. Sepanjang pemerhatian saya berada di kolam ini, apa yang dapat dipelajari adalah kaedah casting, bottom dan pelampung (Drifting) merupakan teknik yang paling mujarab bagi mendapatkan ikan dan paling mencuri perhatian saya ialah gelagat Ah Yong yang sentiasa mendaratkan ikan.

Ah Yong Dan Hasilnya - Lumayan Betul!!!

Trip pengenalan kali ini membuatkan saya nekad untuk kembali lagi ke kolam ini dan akan lebih fokus untuk memancing. Terima kasih diucapkan kepada para pembaca Pancing2u kerana sudi meluangkan masa membaca cerita diatas. Akhir sekali jangan lupa untuk menantikan laporan seterusnya dari kami P2U Angler.

29 January 2014

Pecutan "Torpedo" Senangin Taiwan!!!... - (28.01.2014)

"Jom turun Jugra malam nie?" Kata Ringgo.

"Aku on jer!" Kata Jojo.

"Tengoklah dulu kalau larat aku join korang...Walau apa pun teruskan aktiviti tanpa ku" Kata Saya (Admin).


Best Ooo...Naik Ini Kereta!
Tepat jam 8:30 malam P2U Angler berkumpul di parkir bawah rumah Ringgo di Shah Alam. Saya sebenarnya berat hati nak tinggal anak dan isteri lagi pun minggu bekerja takot esok barai mata tapi mana boleh tahan Ooo...'Komplot' kali ini tertumpu ke Kolam Pelita Harmoni (PH) yang terletak di Jugra, Banting. Kami ke lokasi dengan menaiki  Mitsubishi Lancer Jojo, berdesup perginya sekejap sahaja dah masuk kawasan kampung takkala laluan lebuhraya Kesas menjadi "Asapan" Si Jojo. 

 Ringgo & Jojo "Setting" Senjata Perang
Tiba di kolam sekitar pukul 9.15 malam dan kelihatan hanya beberapa kelibat pemancing yang merupakan penduduk sekitar memancing untuk mencari lauk. Kami terus ke pondok kaunter untuk memasang set perang dan membeli umpan Udang. Alamak!, malam tersebut hanya umpan Udang bersaiz kecil yang tinggal kerana stok udang besar ibu jari telah kehabisan dan belum tiba dari peraih. Dalam pemikiran kami, risau akan potensi rabut dan Udang dibawa lari dengan mudah oleh makhluk dasaran disitu kerana saiznya yang mudah lucut dari mata kail. Tidak mengapa itu semua tidak mengganggu fokus kami dan sesi pancingan harus di teruskan.

Layan "Casting" Tetapi Malam Itu Serba Tidak Menjadi
Bila Tidak Jalan Kita Main "Bottom" Sahaja
Selesai mengikat perambut dan membeli umpan, tiba masa untuk memilih kolam mana yang ingin diduga antara kolam no. 1 hingga 4. Kolam no. 1 telah pun kami cuba dan hasilnya memberangsangkan lalu kami sepakat untuk mencuba kolam no. 2 pada kali ini. Bayaran RM5.00 dikenakan bagi sebatang joran, eh apahal pulak naik RM2.00 pula selalu RM3.00 sahaja. Jawapan Indon bertugas senang dan bersahaja, "Mungkin taukeh nak bayar karen", macam ini punya hal pun ada adoi!. Mahu tidak mahu bayar sahajalah, baiklah kami pun mula bergerak ke spot yang dirasakan berpotensi iaitu ke pondok no. 2. Umpan mula dipasang dan di campakkan sehingg hujung tebing kolam dan membiarkan sahaja ia tertanam. Malam ini nak "Bottom" pula malas rasanya nak "Casting".

Seekor Senangin Taiwan Anggaran Saiz 3kg
Ringgo Dengan Senangin Taiwan 1st Dinaikkan...Beso?
Lebih kurang 30 minit kami masih tidak mendapatkan sebarang getuan dari makhluk dasaran dikolam no. 2 tersebut malah Ringgo dan Jojo sudah panas bontot duduk di spot yang sama dan ingin berubah ke pondok bersebelahan maka tinggallah saya keseorangan. Saya masih setia menunggu umpan di getu dengan sabar. Tiba-tiba Ringgo menyebat jorannya Zaappp!!!... rupanya tali dia sudah menegang dari tadi menandakan ada mangsa yang telah masuk perangkap beliau. Kreeeekk...Kreeekkk berdesing kekili Vintage milik Hj. Roseli yang baru lepas diservis oleh Kok Ming tempoh hari. Kawalan diberikan dengan baik lalu tertewaslah seekor Senangin Taiwan berskala Mama. Saya ada juga menerima 2 sambaran namun kesemuanya rabut.

