19 January 2015

Muara Sungai Johor - ( November 2014)

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca setia Pancing2u. Laporan pertama tahun 2015 dari Selatan Tanah Air saya mulakan dengan berkongsi trip memancing di muara Sungai Johor. Sungai Johor memisahkan daerah Johor Bahru di sebelah Barat dan daerah Kota Tinggi di sebelah Timur. Muara Sungai Johor pula bertembung dengan Selat Tebrau yang menghadap Pulau Singapura. Terdapat jambatan Lebuhraya Senai-Desaru yang merupakan jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia buat masa ini.

Kedudukan Sungai Johor
Untuk memancing di muara Sungai Johor, terdapat banyak jeti yang menyediakan perkhidmatan menyewa bot. Antara lokasi jeti yang terkenal ialah di Kong-Kong, Sungai Layang dan Teluk Sengat.  Selain memancing dengan bot, terdapat beberapa rakit memancing di kawasan ini. Trip memancing bot saya biasanya terdiri dari enam orang. Lima orang ahli tetap iaitu saya, Najib, Pak Ndak (pakcik saya) dan dua rakan pakcik saya iaitu Pakcik Salleh dan Pakcik Noor. Seorang ahli jemputan untuk cukupkan korum biasanya terdiri daripada rakan-rakan atau pun saudara kepada ahli tetap. Pakcik Noor merupakan otai dan pakar rujuk kami di kawasan ini. Memandangkan rumah Pakcik Noor berhampiran jeti, hampir setiap minggu beliau akan turun memancing di kawasan ini. Bagi saya dan ahli-ahli lain pula, trip memancing di Sungai Johor merupakan aktiiti memancing bulanan yang bergantung kepada kedudukan bulan dan takwim pasang surut air laut. Biasanya kami akan memilih hujung minggu dengan keadaan air yang sesuai untuk memancing bagi meningkatkan peluang membawa hasil yang baik.

Persiapan Rapi Diperlukan
Maklumat Perkhidmatan Bot Dan Rakit Memancing
Persiapan lengkap perlu dipastikan seperti set memancing, umpan, peralatan keselamatan, first aid, baju hujan, makanan, minuman serta pakaian salinan. Untuk mengelakkan bahang terik matahari, trip memancing kumpulan kami akan dilakukan pada waktu malam. Kami akan mula turun selepas Asar dan pulang selepas Subuh keesokkan harinya. Kebiasaannya, kami akan turun ke Sungai Johor melalui jeti di Sungai Layang dan menyewa tiga bot gentian kaca (fiber). Bot biasanya disewa dari Rakit Yoyo ataupun Rakit Salleh. Setiap bot akan dinaiki oleh dua orang sahaja walaupun bot boleh dinaiki tiga pemancing. Selain untuk keselesaan, ianya juga untuk keselamatan dengan adanya bot rakan berdekatan untuk "Backup" sekiranya terjadi sesuatu perkara.

Dari Kiri - Najib, Nazri, Pak Ndak, Saya. Pakcik Salleh Dan Pakcik Noor
Untuk trip kali ini, ahli jemputan untuk mencukupkan korum ialah adik saya iaitu Nazri. Kami tiba di jeti pada jam 4 petang. Setelah menurunkan barang ke jeti, Pakcik Noor, Pak Ndak dan Pakcik Salleh bergerak ke rakit Yoyo untuk mengambil bot. Seperti biasa, ‘Partner’ bot saya ialah Pak Ndak, Najib akan bersama Pakcik Noor dan Nazri bersama Pakcik Salleh. Pakcik Noor akan mengetuai penjelajahan mencari lubuk terbaik. Sudah pasti buruan utama kami ialah spesis ikan air masin gred AAA seperti Jenahak, Pari, Kerapu, Siakap, Tebal Pipi dan sebagainya. Umpan yang dipilih ialah Perumpun (dipanggil Ruat di sini), Udang pasar, Udang hidup dan ikan Tamban. Teknik memancing bottom digunakan dengan balingan perlu dibuat berdasarkan kedudukan bot dan arus air.

