Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada
semua pembaca setia blog Pancing2u. Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman
memancing yang sangat jarang diperolehi. Trip kali ini disertai oleh Saya, Najib dan
adik saya iaitu Nazri dan kami berkunjung ke salah satu kolam memancing
terkenal di Johor Bahru iaitu Damai Fishing Village, Taman Perling. Kolam ini
terletak berhampiran dengan Restoran Damai dan tidak jauh dari Kolam Brother
dan Kolam Zul (rujuk post lepas untuk kedua-dua kolam ini). Kolam Damai telah berpindah
ke lokasi baru sejak pertengahan tahun ini. Berbanding di lokasi lama, kolam
pancing masa di lokasi baru kelihatan agak kecil. Selain itu, terdapat kolam
pancing "Catch And Release" air masin dan air tawar. Walaupun yuran yang
dikenakan lebih mahal berbanding kolam-kolam lain di Johor Bahru, Kolam Damai memang
terkenal kerana ikan yang banyak, meriah dengan ikan bersaiz besar serta menjanjikan pengalaman memancing yang mendebarkan. Cuma menurut pandangan saya, air di
kolam ini perlu selalu dibersihkan dengan lebih kerap.
|
Maklumat Bayaran |
Kami tiba di kolam pada jam 3:30 petang dan disambut dengan iklan tawaran yuran masuk
hari ini. Ketika kami sedang bersiap-siap menyediakan set memancing, Najib
telah disapa oleh seorang pemancing. Menurut pemancing tersebut, hari ini ikan
sangat kurang menjamah umpan. Berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas kami,
jika ikan tak makan umpan waktu siang, umpan akan dijamah pada waktu malam. Kami
semua menyiapkan perambut casting, saya akan menggunakan umpan Udang kopek,
Najib pula ekor ikan Keli dan Nazri menggunakan Udang hidup. Ekor ikan Keli adalah umpan yang
berjaya menawan ikan beraiz besar ketika lawatan risikan yang dilakukan sebelum
ini.
|
Tawaran Yuran Masuk Yang Menggembirakan Kami |
Kami memulakan buruan tepat jam 4:00 petang untuk
pakej memancing selama lima jam. Agak menghairankan kerana kelihatan banyak ikan Kerapu berenang di tepi kolam. Setelah tiga jam memburu, ketiga-tiga hidangan
kami suakan langsung tidak diusik oleh penghuni kolam. Kelihatan beberapa pemancing
mula mengeluh terutamanya yang datang dari pagi kerana ikan tidak menjamah
langsung umpan yang disajikan. Rasa marah dan tidak berpuas hati mula
ditunjukkan oleh beberapa pemancing. Ada pemancing mula menyauk ikan yang
berenang di tepi kolam. Saya mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan
air di kolam ini setelah semakin banyak ikan berenang di tepi kolam. Mungkin
juga disebabkan oleh hujan lebat beberapa hari sebelum ini yang menyebabkan
tahap kemasinan air menjadi rendah.
|
Suasana Kolam Pancing Masa |
|
Kolam Pancing "Catch & Release" |
|
Dua Pemancing Tegar Dan Merupakan Ahli Kelab Kolam |
|
Ikan Akan Dilepaskan Setiap 2 Jam |
Kerisauan saya berasas apabila tauke kolam
berjumpa dengan setiap pengunjung memohon maaf kerana terdapat jangkitan pada
air kolam. Tauke kolam meminta semua pemancing untuk pergi ke sangkar untuk
mengambil siakap sebelum pulang. Petugas kolam juga datang bertemu semua
pengunjung dan menyuruh kami semua menyauk apa sahaja ikan yang ada. Semua
pemancing mula meninggalkan pancing masing2 dan kolam ini secara tiba-tiba bertukar
menjadi lokasi pesta menyauk ikan beramai-ramai. Nazri telah menunjukkan skill
menyauknya apabila berjaya menyauk dua ekor kerapu bersaiz 2.5kg dan 3.5 kg.
|
Nazri Bersama Hasil Sauknya |
|
Najib Tumpang Bergambar |
|
Saya Bersama Hasil Tangkapan Hari Ini |
|
Empat Siakap Sebagai Tanda Maaf Dari Pihak Kolam |
Notis kolam ditutup selama dua minggu telah
ditampal dan air kolam mula dikeringkan pada malam itu juga. Kami mula mengemas
kelengkapan dan berkumpul di kaunter. Sekali lagi, tauke kolam dengan murah hati sudi membelanja kami minum di restoran kolam. Kami cuma mengambil 3 tin minuman
ringan sambil memerhatikan petugas menjalankan tugas mengeringkan kolam.
Sebelum pulang, tauke telah memberikan kami 4 ekor Siakap. Najib mengambil
seekor Kerapu dan seekor Siakap manakala saya mengambil seekor Kerapu dan 3
ekor Siakap. Kesimpulannya, kami telah datang memancing pada waktu yang paling
teruk tetapi membawa pulang hasil yang terbaik.
|
N otis Kolam Ditutup |
|
Petugas Mula Mengeringkan Kolam |
|
Taukeh Kolam Sedang Memikirkan Sesuatu |
Saya kembali ke kolam keesokkan harinya. Saya
selalu mengambil peluang untuk ke kolam yang telah dikeringkan kerana mahu melihat
kedudukan kalbat. Ini penting untuk mengetahui dimana kedudukan strategik untuk
menyajikan umpan pada trip memancing seterusnya. Tauke memberitahu yang telah 2 tong besar ikan dihantar
ke beberapa restoran. Memang betul apa yang saya dengar sebelum ini, saya
saksikan sendiri kolam ini mempunyai banyak ikan dengan majoritinya bersaiz
yang besar. Untuk pengetahuan para pemancing, Kolam Damai telahpun dibuka
semula pada Ahad lepas. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca laporan saya di blog Pancing2u
dan nantikan laporan seterusnya dari Selatan Tanahair.
|
Petugas Mengumpulkan Semua Ikan |
|
Tong Kedua Mengumpul Ikan Yang Tidak Dapat Diselamatkan |
No comments:
Post a Comment