15 September 2014

Kolam Pancing Kita, Kuala Lukut - (06.09.2014)

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca Pancing2u.  Kali ni saya ingin berkongsi trip memancing di satu-satunya kolam air masin semulajadi di Port Dickson iaitu Kolam Pancing Kita. Biasanya jika saya ke rumah adik yang terletak di Semenyih, saya akan melawat kolam-kolam pancing sekitar Semenyih dan Pajam. Namun disebabkan kolam-kolam ini tidak menggunakan air masin semulajadi, jadi saya pun menggunakan khidmat “Google Search Engine” untuk mencari kolam lain yang berdekatan.

Selamat Datang Ke Kolam Pancing Kita
Hasil carian membawa saya ke Kuala Lukut menggunakan Lebuhraya Seremban-Port Dickson hala ke arah Pekan Lukut. Di simpang empat bersebelahan pasaraya Giant Lukut, belok kanan dan ikut papan tanda ke arah kolam di hujung jalan. Saya sampai di kolam ini sekitar jam 8.15 pagi dan kolam juga masih belum dibuka. Setelah menunggu seketika, saya pengambil keputusan untuk menelefon pihak kolam. Saya kemudian dimaklumkan pekerja kolam akan tiba lambat sedikit disebabkan urusan yang tidak dapat dielakkan.

Pemandangan Kolam
Sementara menunggu, saya berbual bersama-sama rakan pemancing lain yang baru tiba sambil masing-masing mula menyiapkan set untuk buruan pagi ini. Jelas dari perbualan kami, mereka merupakan pengunjung tetap kolam dan selalu datang ke sini. Menurut mereka, ikan lebih aktif di air masin semulajadi. Semasa saya sedang menyiapkan perambut untuk 'Casting', mereka memberi tips agar 'Casting' di buat disekitar bucu kolam terutamanya berhampiran bilik air. 

Kadar Bayaran Kolam

1 Jam = RM14.00 (Minimum 3 Jam)
3 Jam = RM42.00 + RM3.00 = RM45.00
6 Jam = RM67 + RM3.00 = RM70.00

Waktu Operasi

Ahad - Jumaat = 8:00am - 2:00am
Sabtu Dan Cuti Umum = 24 Jam
*Rabu = Tutup

Hubungi

Pak Yob - 019-245 0057
Harry - 012-287 0184

Tidak lama kemudian, tauke kolam dikenali sebagai Pak Yob tiba untuk membuka kolam. Tanpa membuang masa, semua pemancing terus mencari spot yang dirasakan terbaik untuk menghidangkan sarapan pagi kepada sang penghuni kolam. Kelihatan rakan pemancing yang mengilat berjaya menaikkan dua ekor Aruan Tasik. Setelah saya mengilat satu pusingan kolam namun masih belum beroleh sebarang sambaran, lalu saya menukar kepada kaedah 'Bottom' dan duduk berhampiran kaunter.

Pak Yob Menunjukkan "Skill" Balingan Beliau...
Pak Yob datang di sebelah saya dan bersiap untuk menduga penghuni kolam beliau sendiri menggunakan kaedah pelampung dengan umpan Udang kopek. Setelah balingan dibuat, kami mula berbual mengenai dunia memancing. Menurut Pak Yob, terdapat lebih 300 ekor ikan dari 11 spesis di kolam ini. Untuk mereka yang menggunakan teknik pelampung (Drifting) dan Bottom, tips yang diberikan ialah balingan perlu dibuat berhampiran sangkar di tengah kolam. Setelah beberapa kali membuat balingan, Pak Yob mendapat strike dan berjaya mendaratkan seekor Senangin dengan berat sekitar 1.5kg.

Senangin Seberat 1.5KG...
Kami meneruskan perbualan dan kali ini disertai oleh pekerja kepercayaan Pak Yob iaitu Azmi. Disebabkan keramahan Pak Yob dan Azmi yang tidak lokek berkongsi pengalaman dan pelbagai tips memancing, kami rancak berbual sehingga saya tidak lagi fokus kepada pemancingan. Sekitar jam 12 tengahari, Pak Yob meminta diri untuk menghadiri majlis kenduri. Saya berpindah ke pondok berhampiran pintu masuk kolam dan menukar teknik pelampung (Drifting) dengan mrnggunakan umpan Udang hidup. Balingan yang dibuat di tepi sangkar disambar oleh penghuni kolam tidak lama kemudian. Agak malang ketika pertarungan, ikan yang tidak diketahui spesisnya itu berjaya meloloskan diri. Ah Yong yang berada disebelah saya dan juga pemancing tegar kolam ini menerima sambaran tidak lama kemudian.

Azmi Menjalankan Tugas Melepaskan Ikan...
Setelah melakukan beberapa balingan, saya pun mengambil keputusan untuk mengakhiri sesi lawatan kerana perlu pulang ke Johor kerana keesokkan harinya bekerja. Sepanjang pemerhatian saya berada di kolam ini, apa yang dapat dipelajari adalah kaedah casting, bottom dan pelampung (Drifting) merupakan teknik yang paling mujarab bagi mendapatkan ikan dan paling mencuri perhatian saya ialah gelagat Ah Yong yang sentiasa mendaratkan ikan.

Ah Yong Dan Hasilnya - Lumayan Betul!!!

Trip pengenalan kali ini membuatkan saya nekad untuk kembali lagi ke kolam ini dan akan lebih fokus untuk memancing. Terima kasih diucapkan kepada para pembaca Pancing2u kerana sudi meluangkan masa membaca cerita diatas. Akhir sekali jangan lupa untuk menantikan laporan seterusnya dari kami P2U Angler.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...