Lepak Di Jeti Sementara Menunggu Bot
Bot Yang Mengambil  Satu Keluarga Ke Rakit Yo Yo
Sesi Menurunkan Peralatan Memancing Ke Dalam Bot
Pakcik Noor Dan Najib Memulakan Perjalanan
Saya Menunjukkan Skill Mengemudi Bot Diatas Arahan Pak Ndak
Misi Mencari Lubuk Bermula Di Ketuai Oleh Bot Pakcik Noor
Lubuk pertama dengan latar belakang Jambatan Lebuhraya Senai-Desaru
Hasil Pertama Najib - "Si Buntal"
Misi Mencari Lubuk Seterusnya
Suasana Senja Di Muara Sungai Johor
"Otai" Membuat Persediaan Memancing Malam
Setelah memancing untuk beberapa jam, Pak Ndak dan Pakcik Salleh mengambil keputusan untuk berlabuh di Rakit. Kebetulan pada trip kali ini, terdapat perlawanan akhir Piala Malaysia diantara pasukan JDT dan Pahang. Ramai pemancing di atas rakit dan banyak bot yang singgah untuk menonton bola. Seperti semua sedia maklum, keputusan malam itu berpihak kepada Pasukan Pahang seterusnya menghampakan hampir setiap orang di atas rakit pada malam itu. Tahniah diucapkan kepada skuad "Tok Gajah". Suasana kemeriahan di atas rakit menyebabkan menu makan malam kami iaitu Nasi Goreng Kampung terasa sangat sedap sekali. Kesempatan ini juga digunakan untuk menunaikan solat kerana menunaikan solat diatas bot kecil sesuatu yang agak mencabar. Setelah tamat perlawanan, kami meneruskan kembali buruan. Kali ini, Pak Ndak dan Pakcik Salleh membawa haluan masing-masing mencari lubuk. Walau bagaimana pun, setiap bot akan sentiasa berhubung untuk melaporkan hasil tangkapan dan lubuk yang ditemui.

Kemeriahan Memancing Diatas Rakit
Pemancing Yang Menyewa Bilik Dan Memancing Diatas Rakit
Keseronokkan memancing di atas bot dan mendengar bunyi air sambil memerhatikan bintang-bintang amat memberikan ketenangan kepada saya. Berdasarkan pengalaman lepas kami, ikan galak menjamah umpan sekitar waktu selepas Asar sehingga tengah malam dan sesi seterusnya bermula jam 4 pagi sehingga jam 7 pagi. Diantara jam 12 malam hingga 4 pagi, biasanya kami akan berkelah ‘Maggi Cup’ di tengah sungai atau mengambil kesempatan untuk tidur dalam tempoh sejam dua.

Kelihatan cahaya matahari pagi mula menyinar dan terasa bahangnya. Kami mula bergerak pulang ke jeti sambil menjeling ke dalam Kotak Ais yang mengisi hasil buruan. Seperti satu pertandingan tidak rasmi, setiap bot perlu menunjukkan hasil dan berkongsi lokasi lubuk baru jika ditemui. Seperti biasa, carta tertinggi hasil tangkapan jauh didahului oleh spesis Gelama, diikuti rapat dengan spesis Duri. Selain itu, Semilang, Siakap, Jenahak, Tebal Pipi, Malong, Ketuka dan Kerapu juga berada dalam senarai. Ketam sesat juga berjaya dinaikkan. Cabaran utama memancing di sini ialah umpan kerap disambar oleh Belin, spesis yang kelihatan seperti belut. Tiada pilihan lain, kami terpaksa memutuskan perambut jika Belin yang menelan umpan dan membelit perambut.

Masa Untuk Pulang Ke Jeti
 Ikan Siakap, Kerapu, Jenahak, Tebal Pipi, Duri dan Semilang
Ikan Gelama dan Ikan Duri memenuhi Kotak Ais Kami
Cuma seekor Ketuka berjaya didaratkan
Ketam saiz AAA yang berjaya didaratkan oleh Najib
Selepas mengemas kelengkapan, bot dihantar semua ke rakit. Seterusnya kami akan singgah di rumah Pakcik Noor untuk bersarapan pagi. Selepas itu, kami semua akan bergerak ke rumah saya yang biasanya dijadikan pusat pengagihan hasil tangkapan. Sampai di sini dulu laporan saya, terima kasih kerana sudi membaca laporan aktiviti memancing ini. Nantikan laporan seterusnya dari saya di Selatan Tanah Air.

6 comments:

  1. klu sewa bot boleh kita bawa sendiri tak?

    ReplyDelete
  2. pasal kawan teringin jugak nak mancing luar laut lepas...asyik mancing atas rakit jer...

    ReplyDelete
  3. klu sewa bot boleh kita bawa sendiri tak?

    ReplyDelete
  4. Penyewa boleh membawa bot sendiri

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...