29 August 2013

Misi Menjerat Kerapu Di Kolam Jugra - (25.08.2013)

Pada sesi kali ini P2U Angler telah turun ke Jugra Sport Fishing yang terletak di Banting untuk menjerat spesis Kerapu yang dikhabarkan terdapat disana. Saya (Admin), Ringgo, Jojo dan Torres telah gerak seawal jam 9 pagi ke kolam tersebut menaiki kereta masing-masing. Sebelum itu kami telah bersarapan pagi di kedai kampung Telok Panglima Garang.

(Pasar Keling)
Setelah perut penuh diisi, kami telah singgah di pasar Keling mengikut kata penduduk kampung tersebut untuk membeli 1kg Ikan Kembung bagi dijadikan umpan Kerapu nanti. Disebabkan ianya diambil segar oleh peraih ikan dari laut harganya juga jauh murah berbanding pasaraya. Isi Ikan Kembung digunakan untuk menjerat Kerapu ini digunakan kerana saya telah melihat sendiri ada pemancing berjaya menaikkan Kerapu di kolam Jugra menggunakan umpan tersebut. Oleh itu kami ingin mencubanya pada sesi kali ini.

(Nasi Lemak Kerang Dan Teh Tarik Memang Sodap)
Setelah deposit Rm50.00 dibayar untuk sesi pancingan 3 jam dan umpan Udang dibeli sebanyak 10 ekor kami pun terus mencari port di kawasan tengah kolam tersebut berhampiran sangkar ikan kerana kami ingin melabuhkan umpan betul-betul tepi sangkar. Saya dan Ringgo menggunakan 2 batang jorang yang mana satu digunakan untuk teknik "Bottom" dan satu lagi untuk "Casting". Jojo dan Torres pula hanya menggunakan sebatang joran untuk "Casting".

(Joran Dilabuhkan Dan Membangau) 
Angin bertiup menghadap arah kami oleh itu balingan yang dibuat semuanya tidak dapat pergi jauh hingga ke tengah. Ini boleh menyebabkan gangguan terhadap permainan kami. Balingan sering tersasar nasib baik tiada pemancing lain yang berkongsi tempat sesama kami jika tidak pasti akan sangkut tali mereka.

Setelah hampir 2 jam memancing, kami masih tidak menerima sebarang getuan dari makhluk dasaran. Tiba-tiba sedang saya sibuk "Casting" disekitar kolam dan jauh berada dari pancing yang "Bottom" joran saya telah bergetar menandakan ada ikan yang telah terjerat. Jojo menjerit memanggil saya disamping itu dia membantu  mengawal pergerakan ikan dengan mengarau sedikit demi sedikit. Saya bergegas ke tempatnya untuk menyambung kerauannya. Setelah ikan semakin hampir ke tepi kilauan sisik keputihan kelihatan dan pastinya seekor Siakap saiz 2kg. Arghh...kami menyangkakan ianya seekor Kerapu rupanya seekor Siakap. Tidak mengapalah janji dapat ikan. Ketika tiba saat ingin mengangguk ikan tersebut ianya terlucut dari mata kail saiz 11 saya, Aduhai tiada rezeki saya.

(Jojo Dan Joran Ofmer Infinity)
Selaku seorang professional kita harus tenang dan bersabar walaupun ikan terlepas sama ada secara sengaja atau tidak. Kita tidak boleh menyalahkan rakan kita walau apa pun yang berlaku. Semangat setia kawan dan hormat menghormati antara rakan pancing harus dititik beratkan. Kita harus sentiasa menganggap rezeki itu pemberian dari Allah S.W.T andai kata ianya tertulis untuk kita maka dapatlah, andai ianya bukan untuk kita maka tidak dapatlah.

(Ringgo Dengan Hasil Tangkapannya)
Masa semakin suntuk, dan kelibat ikan masih tidak kelihatan. Getuan yang diterima oleh pemancing lain juga kurang mungkin bukan waktu ikan makan atau pun taukeh kolam perlu melepaskan ikan lagi. Kami masih lagi tidak jemu-jemu mencuba nasib disekitar kolam. Umpan Udang pula sudah dua kali ditambah yang baru ekoran perambut sangkut didasar kolam dan tercicir sewaktu membaling umpan.

(Siakap Saiz Juvenil 1.3KG)
Disebabkan masa telah hampir tamat maka Jojo dan Ringgo sepakat untuk pulang awal manakala saya dan Torrres ingin melanjutkan tambahan masa 2 jam. Ringgo yang membuat balingan terakhir telah menerima satu getuan dari makhluk dasaran. Ibarat "Bulan Jatuh Ke Riba" dia menarik ikan ketepi dan akhirnya kekumpauan P2U Angler telah dipecahkan oleh Ringgo setelah berjaya mendaratkan seekor Siakap saiz Juvenil beranggaran saiz 1.3kg. Selepas sesi bergambar mereka berdua pulang dan tinggallah saya dan Torres yang masih setia memancing.

Namun akhirnya kami berdua terpaksa menyerah kerana masa 2 jam yang diperuntukkan telah tamat. Walaupun tidak berjaya mendaratkan Kerapu pada sesi kali ini namun semangat yang ditonjolkan harus diteruskan. Mungkin tiada rezeki kami pada kali ini. Selepas ini kami akan pergi mencuba kolam No. 2 Sealion, Port Klang untuk mencuba nasib. Terima kasih diucapkan kepada pembaca Pancing2u dan nantikan cerita akan datang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...