|
Selamat Datang Ke Pusat Memancing Udang KT, Gelang Patah |
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Pancing2u.
Kesibukkan bekerja agak membataskan waktu untuk menghayati aktiviti yang telah dilakukan
sejak zaman kanak-kanak lagi. Beberapa jemputan untuk turun ke laut dalam juga
terpaksa ditolak kerana kerana bekerja di hujung minggu. Jadi apabila ada
sedikit masa terluang, kolam memancing sudah pasti menjadi tempat untuk
beriadah dan melepak. Mudah dan selesa walaupun tanggapan umum menyatakan
buruan kolam tidak kira ikan ataupun udang tidaklah seganas buruan liar.
|
Yuran Memancing Dan Harga Taukeh Kolam Beli Balik Udang |
Kali ini saya ingin berkongsi tempat memancing yang terkenal
di kalangan pemancing Sepit Biru di Johor Bahru. Ianya terletak berhampiran terminal
pengangkutan Gelang Patah Central. Kolam ini banyak melepaskan udang bersaiz
‘kasar’ dan Jongkong (udang galah sepit biru). Lawatan kali ini dilakukan
bersama
‘Partner’ memancing saya iaitu Najib. Setelah selesai Solat Jumaat di
masjid berdekatan, kami terus menuju ke kolam. Tanpa membuang masa, joran mula
dipasang dan kedalaman air kolam disukat untuk menentukan panjang perambut. Kebiasaannya
kolam udang mempunyai kedalaman yang sedikit berbeza di setiap bahagian kolam. Setelah
joran telah sedia, umpan diletakkan di hujung kail dan sesi mencari Sang Sepit Biru pun bermula. Umpan yang paling kerap digunakan di sini ialah Cengkerik, Ruat/Perumpun dan Jantung Ayam. Ada juga pemancing yang menggunakan anak ikan kecil
yang memberikan hasil agak lumayan.
|
Stok Udang Baru Sampai |
|
Koleksi Jongkong Yang Diburu |
|
Saya Sedang Mengukur Kedalaman Perambut |
Apa yang menarik memancing udang adalah pelampung akan kerap tenggelam
menandakan umpan sedang disepit atau dijamah oleh Sang Sepit Biru. Dengan kesabaran,
masa membuat sentapan dan teknik yang digunakan yang menentukan udang berjaya
dinaikkan atau tidak. Trip memancing empat jam bersama Najib kali ini berjaya
menaikkan sekitar 500 gram udang sahaja. Dengan dua orang memancing, ianya satu
rekod yang kurang baik menurut saya.
|
Najib Mencari Sepit Biru Di "Lubuk" |
|
Hasil Kali Ini |
Saya menyediakan sebuah kolam kecil di rumah untuk
meletakkan udang hidup yang dibawa balik. Udang akan disauk apabila hendak
dimasak untuk mengekalkan kesegaran. Udang yang dipancing biasanya dapat
bertahan sehingga tiga minggu bergantung kepada tahap kecederaan akibat terkena
matakail.
|
Udang Kekal Segar Di Kolam Mini |
|
Koleksi Jongkong Saya |
Pada pandangan saya, kelebihan kolam ini seperti yang telah dinyatakan
banyak udang bersaiz besar dilepaskan. Terdapat juga
‘jackpot suka-suka’ yang
disediakan oleh pihak pengurusan. Pemancing boleh membuat cabutan sekiranya
berjaya menaikkan udang yang mempunyai potongan straw di ekor. Sepanjang saya
memancing di sini, hadiah cabutan yang paling kerap diperolehi adalah air
mineral, air tin dan wang tunai
RM2.00. Pernah juga saya mendapat wang tunai
RM5.00 dan hadiah termahal untuk saya iaitu masa memancing percuma selama satu jam. Hadiah
utama cabutan bertuah ialah wang tunai
RM555.00 yang tidak pernah lagi saya lihat
pemancing dapat sepanjang berkunjung ke sini. Walau bagaimanapun, perkara yang
perlu diberikan perhatian oleh pihak kolam ialah terdapat
anjing-anjing belaan yang
tidak terurus berkeliaran. Ini menjadikan kolam ini kurang sesuai untuk
dijadikan tempat beriadah bersama keluarga.
|
Jongkong Bertuah - Mempunyai "Tag" Dibahagian Ekornya... |
Dengan kedatangan bulan Ramadhan tidak lama lagi, memancing
secara santai yang cuma memerlukan set joran ringkas ini boleh dicuba oleh
pembaca semua. Pemancing pasti mahu datang lagi setelah merasai getaran ‘karen’
Si Sepit Biru ketika pertarungan. Setakat ini dahulu perkongsian pengalaman
dari Selatan tanah air. Nantikan laporan seterusnya dan diharap semua pembaca
terus setia bersama Pancing2u.
Masih ada udang hidup lg x
ReplyDeleteNk buat mancing