22 January 2014

Siakap "Penghulu" Kolam Pelita Harmoni (PH) - (21.01.2014)

Assalamualaikum wbt diucapkan kepada semua pembaca Pancing2u yang dihormati, baiklah sebagai mukadimah sesi kali ini merupakan sesi yang lebih kepada menguji prestasi kolam yang bakal dilakukan oleh ahli P2U Angler memandangkan 'komplot' kali ini akan dijalankan di kolam pancing baru dan tidak pernah di duga oleh kami. Kolam tersebut digelar, Kolam Pelita Harmoni (PH) yang terletak di Jugra, Banting (*Rujukan Ajib - Anak Tokey Kolam). Kalau otai-otai pancing diluar sana pernah memancing di Kolam RM3, Jugra Banting,  Kolam PH ini terletak di simpang kanan dan dalam anggaran 1 km dari Kolam RM3 tersebut.


Kolam No. 1 - Siakap
Untuk makluman pembaca Pancing2u sekalian, paparan kali ini tiada sebarang unsur bermotifkan keuntungan berbentuk kewangan dan lain-lain kepada Ahli P2U Angler dan hanya sekadar mempromosikan kolam tersebut atas dasar minat dan pembangunan sukan memancing di negara ini. Kami tidak meminta sebarang bayaran dan habuan diatas promosi ini hanya berkongsikan serba sedikit aktiviti pemancingan dan ujian kolam kami.

Info Kolam:
  1. Nama: Kolam Pelita Harmoni (PH) / Kolam Harmoni
  2. Pemilik bangsa melayu
  3. Pekerja: Ajib (*Anak Tokey), AL, Abon, Pakcik Tua
  4. Terdapat 4 kolam air masin yang dibuka kepada pemancing untuk memancing
  5. Dibuka 8am - 3am (Setiap hari)
  6. Yuran bagi sebatang joran = RM3.00
  7. Ikan yang berjaya di pancing harus di timbang sebelum dibawa keluar
  8. Ikan tidak boleh di lepaskan kembali * kecuali Pakej CNR.
  9. Umpan Udang disediakan mengikut saiz (Harga 50sen, 40sen, 20sen)
  10. Umpan Ikan Kembung, Selar dan Tongkol juga disediakan
  11. Gewang dibenarkan tetapi harus menukar kepada mata 1

Pakej 1 - Tangkap & Bawa Balik Ikan

Bayaran sebanyak Rm3.00 bagi sebatang joran dan pemancing boleh mencuba semua kolam dengan sekali bayaran masuk. Ikan yang berjaya dipancing akan ditimbang mengikut berat. 

  1. Kolam 1 (Siakap) - Rm17.00 bagi 1kg
  2. Kolam 2 (Senangin Taiwan, Kaci, GT) - Rm30.00 bagi 1kg
  3. Kolam 3 (Jenahak) - Rm35.00 bagi 1kg
  4. Kolam 4 (Kerapu Hybrid) - Rm38.00 bagi 1kg
Pakej 2 - Catch & Release (CNR)

Bayaran sebanyak Rm50.00 bagi sebatang joran bagi tempoh 2 jam pemancingan. Ikan yang di tangkap harus di lepaskan kembali secepat mungkin bagi mengelakkan ikan mati. Pemancing dibenarkan mencuba di semua kolam.


Pondok Hujung Kolam Merupakan Spot Terbaik!
Ringgo Sibuk 'Casting'
Baiklah berbalik kepada cerita sesi ujian kolam yang akan dilakukan oleh P2U Angler, kami tiba di lokasi sekitar jam 3.30pm dan ketika itu matahari tidak terlalu terik dan angin ada bertiup menyejukan badan. Sesi kali ini hanya Saya (Admin) dan Ringgo yang turun. Setibanya di kolam tersebut, saya memulakan sesi temubual bersama pekerja kolam tersebut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan perihal kolam tersebut. Alhamdulilah, saudara Al yang merupakan pekerja kolam tersebut tidak lokek untuk memberikan kami penerangan serba sedikit tentang kolam, pakej dan teknik untuk memancing disitu.

8 Ekor Udang - *Jangan Beli Banyak Kalau Tidak Mahu Tangkap Lebih
Tanpa melengahkan masa umpan Udang sebanyak 8 ekor telah kami beli dan kami sepakat untuk mencuba di kolam no.1 iaitu kolam Siakap. Merujuk kata saudara Al, Siakap saiz anggaran 1kg hingga 2kg yang mendiami kolam tersebut dan andai pemancing berjaya menjerat Siakap Saiz 1.5kg > sudah dianggap berjaya. Satu lagi sebab mengapa kami ingin menguji kolam no.1 adalah kerana bayarannya lebih murah berbanding kolam lain. Bayangkan kalau anda menduga kolam no. 4 yang dikatakan dipenuhi Sang Kerapu bersaiz 4kg, mahu nazak hendak membayar 'tol' ketika mahu pulang. Fuhh!...


