13 October 2014

Kolam Pak Akob, Senibong, Johor Bahru - (09.10.2014)

LOKASI KOLAM PAK AKOB, SENIBONG, JOHOR BAHRU

BLOG: www.kolamsenibong.blogspot.com

EMAIL: kolamsenibong@gmail.com


Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Pancing2U. “Pecah Rekod!” - Itulah yang dapat disimpulkan pada pertarungan pertama saya di Kolam Pak Akob, Senibong, Johor Bahru.  Untuk sampai ke sini, pengunjung perlu membuat pusingan ke arah Senibong di persimpangan empat berhadapan Pasaraya AEON Permas Jaya. Lokasi kolam ini berhampiran dengan kawasan restoran makanan laut yang terkemuka di Johor Bahru serta bersebelahan Selat Tebrau yang memisahkan antara Malaysia dan Singapura. Ketika ini kerja-kerja penambakkan laut oleh Kerajaan Malaysia sedang giat dijalankan berhampiran kolam Pak Akob setelah Kerajaan Singapura tidak membenarkan pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor yang membolehkan bot-bot kecil melaluinya.

Selamat Datang Ke Kolam Pak Akob
Kebiasaannya, jika saya ke salah satu kedai alatan memancing terbesar di JB – Fishingline Tackle Sdn Bhd, Permas Jaya, saya akan singgah di Kolam Pak Akob untuk bersantai tetapi belum pernah berkesempatan memancing di sini. Saiz kolam ini agak kecil berbanding kolam yang selalu saya melakukan buruan di Tanjung Fishing Village dan Kolam Brother JB. Selepas satu perbualan yang mengatakan kolam yang bersaiz kecil lebih mudah untuk mendapat hasil, saya telah mengajak rakan sekepala dalam bab memancing iaitu Najib untuk sama-sama turun menduga kolam ini.

Maklumat Bayaran Dan Ikan Yang Akan Dibeli Balik Oleh Pihak Kolam
Apa yang menarik di Kolam Pak Akob adalah, tiada deposit dikenakan yang menjadikan kolam ini antara yang termurah untuk dikunjungi serta penggunaan umpan tiruan "Soft Plastic" dibenarkan. Kami pantas melakukan pembayaran sebaik sahaja selesai mengikat perambut. Tepat jam 2 petang bermulalah sesi casting kami kali ini untuk tempoh 5 jam. Menggunakan Udang kopek, saya dan Najib mula mengilat di kawasan yang dirasakan strategik. Setelah mengilat hampir sejam, satu tarikan kuat saya rasakan dan bermulalah pertarungan antara dua makhluk ini. Lesen pertama saya di kolam ini iaitu seekor MJ dengan saiz kurang 1Kg berjaya dinaikkan. Sesi mengilat diteruskan dan kali ini satu sentapan yang lebih kuat dirasakan ketika umpan telah hampir dengan tebing kolam. Kali ini, seekor Jenahak sekitar 1Kg dapat ditumpaskan. Giliran Najib menerima sentapan dari hujung kolam tetapi malang ikan yang tidak diketahui spesisnya berjaya meloloskan diri. Masa menunjukkan kami telah berada di sini hampir tiga jam. Tidak lama kemudian, saya menerima rentapan seterusnya dari seekor bawal yang seberat hampir 1Kg. Najib mengubah lokasi mengilat dan telah menerima sekali lagi sambaran penghuni kolam. Jelas kekecewaan terpancar di wajah Najib apabila pertarungan sekali lagi dimenangi oleh penghuni dasar yang bijak melepaskan diri.

Suasana Kolam Pak Akob
Berdiri Di Hujung Malaysia Dengan Pulau Singapura Kelihatan Di Seberang Sana
Tiba masa kolam melepaskan ikan dan hampir semua pemancing menumpukan balingan kearah sangkar. Ketika ini, pemancing sebelah saya berjaya menaikkan seekor siakap menggunakan teknik pelampung. Saya pula menerima getuan ringan dari makhluk yang berada di hujung kail dan ianya jelas dari seekor ketam yang masih mengepit umpan sewaktu didaratkan. Mengikut kata kumpulan pemancing tegar kolam ini, banyak juga ketam disini disebabkan kedudukan kolam betul-betul disebelah laut. Saya seterusnya menerima satu lagi sambaran dan seekor lagi MJ berjaya didaratkan.

Pihak Kolam Melepaskan Ikan
Kawalan 'Drag' Harus Bersesuaian Bagi Meningkatkan Peluang Mendaratkan Ikan
Aksi Pemancing Bertarung...
Setelah empat jam memburu, bekalan Udang kopek kami telah kehabisan. Najib berbesar hati men’sponsor’ Udang hidup menyebabkan kami menyambung sesi casting menggunakan Udang hidup pula. Setika masa memancing berbaki 15 minit, satu tarikan yang sangat kuat saya rasakan. Saya terus meminta Najib untuk menyediakan tangguk bagi membantu mendaratkan ikan kali ini. Nampaknya ikan ini memang laju lariannya dan ke pelbagai arah. Najib telah bersedia untuk menangguk setelah ikan tersebut berjaya dibawa hampir ke tepi kolam. Malangnya, satu aksi rontaan dengan tarikan yang kuat menyebabkan ikan GT tersebut berjaya meloloskan diri.

Hasil Tangkapan Petang Ini
"Najib Kumpau" - Bersama Hasil Tangkapan
Masa yang diperuntukkan telah tamat dan satu rekod baru tercipta apabila saya berjaya mendaratkan 4 ekor ikan dalam satu sesi memancing kolam. Apa yang saya dapat simpulkan, memang banyak ikan di kolam Pak Akob. Rata-ratanya semua pemancing berjaya mendaratkan atau menerima sambaran pada petang ini. Kepada pembaca yang mendambakan aksi pertarungan yang mendebarkan, bolehlah mencuba kolam ini. Terima kasih kerana sudi membaca laporan saya kali ini dan nantikan aksi-aksi pertarungan sengit seterusnya dari saya di Selatan Tanah Air.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...