17 August 2013

Kolam Jugra Sport Fishing, Banting - (14.08.2013)

Aktiviti turun padang semperna Hari Raya Aidilfitri sesi ke 2 ini berlangsung di Jugra Sport Fishing, Banting. Saya tiba dikolam tersebut seawal jam 11am dan ditemani oleh adik dan anak buah saya. Menurut taukeh kolam tersebut, semperna pembukaan kolam tersebut yang telah bercuti sepanjang bulan Ramadhan lalu, dia ada membuat promosi harga iaitu Rm36.00 selama 4 jam dan ada memasukkan ikan-ikan jackpot seperti Kerapu Harimau dan Jenahak.

(Cuaca Panas Terpaksa Memakai Pelindung)
Cuaca pada hari itu sangatlah berbahang dan panas sehingga saya terpaksa memakai perlindung badan seperti sarung muka dan lengan. Orang tidaklah terlalu ramai dan sesak almaklumlah masih dalam mood raya. Umpan Udang dijual pada harga yang murah iaitu Rm0.50 seekor dan saya hanya membeli sebanyak 6 ekor untuk sesi kali ini. Saya telah memilih port di tengah-tengah bahagian kolam yang menjadi perantaraan laluan ikan-ikan didalam kolam tersebut. Kemudian saya melabuhkan umpan jauh ke dasar kolam.

(Peralatan Memancing)
Pada sesi kali ini saya telah menggunakan set "Baitcasting" dan set "Spinning" memandangkan kawasan kolam yang agak luas dan tiada bumbung maka bolehlah kiranya saya mempraktikkan penggunaan baitcaster yang baru dibeli oleh saya. Joran Shakespear dan kekili Abu Garcia Black Max dipadankan dengan tali sulam berkekuatan 20lb menjadi mukadimah apabila dikarau disekitar kolam tersebut. Manakala Joran Abu Tournament SX dan kekili Banax Xtream 3000  yang dipadankan dengan tali Lemax 40lb saya biarkan untuk teknik "bottom" bagi menjerat sang Kerapu.

Set "Casting" Abu Black Max)
Dalam pada itu juga saya sempat meluangkan masa untuk mengajar anak buah saya Riyaz Reqarl tentang apa itu "Sesi Memancing". Sememangnya adalah digalakkan kita mengajar anak-anak kecil kita memancing dan membiarkan mereka membiasakan diri dengan aktiviti hanyir ini agar dikala mereka membesar esok tidak kedaifan tentang perihal dunia memancing ini. Disamping iti juga kami berkelah dengan menikmati nasi campur yang telah dibeli sebelum ke kolam tadi, snek-snek serta air jus yang menyegarkan tekak juga menjadi hidangan makan tengah hari kami. Aktiviti bersantai bersama orang tersayang ini adalah perlu bagi merapatkan silaturrahim sesama keluarga yang jarang bertemu.

(Pemancing Cilik)
Masa 4 jam yang diperuntukkan hampir tamat dan tiada sebarang tanggapan diperoleh setakat ini, cuaca yang terik mungkin menjadi penyebab ikan kurang menjamah makanan yang dihidangkan akan tetapi budak khemah sebelah telah berjaya mendaratkan sang Kerapu Harimau yang boleh diketegorikan istimewa yang beranggaran 2.2kg. Ini membuatkan saya betul-betul cemburu dengannya mungkin rezekinya baik pada hari itu. Saya telah berjumpa dengannya dan bertanyanya apa umpan yang digunakan bagi menjerat spesis "Rare" tersebut dan dia memberitahu yang dia hanya menggunakan isi ikan Kembung yang dihiris kemudian ditanam dikawasan sangkar. Budak itu ada memberikan saya sedikit isi ikan Kembung untuk dicuba tetapi memandangkan masa memancing saya telah suntuk untuk mencubanya, mungkin disesi akan datang saya cuba menggunakannya.

(Disangkar Ikan Itulah Tempat Persembunyian Kerapu Harimau)
Setelah gagal membawa pulang ikan pada sesi kali ini, saya nekad untuk terus pulang kumpau dan mungkin akan datang dilain masa insyaallah memandangkan spesis Kerapu ada dikolam tersebut cuma perlu menggunakan umpan isi ikan kembung dan ditanam berhampiran sangkar ikan. Itu tips yang saya peroleh dikolam Jugra ini. Sekian terima kasih diucapkan kepada para pembaca Pancing2u yang sudi meluangkan masa mengunjungi blog ini. Kita akan bertemu lagi disesi pemancingan seterusnya di Kolam GP, Rawang.

1 comment:

  1. bestnya memancing santai dgn keluarga, anak pun join casting tu..hehe

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...