Set Vintage Yang saya Gunakan...Ada Ong!!!
Saya mempertaruhkan set pancingan vintage peninggalan arwah Hj. Roseli (*Ayah Ringgo) iaitu Rod  Dam Quick - Royal Foray panjang 5'6'' dan kekili Dam Quick TS 45. Ringgo pula menggunakan set pancingan barunya iaitu Rod Expert Graphite 5'6'' 8lb - 17lb dan kekili PENN Battle 1000. Baiklah setelah semua senjata siap sedia mata kami memulakan labuhan pertama di bahagian tengah kolam. Tidak ramai pemancing yang datang untuk memancing dan ini memudahkan sesi ujian kolam kami kerana kami bebas bergerak sekitar kolam dan mencuba setiap pelusuk kolam.

"Penghulu" Siakap Berjaya Saya Daratkan
Lebih kurang 10 minit 'Casting' joran Ringgo telah mengena tarikan namun setelah satu lompatan 'Acrobatic' yang dilakukan Siakap disitu maka lenyaplah harapan Ringgo. Namun semangat untuk menjerat tidak luntur dengan mudah lalu umpan Udang dipasang kembali. Saya hanya menggunakan teknik 'Bottom' yang mana umpan Udang dicampakkan berhampiran kincir air kerana pada firasat saya diwaktu petang sebegini kadar oksigen didalam kolam adalah rendah dan ikan pasti berkumpul di sekitar kawasan kincir air tersebut. Sedang saya mengunyah keropok dan menikmati pemandangan kolam, tiba-tiba joran vintage saya bergerak dan tali menegang menandakan ada makhluk dasaran yang telah terjerat. Rezeki sudah sampai!, jerit saya. Kawalan joran dilakukan dengan baik sekali agar tidak rabut dan dari jauh kelihatan ikan yang agak besar berbanding saiz yang terkena joran Ringgo sebentar tadi.

Tangguk!...Tangguk!..Cepat!...jerit saya

Ringgo pun bergegas mencapai tangguk yang disediakan di sebelah kerusi menunggu kami, Ringgo dengan hati-hati mengendalikan tangguk dan akhirnya saya telah berjaya mendaratkan seekor "Penghulu" Siakap dengan berat anggaran 1.8kg. 

Wah besar Bob!...kata Ringgo

Tanpa membuang masa ikan di cangkuk pada ring dan dibiarkan didalam kolam agar kesegarannya terjamin sehingga waktu hendak pulang nanti. Saya meneruskan pancingan dengan mencanggukkan umpan Udang lagi. Pada pandangan kami, kolam ini berpotensi dan dihuni puluhan ekor Siakap didalamnya ini berkemungkinan taukeh melepaskan ikan dengan banyak.

"Koboi" Kolam...
2 Ekor Siakap Dalam Masa 1Jam
Kami kerap kali menerima getuan dan larian dari Sang Siakap, ada yang rabut selepas lompatan 'Acrobatic' dilakukan dan ada yang berjaya dinaikkan. Lebih kurang 2 jam memancing di situ rasanya sudah hampir 7 ekor Siakap berjaya dinaikkan oleh kami dari saiz 700gram hingga 1.8kg. Sebenarnya boleh andai kata kami ingin menangkap lebih banyak namun disebabkan peraturan kolam yang mana semakin banyak dan berat ikan dinaikkan maka bayaran akan menjadi lebih tinggi  maka kami menamatkan sesi ujian kolam kami.

Ringgo Juga Berjaya Mendaratkan Siakap
Alhamdulilah, cukuplah sekadar rezeki 7 ekor pada kali ini. Kami bergerak ke kaunter timbangan untuk menimbang hasil tangkapan kami, saya telah dikenakan bayaran RM48.00 bagi 5 ekor ikan seberat 2.8kg. Manakala Ringgo pula dikenakan bayaran Rm18.00 bagi 2 ekor ikan seberat 1.1kg.

Keputusan Ujian Kolam

Hasil Tangkapan Saya (Admin) - 5 Ekor
Hasil Tangkapan Ringgo - 2 Ekor
Satu lagi yang menarik di sini adalah perkhidmatan menyiang ikan yang dipancing disediakan oleh pekerja-pekerja kolam seperti Pakcik Tua dan Abon dengan bayaran sebanyak RM1.00 bagi seekor ikan. Terbaiklah, boleh terus masak dikedai malam ini.

Perkhidmatan Siang Ikan  Hanya RM1.00
Akhir kata dari kami P2U Angler, marilah bertandang dan mencuba di Kolam PH ini, kerana ia menawarkan tangkapan yang 'Frenzy' dan terdapat kepelbagaian spesies serta berat. Sesuai untuk mereka yang baru ingin belajar memancing dan bagi mereka yang ingin bersantai bersama keluarga. Tandas dan bilik mandi disediakan. Sekian terima kasih diucapkan kepada para pembaca Pancing2u.blogspot.com yang sudi meluangkan masa menbaca blog kami ini. 

Assalamualaikum wbt~

Yang Ini Kasi Korang Terliuh Sikit!!!...Hehehe
Siakap Masak Stim
Siakap Masak 3 Rasa

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...