2 Jam Pancingan Ringgo Berjaya Menaikkan 2 Ekor Senangin Taiwan
Apa lagi tunggu saya pun beredar ke spot yang Ringgo duduk tadi, mana boleh tahan tengok member "Fight" tanpa "Tag" kawan-kawan lain. Umpan pun dilabuhkan ke kawasan sekitar dan saya meneruskan sesi membangau saya. Jojo pula sudah hilang ke kolam  no. 1 mencuba nasib di kolam Siakap sebelah sana. Sedang saya dan Ringgo berborak-borak joran Ringgo seperti bergerak dan ditarik, Wah!, boleh tahan joran Dam Quick ini betul-betul "Quick" ikan makan, ada saka ker bang?. Ringgo berjaya mendaratkan seekor lagi Senangin Taiwan menjadikan beliau adalah pengumpul hasil tangkapan ikan setakat ini.

"Sabar...Sabar.. nanti adalah rezeki aku sekejap lagi" Saya cuba menguatkan semangat.

Itu Dia Ikan Gred "A" Sudah Mari!!!
Seekor Jenahak Kolam No. 3 Berjaya Saya Tewaskan
Jam telah menunjukkan tepat pukul 12:00 malam, dan saya dan Jojo masih belum menerima sebarang sambaran lalu saya mengambil keputusan untuk berpindah ke kolam no. 3 untuk mencuba Jenahak mana tahu ada rezeki bolehlah dari 'Kumpau'. Saya pun membuat balingan ke tengah kolam dan membiarkan sahaja umpan ditanam cuma saya menegangkan tali agar mata kail mudah tertancap di bibir ikan ketika ia sedang kemam dan membawa lari umpan Udang tersebut. Tunggu punya tunggu tiba-tiba joran saya ditarik rakus sehingga hampir tercabut masuk kedalam kolam, apa lagi rezeki sudah mari! Pertarungan pun bermula dan saya mengawal larian ikan meminimumkan tekanan agar tidak rabut lagi. Akhirnya saya berjaya menewaskan Jenahak tersebut, alhamdulillah.

Misi Tercapai - Lesen 1st Saya Mendapatkan Senangin Taiwan
Muuuaahh!!!...Sayang Dada
Kini sudah hampir 1.30 pagi, mata masing-masing sudah 'Barai' esok memang semua layu di pejabat, apa boleh buat dasar pemancing tegar. Sebenarnya Saya dan Ringgo sudah boleh pulang tetapi Jojo masih belum berjaya mendaratkan sebarang spesies oleh itu kami tunggulah dia. Sedang saya menghabiskan sisa-sisa udang tiba-tiba jorang saya melentur dan tali berpusu-pusu keluar dari spool, satu larian padu dibuat oleh makhluk dasaran yang tidak diketahui spesiesnya, namun firasat kami ianya Senangin Taiwan berdasarkan corak sambaran dan juga larian padunya ibarat "Torpedo". Kali ini memang saya terasa sengit apabila bertarung kerana habis tali saya dilarikan hingga hujung kolam. Puas saya mengepam joran dan mengetatkan drag dan berhati-hati mengawal pertarungan takot juga kalau rabut. Alhamdulilah akhirnya saya berjaya memperoleh seekor Senangin Taiwan dan ia juga merupakan lesen pertama saya.

Hasil Keseluruhan - 3 Senangin Taiwan / 1 Jenahak
Akhirnya 'Komplot' ini harus ditamatkan, Jojo akhirnya redha dengan keputusan malam ini tanpa sebarang tangkapan. Saya dan Ringgo sedang pening kepala hentak membayar di 'tol' kaunter nanti, tapi duit bukan ukuran bila pengalaman, kepuasan, dan keindahan sesi pancingan berjaya kami dapatkan pada malam itu. Baiklah sekian sahaja cerita mengenai aktiviti kami sehingga bertemu lagi dan ribuan terima kasih diucapkan kepada pembaca Pancing2u. Jangan lupa untuk berkunjung di kolam Pelita Harmoni ini, Memang Syok!.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...